KEPERLUAN DINAR EMAS


Antara Resolusi Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) yang diadakan baru-baru ini ialah meminta kerajaan menyegerakan perlaksanaan penggunaan dinar emas di Malaysia. Penggunaan dinar emas bagi menggantikan mekanisme wang kertas telah lama diperkatakan di mana semua institusi kewangan Islam dilihat mampu bertindak sebagai pentas perintis utama mempromosikan dinar emas kepada masyarakat luar. Instrumen ini mampu menjadi pelengkap kepada sistem kewangan Islam yang kini semakin diterima oleh masyarakat dunia di kala sistem kewangan konvensional global semakin merudum.

Ini adalah kerana aplikasi dinar emas boleh digunakan sebagai mekanisme tambahan kepada amalan perdagangan antarabangsa di samping penggunaan dolar Amerika Syarikat (AS) yang masih menguasai pasaran dunia dan Malaysia sebagai pemain utama sistem kewangan Islam di rantau ini, boleh bertindak menjadi peneraju utama kepada perlaksanaan mekanisme ini yang boleh membawa kepada mewujudkan peraturan pembayaran pelbagai hala melalui penggunaan dinar emas secara meluas di pasaran global sedikit masa lagi.

Menurut perspektif Islam, dinar emas sangat penting dalam struktur perekonomian dan sangat diutamakan. Dalam buku Mamluk Economics atau Ekonomi Mamluk: Satu Kajian dan terjemahan Al-Maqrizis Ighthah karya ulama terkenal Taqi al-Din Ahmad ibn Ali al-Maqrizi menjelaskan bahawa mata wang adalah sebahagian daripada agama. Tambahan pula pada muka surat 66 buku berkenaan ada menukilkan bahawa Muslim dan Abu Dawud pernah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Semoga Allah melindungi dirham dan qafiz Iraq, mudd dan dinar Syria dan irdabb dan dinar Mesir”.

Manakala dalam al-Muqaddimah Ibnu Khaldun dalam hal ini turut mengaitkan kepentingan dinar emas dan dirham perak kepada perkara-perkara penting berikut seperti zakat, perkahwinan dan penghakiman berkaitan hudud. Transaksi melalui medium wang emas dan perak digunakan secara meluas sehinggalah kejatuhan kesultanan Khalifah Uthmaniah pada awal 1900an. Ini membuktikan bahawa penggunaan dinar emas di kalangan negara-negara Islam jika direalisasikan akan mewujudkan kuasa ekonomi yang lebih kukuh, stabil, komprehensif dan kompetitif. Realiti sekarang memerlukan umat dan negara Islam perlu menguasai ekonomi dan mampu mengatur struktur operasinya.

Di sini, konsep dinar emas dilihat mampu menjadi kuasa pengimbang kepada kekuatan dolar AS yang masih menjadi pemain utama kewangan global. Kekuatan dinar emas telahpun diakui dan amat berdaya saing di pasaran global. Ini adalah kerana emas dilihat sebagai instrumen pelaburan paling selamat, berdaya saing dan kukuh untuk melindungi nilai daripada kenaikan inflasi dan spekulasi. Emas juga dilihat sebagai pelindung nilai terbaik berikutan elemen ketidaktentuan global dan geo-politik dunia, kenaikan harga minyak mentah serta kelemahan dolar AS yang sedang membelenggu negara itu sendiri dan negara-negara utama dunia lain termasuk Malaysia.

Melihat kepada situasi ini, umat dan negara Islam wajar mengambil peluang mempelbagaikan aplikasi instrumen kewangan dan menjadikan dinar emas sebagai mekanisme utama urusniaga perniagaan dan perdagangan di samping instrumen sedia ada. Menerusi sandaran kepada dinar emas, nilai mata wang negara akan ditentukan oleh nilai emas yang sebenar, dan bukannya dolar AS lagi. Namun begitu, penggunaan dinar emas dalam urus niaga harian dalam negara tidak akan menjejaskan penggunaan ringgit, bahkan sandaran kepada dinar akan menjadikan nilai ringgit sentiasa stabil dan tidak tergugat dengan turun naik dalam pasaran mata wang global.

Penggunaan dinar emas sebagai medium alternatif bagi pertukaran perdagangan antarabangsa boleh memberi manfaat kepada negara-negara dunia ketiga terutamanya di rantau ASEAN dan negara Islam lain. Dinar emas juga boleh digunakan komoditi dan sistem pertukaran mata wang dengan suasana krisis dunia ketika ini dan harga komoditi yang tidak stabil di samping dijadikan mata wang sandaran terbaik bagi dunia kerana mampu menjadi pengukur prestasi pertumbuhan ekonomi melihat kepada keupayaannya.

RUJUKAN
Umar Azmon Amir Hassan, 2001. Guna mata wang dinar agenda terpenting zaman ini. Utusan Malaysia, 9 Julai
Khalid Noorshah, 2001. Dinar Islam sebagai mata wang alternatif. Utusan Malaysia, 6 Julai 2001

Segerakan guna dinar emas, Utusan Malaysia, 20 Januari 2009
Resolusi KEI-3 diserah kepada Majlis Raja-Raja, Utusan Malaysia, 16 Januari 2009
Dinar emas: Alternatif bagi perdagangan, Utusan Malaysia, 13 Jun 2003
Dinar emas sandaran terbaik negara Islam, Utusan Malaysia, 2 Ogos 2001

Comments

Popular Posts