UNIVERSITI ISLAM TONGGAK MASYARAKAT BERILMU


Islam adalah cara hidup yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan sebarang usaha untuk mencari serta mendalaminya adalah dituntut agama. Kembara dan ekplorasi ilmu menjadi satu kewajipan dan bukan satu pilihan kepada setiap insan sama ada dari peringkat rendah sehinggalah di tahap tertinggi sekiranya ada kemampuan. Seperti mana kita sedia maklum, universiti adalah aset terpenting negara Islam dan dalam masa yang sama integriti, kualiti dan reputasi sesebuah universiti sangat penting lebih-lebih lagi bagi yang sudah mempunyai nama besar, berpengaruh dan memiliki sejarah serta tradisi keilmuannya yang tersendiri.

Universiti adalah seumpama otak bagi sesebuah negara dan sekiranya institusi ini lumpuh serta tidak bermaya, maka negara tersebut sudah tidak lagi berguna kepada rakyatnya. Oleh kerana itu, universiti sebagai tonggak masyarakat berilmu perlulah dimanfaatkan sebagai jentera dan asas utama pembinaan negara Islam yang berdaulat dan berwibawa. Universiti juga bukanlah kilang dan pusat perindustrian yang bertujuan mencetak ribuan sijil setiap tahun semata-mata, malahan institusi ini adalah medan sebenar percambahan ilmu, budaya dan arena terbaik pembangunan modal insan negara sebagai peneraju masa hadapan umat Islam.

Menurut Dr. Zaini Ujang dalam buku beliau yang bertajuk Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual (1993), menukilkan bahawa dari perspektif tradisi intelektual Islam, gagasan universiti bermula dengan penubuhan al-Azhar di Kaherah oleh dinasti Fatimiyyah dan Madrasah Nizamiyyah di Baghdad oleh Nizamul Muluk pada 1067 Masihi. Al-Azhar dan Madrasah Nizamiyyah wujud berasaskan tiga dimensi yang disepadukan iaitu fungsi, institusi dan asosiasi di mana sejak awal penubuhannya, kedua-dua institusi ini berpusat di masjid dan seterusnya berkembang pesat sebagai institusi madrasah yang berfungsi sebagai nadi penyebaran ilmu dalam peradaban Islam.

Sebagai institusi pengajian tinggi tertua di dunia, kedua-dua institusi ini menggunakan pendekatan yang holistik dan sistematik selaras dengan fungsinya yang sarat dengan agenda idealisme di mana para pemikir dan sarjana yang merupakan asosiasi penting menggunakan pendekatan bersepadu dalam kegiatan keilmuan mereka. Ini membolehkan berlakunya penggabungan potensi intelektual, spiritual, psikologikal dan fizikal untuk melaksanakan tugas-tugas pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penulisan dan pengamalan ilmu sehingga kemudiannya menjadi model dan asas kepada pembinaan universiti-universiti di Barat.

Kegemilangan tradisi keilmuan Islam perlu diteruskan dan bagi menyahut cabaran memartabatkan dunia universiti dan intelektual Islam, semua institusi pengajian tinggi di seluruh dunia perlu memperteguhkan lagi aspek penyelidikan dan inovasi universiti, mempergiatkan proses pengantarabangsaan dan menambah baik kualiti pengajaran adalah usaha ke arah kecemerlangan pendidikan pengajian tinggi Islam di peringkat global. Ini diharapkan mampu memacu kualiti, reputasi dan integriti dunia pendidikan tinggi serta memperkasakan usaha kerajaan-kerajaan Islam membangunkan prasarana modal insan minda kelas pertama di negara masing-masing.

Universiti Islam terutamanya mempunyai pelbagai peranan, tanggungjawab serta kelebihan dalam usaha meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti umat Islam dalam sistem pengajian tinggi. Di Malaysia misalnya mempunyai Universiti Apex yang boleh dicontohi negara Islam lain umpamanya dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Kebebasan juga diberikan kepada universiti ini untuk mengambil lebih ramai pensyarah dan pelajar asing bagi membolehkan ia melahirkan penyelidik bertaraf pemenang anugerah agung Nobel Laureate.

Universiti Islam juga boleh menawarkan peluang pembangunan dan penyelidikan melalui kerjasama universiti asing termasuklah dengan pensyarah dari luar negara supaya ia menjadi lebih kompetitif dan jaminan kualiti pengajian di universiti secara bersepadu dengan universiti-universiti ternama dunia lain seperti Oxford, Harvard, Cambridge dan lain-lain serta menjadi pilihan masyarakat dunia adalah perlu dipergiatkan bagi faedah semua universiti lain di seluruh negara Islam di samping sebagai inisiatif meningkatkan kualiti di segala peringkat meliputi promosi rangka kerja akademik, penulisan, penyelidikan dan sebagainya.

Universiti juga perlu melaksanakan penilaian akreditasi terhadap program pengajian yang ditawarkan dari masa ke semasa agar lebih relevan, terkini di samping memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional berkaitan supaya kualiti serta kemampuan graduan yang dilahirkan mampu memasuki pasaran kerja. Universiti mestilah konsisten dan komprehensif memperkasa organisasi, pengurusan staf akademik, pemilihan pelajar, penyelidikan, program akademik, sumber dan pengurusan. Ini menuntut seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan universiti mengerah tenaga dan fikiran mencari jalan terbaik memperbaiki kedudukan, kesilapan serta kelemahan dalam segala bidang di samping berusaha memperhebatkan lagi agenda pendidikan tinggi Islam.

Gandingan mantap universiti termasuklah dengan kerjasama kerajaan, pelajar dan masyarakat luar penting dalam usaha melakukan reformasi pendidikan tinggi Islam di negara masing-masing umpamanya perlu ditingkatkan lagi terutamanya peruntukan dan dana kewangan untuk tujuan serta proses peningkatan dan kemajuan universiti agar lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D), kajian dan sebagainya dapat dilaksanakan serta dikomersialkan di peringkat global setanding dengan universiti sekular lain yang begitu menonjol serta mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat global.

Manakala masyarakat luar terutamanya pihak industri dan sektor korporat yang dimiliki oleh umat Islam perlu bekerjasama serta bersedia mewujudkan perkongsian bijak seperti pemindahan teknologi; peluang latihan dan skim perintis; bantuan dana dan lain-lain bagi menyokong proses tranformasi ini. Namun begitu, aspek pembangunan modal insan secara holistik adalah yang paling utama ditekankan termasuklah pembinaan sakhsiah dan moral, anjakan paradigma pelajar dan selanjutnya bersedia berhadapan dengan segala cabaran serta halangan di era globalisasi yang serba mencabar ini.

Melihat kepada kepentingan dan masa hadapan sistem pendidikan tinggi negara Islam, maka mekanisme perlaksanaan sistem audit terhadap semua universiti diseluruh dunia perlu dilakukan bagi menentukan mutu sesebuah universiti biarpun yang sudah mempunyai nama seperti al-Azhar termasuklah sektor penyelidikannya, reputasi tenaga akademik di fakultinya, pilihan pelajar, kecemerlangan program akademik dan prestasi graduan. Ini adalah penting untuk mengukur daya saing universiti di seluruh dunia Islam berbanding dengan universiti luar negara dalam memperkukuhkan kualiti pengajian tinggi dan menjadikan negara Islam seperti Malaysia misalnya sebagai hab dan pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau.

RUJUKAN

Zaini Ujang, 1993. Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar
Datuk Dr. Hashim Yaacob, 2007. Kecoh penarafan THES-QS, Utusan Malaysia, 19 November
Dr. Sapora Sipon, 2007. Kesan penarafan THES-QS terhadap reputasi IPTA, Utusan Malaysia, 15 November

Comments

Popular Posts