JANGAN TERLALU ASYIK BERPOLITIK


Senario semasa dalam negara yang sedang berlaku ketika ini jelas menunjukkan kita terlalu asyik berpolitik, sedangkan dalam masa yang sama kita sedang bergelut dengan masalah yang tidak kurang penting iaitu agenda ekonomi dan sosial. Tiga serangkai ini sering berkait dalam semua keadaan dan ketika serta tidak boleh dipandang ringan atau sambil lewa menanganinya.

Kadang-kadang kita terlalu ghairah dan teruja berpolitik sehingga meninggalkan aspek vital lain yang sepatutnya diutamakan dan diberikan penumpuan khusus terutamanya disiplin ekonomi makro dan mikro negara. Usaha, komitmen dan inisiatif bersepadu juga perlu bagi mengimbangi fungsi tiga serangkai ini dalam memastikan pertumbuhan dan kemajuan negara dapat digerakkan secara total dan semaksima mungkin.

Hakikatnya, jika politik dalam negara tidak stabil, ia boleh memberi kesan kepada fundamental ekonomi negara dan selanjutnya mengakibatkan struktur sosial terganggu. Kestabilan politik penting dalam memastikan usaha membawa masuk dan menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara menanam modal di sini terutamanya dalam sektor perindustrian, kewangan, teknologi, automotif dan sebagainya.

Ini sudah tentu akan merancakkan lagi arena perekonomian dalaman negara dan membolehkan segala rancangan pembangunan dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan serta boleh memastikan hal ehwal kebajikan rakyat berada di dalam keadaan yang terjamin. Secara relatifnya, kecelaruan politik turut membawa akibat kepada terbantutnya aliran ekonomi dan merencatkan proses transformasi sosial.

Apabila negara gagal menjana jentera ekonomi kerana terdapat banyak kekangan, halangan dan kekacauan di samping elemen kelembapan global lain, boleh mendedahkan negara kepada masalah sosial yang serius seperti wujudnya krisis pengangguran, pembuangan kerja dan peluang kerja yang terhad seperti mana yang sedang dihadapi oleh banyak negara ketika ini.

Pekerja di negara ini juga tidak dapat lari dan sedang berdepan dengan masalah serupa atau mungkin bertambah buruk jika sesuatu langkah susulan tidak dilakukan segera seperti mewujudkan peluang pekerjaan alternatif, meningkatkan lagi kemahiran pekerja, menyalurkan bantuan teknikal, kewangan, fasiliti dan sebagainya kepada mereka yang berminat untuk menceburi sektor lain terutamanya dalam bidang keusahawanan dan pertanian.

Di samping itu, krisis ekonomi yang teruk juga boleh mengakibatkan berlaku pergolakkan dan keretakan rumahtangga seperti masalah perceraian, pergaduhan dan sebagainya; peningkatan kadar jenayah seperti mencuri, meragut, tindakan agresif pemberi pinjaman along seperti mengugut dan mencedera; tindakan bunuh diri; keruntuhan moral dan akhlak serta pemberontakkan anak muda dan sebagainya apabila segala kemahuan mereka tidak dapat dipenuhi.

Masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah, aktiviti pelacuran, penyeludupan, rasuah dan lain-lain lagi juga akan terus membiak di dalam masyarakat apabila ianya dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan untuk survival hidup. Pegangan agama juga semakin longgar apabila semua bergelut mencari sesuap nasi tanpa memikirkan soal halal dan haram. Situasi ini jika tidak dibanteras dengan bersungguh-sungguh bakal meranap masa hadapan negara dan memusnahkan harapan rakyat jelata.

Oleh itu, kita perlu bangkit memperkukuhkan lagi landasan politik dan ekonomi negara daripada segala malapetaka dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan kewibawaan negara di samping memastikan seluruh struktur sosial sentiasa mapan serta terus diperkasa. Ini adalah bagi memastikan kita tidak dijajah semula melalui bantuan kewangan luar misalnya dan akur dengan telunjuk negara asing yang begitu berminat dengan potensi Malaysia dan rakyatnya.

Comments

Setuju dengan topik ini. Situasi ekonomi global mahupun tempatan amat runcing. Silap perancangan dan strategi untuk mengemudi ekonomi negara bisa meranapkan semua institusi baik politik mahupun sosial. Semua pemimpin (baik BN @ PR), sekarang ini, perlu mula fokus ke arah bagaimana menguruskan ekonomi negara dalam keadaan ini sebelum gawat menjelma.

Popular Posts