RAHSIA DAN RESEPI ALAM PERKAHWINAN KEKAL LAMA


Episod perceraian adalah mimpi ngeri bagi setiap pasangan yang berkahwin. Ini adalah kerana alam perkahwinan yang dibina adalah dengan harapan dan impian agar ianya kekal buat selama-lamanya. Perkahwinan juga adalah lambang kejayaan dan kemuncak percintaan antara kaum Adam dan Hawa. Namun perceraian yang dahulunya dianggap sangat memalukan, kini menjadi lumrah dan trend baru masyarakat moden. Situasi genting ini sehingga mewujudkan suasana ‘kahwin dan cerai ekspres’ di samping drama pergelutan suami isteri di mahkamah acapkali berlaku untuk tontonan umum.

Sehubungan itu, sungguhpun perceraian dibenarkan agama dan undang-undang, namun ianya perlu dikekang serta diberi perhatian serius oleh pihak berwajib yang bertanggungjawab dalam hal ini. Dilaporkan baru-baru ini hampir 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Pendedahan ini sangat mengejut dan menakutkan kerana jumlahnya terlalu tinggi dan keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Kita sedia maklum alam perkahwinan bukan perkara main-main sehingga membawa kepada perceraian antara suami dan isteri.

Daripada jumlah yang kian meningkat tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun 2008 dan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,023 kes manakala catatan terendah ialah di Perlis iaitu 24 kes. Jumlah kes perceraian di negeri Kedah pula sebanyak 1,561 kes, diikuti Kelantan (1,386), Selangor (1,138), Perak (1,081), Terengganu (881), Melaka (675), Sarawak (571), Pahang (524), Wilayah Persekutuan (380), Sabah (346) dan Negeri Sembilan (78).

Antara faktor dan punca berlakunya jumlah perceraian yang tinggi di seluruh negara ialah kerana tiada persefahaman dalam menguruskan rumah tangga, suami atau isteri terbabit dengan hubungan orang ketiga dan poligami di samping wujudnya campur tangan keluarga secara berlebihan dan tekanan bebanan kerja sehingga masa untuk bersama keluarga diabaikan. Krisis ekonomi yang melanda ketika ini juga dijangka boleh menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di negara kita jika sesuatu tidak dilakukan segera.

Dalam konteks ini, apa yang menarik dan ingin dikongsikan di sini ialah tentang kajian penyelidik di London berjaya membongkar rahsia perkahwinan berpanjangan dan ia membabitkan elemen jurang umur dua tahun, amalan empat ciuman sehari dan konsisten mengadakan hubungan seks tiga kali seminggu dengan pasangan. Di samping itu, berkongsi dua hobi, memeluk pasangan tiga kali setiap 24 jam, mengucap ‘saya cintakan awak’ sekurang-kurangnya sekali sehari dan menikmati dua hidangan romantik dua kali sebulan juga boleh membantu memanjangkan usia perkahwinan.


Selanjutnya, penyelidikan tersebut juga menunjukkan banyak komponen yang menjadikan perkahwinan itu sempurna, termasuk jurang usia yang sesuai, tempoh bercinta dan masa untuk berkahwin. Jurang perbezaan usia menetapkan lelaki perlu lebih tua berbanding wanita agar suami stabil dari segi emosi dan kewangan. Pasangan juga perlu sentiasa berhubungan walaupun ketika bekerja menerusi sekurang-kurangnya tiga panggilan telefon, SMS atau emel. Selanjutnya, dua percutian hujung minggu mengejutkan setiap tahun dan sekali percutian di luar negara setahun juga memastikan perkahwinan sentiasa kukuh.

Walaupun rahsia dan resepi kebahagiaan berumahtangga di atas adalah berdasarkan kajian dari perspektif Barat, namun tidaklah keterlaluan untuk dipraktikkan oleh semua pasangan suami isteri di negara kita. Dalam pada itu juga, mereka bolehlah kerapkan solat berjamaah bersama di rumah; memperbanyakkan tilawah dan bertadarus al-Quran setiap hari antara suami dan isteri di samping melazimkan berpuasa sunat; membaca buku, majalah dan lain-lain di samping bertukar-tukar fikiran, pendapat dan idea; berkongsi masalah, pengalaman, kegembiraan dan kesedihan bersama-sama dalam usaha memperkukuh dan mempereratkan lagi ikatan suci tali perkahwinan yang diberkati.

Bagaimanapun, dalam segala hal dan soal hidup berkeluarga maka sirah dan siri kehidupan Rasulullah s.a.w adalah contoh serta model terbaik untuk dilaksanakan serta diteladani oleh umat Islam sampai bila-bila. Ini adalah kerana rekod perjalanan kehidupan baginda adalah bersumber dan berpaksikan wahyu Allah s.w.t yang merupakan landasan dan garis panduan yang mesti dipatuhi serta diikuti oleh kita semua di mana sahaja kita berada. Oleh itu, kehidupan beragama bersandarkan al-Quran dan Hadis adalah ubat serta penawar sebenar kepada penyakit serta sindrom cerai-berai yang melanda masyarakat kita hari ini.

Rujukan

Abdullah Nasih Ulwan, 1988. Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd

Kes cerai kini mencecah 75,299, Utusan Malaysia, 3 Mac 2009
Empat ciuman sehari panjangkan perkahwinan, Berita Harian, 3 Mac 2009

Comments

Popular Posts