Tuesday, December 30, 2008

WAJIB PERTAHAN BUMI PALESTIN



Angka kematian lebih 400 orang dan mangsa yang tercedera semakin meningkat dari hari ke hari adalah fenomena terbaru rakyat Palestin menyambut tahun baru 2009 di sana. Jika di seluruh dunia meriah dengan tembakan bunga api dan berpesta hiburan di serata jalan, tetapi rakyat Palestin dilontar dengan bom dan serangan jet bertalu-talu. Serangan rejim Israel itu harus dikutuk kerana telah mengorbankan orang awam dan bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sifat kebinatangan Israel semakin menjadi-jadi dan terus memperlakukan Palestin dan penduduknya seperti binatang peliharaan mereka yang boleh dibuli serta disiksa begitu sahaja. Kereta perisai, kereta kebal dan gerombolan skuad tentera darat negara Yahudi itu siap siaga berada di sempadan Gaza dan bersedia melakukan pencerobohan di bumi suci umat Islam, Kristian dan Yahudi itu manakala bedilan jet pejuang Israel terus mengganas melakukan pembunuhan ke atas penduduk tidak berdosa Palestin.

Sikap suka bermuka-muka, kejam dan tidak berperikemanusiaan itu membuktikan Israel sentiasa dahagakan darah rakyat Palestin sejak dahulu lagi, dan serangan kali ini sudah diduga Palestin. Tambahan pula segala tindak tanduk negara zionis itu mendapat sokongan padu Amerika Syarikat (AS), Britain dan negara besar lain yang sememangnya bersedia membantu Israel jika diapa-apakan oleh negara lain.

Pemimpin Israel mendakwa serangan ke atas Palestin ketika ini adalah tindakan balas kepada bedilan roket hampir setiap hari oleh pejuang Palestin di Gaza yang diperhebatkan selepas gencatan senjata selama enam bulan tamat. Sedangkan pada hakikatnya Hamas dan pejuang Palestin lain yang dianggap sebagai pengganas oleh AS, sekutu kuat Israel dan beberapa negara Barat lain, tidak melakukan sebarang serangan bunuh diri terhadap Israel sejak Januari 2005 lagi.

Sebelum ini Gerakan Intifada atau penentangan besar-besaran pertama ke atas Israel tercetus pada 1988, diikuti dengan perjanjian damai Oslo 1993, yang memberi sedikit autonomi kepada rakyat Palestin menerusi pembentukan Pihak Berkuasa Palestin. Selanjutnya, Intifada kedua pula tercetus pada 2000 dan berakhir kira-kira tiga tahun kemudian. Namun, kekejaman puak zionis terhadap masyarakat Islam Palestin tidak pernah reda sehingga ke hari ini bahkan semakin membarah.

Ekoran itu, menurut Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, di samping diserang bertubi-tubi oleh pihak Israel ke atas Palestin ketika ini di mana sejak sebelum itu lagi, warga Palestin turut berdepan dengan ketiadaan transaksi masuk atau keluar bekalan makanan, kecuali yang sangat asas dan itu pun sangat minimum dan sebahagian besarnya adalah melalui ehsan agensi PBB sahaja.

Sebagai gambaran, suri rumah di Semenanjung Gaza hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan mereka sebelum ini. Contohnya, kalau sebelum ini suri rumah membelanjakan RM100 seminggu, kini mereka hanya belanja RM10 seminggu. Beginilah buruknya rupa hukuman dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang terus menerus diperlakukan seperti pelarian di negara tumpah darah mereka sendiri.

Demikian juga, Israel turut menyekat bekalan klorin yang mana sebelum ini Palestin sudah pun berhadapan dengan krisis air yang teruk. Klorin penting kerana digunakan untuk merawat air minuman warga Palestin kerana ia membunuh bakteria bagi membekalkan air bersih. Tambahan pula, apabila Israel sebelum ini menyekat bekalan minyak, telaga-telaga air di Palestin sudah tidak boleh digunakan lagi kerana telaga ini menggunakan pam yang memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi.

Dilaporkan juga kira-kira satu pertiga (1/3) daripada pam tidak berfungsi yang bermakna 1/3 daripada penduduk Palestin tidak mendapat bekalan air bersih dan dari segi kesihatan pula, setakat Januari 2008 kira-kira 75 pesakit mati akibat peralatan hospital tidak berfungsi. Ini adalah kerana alat-alat seperti bantuan pernafasan, mesin hemodialisis dan inkubator semuanya tidak berfungsi kerana ketiadaan bekalan elektrik yang sengaja dipotong oleh Israel.

Berikutan itu, ramai pemimpin negara Islam dan tokoh agama menyeru agar penduduk Muslim di seluruh dunia supaya mempertahankan Palestin daripada serangan Israel di Gaza. Ini termasuklah semua pejuang di Palestin dan semua orang Islam yang beriman di seluruh dunia perlu mempertahankan bumi suci ini kerana terdapat sekian ramai wanita yang tidak berupaya mempertahankan diri mereka, kanak-kanak dan rakyat Gaza dengan apa cara sekali pun.

"Sesiapa yang terkorban dalam perjuangan ini adalah dianggap sebagai mati syahid," televisyen kerajaan Iran memetik fatwa tokoh pemimpin agama mereka sebagai berkata.

Sehubungan itu, sebagai umat Islam, kita wajib bersatu padu mempertahankan bumi Palestin daripada terus dilanyak dan diperkotak-katikkan oleh kuasa besar dan Israel kerana bumi Palestin adalah bumi para anbiyak. Bumi anbiyak ini jugalah tempat israknya Rasulullah s.a.w. dan bermulanya mikraj baginda seperti yang digambarkan di dalam al-Quran. Tambahan pula, bumi Palestin ini juga merupakan tempat nabi-nabi dan rasul-rasul berhimpun di malam Israk dan Mikraj tersebut.

Peristiwa agung ini dirakamkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya." (Maksud surah al-Isra': ayat 1)

Mungkin juga ada yang tertanya-tanya mengapa kita sebagai umat Islam perlu bangkit mempertahankan Palestin pada bila-bila masa dan kenapa pula negara Islam lain begitu sensitif dengan isu yang menimpa Palestin serta mengapa perlu kita beriya-iya menghentikan serangan dan penindasan ini. Sedangkan umat Islam lain juga diserang dan berhadapan dengan peperangan serta berada dalam keadaan serba kekurangan seperti di Somalia, Sudan dan sebagainya.

Namun keadaan di sana sangat berbeza. Ini adalah kerana bumi Palestin dianggap suci dan diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi qiblat pertama orang Islam sebelum Kaabah di Mekah dan merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Baitullah dan Masjid Nabawi di Madinah di mana ganjaran kepada mereka yang bersolat di masjid ini akan mendapat 500 kali ganda pahala.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: "Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat". (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Oleh yang demikian, seperti mana kita wajib mempertahankan Baitullah dan Masjid Nabawi jika diserang atau diapa-apakan, maka demikianlah juga bumi Palestin yang terletaknya Baitul Maqdis yang menjadi rebutan tiga agama samawi. Palestin juga adalah lambang survival umat Islam yang menuntut tanggungjawab akidah dan kemanusiaan umat Islam di seluruh dunia. Untuk itu, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja tanpa sebarang tindakan.

Sebagai simbolik persaudaraan seislam dan semangat hijrah yang masih panas, kita perlu bangkit membela dan melindungi bumi Palestin daripada sebarang pencerobohan, tekanan serta penganiayaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Peperangan dan sebarang bentuk sekatan dan tekanan perlu dihentikan segera serta hak warga Palestin mesti diserahkan kembali atas prinsip demokrasi dan toleransi. PBB mesti mengadakan gencatan senjata segera dan menamatkan semua operasi ketenteraan bagi menyenangkan kerja-kerja dan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada penduduk.

Antara lain yang boleh dilakukan jika Israel masih berdegil ialah dengan memboikot segala produk yang mempunyai jaringan serta pertalian ekonomi dengan Israel dan sekutu rapatnya sebagai tanda protes dan benci segala tindakan Israel selama ini. Umat Islam juga wajar mencari jalan dan mekanisme menyalur dana dalam bentuk kewangan, pendidikan, bantuan perubatan, psikologi, kaunseling dan sebagainya kepada penduduk Palestin yang kini semakin melarat.

Negara Islam juga digesa memutuskan sebarang bentuk hubungan diplomatik atau mengadakan hubungan dua hala serta kerjasama politik dan ekonomi dengan Israel agar mereka menghentikan segera keganasan yang sedang berleluasa. Masyarakat dunia tanpa mengira perbezaan ideologi dan bangsa juga perlu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini. Penghantaran segera pasukan petugas kemanusiaan PBB perlu diusahakan segera bagi meringankan kesengsaraan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Tindakan Israel menyerang Genting Gaza hanya akan meningkatkan lagi kebencian umat Islam khususnya penduduk Palestin terhadap rejim tersebut. Pertubuhan dunia seperti PBB dan negara OIC perlu mengambil tindakan segera menyalurkan bantuan dalam apa juga bentuk untuk memastikan rakyat Palestin terus mendapat pembelaan yang sewajarnya. Bantuan dalam bentuk kewangan, perubatan dan makanan yang disalurkan melalui kerjasama dengan NGO, diharap ia dapat mengurangkan penderitaan penduduk Palestin.

Ini adalah juga sebagai tanda manifestasi amanah serta tanggungjawab akidah dan kemanusiaan kita kepada Palestin dan warganya. Sabda Rasulullah s.a.w: "Peumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih-sayang, rasa belas dan ikatan sesama mereka adalah umpama satu jasad, sekiranya satu anggota jasad merasai kesakitan maka yang seluruh jasad juga akan turut merasai sakit." (Hadis Riwayat Muslim)

Kita juga tidak boleh sama sekali berputus asa berjuang untuk Palestin. Umat Islam seluruhnya mesti kuat dan tinggi martabatnya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan jangan kamu berduka cita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran: 139)

RUJUKAN

Jangan putus asa berjuang untuk Palestin, Utusan Malaysia, 4 Mac 2008
'Muslim wajib pertahan wilayah Gaza', Berita Harian, 28 Disember 2008
Israel terus mengganas, korban meningkat 374 orang, Utusan Malaysia, 31 Disember 2008
Tindakan Israel tingkatkan kebencian, Utusan Malaysia, 1 Januari 2009
Yayasan Perang desak Israel henti serang Gaza, Utusan Malaysia, 1 Januari 2009
Israel bom Gaza pada tahun baru, Berita Harian, 2 Januari 2009
Jet tempur Israel bedil masjid di Gaza, Berita Harian, 3 Januari 2009

Sunday, December 28, 2008

Pantau Blog Sampah dan Bermasalah


Di kala umat Islam di ambang sambutan Maal Hijrah 1430, negara digemparkan dengan sebuah laman blog yang menghina Islam dan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w secara membabi buta, tidak bertanggungjawab serta sangat tidak beradab. Blog berkenaan dikatakan milik seorang wanita Melayu Islam tempatan yang mana kemudiaannya beliau tampil menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau terhadap segala isi kandungan blog sampah dan bermasalah berkenaan.

Aplikasi blog secara amnya semakin popular dan menjadi trend terkini komunikasi serta interaktif di alam siber masa kini. Jika sebelum ini emel menjadi penghubung paling efisien, interaktif dan kewujudan blog telah menjadikan dunia komunikasi maya semakin kompleks, moden dan menarik. Namun begitu, laman blog umpama madu dan racun yang mengandungi racun dan penawar kepada pembacanya serta membuka dimensi baru kepada teknologi maklumat global.

Baru-baru ini heboh diperkatakan sebuah laman blog yang cuba bermain dengan isu sensitiviti dan menyemarak api kemarahan umat Islam yang secara lantang melemparkan pelbagai tuduhan palsu dan menghina kehidupan Rasulullah s.a.w atas premis keterbukaan bersuara. Individu atau mana-mana kumpulan yang terbabit dalam penyiaran blog sampah dan bermasalah tersebut mungkin mempunyai agenda tersendiri atau cuba menguji reaksi umat Islam di sini dengan menimbulkan isu berkenaan.

Tambahan pula segala penghinaan serta tuduhan dalam laman blog tersebut turut disertakan dengan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan mempersenda serta lukisan-lukisan memburuk-burukkan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w termasuklah objek yang pernah disiarkan oleh beberapa akhbar Eropah yang dikecam hebat oleh umat Islam di seluruh dunia sebelum ini.

Penyiaran laman blog tersebut jelas berniat jahat yang sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam dan kewujudan laman blog sedemikian perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara. Kehadiran blog sedemikian juga membuktikan wujudnya pihak yang cuba menggunakan isu agama sebagai strategi menimbulkan rasa syak wasangka rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita.

Ini sangat bahaya dan secara langsung menunjukkan ada kecenderungan segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman blog sebagai medium untuk mencetuskan huru-hara di dalam negara dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad dengan menyamar nama dan peribadi wanita Islam tempatan dan menjadikan laman blognya untuk menghina Nabi teragung umat Islam.

Dari segi perundangan, individu yang menyamar menggunakan identiti orang lain untuk menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Penguatkuasaan itu sama seperti pengendali mana-mana laman web atau blog yang menyebar kandungan bersifat jelik, mengancam dan mengugut di mana mereka juga boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Sehubungan itu, individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyiaran laman blog itu amat berbahaya kepada negara dan perlu dikenakan tindakan paling tegas termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 di samping peruntukan undang-undang sedia ada lain supaya menjadi pengajaran kepada anggota masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mempermainkan perkara-perkara sensitif terhadap mana-mana kaum atau agama.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar mengambil tindakan segera terhadap laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w itu memandangkan perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menimbulkan kekacauan dan mengundang masalah kepada negara.

Pihak berkuasa lain terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu aktif memantau, mengawal serta tegas kuatkuasakan peraturan dan bertindak segera menyekat kewujudan blog-blog sampah dan bermasalah yang menghina agama, cubaan memesongkan akidah umat Islam, mengancam perpaduan atau berunsur hasutan serta mengandungi isu perkauman yang keterlaluan di negara ini.

Institusi dan agensi agama di negara kita juga tidak boleh berpeluk tubuh menangani masalah serius ini dan umat Islam seluruhnya juga hendaklah lebih peka dan sensitif memastikan kejadian serupa tidak lagi berulang serta sentiasa memantau blog-blog sedemikian agar tidak terus bermaharajalela dan berleluasa di alam maya. Semua pihak juga bertanggungjawab membela dan mempertahankan Islam dan Nabi Muhammad s.a.w daripada dihina dan dipersenda sedemikian rupa oleh mana-mana pihak.

RUJUKAN :

Ambil tindakan segera terhadap penulis blog, Mingguan Malaysia, 28 Disember 2008
Polis kumpul maklumat blog hina nabi, Mingguan Malaysia, 28 Disember 2008
Sekat blog ancam perpaduan, Mingguan Malaysia, 28 Disember 2008
Mufti: Murtad jika hina Rasulullah, Mingguan Malaysia, 28 Disember 2008

Thursday, December 25, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430



Hayati ayat al- Quran dalam surah al-Baqarah ayat 218: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Monday, December 22, 2008

JANGAN JADI SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT


Setiap tahun ribuan pelajar dihantar keluar negara untuk menyambung pelajaran di sana seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan sebagainya. Namun begitu selepas tamat pengajian tidak semua pelajar tajaan pulang berkhidmat di dalam negara kerana terdapat segelintir lulusan luar negara mengambil tindakan tinggal lebih lama dan bekerja di sana atau terus mendapatkan kerakyatan negara berkenaan.

Pelbagai alasan diberikan oleh mereka seperti untuk bekerja sementara dan mengumpul wang sebanyak mungkin bagi keperluan selepas tamat pengajian serta untuk membayar hutang pinjaman pelajaran yang besar. Di samping itu, dapat membantu keluarga di tanahair kerana gaji yang diterima sangat lumayan serta di sana juga, mereka dapat menyediakan pendidikan dan penbelajaran terbaik kepada anak-anak.

Mereka juga berpendapat dengan bekerja di sana dapat mencari pengalaman, kemahiran dan pendedahan baru serta lebih canggih dan sofistikated yang tidak terdapat di Malaysia dan sebagainya. Ini adalah nilai tambah, kelebihan dan sesuatu yang sangat bermanfaat sekembali mereka ke tanahair nanti dan ianya boleh diaplikasikan di dalam sektor perkhidmatan dalam negara.

Walaupun terikat dengan perjanjian pinjaman dan peraturan yang ditetapkan di samping rayuan pihak kerajaan meminta mereka pulang, masih ada sebahagian kecil di kalangan lulusan luar negara ini berdegil, ingkar, cuai dan gagal pulang ke tanahair. Bermacam-macam helah dan sebab diberikan sebagai menjustifikasikan tindakan mereka tinggal dan bekerja di luar negara tanpa menghiraukan harapan dan keperluan negara sendiri.

Mereka umpama pepatah Melayu seperti kacang lupakan kulit yang lebih mementingkan diri sendiri daripada misi negara dan perlakuan ini sangat tidak patriotik. Modal insan ini sangat berharga dan negara kerugian besar sama ada dari segi kos, masa dan potensi tenaga kerja jika pelajar luar negara tidak balik atau berminat berkhidmat di tanah air sendiri. Keadaan ini sangat mengecewakan dan langkah memanggil mereka pulang perlu dipergiatkan lagi. Sesungguhnya hujan emas di negeri orang, hujan batu di negara sendiri.

Biarpun begitu, ekoran masalah kegawatan ekonomi dunia yang melanda di kebanyakan negara, ramai di kalangan golongan cendekiawan, ahli akademik dan pakar sains di luar negara yang bekerja di sana yang berkemungkinan diberhentikan kerja atau berminat untuk pulang ke negara wajar dipanggil balik untuk berkhidmat di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.

Dengan pengalaman, kepakaran dan pendedahan yang diterima selama ini di sana, mereka juga boleh ditempatkan di mana-mana institusi dan agensi yang berkaitan. Kerajaan dalam perkara ini boleh menawarkan kemudahan dan imbuhan menarik untuk menarik perhatian dan minat serta bagi membolehkan mereka sedia berkhidmat dan mencurah bakti terutamanya dalam bidang-bidang kritikal yang negara kekurangan pakar.

Namun begitu, menurut Presiden Alumni Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Ahmad, pelajar dan doktor perubatan umpamanya yang mendapat biasiswa atau tajaan daripada kerajaan harus pulang ke tanah air untuk berkhidmat di sini tanpa perlu meminta sebarang keistimewaan mahupun gaji yang lebih tinggi.

Kepulangan mereka ke tanah air adalah tugas dan janji yang perlu ditunaikan selepas menerima bantuan kerajaan berbanding orang lain sepanjang mengikuti tempoh pengajian di luar negara. Pakar atau sesiapa sahaja yang berkhidmat di luar negara tidak perlu dipujuk untuk pulang sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab dan amanah mereka sendiri untuk berbakti kepada negara.

Dalam hal ini, gaji bukan alasan utama untuk pulang kerana mereka perlu faham apabila mendapat tajaan daripada kerajaan seharusnya mereka balik untuk berkhidmat dengan kerajaan bukan meminta gaji yang lebih dan pelbagai keistimewaan lain. Mereka juga tidak boleh samakan gaji di luar negara dengan mengambil kira nilai tukaran wang sebagai alasan kerana taraf hidup di sini dan luar negara berbeza sama sekali.

Negara juga sebenarnya tidak mengalami kekurangan pakar, sebaliknya ramai golongan itu yang tertumpu di kawasan bandar dan berhijrah ke sektor swasta. Ini adalah kerana sektor berkenaan menyediakan pakej menarik seperti gaji yang lumayan, peluang kenaikan pangkat yang cepat, imbuhan dan ganjaran yang besar serta banyak lagi tawaran yang menjamin masa hadapan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

Rujukan
Ahli akademik luar negara dipanggil balik – Khaled, Utusan Malaysia, 21 Disember 2008
Doktor tajaan kerajaan harus pulang berkhidmat, Utusan Malaysia, 22 Disember 2008

Saturday, December 20, 2008

SARINGAN UJIAN HIV DEMI KEBAHAGIAAN PASANGAN


Alam perkahwinan adalah episod kehidupan yang unik, seronok dan membahagiakan setiap pasangan suami dan isteri. Keindahan dan kebahagiaan hidup berpasangan yang diikat dengan tali perkahwinan ini bukanlah satu kebetulan tetapi memerlukan perancangan dan persediaan yang berterusan, bermula sejak awal proses perkahwinan lagi.

Dalam hal ini, agama menganjurkan setiap individu memilih pasangan yang terbaik dan ideal untuk menjadi teman sehidup dan semati agar tidak menyesal di kemudian hari. Memilih teman hidup bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana impian dan wawasan hidup berumahtangga yang ingin dibina adalah untuk berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Perkahwinan sebenarnya adalah tuntutan agama dan adalah perbuatan terpuji, maka pasangan yang ingin dijadikan teman hidup mestilah yang paling unggul baik dari segi lahiriah, rohaniah dan jasmaniah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…sesungguhnya generasi yang paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi yang kuat lagi dapat dipercayai” (Surah al-Qashash : 26)

Bagi menyediakan garis panduan, persediaan, tunjuk ajar dan didikan di alam perkahwinan, pihak kerajaan agensi agama di seluruh negara kita telah menyediakan dan mewajibkan setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mengikuti kursus intensif pra perkahwinan di tempat masing-masing sebagai persiapan awal sebelum mereka dibenarkan bernikah.

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua bakal suami dan isteri bersedia melangkah ke alam rumahtangga yang akan dibina nanti dengan bekalan ilmu perkahwinan, memahami hak dan tanggungjawab suami isteri, mengaplikasikan petua kebahagiaan rumahtangga, melaksanakan segala tuntutan dan menurut batasan agama yang perlu dipatuhi dan sebagainya.

Sehubungan itu, untuk memastikan setiap pasangan di negara ini selamat, sihat serta bebas penyakit berisiko tinggi, maka mulai tahun hadapan semua bakal pengantin yang beragama Islam akan diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV). Peraturan dan arahan ini akan dikuatkuasakan di seluruh negara di mana saringan itu adalah sebahagian daripada syarat utama kursus pra perkahwinan.

Langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV terutamanya kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan mendadak dari masa ke semasa sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007 dan sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada pada 18.57 peratus. Keadaan ini sangat menakutkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Inisiatif ujian ini bukanlah bertujuan untuk menyekat hak, kepentingan dan kehendak setiap pasangan berkahwin. Langkah ini juga bukanlah merupakan salah satu bentuk diskriminasi atau penganiayaan kepada pasangan yang ingin berumahtangga di negara kita. Peraturan baru ini membuktikan komitmen semua pihak di negara kita berusaha mencegah virus berbahaya ini daripada teruk merebak kepada insan yang tidak berdosa.

Kajian yang dijalankan mendapati hanya 19 peratus rakyat Malaysia menjalani ujian dengan aktif, manakala 14 peratus lagi hanya berbuat demikian selepas mengetahui pasangan mereka positif HIV. Secara positifnya, melalui ujian saringan ini akan memudahkan setiap pasangan mengetahui tahap kesihatan dan status HIV pasangan masing-masing lebih awal lagi.

Biarpun begitu, selepas keputusan ujian dikeluarkan maka terpulanglah kepada pasangan tersebut sama ada ingin meneruskan hubungan perkahwinan atau sebaliknya, melihat kepada implikasi dan kesannya pada masa akan datang. Seseorang yang dijangkiti HIV hanya akan menghidap AIDS apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) telah teruk dirosakkan virus tersebut, sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).

Oleh itu, ujian ini amat penting kepada masa hadapan bakal pengantin dan keputusan yang diperolehi kelak tidak boleh dirahsiakan jika salah seorang menjadi pengidap virus berbahaya itu. Saringan ujian ini tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana perkara ini amat mustahak bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk jangkitan HIV kepada pasangan dan anak yang bakal dilahirkan nanti.

Kita juga bimbang generasi modal insan yang akan lahir nanti adalah di kalangan mereka yang lemah dan mundur jika dijangkiti HIV positif dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan segera. Dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka generasi yang lemah… “ (Surah an-Nisa : 9)

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat 8,000 hingga 10,000 kanak-kanak yatim AIDS di Malaysia pada 2006 dan jumlah ini mungkin meningkat sehingga hari ini. Sementara itu di peringkat global, sebanyak 0.63 juta kanak-kanak baru dikesan mendapat HIV, manakala 2.1 juta kanak-kanak hidup dengan HIV dan 15 juta pula adalah anak-anak yatim.

Pepatah Arab ada mengatakan bahawa "Alwiqayah khairum minal ilaj", atau "mencegah lebih baik dari mengubat", manakala dalam pepatah Melayu ada menasihatkan agar “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” adalah sangat tepat dan relevan kepada isu HIV ini daripada terus merebak dan menjangkiti orang lain di negara kita melalui perkahwinan. Daripada segi kumulatif, bilangan jangkitan HIV setakat ini ialah sebanyak 83,527 orang.

Sebelum ini, hanya beberapa negeri sahaja yang mewajibkan bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu menjalani saringan ujian HIV dan antara negeri yang telah mewajibkan saringan HIV ialah Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan. Oleh yang demikian, selepas ini semua pasangan yang ingin berkahwin perlulah melalui ujian yang sangat penting ini sebelum boleh bergelar suami dan isteri.

Rujukan
Saringan HIV untuk semua bakal pengantin Islam–Najib, Utusan Malaysia, 19 Disember 2008
AIDS bukan lagi hukuman maut, Utusan Malaysia, 9 Disember 2008
Kanak-kanak HIV cenderung jadi golongan terbiar, Utusan Malaysia, 2 Disember 2008
Cabaran menjaga anak HIV/AIDS, Utusan Malaysia, 2 Disember 2008
Mampu kekal sihat dan cergas, Mingguan Malaysia, 30 November 2008

Monday, December 15, 2008

SAUDARA MARA PENERIMA RASUAH AKAN DIDAKWA


Islam melarang dan mengutuk pemberi dan penerima serta siapa sahaja yang terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral dan sihat berkenaan. Ini adalah kerana amalan rasuah dalam apa jua keadaan adalah jenayah dan kian menjadi barah dalam masyarakat yang perlu diubati segera. Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah al-Baqarah: 188).

Amalan rasuah juga umpama serangan anai-anai yang boleh meruntuhkan sebuah bangunan dan begitulah juga rasuah boleh menjahanamkan sebuah negara jika usaha menanganinya tidak diperkemaskan. Nabi Muhammad s.a.w. secara tegas menyatakan: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka" (Hadis Riwayat At-Tirmizi). Manakala dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: "Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya" (Hadis Riwayat Ahmad).

Oleh yang demikian, melihat kepada bahaya rasuah dan akibat perbuatan tersebut maka satu undang-undang baru telah digubal bagi membolehkan saudara mara yang terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah selepas ini akan menerima tindakan dan nasib yang sama dengan orang yang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran ‘saudara’ dalam Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hukaman ini adalah selaras dengan tuntutan al-Quran dan Hadis yang menjadi sandaran utama perundangan Islam.

Berdasarkan undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen itu, tafsiran bagi ‘saudara’ telah diperluaskan merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang; adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu; bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997. Ini adalah bagi memastikan sesiapa sahaja yang terlibat dan bersubahat dengan penerima rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ini adalah kerana penerima rasuah kini semakin bijak, cermat serta mahir dengan pelbagai tipu helah untuk menerima pemberian rasuah. Terdapat di kalangan pengamal rasuah yang sanggup mengunakan akaun bank saudara mara terdekat umpamanya untuk menerima dan mendepositkan wang rasuah yang diberi oleh pemberi rasuah. Mereka tidak lagi menggunakan akaun peribadi atau menerima bayaran tunai jika melibatkan pemberian wang bagi mengelak perbuatan mereka dapat dikesan oleh pihak bertanggungjawab.

Manakala bagi penerima rasuah yang menerima selain wang seperti pemberian tanah, kenderaan dan lain-lain misalnya, mereka akan segera menukar hakmilik kepada saudara mara terdekat bagi mengelabukan mata pihak berkuasa. Mereka seolah-olah lupa serta alpa dengan hukum tuhan dan sistem perundangan yang ada sehingga tergamak melakukan rasuah. Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya: “ Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)...” ( Surah al-Ma’idah: 42).

Maka saudara mara penerima rasuah perlulah lebih berhati-hati kerana mereka juga boleh didakwa dan dibawa ke mahkamah untuk diadili didapati terlibat dengan rasuah. Penalti bagi kesalahan rasuah di bawah fasal SPRM ialah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Ini belum lagi hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak. Untuk itu, umat Islam perlu membebaskan diri dan segala aktiviti harian daripada budaya rasuah merasuah.

Sehubungan itu juga , saudara mara terdekat penerima rasuah sepatutnya perlu menasihati orang tersayang agar tidak terbabit dengan amalan rasuah dan segera menjauhinya. Adalah tidak wajar terjerumus dan bersubahat dengan penerima rasuah hanya kerana untuk mendapat sedikit habuan yang tidak halal di sisi agama itu. Sebagaimana penegasan Allah dalam Al-Quran: “Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik “. (Surah al-Fussilat: 34).

Mereka sepatutnya bertindak melarang, menghalang atau melaporkan aktiviti rasuah kepada pihak berkuasa jika berlaku kerana mereka boleh melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penerima rasuah di kalangan saudara mara terdekat hidup senang lenang tanpa bekerja kuat. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka. (Surah al-Tahrim: 6). Oleh itu, saudara mara penerima rasuah perlu mengelak daripada bersubahat dengan mereka atau menasihati mereka balik ke pangkal jalan agar tidak dihadap ke muka pengadilan kelak.

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa tidak semua penerima rasuah hanya terdiri daripada kalangan mereka yang bergaji kecil serta berpangkat rendah sahaja, malahan turut melibatkan mereka yang terlibat di dalam dunia politik, ahli perniagaan atau siapa sahaja dan sebagainya bahkan jumlah rasuahnya lebih lumayan serta modus operandinya lebih kompleks dan sukar dihidu. Walaupun pelbagai taktik dan modus operandi dikatakan biasa berlaku untuk mengelak daripada diambil tindakan, pihak berkuasa sebenarnya sudah maklum dan bersedia di mana pada bila-bila masa sahaja boleh bertindak bagi memastikan misi sifar rasuah berjaya direalisasikan di negara kita. .

Rujukan

Mohd. Sukki Othman, 2007. Hidup berkat tanpa rasuah. Utusan Malaysia, 19 November
Mentua, menantu boleh didakwa, Berita Harian, 16 Disember 2008
Saudara turut didakwa, Utusan Malaysia, 16 Disember 2008
Basmi rasuah dengan merasuah?, Utusan Malaysia, 25 Mei 2008

SANG MURABBI, EKSPERIMEN DAKWAH YANG BERJAYA


Filem sebenarnya cukup memberi kesan kepada penonton dan melalui medium ini, sesuatu menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada sasaran melalui filem yang dihasilkan. Bagi mencapai hasrat tersebut, filem perlu dijadikan wadah dakwah yang berkesan dan dalam konteks ini media dan seni Islam juga mempunyai kedudukan dan fungsi yang tersendiri dan dianggap cukup penting dalam perkembangan dunia perfileman negara.

Ini adalah kerana filem dianggap sebagai salah satu teknologi penyalur ideologi yang cukup berpengaruh seperti yang telah dibuktikan oleh Barat sejak sekian lama yang menjadikan filem sebagai imperialis budayanya keseluruh dunia terutama negara dunia ketiga yang miskin dan sebahagian besarnya adalah negara Islam. Di sini, menunjukkan bahawa filem boleh diangkat menjadi agen atau mekanisme dakwah yang cukup efektif jika dihasilkan dengan jayanya.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penontonnya. Filem yang diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar seorang tokoh pendakwah dan ahli parlimen terkenal Indonesia iaitu K.H Rahmat Abdullah. Beliau merupakan seorang reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam yang sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat sepanjang hayat beliau.

Pelbagai eksperimen dakwah telah dilakukan beliau bagi memastikan misi dan visi dakwahnya berjaya di samping terpaksa melalui pelbagai rintangan dan cabaran merealisasikan cita-cita murni dakwahnya. Beliau sanggup menjejaki golongan yang rendah akhlak seperti pemabuk, penjudi dan lain-lain bagi mengajak mereka kembali kepada Islam yang sebenar. Ini wajar dicontohi oleh semua tokoh, badan agama dan NGO gerakan Islam di Malaysia bagi memastikan wawasan dakwah Islam sampai kepada sasaran.

Dalam buku Apa Erti Saya Menganut Islam karya Sheikh Fathi Yakan menyatakan adalah tidak memadai dengan menjadi muslim seorang diri sahaja sedangkan orang-orang di sekeliling tidak dihiraukan, kerana di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia (jika ia telah benar-benar beriman) ialah ia merasai tanggungjawabnya terhadap orang lain dengan mengajak dan menasihati mereka dengan Islam serta ghairah mengambil berat ke atas mereka sebagai realisasi dari amaran Rasulullah:

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

Yang bermaksud: "Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka". Bertitik tolak dari sinilah menyusulnya satu tanggungjawab ke atas semua, iaitu tanggungjawab menegakkan masyarakat Islam dan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Metod dakwah beliau sebagai sang murabbi atau pendidik berjaya menarik ramai cerdik pandai terutamanya pelajar universiti menyertai misi dakwah beliau yang ketika itu dipandang serong dengan pelbagai persepsi dan prasangka buruk. Untuk itu, beliau bersama-sama rakan-rakan lain menjadi pengerak dan perintis utama memerangi buta huruf, membasmi kemiskinan, menegak keadilan sejagat, menjadikan seni budaya seperti teater sebagai bahan dakwah dan sebagainya melalui gerakan pembaharuan dan reformasi ilmu, pemikiran serta anjakan paradigma umat Islam.

Dalam hubungan ini Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah, "Ke Mana Kita Menyeru Manusia" mengatakan: "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan; adakah umat Islam memahami pengertian ini (dari Kitab Allah) yang menyebabkan jiwa mereka akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan. Mereka akan terhindar dari godaan syahwat dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan kalimah Allah, berjihad pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi uncang perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong".

Manakala dalam sebuah lagi filem dakwah hebat iaitu Ayat-Ayat Cinta muncul sebagai sebuah medium dakwah yang menarik, kreatif dan artistik. Sentuhan jiwa dan roh Islamik filem ini begitu berkesan dan mantap dengan petikan ayat suci al-Quran serta Hadis di samping alunan muzik serta nasyid yang berkesan mengiringi sesuatu plot serta jalan cerita, mencipta mood dan kepuasan menonton filem genre cinta-dakwah ini. Filem ini cukup berjaya di Indonesia dan membuka lembaran baru kepada filem dakwah di sana.

Oleh demikian, melihat kepada kekuatan dan kejayaan kebanyakan filem dan drama dakwah dalam dan luar negara, membolehkan filem wajar dijadikan wahana utama menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Ini dapat dilaksanakan melalui teras pendidikan di mana melalui korpus pemikiran yang dibina dalam jalan cerita filem misalnya mampu melahirkan idea dan fikiran besar, membentuk kritikan serta nasihat bagi memajukan masyarakat Islam bangkit menuju kejayaan dalam segala lapangan dan seterusnya menjadikan filem sebagai alat membina tamadun umat Islam yang unggul.

Filem juga dalam hal ini boleh dibentuk menjadi landasan terbaik menyemarakkan kegiatan intelektual Islam, merapatkan jurang ilmu dan pengetahuan, membiakkan elemen kebaikan, budaya antara kaum, kebajikan manusia dan mentauhidkan Allah. Di samping itu, filem dapat bertindak sebagai medium berkesan, informatif dan mampu menarik perhatian serta minat masyarakat untuk memahami Islam secara syumul dan tidak berlandaskan bidaah atau karut marut dalam agama.

Ini mungkin menjadi tugas dan menuntut kreativiti serta kesungguhan semua tokoh, agensi agama dan NGO gerakan Islam di negara kita merealisasikannya agar lebih ramai sang murabbi dan murabbiyah lahir di persada dakwah. Firman Allah:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'am 6: Ayat 162)

Rujukan

Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam

Filem daripada fenomena sebuah novel, Utusan Malaysia, 24 Jun 2008
Penyelesaian Islami dalam filem-filem tempatan?, Utusan Malaysia, 22 November 2005

Laman web: http://www.sangmurabbi.com/sinopsis/

Saturday, December 13, 2008

PINDA AUKU ELAK MAHASISWA LESU


Mahasiswa semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Berikutan itu, pindaan terhadap peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang kini berada di peringkat akhir adalah momentum baru kepada aktivisme mahasiswa di negara kita. Pindaan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir sejuta penuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pindaan tersebut pada dasarnya akan membenarkan pelajar untuk bersekutu atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan sama ada dalam negara atau luar negara kecuali dengan parti politik atau pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan pertubuhan yang tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar di negara kita.

Biarpun begitu, kelompok mahasiswa secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana badan serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.

Pembaharuan dan perubahan ini dilakukan ekoran perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi termasuk di peringkat antarabangsa dan juga kematangan pelajar dalam menangani erti kebebasan dan kepelbagaian selain komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau setanding dengan universiti ternama dunia lain.

Ini adalah hadiah dan kejayaan yang cukup bermakna hasil perjuangan yang panjang barisan kepimpinan mahasiswa terdahulu dan hari ini yang menuntut hak dan kepentingan mereka dikembalikan. Pada masa ini terdapat 500 IPTS dan 20 institusi IPTA yang tertakluk di bawah AUKU 1971. Walaupun pindaan berkenaan tidak menyeluruh dan memuaskan semua pihak, namun ini adalah permulaan yang cukup baik kepada perjuangan gerakan pelajar.

Sehubungan itu, diharapkan pindaan terhadap AUKU kali ini akan menjadi titik tolak dan pemangkin kepada gerakan mahasiswa di seluruh negara serta menyemarakkan lagi peranan dan potensi mereka sepanjang bergelar mahasiswa sebelum terjun ke dalam kancah dan realiti masyarakat sebenar.

Ini adalah kerana universiti adalah medan terbaik kepada mahasiswa untuk membina kaliber dan mengasah bakat kepimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam segala dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus.

Untuk itu, mahasiswa perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas kepada pindaan AUKU dan meletakkan semula fungsi mereka sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku di mana mereka perlu lebih aktif dan agresif menjuarainya.

Golongan berwibawa ini tidak boleh dibiarkan terlalu menjadi hamba buku dan kaku dalam segala hal, tetapi mesti melalui proses transformasi yang jitu ke arah mempersiapkan mereka sebagai barisan mahasiswa serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan dengan segala cabaran kehidupan.

Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah barisan kepimpinan dan mahasiswa di seluruh negara bersedia dengan pindaan AUKU ini dan apakah perancangan serta tindakan mereka selepas ini. Atau mungkin mereka ketika ini masih lagi asyik dilamun asmara dan sibuk berpacaran ke sana ke mari atau sedang bersuka ria dengan limpahan wang pinjaman, biasiswa dan sebagainya. Tepuk dada, tanya mahasiswa!

Rujukan

Pindaan AUKU beri lebih kuasa autonomi di universiti, Utusan Malaysia, 11 Disember 2008
Dewan lulus pindaan AUKU, Berita Harian, 12 Disember 2008

Thursday, December 04, 2008

DOA OTAK & PERISAI UMAT


Kita mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala 'ibadah. Untuk itu kita mestilah memilih doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya benar firman Allah bila Ia mengatakan:

وقال ربكم أدعوني أستجب لكم

"Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu".

Doa ketika hendak tidur.

بسمك رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَاغْفِرْ لَهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

"Dengan nama-Mu wahai Tuhanku, aku baringkan pinggangku dan kerana Engkau aku mengangkatnya; jika Engkau tahan jiwaku (Kau ambil jiwaku) ampunilah diriku, jika Engkau lepaskan ruhnya, maka peliharalah diriku sebagaimana Kau pelihara hamba-hambaMu yang salih. Hadis riwayat Jama'ah).

Doa ketika bangun dari tidur.

قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami mati. Dan kepadaNya kami kembali." (Hadis riwayat Bukhari)

Doa ketika memakai pakaian dan menanggalnya.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَا هو لَهُ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا هو لَهُ

"Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan yang ada padanya. Aku berlindung padaMu dari kejelikan pakaian ini dan kejelikan apa yang ada padanya".
(Hadis Riwayat Ibnus Sunni)

Doa ketika keluar dari rumah dan memasukinya.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya; tidak ada daya, tidak ada kekuatan kecuali kerana Allah". ( Sunan Tirmizi)

Doa ketika berjalan ke Masjid.

ِ اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَاجْعَلْ لِي نُورًا

"Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dalam pandanganku cahaya, pada pendengaranku cahaya, sebelah tangan kananku cahaya dan pada sebelah tangan kiriku cahaya, di atasku cahaya, di bawahku cahaya, di mukaku cahaya dan di belakangku cahaya dan jadikanlah bagiku cahaya." (Hadis riwayat Bukhari)

Doa ketika memasuki masjid.

اللهم افتح لى أبواب رحمتك


"Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatmu".

Doa ketika keluar dari masjid.

اللهم إني أسألك من فضلك

"Ya Allah, aku memohon kepadamu kurniaanMu".
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa'i)

Doa ketika hendak makan.

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار با سم الله

"Ya Allah, berkatilah kami pada apa-apa yang Kamu rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari seksa neraka, dengan nama Allah".
(Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Doa setelah selesai makan.

الحمد لله الذي أطعمنا وسقانا وجعلنا مسلمين

"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan kepada kami, memberi minuman kepada kami dan menjadikan kami dari golongan Muslim".
(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)

Doa ketika memasuki tandas.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari khubuth dan khaba'ith".
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Doa ketika keluar tandas.

الحمد لله الذي أذاقني لذته وصرف عني أذاه

"Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku mengecap kelazatannya dan menjauhkan aku dari kesakitannya".
(Hadis riwayat Ibn Sunni dan Al-Tabarani)

Doa sebelum bersetubuh.

اللهم جنبنا من الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا

"Dengan namaMu, ya Allah jauhkanlah dari kami syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Kau kurniakan kepada kami".
(Hadis riwayat Bukhari).

Jika ditakdirkan bagi mereka memperolehi anak, syaitan tidak akan memudaratkannya selama-lamanya.

Doa ketika tidak dapat tidur.

اللهم غارت النجوم وهدأت العيون وأنت حي قيوم لا تأخذك سنة ولا نوم يا حي يا قيوم إهد ليلى وأنم عينى

"Ya Allah, sudah terbenam bintang-bintang sudah terkatup banyak mata sedangkan Engkau hidup dan jaga, tidak tidur. Wahai Yang Tegak, Yang Hidup dan Yang Jaga, tenteramkanlah mataku".

Wirid selepas sembahyang.

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Sesiapa yang bertasbih kepada Allah (membaca Subhanallah) sesudah setiap sembahyang 33 kali, membaca tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan membesarkan Allah (Allahuakbar) 33 kali.

Dan digenapkan menjadi seratus dengan membaca:

إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

"Tidak ada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagiNya, kepunyaanNya segala kekuatan dan kepunyaanNya segala pujian dan Dia berkuasa atas segala sesuatu".
(Hadis riwayat Muslim)

Doa ketika selesai majlis.

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

"Maha suci Engkau ya Allah dengan segala pujiMu aku bersaksi tidak ada Tuhan kecuali Engkau, aku bermohon ampun kepadamu dan kau bertaubat kepadaMU".

Doa ketika menaiki kenderaan.

الحمد لله الذى سخرلنا هذا وما كنا له مقرنين وإنا إلى ربنا لمنقلبون

"Segala puji bagi Allah yang menggerakkan bagi kami kenderaan ini, padahal kami tidak sanggup melakukannya, dan sesungguhnya kami semuanya kembali kepada Tuhan kami".

Doa ketika bermusafir.

اللهم بك أصول وبك أجول وبك أسير اللهم إني أسألك في سفري هذا البر والتقوى ومن العمل ما ترضى اللهم هون علينا سفرنا هذا واطوعنا بعده اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الأهل اللهم إني أعوذبك من وعثاء السفر وكآبة المنظر وسوء المنقلب في المال والأهل والولد

"Ya Allah kerana Engkau aku berusaha dan kerana Engkau aku berjalan dan kerana Engkau pula aku berpergian. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dalam perjalanan ini kebajikan dan ketakwaan dan berupa amal yang Engkau redai. Ya Allah, ringankanlah bagi kami perjalanan kami ini dan dekatkanlah bagi kami yang jauhnya. Ya Allah, Engkaulah sahabat dalam perjalanan dan Wakil di tengah-tengah keluarga. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kepayahan perjalanan, dari kesedihan penglihatan, dari kejelekan saat kembali pada harta, keluarga dan anak-anak".

Doa ketika hujan turun.

اللهم صيبا نافعا (مرتين أو ثلاث)

"Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (dua kali atau tiga kali)".
(Hadis riwayat Ibnu Syaibah dari hadis Aisyah).

Doa ketika mendengar guruh.

اللهم لا تقتلنا بغضبك ولا تهلكنا بعذابك وعافنا قبل ذلك

"Ya Allah, jangan Engkau bunuh kami dengan murkaMu dan jangan Engkau binasakan kami dengan siksaMu dan selamatkan kami sebelum itu".
(Hadis riwayat Tirmizi, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, dari hadis 'Abdullah bin 'Umar)

Doa ketika melihat anak bulan.

الله أكبر اللهم أهله علينا باليمن ولإيمان والسلامة والإسلام والتوفيق لما تحب وترضى ربي وربك الله

"Allah Maha Besar, ya Allah, muncullah bulan ini bagi kami dengan penuh berkat dan iman, keselamatan dan keIslaman, taufik pada apa-apa yang Engkau cintai dan Engkau redai, ya Tuhanku dan Tuhanmu, Allah".

Doa kepada pengantin.

بارك الله وبارك عليك وجمع بينكما في خير

"Semoga Allah memberkati engkau dan memberkati atas kau dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan".
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan empat ahli hadis dari Anas dan Abu Hurairah).

Doa ketika melihat kanak-kanak.

أعيذك بكلمات الله التامة من كل الشيطان وهامة ومن كل عين لآمة

"Aku bermohon perlindungan untukmu dengan kalimat Allah yang sempurna dari setiap syaitan dan racun, dan dari setiap mata yang membawa kejelikan".
(Hadis riwayat Bukhari dari hadis Ibnu 'Abbas)

Doa ketika menziarahi orang sakit.

اللهم أذهب البأس رب الناس اشف وأنت الشافي لا شفاء إلا شفاؤك شفاء لا يغادر سقما

"Ya Allah, hilangkanlah penyakit ini, wahai yang memelihara manusia. Sembuhkanlah, sesungguhnya Engkaulah yang meyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan yang diberikan olehMu, kesembuhan yang tidak disertai rasa sakit".

Doa ketika dukacita.

لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين

"Tidak ada Tuhan yang berhak menyembuhkan melainkan Engkau, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang-orang yang zalim".

Doa takziah kematian.

إن الله ما أخذ وله ما أعطى وكل شئ عنده بأجل مسمى فلتصبر ولتحتسب

"Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang Ia ambil dan kepunyaanNya apa yang Ia berikan dan segala sesuatu pada sisiNya sampai waktu yang ditentukan. Hendaklah kamu bersabar dan mengharapkan ganjaran".
(Hadis riwayat Bukhari dari hadis usamah).

Doa dalam sembahyang jenazah.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

"Ya Allah, maafkanlah dia dan berilah rahmat ke atasnya, selamatkanlah dia dan ampunilah dia, muliakanlah tempatnya, luaskan tempat masuknya dan bersihkanlah dia dengan air salju dan air dingin. Sucikanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan pakaian yang putih dari kotoran, gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangan yang dimilikinya. Masukkanlah dia ke syurga dan lindungilah dia dari azab kubur dan azab neraka".

Wednesday, December 03, 2008

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB BELIA ISLAM


Belia atau pemuda semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Biarpun begitu, kelompok belia atau pemuda secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana badan serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.

Sehubungan itu, diharapkan ini menjadi titik tolak dan pemangkin kepada gerakan belia di seluruh negara serta menyemarakkan lagi peranan dan potensi mereka sebelum terjun ke dalam kancah dan realiti masyarakat sebenar. Jika belia dan pemuda Palestin ketika ini sedang sibuk bertungkus lumus melawan pencerobohan Israel, sekatan ekonomi serta berusaha membangunkan semula negara mereka yang telah teruk dimusnahkan, namun di negara kita golongan sebaya ini terutamanya remaja masih dibelenggu dengan pelbagai masalah serta krisis keruntuhan akhlak yang teruk seperti penyalahgunaan dadah, aktiviti pelacuran, pergaulan dan seks bebas, hidonisme dan sebagainya. Ini adalah cabaran dan realiti sosial yang perlu ditangani oleh belia Islam dari masa ke semasa.

Dalam buku Belia Dalam Pembangunan Dunia Melayu Dunia Islam (2002), turut disentuh tentang peranan belia Melayu dan Islam, cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi terutama sekali dalam memastikan golongan ini tidak tertinggal jauh oleh arus pemodenan. Ini adalah kerana para belia perlu menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi (IT) agar ilmu yang diperolehi dapat membantu memajukan umat Islam. Selain penguasaan dalam bidang IT, bidang ekonomi dan politik juga penting di dalam senario globalisasi yang sedang diketengahkan oleh kuasa-kuasa Barat dan tidak dinafikan lagi bahawa golongan belia adalah aset yang cukup berharga kepada sesebuah negara atau bangsa. Kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa dan negara banyak bergantung kepada kekuatan dan kelemahan para belianya sepanjang zaman.

Warisan seni budaya pula penting bagi membentuk dan membina jati diri orang Melayu dan lslam. Kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara turut bergantung kepada kualiti para belia hari ini di mana sekiranya mereka dapat meningkatkan kecemerlangan diri dan mengikis sikap rendah diri, sudah pasti belia Melayu dan Islam hari ini tidak akan dipandang rendah oleh bangsa lain. Kesedaran sejarah juga boleh dijadikan sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan dalam konteks pembangunan belia Islam, sejarah telah menonjolkan kepentingan dan peranan belia dalam proses pembinaan tamadun ummah. Pelbagai peristiwa seperti yang dirakamkan oleh al-Qur’an telah memaparkan model untuk diteladani belia masakini khususnya dalam mempertahankan jati diri dan menghadapi cabaran semasa.

Selanjutnya, belia hari ini perlulah dilengkap dan dipersiapkan dengan pendidikan tinggi dalam segala aspek terutamanya peluang ke universiti. Ini adalah kerana universiti adalah medan terbaik kepada golongan belia untuk membina kaliber dan mengasah bakat kepimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam pelbagai dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus. Untuk itu, mahasiswa Islam perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas dan meletakkan semula fungsi mereka sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku di mana mereka perlu lebih aktif dan agresif menjuarainya. Justeru berdasarkan premis tersebut, universiti adalah platform dan forum merangka formula ke arah melahirkan belia yang berintegriti, bersahsiah dan bermaruah.

Golongan berwibawa ini tidak boleh dibiarkan terlalu kaku, lemah dan mundur dalam segala hal, tetapi mesti melalui proses transformasi yang jitu ke arah mempersiapkan mereka sebagai barisan warga serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan dengan segala cabaran kehidupan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka generasi yang lemah“ (An-Nisa : 9) dan renungilah firman Allah s.w.t yang bermaksud: “sesungguhnya generasi yang paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi yang kuat lagi dapat dipercayai” (Al-Qashash : 26). Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah barisan kepimpinan dan belia di seluruh negara bersedia dan apakah perancangan serta tindakan mereka selepas ini. Tepuk dada, tanya belia!

Rujukan

Abdul Latif Abu Bakar, et all, 2002. Belia Dalam Pembangunan Dunia Melayu Dunia Islam. Kuala Lumpur: Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)

DERMA DARAH AMALAN MULIA


Setiap tahun, hampir 80 juta unit darah didermakan di seluruh dunia. Namun begitu, daripada jumlah itu, hanya 38 peratus (30.4 juta) unit darah diperoleh dari negara sedang membangun yang meliputi 82 peratus jumlah penduduk dunia. Malangnya, kebanyakan negara sedang membangun ini masih lagi bergantung kepada penderma darah gantian seperti ahli keluarga dan rakan pesakit untuk mendapatkan darah. Malah, di sesetengah negara tersebut, darah diperoleh dengan bayaran wang.

Biarpun begitu, perlu ditegaskan bahawa tanggapan atau persepsi negatif sesetengah pihak bahawa aktiviti menderma darah boleh menyebabkan masalah kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah badan adalah tidak benar. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, persepsi negatif itu harus dikikis kerana amalan menderma darah adalah satu nilai murni dan tanggungjawab yang ikhlas dalam membantu menyelamatkan nyawa. Bahkan dengan menderma darah, penderma akan berasa lebih sihat selain dapat mengetahui status kesihatan diri dari semasa ke semasa.

Peningkatan jumlah penderma darah dari tahun ke tahun di negara kita, menunjukkan kesedaran masyarakat untuk berbuat demikian telah meningkat. Bagaimanapun, ia tidak mencapai sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu sebanyak lima peratus bagi setiap 1,000 penduduk tetapi peningkatan itu dilihat suatu yang positif. Adalah menjadi dasar kementerian untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat termasuk memastikan bekalan darah selamat dan berkualiti sepanjang masa.

Sementara itu, menurut Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Norhanim Asidin, pihaknya menyasarkan mempunyai 2,500 unit simpanan darah atau lebih dalam seminggu bagi membolehkan pengagihan bekalan darah dibuat secara menyeluruh di semua hospital-hospital yang memerlukan. Untuk itu, penderma-penderma darah baru secara sukarela dan berterusan amat digalakkan bagi memastikan bekalan darah mencukupi.

Ulama dan pemikir Islam terkenal Dr. Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa menderma darah adalah salah satu bentuk sedekah yang paling utama di zaman sekarang ini. Sebabnya menjadi aktiviti menderma darah dalam konteks ini bukan sekadar membantu, tetapi sudah sampai ke taraf menyelamatkan nyawa seseorang. Jadi nilainya sangat tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

ومن أحياها فكأنما أحيا الناس جميعًا

Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya”. (Al-Maidah: 32).

Manakala di dalam sebuah hadith sahih Rasulullah SAW bersabda:

من فرج عن مسلم كربة من كرب الدنيا فرج الله عنه كربة من كرب يوم القيامة

Siapa yang membebaskan seorang muslim dari bebannya di dunia, maka Allah akan membebaskannya dari bebannya di hari kiamat". (HR Bukhari dan Muslim)

Aktiviti menderma darah sangat besar ertinya dan boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Satu unit darah yang didermakan dapat menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa seperti demam denggi, mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah terutamanya musim perayaan, ibu-ibu yang mengalami tumpahan darah selepas bersalin, bayi yang memerlukan pertukaran darah, pesakit Talasemia, pesakit Anemia, mangsa kebakaran, pesakit leukemia, pesakit Haemifilia dan ramai lagi.

Oleh itu, melihat kepada kepentingan dan keperluan menderma darah, tarikh14 Jun setiap tahun disambut sebagai Hari Derma Darah Sedunia yang memberi pengiktirafan kepada penderma darah dan galakan supaya kempen menderma darah diteruskan. Tarikh tersebut juga adalah sempena tarikh lahir pemenang anugerah Nobel, Karl Landsteiner yang menemui sistem kumpulan darah ABO. Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, amalan menderma darah perlulah digalakkan melalui aktiviti atau program sukarela yang dianjurkan dari masa ke semasa agar nyawa seseorang tidak diabaikan begitu sahaja di kala bekalan darah diperlukan.

Seseorang itu layak menderma darah sekiranya berumur antara 18 hingga 60 tahun, sekiranya anda berumur 17 tahun, kebenaran bertulis ibu bapa/penjaga adalah perlu; mempunyai berat badan yang melebihi 45 kilogram; tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari pendermaan; tahap hemoglobin iaitu kandungan protein dan zat besi sekurang-kurangnya 12.5 gram peratus; tidak mengambil ubat-ubatan antibiotik kecuali dibenarkan oleh pegawai perubatan; tidak mengambil minuman beralkohol 24 jam sebelum menderma darah; dan tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes, sakit jantung, talasemia, haemofilia, hepatitis B atau C, penyakit kelamin dan HIV/AIDS.

RUJUKAN

Derma darah tiada kesan sampingan, Utusan Malaysia, 2 Julai 2008
Derma darah sakitkan kepala?, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Derma darah selamatkan nyawa anda, Utusan Malaysia, 12 Jun 2005
Setitis darah tidak ternilai, Utusan Malaysia, 14 Jun 2007
Derma darah Ikhlas, tanggungjawab, Utusan Malaysia, 17 Jun 2007

Laman web Halaqah: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=3807.0