Tuesday, March 17, 2009

SAIDINA ALI DAN ALAM MELAYU


Pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu
Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.

sumber: Utusan Malaysia, 17 Mac 2009 di talian http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments: