Monday, December 15, 2008

SANG MURABBI, EKSPERIMEN DAKWAH YANG BERJAYA


Filem sebenarnya cukup memberi kesan kepada penonton dan melalui medium ini, sesuatu menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada sasaran melalui filem yang dihasilkan. Bagi mencapai hasrat tersebut, filem perlu dijadikan wadah dakwah yang berkesan dan dalam konteks ini media dan seni Islam juga mempunyai kedudukan dan fungsi yang tersendiri dan dianggap cukup penting dalam perkembangan dunia perfileman negara.

Ini adalah kerana filem dianggap sebagai salah satu teknologi penyalur ideologi yang cukup berpengaruh seperti yang telah dibuktikan oleh Barat sejak sekian lama yang menjadikan filem sebagai imperialis budayanya keseluruh dunia terutama negara dunia ketiga yang miskin dan sebahagian besarnya adalah negara Islam. Di sini, menunjukkan bahawa filem boleh diangkat menjadi agen atau mekanisme dakwah yang cukup efektif jika dihasilkan dengan jayanya.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penontonnya. Filem yang diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar seorang tokoh pendakwah dan ahli parlimen terkenal Indonesia iaitu K.H Rahmat Abdullah. Beliau merupakan seorang reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam yang sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat sepanjang hayat beliau.

Pelbagai eksperimen dakwah telah dilakukan beliau bagi memastikan misi dan visi dakwahnya berjaya di samping terpaksa melalui pelbagai rintangan dan cabaran merealisasikan cita-cita murni dakwahnya. Beliau sanggup menjejaki golongan yang rendah akhlak seperti pemabuk, penjudi dan lain-lain bagi mengajak mereka kembali kepada Islam yang sebenar. Ini wajar dicontohi oleh semua tokoh, badan agama dan NGO gerakan Islam di Malaysia bagi memastikan wawasan dakwah Islam sampai kepada sasaran.

Dalam buku Apa Erti Saya Menganut Islam karya Sheikh Fathi Yakan menyatakan adalah tidak memadai dengan menjadi muslim seorang diri sahaja sedangkan orang-orang di sekeliling tidak dihiraukan, kerana di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia (jika ia telah benar-benar beriman) ialah ia merasai tanggungjawabnya terhadap orang lain dengan mengajak dan menasihati mereka dengan Islam serta ghairah mengambil berat ke atas mereka sebagai realisasi dari amaran Rasulullah:

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

Yang bermaksud: "Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka". Bertitik tolak dari sinilah menyusulnya satu tanggungjawab ke atas semua, iaitu tanggungjawab menegakkan masyarakat Islam dan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Metod dakwah beliau sebagai sang murabbi atau pendidik berjaya menarik ramai cerdik pandai terutamanya pelajar universiti menyertai misi dakwah beliau yang ketika itu dipandang serong dengan pelbagai persepsi dan prasangka buruk. Untuk itu, beliau bersama-sama rakan-rakan lain menjadi pengerak dan perintis utama memerangi buta huruf, membasmi kemiskinan, menegak keadilan sejagat, menjadikan seni budaya seperti teater sebagai bahan dakwah dan sebagainya melalui gerakan pembaharuan dan reformasi ilmu, pemikiran serta anjakan paradigma umat Islam.

Dalam hubungan ini Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah, "Ke Mana Kita Menyeru Manusia" mengatakan: "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan; adakah umat Islam memahami pengertian ini (dari Kitab Allah) yang menyebabkan jiwa mereka akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan. Mereka akan terhindar dari godaan syahwat dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan kalimah Allah, berjihad pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi uncang perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong".

Manakala dalam sebuah lagi filem dakwah hebat iaitu Ayat-Ayat Cinta muncul sebagai sebuah medium dakwah yang menarik, kreatif dan artistik. Sentuhan jiwa dan roh Islamik filem ini begitu berkesan dan mantap dengan petikan ayat suci al-Quran serta Hadis di samping alunan muzik serta nasyid yang berkesan mengiringi sesuatu plot serta jalan cerita, mencipta mood dan kepuasan menonton filem genre cinta-dakwah ini. Filem ini cukup berjaya di Indonesia dan membuka lembaran baru kepada filem dakwah di sana.

Oleh demikian, melihat kepada kekuatan dan kejayaan kebanyakan filem dan drama dakwah dalam dan luar negara, membolehkan filem wajar dijadikan wahana utama menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Ini dapat dilaksanakan melalui teras pendidikan di mana melalui korpus pemikiran yang dibina dalam jalan cerita filem misalnya mampu melahirkan idea dan fikiran besar, membentuk kritikan serta nasihat bagi memajukan masyarakat Islam bangkit menuju kejayaan dalam segala lapangan dan seterusnya menjadikan filem sebagai alat membina tamadun umat Islam yang unggul.

Filem juga dalam hal ini boleh dibentuk menjadi landasan terbaik menyemarakkan kegiatan intelektual Islam, merapatkan jurang ilmu dan pengetahuan, membiakkan elemen kebaikan, budaya antara kaum, kebajikan manusia dan mentauhidkan Allah. Di samping itu, filem dapat bertindak sebagai medium berkesan, informatif dan mampu menarik perhatian serta minat masyarakat untuk memahami Islam secara syumul dan tidak berlandaskan bidaah atau karut marut dalam agama.

Ini mungkin menjadi tugas dan menuntut kreativiti serta kesungguhan semua tokoh, agensi agama dan NGO gerakan Islam di negara kita merealisasikannya agar lebih ramai sang murabbi dan murabbiyah lahir di persada dakwah. Firman Allah:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'am 6: Ayat 162)

Rujukan

Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam

Filem daripada fenomena sebuah novel, Utusan Malaysia, 24 Jun 2008
Penyelesaian Islami dalam filem-filem tempatan?, Utusan Malaysia, 22 November 2005

Laman web: http://www.sangmurabbi.com/sinopsis/

No comments: