Tuesday, January 13, 2009

SERANGAN ORIENTALIS KE ATAS PEMIKIRAN UMAT ISLAM


Islam hari ini secara terancang diserang dari segala sudut sama ada secara fizikal ataupun minda. Musuh yang cuba mencari jalan untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah putus asa dan luntur semangatnya. Mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah serta siap siaga melaksanakan propaganda agar segala arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan oleh penganutnya sendiri.

Ini yang sedang dan telah dilakukan oleh golongan bijak pandai dan strategis bukan Islam terutamanya golongan orientalis yang secara ilmiah dan melalui hujah akademik menyerang pemikiran masyarakat Islam agar mereka merasa sangsi, ragu-ragu dan tidak yakin dengan segala ajaran serta tuntutan agama yang disyariatkan. Keadaan ini adalah kesinambungan dan bukti bahawa sejak dahulu lagi para orientalis komited menyerang agama Islam melalui tulisan dan perbincangan akademik sama ada di dalam dan luar pusat pengajian tinggi yang boleh didapati di dalam banyak medium seperti tesis, buku, jurnal, majalah dan tulisan di atas talian internet.

Serangan golongan orientalis dan pendokongnya yang terdiri dari kalangan intelektual dan sarjana adalah dalam pelbagai bentuk dan saluran termasuklah mempertikaikan kesahihan kitab suci al-Quran serta terjemahannya; periwayatan hadis, sunnah dan sirah Rasulullah; mempersenda tradisi penulisan buku-buku ilmiah karangan ulama muktabar; ketidak relevanan kaedah-kaedah fiqh dan sebagainya. Melalui kajian, pemerhatian dan penyelidikan mereka yang cukup sistematik membolehkan mereka menguasai hampir setiap disiplin penting dalam induk pengajian ilmu-ilmu Islam. Ini akan memudahkan lagi usaha mereka menyerang dan meracuni pemikiran umat Islam hari ini dalam segala aspek.

Melalui metodologi ilmiah, wacana, dialog dan penulisan akademik juga, mereka cuba menimbulkan keraguan, kelemahan dan mencari kesilapan atau kelonggaran yang mungkin berlaku di dalam penulisan karya agung ulama dan pemikir Islam terdahulu di mana keadaan ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi budaya, pemikiran, tindak tanduk, kritikan dan kepercayaan sebahagian umat Islam yang terdedah dengan agenda mereka secara sedar atau sebaliknya terutamanya melalui pembacaan bahan penulisan atau penerbitan mereka dari dalam dan luar negara.

Menurut Dr. Atikullah Abdullah dalam makalah yang bertajuk Orientalis Timbulkan Was-Was Terhadap Islam bahawa perkataan orientalis mempunyai banyak makna dan menurut sarjana besar seperti Edward W. Said dalam magnum opusnya Orientalism di mana orientalis merujuk kepada sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal Timur. Dalam pengertian khusus, orientalisme lebih merujuk kepada gerakan pengkajian hal ehwal Islam dan masyarakat Muslim oleh orang Barat sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan politik. Terdapat pelbagai tujuan dan misi gerakan orientalis ini yang antaranya meliputi aspek keagamaan, akademik, perniagaan, ekonomi dan politik.

Manakala menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq pula, orientalis adalah mereka yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama mereka dan golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja. Terdapat orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya. Keadaan ini banyak berlaku ketika zaman penjajahan ketika emperialisme British, Belanda dan sebagainya.

Golongan ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif dan mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran seperti Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri. Di samping itu, orientalis A.J. Wensink menghasilkan Mu’jam al-Hadith al-Nabawiyy iaitu sebuah karya lengkap dan sangat bermanfaat untuk pengkaji dan pencari asal-usul sesuatu hadis. Namun begitu, sebahagian besar mereka dilihat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus.

Manakala menurut Mazlan Zainal (2003), pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah. Seorang orientalis bernama Joseph Schacht berpendapat bahawa sunah tidak semestinya dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w. malah ia dimaksudkan juga tradisi dan pembawaan hidup masyarakat. Beliau bersama-sama para orientalis lain seperti A. Guillaume, Ignaz Goldziher dan S. Mackensen Ruth mempertikaikan autoriti hadis dan menganggapnya sebagai rekaan sahaja.

Selanjutnya menurut Joseph Schacht, hadis berkenaan dengan undang-undang adalah direka dan hanya dianggap sahih mulai pertengahan abad kedua hijrah ke atas sahaja. Tambahan pula, Ignaz Goldziher yang dianggap sebagai seorang tokoh orientalis yang paling terkemuka dalam bidang hadis serta paling berbahaya telah menyatakan pandangannya bahawa sebahagian besar hadis adalah lahir daripada perkembangan semasa dalam agama Islam, sama ada dari segi agama, sejarah dan sosial pada abad pertama dan kedua hijrah.

Menurutnya, ini bererti kebanyakan hadis bukannya sahih datang daripada Rasulullah s.a.w., sebaliknya ia merupakan ciptaan umat Islam pada zaman kecemerlangannya. Oleh itu, hadis pada pandangannya tidak boleh dijadikan sebagai sumber asas dalam agama Islam tetapi hanya sebagai bahan penting kepada keterangan-keterangan sejarah perkembangan pelbagai aspek kebudayaan Islam zaman kemudian di bawah pengaruh bukan Islam. Kefahaman yang salah dan mengelirukan ini turut mempengaruhi umat Islam sehingga muncul beberapa gerakan dan kumpulan anti-hadis yang menjadi keresahan di dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, melihat kepada peranan aktif yang dimainkan oleh golongan orientalis yang sangat bahaya kepada masyarakat dan negara serta usaha mereka yang tidak pernah terhenti meracuni pemikiran umat Islam selama ini mewajarkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga menyekat dan memantau gerakan ini daripada terus merebak terutamanya dalam bidang penulisan, penerbitan serta dialog di laman internet di negara kita. Umat Islam sendiri perlu bijak memilih antara yang baik dan buruk serta harus melaksanakan self-sensorship agar tidak terpedaya atau terperangkap di dalam sangkar intelektual ciptaan orientalis.

Rujukan

Shamsul Amri Baharuddin, 2004. Oksidentalisme: Pengertian dan Hala Tuju. Jurnal Pemikir, Julai – September
Mazlan Zainal, 2003. Hadis Nabi s.a.w. - Orientalis musnahkan kewibawaannya. Utusan Malaysia, 13 Mac
Orientalis timbulkan was-was terhadap Islam, Utusan Malaysia, 4 September 2007

No comments: