Peluang Terbaik Sistem Kewangan Islam Berkembang

Krisis kewangan global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sekelip mata sahaja dan dalam masa yang sama episod hitam itu telah membuka mata dunia kepada potensi sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia. Institusi riba global sedang menuju kemusnahan dan pendokongnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya.

Ini adalah masa dan medan terbaik kepada negara-negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka dan mengenengahkannya kepada dunia sebagai alternatif dan pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global. Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri melawan arus deras institusi riba global seperti kurang risiko dan amalan perkongsian keuntungan, melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan seperti yang berlaku sekarang.

Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan sangat memerangi segala sistem atau struktur yang berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, "Wahai orang beriman, bertakwa kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya, " (Al-Baqarah : 278- 279). Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda "Riba mempunyai 70 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, krisis yang dihadapi di AS dan Eropah hari ini telah menampak dan membuktikan sistem konvensional semasa yang sedang diamalkan ketika ini mempunyai begitu banyak kelemahan, ketempangan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang semakin kukuh, mantap dan mampu bertahan di kala dunia sedang mendepani zaman meleset yang dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia. Ramai sarjana mengakui kesan krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam dan kewangan Islam secara asasnya tidak menerima kesan langsung daripada krisis yang berlaku berdasarkan ciri-cirinya yang tersendiri seperti kurang risiko dan amalan perkongsian keuntungan. Malah, institusi kewangan dan perbankan konvensional lain perlu mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya dan terbukti berjaya.

Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara seluruh dunia, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam. Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan termasuk yang beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong. Antara produk utama yang dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion.

Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia jelas nampak kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam dan adalah diharapkan agar dengan perkembangan yang memberansangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan mula melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di negara Barat. Ini adalah kerana, dalam menangani krisis kewangan teruk pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah-langkah yang drastik termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita.

Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang tahun 2010 nanti menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam. Jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.

Industri global pula telah berkembang dan kini ia bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam. Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk dengan mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang semakin berkembang pesat.

Kerajaan juga telah mempelbagaikan konsep terbitan nota-nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan Bai Inah dan Ijarah ke Murabahah yang cukup berjaya. Dengan menerbitkan nota-nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah, ia boleh menyediakan satu platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia sekaligus mempelbagaikan pangkalan pelabur. Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam Global, instrumen ini akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa.

Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk-produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian Derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan oleh bank pusat dan dipacu oleh industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak dapat memperbaiki amalan pengurusan risiko, pengurusan imbangan pembayaran, meningkatkan kecekapan menggerakkan dana dan meningkatkan keupayaan perbankan pelaburan institusi perbankan Islam di peringkat global.

Rujukan
Krisis kewangan global serlahkan potensi sistem kewangan islam, Utusan Malaysia, 14 Oktober 2008
Peneraju pasaran, Harian Metro, 14 Oktober 2008
Nilai industri kewangan Islam cecah RM9.6 trilion 2010, Utusan Malaysia, 29 September 2008

Comments

Popular Posts