Monday, November 03, 2008

GELARAN HAJI DALAM MASYARAKAT MELAYU


Panggilan dan gelaran 'Tuan Haji' atau 'Pak Aji' pada pangkal nama seseorang yang telah mengerjakan haji adalah lumrah serta trend biasa di dalam masyarakat Melayu. Ada yang marah dan terasa hati jika gelaran tersebut tidak dipanggil dalam perbualan biasa ataupun di dalam majlis-majlis rasmi. Ada juga yang penuh bangga meletakkan gelaran tersebut dipangkal nama secara rasmi atau tidak rasmi bagi menunjukkan bahawa beliau telah mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Bagi orang politik, korporat dan sebagainya, gelaran tersebut cukup penting dan sangat bermakna kepada karier serta status mereka. Keadaan ini berkemungkinan besar kerana gelaran tersebut melambangkan status ekonomi, pendidikan dan sosial seseorang dalam masyarakat berbanding dengan mereka yang belum menunaikan ibadah wajib ini. Kadang-kadang status haji tersebut juga menunjukkan bahawa seseorang itu dianggap mempunyai ilmu agama yang tinggi, alim semua dalam hal, warak, jujur, bijak, kuat beribadat, serba boleh dan sebagainya.

Dalam masyarakat Melayu juga individu yang telah mengerjakan haji dipandang mulia serta dianggap orang yang berada, mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan seringkali menjadi tempat rujuk bagi segala hal termasuk persoalan agama, keluarga, peribadi dan sebagainya. Orang yang telah mengerjakan haji dianggap matang dan berpengalaman serta mahir dalam banyak perkara, di samping kadangkala menjadi kriteria penting untuk seseorang diangkat menjadi pemimpin di dalam masyarakat sejak dahulu lagi.

Biarpun begitu, dalam keghairahan sebahagian besar dalam masyarakat kita yang gemar menunjuk-nunjuk status hajinya kepada orang ramai, sebaliknya keadaan seperti ini jarang-jarang pula berlaku di dalam masyarakat lain di dunia termasuk bangsa Arab yang berada di Tanah Suci sendiri. Mereka jarang meletakkan gelaran atau panggilan haji di pangkal nama mereka sama ada secara rasmi atau tidak. Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan untuk sesiapa sahaja meletakkan perkataan haji di pangkal namanya. Ini membuktikan, budaya dan tradisi unik ini membuktikan betapa ibadah haji begitu dekat dan penting di dalam masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, ibadah haji walaupun satu ibadah yang diwajibkan oleh agama, namun begitu status haji merupakan satu kebanggaan dan kepuasan tersendiri kepada siapa yang telah berjaya menjejakkan kaki di Mekah. Ini adalah kerana untuk sampai ke sana bukan mudah dan seseorang itu terpaksa melalui pelbagai cabaran dan dugaan bermula dari hari pertama menyimpan duit untuk ke sana sehingga hajat sampai ke Tanah Suci terlaksana. Panggilan haji adalah impian dan misi terpenting setiap umat Islam yang berkemampuan di mana setiap orang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk ke sana.

Tahun ini sahaja seramai 27,000 jemaah haji dari Malaysia yang bernasib baik dan berpeluang menjadi tetamu Allah s.w.t serta berkesempatan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah al-Mukaramah. Semoga semua rombongan jemaah haji dapat menunaikan Rukun Islam kelima ini dengan hati yang tenang, sihat dan mendapat haji yang mabrur. Jemaah haji juga dinasihatkan agar sentiasa cekal untuk menghadapi sebarang cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang berada di Tanah Suci pada tahun ini. LabbaikalLahumma labbaik!

3 comments:

Zulhairy Jalaluddin said...

Haji adalah proses mengasimilasi proses Islam sebenar. Jika persiapan kita sebagai seorang Muslim sebelum menunaikan haji sempurna maka haji kita akan melengkapkan diri kita sebagai seorang Islam yang sempurna juga. Jika tidak sia-sia haji kita. Apatah lagi bila balik, bertambah tidak sempurnalah Islam kita apabila mula membangga diri tentang Haji tu misalnya

rosidi hussain said...

Saya pun ada sedikit pengalaman bersama-sama dengan golongan korporat haji. Ada yang dah buat busines card diletakkan gelaran haji pada nama mereka sebelum bertolak mengerjakan haji lagi....

Gelaran positif seperti ini sepatutnya as a signal to us untuk menjaga keperibadian kita..

mohamadsofee said...

a)saudara zulhairy, terima kasih atas lawatan dan komen bernas saudara.

b)tuan sheikh rosidi, ana setuju dengan enta. Title haji sekurang-kurangnya jadi landasan perbaiki diri.