Sunday, February 22, 2009

SEGERA GUBAL AKTA GANGGUAN SEKSUAL


Masalah gangguan seksual kadangkala masih dianggap sebagai kes terpencil di dalam masyarakat kita. Ini mungkin ekoran ramai mangsa malu, bimbang dan takut tampil ke hadapan membawa kes mereka kepada muka pengadilan dan pihak berkuasa atau juga persepsi biasa yang menganggap perbuatan itu hanyalah sekadar usikan atau gurauan teman sepejabat dan sebagainya.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, fenomena itu menyebabkan usaha membantu mangsa teraniaya sukar dilakukan di mana kajian Badan Kesihatan Sedunia pada 2005 di kalangan 25,000 wanita daripada 10 negara menyatakan 55 hingga 95 peratus yang didera secara fizikal oleh pasangan tidak melaporkannya kepada polis, badan bukan kerajaan (NGO) atau mendapatkan perlindungan. Berikutan itu, mangsa mengalami penderaan berterusan tanpa mendapat perhatian masyarakat dan perlindungan sewajarnya sekali gus menyebabkan mereka mengalami gangguan mental, emosi dan masalah kesihatan.

Berdasarkan statistik polis, 104 kes gangguan seksual membabitkan suspek di kalangan majikan dan rakan sekerja dilaporkan tahun lalu iaitu setakat September 2008. Perangkaan kes keganasan rumah tangga pula menunjukkan 2,761 kes dilaporkan hingga tiga suku tahun 2008 dilihat masih tinggi berbanding 3,756 kes pada 2007.

Oleh demikian,peningkatan jumlah kes yang melibatkan gangguan seksual ketika ini memerlukan inisiatif dan komitmen nekad penggubalan akta khas berkenaan gangguan seksual di negara kita perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi menyekat, menghalang dan mencegah amalan buruk berkenaan. Di samping itu, melalui peruntukan akta berkenaan boleh menghukum pesalah dengan denda yang setimpal serta menentukan gantirugi yang dapat dituntut oleh mangsa perbuatan berkenaan.

Kewujudan akta sedemikian juga diharapkan mampu menangani isu keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita, termasuk menghapuskan gangguan seksual di tempat kerja dan lain-lain keadaan yang kerap berlaku. Sehubungan itu, penggubalan akta khas tersebut dalam konteks ini mesti dipercepatkan agar dapat melindungi kehormatan, maruah, keselamatan dan kepentingan golongan wanita di negara daripada terus menjadi mangsa sebarang bentuk keganasan dan gangguan seksual.

Sehingga hari ini, negara telah memiliki Kod Amalan Pencegahan dan Penghapusan Gangguan Seksual 1999 yang merupakan satu-satunya garis panduan khusus yang digunakan bagi tujuan menangani masalah berkaitan gangguan seksual. Namun begitu, kod amalan itu digunakan sebagai garis panduan untuk majikan dan pekerja sahaja dan tidak mempunyai status undang-undang malah bukan juga akta atau peraturan di bawah mana-mana akta tertentu.

Pada masa ini, bagi kesalahan di tempat kerja umpamanya kebiasaannya pesalah hanya dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan peruntukan di dalam kod amalan itu sahaja dan bentuk hukuman yang dikenakan terhadap pesalah masih ringan, bagaimanapun bergantung kepada pertimbangan dan budi bicara majikan sama ada menggantung, turun gaji dan pangkat, denda, amaran atau memecat pekerja tersebut dan sebagainya jika didapati bersalah.

Menurut Artikel 4 dan 6 kod amalan tersebut, gangguan seksual didefinisikan sebagai perlakuan bercirikan seksual yang tidak diingini atau disenangi termasuklah secara lisan, perbuatan, visual, psikologi mahupun secara fizikal. Ini termasuklah perbuatan atau perlakuan yang menyebabkan suatu gangguan terhadap pekerja wanita di tempat kerja dengan mendesak atau mencemuh mereka melalui perbuatan, perkataan atau bukan perkataan yang berbaur lucah dan tidak disenangi.

Perbuatan tidak bermoral ini juga sangat serius dan kesalahannya turut diperuntukkan mengikut Kanun Keseksaan misalnya di bawah Seksyen 354 iaitu mencabul kehormatan dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah. Ini membuktikan bahawa kesalahan dan jenayah salahlaku gangguan seksual adalah perbuatan yang berat dan tidak boleh dipandang ringan. Biarpun begitu, akta khusus berkaitan gangguan seksual wajar diwujud dan digubal segera.

Ini adalah kerana dilaporkan dari 2005 hingga 2008, 3,906 kes gangguan seksual termasuk kes rogol dan cabul dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 27 kes tindakan tatatertib membabitkan sektor awam dilaporkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Manakala berdasarkan statistik juga menunjukkan punca kes keganasan rumah tangga pula sepertimana yang dilaporkan kepada PDRM, antara lain akibat penagihan dadah, mabuk dan judi serta dan perebutan anak.

Oleh itu, bagi mereka yang pernah atau sedang menjadi mangsa perbuatan tidak bertamadun ini perlu tampil ke hadapan bagi menghentikan gangguan seksual ini daripada terus berlaku dengan memberanikan diri memberi amaran kepada pesalah laku jenayah tersebut atau membuat laporan kepada Jabatan Buruh, lembaga tatatertib, kaunselor, pengurusan syarikat, NGO wanita atau terus laporkan kepada polis untuk diambil tindakan selanjutnya.

Perlu juga ditegaskan di sini bahawa dakwaan gangguan seksual adalah satu dakwaan yang serius dan boleh menjejaskan reputasi seseorang walaupun tidak dapat dibuktikan. Oleh itu, aspek kerahsiaan perlu diberi penekanan di setiap peringkat tindakan yang diambil oleh semua pihak yang terlibat untuk menjaga maruah dan reputasi pengadu, pelaku dan mana-mana pihak-pihak terbabit secara keseluruhannya.

Rujukan

Ramai wanita tidak lapor kena dera, gangguan seksual, Berita Harian, 9 Mac 2009
Akta khas lindung wanita daripada gangguan seksual, Utusan Malaysia, 23 Februari 2009
Akta Gangguan Seksual diwujud, Berita Harian, 23 Februari 2009
Kenapa malu mengadu diganggu secara seksual?, Utusan Malaysia, 21 Julai 2008

Laman web Women's Aid Organisation: http://www.wao.org.my/news/gangguseksual.htm

2 comments:

thayapari said...

hi...a very informative article..
im a student of psychology and we going to do seminar on Gangguan seksual di tempat kerja..
may i knoe from where i can get the latest statistic on sexual harassment in malaysia...hope can reply me soon..thx..
All The Best..

rizadora said...

Me to...I need latest statistics on sexual harassment in workplace. I am a student of HRM and taking Legal Issues in HRM subject. I have class presentation next 2 weeks on sexual harassment in workplace. I went to MHR website and no latest info.