Wednesday, October 22, 2008

WAKAF ALTERNATIF EKONOMI SEJAGAT

Wakaf diiktiraf sebagai salah satu sistem ekonomi alternatif dan mekanisme penting dalam struktur ekonomi Islam dalam proses pembangunan berasaskan kesaksamaan dan keadilan sejagat. Wakaf yang diuruskan secara professional dan sistematik berperanan mengagihkan kekayaan dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan liabiliti yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah kerajaan melalui pentadbiran dan pengurusan yang cekap di samping menyokong kekuatan dan kestabilan ekonomi di kalangan masyarakat Islam.

Lantaran itu, kejayaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) melancarkan sistem elektronik e-Bayanat dan e-Wakaf iaitu pangkalan data dan maklumat bersepadu berkaitan institusi wakaf di seluruh negara diharapkan membantu mempercepatkan lagi perkhidmatan institusi wakaf negara. Sistem elektronik ini berbentuk laporan serta maklumat yang diperoleh yang memaparkan statistik wakaf, zakat, mal dan haji yang direkodkan. Uniknya, maklumat yang diterima diolah pada pelbagai peringkat, diringkaskan dan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti graf bar, carta pai, graf perbandingan dan pertanyaan. e-Wakaf dijangka dapat membantu mempercepatkan pembangunan 9,947 hektar tanah wakaf di seluruh negara yang setakat ini hanya 0.72 peratus dimajukan.

Tambahan pula laporan elektronik yang dipaparkan adalah terkini dan maklumat tersebut dapat dikongsi bersama dengan jabatan lain dan masyarakat umum terutamanya aplikasi e-Wakaf yang merupakan sistem pengurusan maklumat wakaf secara bersepadu pada peringkat nasional yang terdiri daripada Portal Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Antara Muka Maklumat Wakaf dan Pusat Data Wakaf. e-Wakaf secara tidak langsung memudahkan Kerajaan memperoleh maklumat mengenai harta wakaf daripada majlis agama islam negeri secara lebih sistematik bagi menyemak status pembangunan tanah wakaf, mengesan lokasi dan mengesan individu yang mewakafkannya.

Mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1977, wakaf ialah menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati atau dimanfaatkan faedahnya untuk apa-apa tujuan sama ada wakaf am atau wakaf khas. Bagaimanapun, pemberian itu mestilah disertakan dengan niat untuk kebajikan. Dalam perkara ini usaha Malaysia membangunkan institusi wakaf mendapat kepujian negara-negara Islam yang turut berminat menguna pakai kaedah yang dilaksanakan bagi pembangunan tanah wakaf di negara mereka. Ini adalah satu kejayaan besar negara dalam usaha memperkasakan hartanah dan dana wakaf dengan tujuan pembangunan ummah di Malaysia.

Sehubungan itu, harta atau tanah wakaf perlulah dibangun dan dikembangkan bagi tujuan kepentingan awam seperti dalam sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perindustrian, perladangan, hartanah dan pembinaan selain projek seperti masjid, baitul mal, rumah perlindungan dan anak yatim dan sebagainya. Persepsi bahawa hartanah wakaf hanyalah khusus untuk tujuan pembinaan masjid dan kubur sahaja perlulah dikikis dalam pemikiran masyarakat melihat kepada sumbangan dan pengertian wakaf secara menyeluruh.

Dalam perkembangan semasa, reformasi wakaf yang telah dilaksanakan oleh beberapa institusi wakaf negara melalui agihan harta dan saham telah mendapat pengiktirafan dunia dan bakal diketengahkan sehinggakan ke peringkat global. Aplikasi perlaksanaan wakaf di Malaysia telah direkod dan diiktiraf dalam Journal Harvard Business School Universiti Harvard yang cukup terkenal untuk rujukan dan panduan masyarakat antarabangsa. Ini adalah satu pengiktirafan penting dan bukti penerimaan masyarakat dunia terhadap usaha yang telah dimulakan oleh Malaysia dalam hal ini.

Sinergi terbaru wakaf yang dilaksanakan oleh beberapa organisasi dengan mewakafkan asetnya terbukti memberi keuntungan kepada syarikat dengan mempelbagaikan cabang perniagaan menerusi anak syarikat dan mewujudkan perniagaan usahawan dalaman syarikat. Konsep dan pembaharuan ini diharapkan bukan sahaja dapat dirujuk oleh negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sahaja untuk dipraktikkan malahan juga untuk rujukan dan perlaksanaan masyarakat antarabangsa.

Sejak dahulu lagi, institusi wakaf telah berperanan dengan cukup berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan lagi tahap sosioekonomi masyarakat Islam melalui pembangunan dan pengurusan harta wakaf yang efektif. Bagi Malaysia dan beberapa negara Islam lain, sistem wakaf merupakan cara dan agenda terbaik melonjakkan kemajuan ummah termasuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin sama ada di dalam mahu pun luar negara. Keadaan ini mampu mengimbangi sistem ekonomi kapitalis konvensional yang sedang menguasai landskap dan struktur ekonomi global hari ini.

Oleh demikian, aset tanah wakaf yang dilaporkan masih terbiar dengan nilai lebih RM1.2 bilion di seluruh negara tidak boleh diabaikan begitu sahaja memandangkan nilai komersilnya yang begitu tinggi dan wajar dibangunkan segera melalui projek pembangunan secara berperingkat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan pada masa akan datang. Ini adalah kerana pertumbuhan tanah wakaf akan memberi manfaat yang sangat besar kepada kebajikan umat Islam khususnya dalam menjana ekonomi dan sosial masyarakat termasuklah pengagihan kekayaan yang adil.

Untuk itu, pembangunan, pembaharuan dan penjenamaan semula institusi wakaf oleh pelbagai pihak terutamanya badan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam negara diharapkan akan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat dan memberi keselesaan serta kemudahan untuk kegunaan umum, membantu serta merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan kerajaan ketika berhadapan dengan krisis ekonomi global melalui dana dan pembangunan hartanah wakaf secara terurus, serius dan efektif.

Dengan fundamental kelembapan ekonomi dunia hari ini yang mempengaruhi hampir semua negara ekoran krisis kewangan dan permulaan era kemelesetan, maka institusi dan dana wakaf dilihat mampu berperanan menangani masalah kritikal ini dan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ianya berupaya menjadi pemangkin dalam teras aktiviti penjanaan pelaburan jangka panjang negara serta boleh bertindak sebagai pengimbang kepada struktur ekonomi kapitalis global yang semakin tidak menentu ketika ini melihat kepada nilai dan potensi yang ada pada institusi wakaf di seluruh dunia.


RUJUKAN
Asmak Ab. Rahman, et al, 2005. Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Jawhar lancar sistem e-Bayanat, e-Wakaf, Utusan Malaysia, 21 Oktober 2008
Pangkalan data wakaf dilancar, Berita Harian, 21 Oktober 2008
Lebih 9,000 hektar tanah wakaf terbiar dibangunkan, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Jadikan wakaf JCorp kajian kes global, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Basmi kemiskinan menerusi wakaf - Abdullah, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Wakaf cara adil ganti kapitalis, Berita Harian, 12 Ogos 2008

2 comments:

PENDEKAR said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

terima kasih atas infomasi yang diberikan ... mardhotillah

mohamadsofee said...

terima kasih atas lawatan dan semoga kita sentiasa berada di dalam mardhotillah, amin