Monday, November 10, 2008

FAKTA KEISLAMAN KEDUA IBU BAPA RASULULLAH S.A.W

(Petikan dari Ruangan Bicara Agama – Bersama : USTAZ MOHD. YUSOF ABAS)

Menurut pendapat ahlul haq, mereka yang berada di antara dua masa para rasul itu (mereka yang dikenali sebagai ahlul fatrah) atau mereka yang tidak diutuskan rasul kepada mereka itu, mereka dikira terselamat dan tidak diazabkan di akhirat nanti. Ini termasuklah ibu bapa Nabi kita. Ia berdasarkan firman-Nya yang bermaksud "Kami tidak menyeksa (sesiapa) sehingga Kami utuskan Rasul dan utusan (untuk menerangkan yang benar dan salah)" (Maksud Surah al Israa' ayat 15).

Adapun sabda Nabi yang mengatakan "Bapamu dan bapaku dalam neraka" itu dikatakan hadis ahad yang tidak dapat menolak dalil qat'ai dari al-Quran. Justeru itu para ulama kita mengatakan maksud dengan perkataan bapaku dalam hadisnya tadi boleh difahami sebagai bapa keturunan (seperti datuk neneknya, bapa saudara seperti Abu Talib dan Abu Lahab dan lainnya. Ini kerana Abu Talib adalah bapa angkat yang memelihara dan menjaganya sejak kecil lagi dan bagaimana hubungan kasih sayang yang terjalin antara anak saudara dengan bapa saudaranya itu. Menurut pendapat yang terkuat, ibu bapanya (ibu bapa nabi) adalah terselamat, malah kata para ulama lagi, seluruh datuk nenek dari keturunannya dikira dari ahlul fatrah lagi bersih dari sebarang keaiban. Ini berdasarkan sabdanya yang bermaksud: "Aku sentiasa berpindah-pindah dari benih yang suci dari satu generasi ke satu generasi yang baik-baik (tidak bercampur) bukan dari benih yang kotor dan jahat'' (Riwayat Abu Nu'aim)

Malahan dikatakan ada hadis riwayat dari Urwah dari Aisyah: "Bahawa kedua ibu bapa Nabi pernah dihidupkan kerana permohonannya lalu hiduplah keduanya dan beriman dengannya lalu terus meninggal" (Riwayat Ibnu Syahin).

Kesimpulannya, akidah yang perlu dipegang ialah kedua ibu bapa Baginda adalah selamat sejahtera. Wallahualam.

Rujuk Mingguan Malaysia 9 November 2008 (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm)

No comments: