Saturday, December 13, 2008

PINDA AUKU ELAK MAHASISWA LESU


Mahasiswa semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Berikutan itu, pindaan terhadap peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang kini berada di peringkat akhir adalah momentum baru kepada aktivisme mahasiswa di negara kita. Pindaan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir sejuta penuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pindaan tersebut pada dasarnya akan membenarkan pelajar untuk bersekutu atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan sama ada dalam negara atau luar negara kecuali dengan parti politik atau pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan pertubuhan yang tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar di negara kita.

Biarpun begitu, kelompok mahasiswa secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana badan serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.

Pembaharuan dan perubahan ini dilakukan ekoran perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi termasuk di peringkat antarabangsa dan juga kematangan pelajar dalam menangani erti kebebasan dan kepelbagaian selain komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau setanding dengan universiti ternama dunia lain.

Ini adalah hadiah dan kejayaan yang cukup bermakna hasil perjuangan yang panjang barisan kepimpinan mahasiswa terdahulu dan hari ini yang menuntut hak dan kepentingan mereka dikembalikan. Pada masa ini terdapat 500 IPTS dan 20 institusi IPTA yang tertakluk di bawah AUKU 1971. Walaupun pindaan berkenaan tidak menyeluruh dan memuaskan semua pihak, namun ini adalah permulaan yang cukup baik kepada perjuangan gerakan pelajar.

Sehubungan itu, diharapkan pindaan terhadap AUKU kali ini akan menjadi titik tolak dan pemangkin kepada gerakan mahasiswa di seluruh negara serta menyemarakkan lagi peranan dan potensi mereka sepanjang bergelar mahasiswa sebelum terjun ke dalam kancah dan realiti masyarakat sebenar.

Ini adalah kerana universiti adalah medan terbaik kepada mahasiswa untuk membina kaliber dan mengasah bakat kepimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam segala dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus.

Untuk itu, mahasiswa perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas kepada pindaan AUKU dan meletakkan semula fungsi mereka sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku di mana mereka perlu lebih aktif dan agresif menjuarainya.

Golongan berwibawa ini tidak boleh dibiarkan terlalu menjadi hamba buku dan kaku dalam segala hal, tetapi mesti melalui proses transformasi yang jitu ke arah mempersiapkan mereka sebagai barisan mahasiswa serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan dengan segala cabaran kehidupan.

Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah barisan kepimpinan dan mahasiswa di seluruh negara bersedia dengan pindaan AUKU ini dan apakah perancangan serta tindakan mereka selepas ini. Atau mungkin mereka ketika ini masih lagi asyik dilamun asmara dan sibuk berpacaran ke sana ke mari atau sedang bersuka ria dengan limpahan wang pinjaman, biasiswa dan sebagainya. Tepuk dada, tanya mahasiswa!

Rujukan

Pindaan AUKU beri lebih kuasa autonomi di universiti, Utusan Malaysia, 11 Disember 2008
Dewan lulus pindaan AUKU, Berita Harian, 12 Disember 2008

1 comment:

Saiful Ambar Abdullah Ambar said...

Teringat zaman di ITM tatkala memberi respons kepada hasrat TNC ketika itu, Prof. Dr. Adnan untuk membubar dan mengharamkan PKPIM-ITM kerana menjadi ahli bersekutu (badan gabungan PKPIM peringkat kebangsaan), saya mencadangkan supaya tindakan yang sama diambil terhadap semua Persatuan Beladiri, PBSM, dan banyak lagi yang merupakan ahli bersekutu kepada persatuan di peringkat kebangsaan. Alhamdulillah, hasrat tersebut tidak berjaya dilaksana dan dengan adanya pindaan ini, maka ia seperti satu harapan yang menjadi kenyataan.