UNDANG-UNDANG PENYELESAIAN KEPADA JENAYAH PERANG ISRAEL

PENDAHULUAN

Kerajaan Malaysia berpendirian serangan ketenteraan Israel melalui operasi 'Cast Lead' pada 27 Disember 2008 ke atas wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009 merupakan tindakan kejam, melampau dan tidak bertamadun yang jelas sengaja mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 perlindungan orang-orang awam dalam masa perang.

Berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Israel terhadap Palestin selama ini membuktikan bahawa selain usaha damai, saluran undang-undang juga wajar dipraktikkan oleh badan dunia untuk mengheret Israel ke muka pengadilan antarabangsa walaupun usaha tersebut adalah mustahil untuk dilakukan ketika ini kerana kerajaan negara Yahudi itu disokong penuh oleh negara besar dunia terutamanya Amerika Syarikat dan negara Barat. Biarpun begitu, negara Islam dan masyarakat dunia lain yang cintakan kedamaian serta keamanan sejagat perlu bersatu dan komited berusaha membawa jenayah perang Israel ke muka pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague melalui medium undang-undang dan peruntukan antarabangsa sedia ada agar penjenayah perang boleh didakwa dan dihukum dengan hukuman paling berat.

DEFINISI JENAYAH PERANG

Melihat kepada apa yang telah dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin, jelas menunjukkan negara Zionis itu telah melakukan pencerobohan kedaulatan sebuah negara merdeka dan jenayah perang ini dilaksanakan secara terang-terangan tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam dan rayuan masyarakat dunia lain agar jenayah tersebut dihentikan segera. Jenayah perang umumnya bolehlah dianggap sebagai suatu tindakan di mana wujudnya pelanggaran undang-undang atau kelaziman perang oleh satu atau beberapa orang, negara dan sebagainya serta tidak terhad kepada bentuk pembunuhan, penganiayaan atau pengusiran penduduk awam di wilayah diduduki, pembunuhan atau penganiayaan tawanan perang, pembunuhan tebusan, pemusnahan sewenang-wenang bandar, pekan dan kampung, dan apa-apa pembinasaan yang tidak berasaskan keperluan tentera di mana pelaku jenayah perang ini disebut penjenayah perang.

Di dalam buku Documents on the Laws of War karya Adam Roberts dan Richard Guelff menyenaraikan sejumlah undang-undang perang antarabangsa yang antara lainnya ialah seperti Hague Convention V Respecting the Rights and Duties of Neutral Powers and Persons in Case of War on Land 1907, Hague Convention IX Concerning Bombardment by Naval Forces in Time of War 1907, Geneva Protocol for the Prohibition of the Use in War of Asphyxiating, Poisonous or Other Gases, and of Bacteriological Methods of Warfare 1925, Judgment of the International Military Tribunal at Nuremberg: Extracts on Crimes Against International Law 1946, UN Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide 1948, Geneva Convention III Relative to the Treatment of Prisoners of War 1949, Geneva Convention IV Relative to the Protection of Civilian Persons in Time of War 1949, Hague Convention for the Protection of Cultural Property in the Event of Armed Conflict 1954 dan lain-lain lagi yang mengikat dan terpakai bagi menghukum pelaku jenayah perang di seluruh dunia sepertimana yang telah dilakukan Israel ketika ini dan beberapa negara lain sebelum ini.

Amalan dan kelaziman perundangan ini adalah berdasarkan kepada Konvensyen Hague 1899 dan 1907 di mana konsep moden jenayah perang telah dibangunkan daripada Perbicaraan-Perbicaraan Nuremberg yang berdasarkan kepada definisi di dalam London Charter yang diterbitkan pada 8 Ogos 1945 melibatkan jenayah perang ke atas keamanan dan kemanusiaan. Perkara 22 Hague IV ("Laws of War: Laws and Customs of War on Land 1907") misalnya tegas menyatakan "The right of belligerents to adopt means of injuring the enemy is not unlimited and over the last century many other treaties have introduced positive laws that place constraints on belligerents. Some of the provisions, such as those in the Hague conventions, are considered to be part of customary international law, and are binding on all. “

PENDIRIAN MALAYSIA DALAM ISU PALESTIN-ISRAEL

Malaysia pada setiap masa material menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - Uniting for Peace - di bawah Resolusi 377a (v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009. Untuk itu, Malaysia menggesa PBB menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Security Council, supaya bertindak untuk mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza.

Amerika Syarikat dalam hal ini telah menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak. Pada 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan telah meluluskan Resolusi No. 1860 (2009) yang mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza, mendesak supaya semua pihak mematuhi gencatan senjata dan tentera Israel diarah undur keluar dari wilayah Palestin tetapi resolusi ini senyap sahaja tentang kepungan atau blockade yang dikenakan oleh pihak Israel ke atas Palestin.

Pada 27 Disember 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas hak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai asasi manusia di wilayah yang diduduki, telah menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa (international humanitarian law) seperti yang ditetapkan oleh Konvensyen Geneva yang memerlukan Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar perhimpunan agung berlandaskan Resolusi No.377 a (v) tahun 1950 - Uniting for Peace.

PENUBUHAN TRIBUNAL JENAYAH ANTARABANGSA

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Malaysia mengusulkan penubuhan tribunal jenayah perang untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Penubuhan tribunal tersebut bertujuan mengheret pemimpin-pemimpin rejim Israel ke muka pengadilan ekoran kekejaman mereka membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa. Langkah serupa pernah dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Serbia yang didakwa terlibat melakukan pembunuhan kaum, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan ke atas penduduk Bosnia. PBB sebelum ini pernah menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) yang bertujuan membicarakan pemimpin Serbia yang terbukti melakukan pembunuhan ke atas penduduk Bosnia dan antara pemimpin terlibat ialah Radovan Karadzic.

Karadzic telah didakwa kerana peranannya semasa perang 1992-1995 di Bosnia, terutamanya kepungan 44 bulan ke atas Sarajevo, yang menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh, pembunuhan beramai-ramai lelaki Islam di Srebrenica pada Julai 1995 dan pembersihan etnik di banyak kawasan bekas republik Yugoslavia itu. Untuk itu, Tribunal Jenayah Perang perlulah boleh mengemukakan hasil siasatan, keterangan, pengadilan serta menuntut ganti rugi untuk dilaksanakan oleh beberapa mahkamah di peringkat negara dan antarabangsa. Menurut peguam Antarabangsa, Alfred Lambremont Webre, tindakan untuk mengadili jenayah perang mampu menggerakkan pendapat orang ramai untuk mendakwa mereka yang memainkan peranan utama dalam Pertubuhan Pakatan Jenayah Perang (WRO) di negara-negara terlibat.

Peranan Tribunal juga boleh digunakan untuk mendakwa mereka yang terlibat membuat keputusan dalam WRO kerana melakukan jenayah serius yang turut melibatkan masyarakat antarabangsa di mana kuasa perundangannya perlu dipanjangkan kepada 88 negara yang belum menandatangani Statut Rom untuk Mahkamah Antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Sehingga 1 Januari 2007, sebanyak 104 negara telah menandatangani Statut Rom untuk Mahkamah Antarabangsa termasuk 29 negara Afrika, 12 negara Asia, 15 Eropah Timur, 22 dari Latin Amerika dan Caribbean, 26 dari Eropah Barat dan lain-lain negara. Negara berkenaan telah meluluskan undang-undang yang membenarkan mahkamah di negara mereka mendakwa jenayah perang seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Geneva dan Statut Rom.

MENGAPA PEPERANGAN PERLU DIANGGAP JENAYAH?

Seorang Profesor Undang-Undang Universiti Illinois Amerika Syarikat, Prof. Francis A. Boyle mencadangkan setiap negara menyaman Presiden AS, George Bush di atas jenayah perang yang dilakukan. Langkah itu walaupun mungkin tidak berkesan, tetapi ia sebagai satu usaha untuk menunjukkan bahawa masyarakat dunia tidak suka kepada peperangan seperti mana ditekankan di dalam kertas kerjanya bertajuk Jenayah Perang-Jenayah Menentang Keamanan, Jenayah Menentang Kemanusiaan pada Forum Keamanan Sejagat Perdana 2005 di Kuala Lumpur.

Masyarakat dunia perlu sedar bahaya peperangan jika tidak dihalang boleh mencetuskan satu konflik lebih besar dan mungkin mencetuskan peperangan dunia ketiga. Perang Dunia Pertama yang bermula tahun 1914 hingga 1918 sahaja telah menyebabkan sejumlah 18 juta orang maut dengan 10 juta daripadanya ialah orang awam. Dalam Perang Dunia Kedua yang menyusul pada 1937-1945 di mana Amerika Syarikat yang mencampakkan dua butir bom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun di mana dalam tempoh sembilan tahun 55 juta orang terkorban dengan 28 juta daripadanya orang awam.

Episod manusia membunuh manusia berlarutan dalam Perang Korea di mana seramai 2.8 juta orang maut, dua juta ialah orang awam. Begitu juga Perang Vietnam pada 1957-1975, seramai 3.5 juta orang diragut nyawanya, 2.5 juta merupakan orang awam. Kegilaan manusia terhadap keganasan yang belum berakhir itu bersambung pula dengan konflik di Kemboja, meragut 1.6 juta orang, kesemuanya orang awam. Semasa pencerobohan Soviet di Afghanistan pula, sebilangan 1.8 juta orang meninggal dunia. Manakala Perang Iran-Iraq menyaksikan seramai sejuta orang maut, konflik di Sudan menyebabkan 1.9 juta orang meninggal dan Perang Teluk pula 200,000 nyawa melayang. Ini tidak termasuk angka korban rakyat Palestin yang telah dibunuh dan disembelih oleh Israel sejak sekian lama. Oleh itu, masyarakat dunia perlu menganggap peperangan sebagai salah satu bentuk jenayah besar yang perlu dihalang agar lebih banyak nyawa manusia tidak berdosa dapat diselamatkan.

Bagi Ismail Farihin (2005), peperangan dianggap sebagai satu jenayah yang mengancam keamanan manusia sejagat dan sewajarnyalah pihak yang terlibat di dalam mempelopori serta bersekongkol dan menyokong keganasan peperangan ini dianggap sebagai `penjenayah perang'. Ini termasuklah ketua-ketua negara yang memulakan peperangan, aktiviti komersial yang bersangkutan dengan penjualan senjata perang, institusi kewangan yang memberi dana dan membiayai kos peperangan, aktiviti industri yang mengeluarkan kelengkapan perang serta kajian saintifik yang terlibat dalam penciptaan alat kelengkapan senjata pemusnah yang digunakan semasa peperangan.

Manakala sebuah pertubuhan hak asasi manusia Palestin pula meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa melancarkan siasatan terhadap Israel kerana melakukan jenayah perang semasa kempen serangannya di Genting Gaza. ICC yang ditubuhkan pada tahun 2000 ialah mahkamah tetap pertama di dunia didirikan untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes yang melibatkan jenayah perang. Israel dan Amerika Syarikat bukan antara 108 negara yang telah menandatangani Statut Rom yang membawa kepada penubuhan ICC tetapi keadaan itu tidak akan menghalang ICC daripada melancarkan siasatan. Peguam Palestin, May Sobhi Khansa yang mengetuai Perikatan Antarabangsa menentang kezaliman menyerahkan petisyen 25 muka kepada ICC untuk menggesa ICC memasuki Gaza dan menyiasat kematian dan kecederaan ratusan penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ini adalah kerana Israel bertindak ganas dan di luar batas kemanusiaan menggunakan senjata pengganas dan peralatan moden peperangan untuk melakukan jenayah kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan untuk itu, melalui proses undang-undang serta peruntukan yang ada pemimpin-pemimpin Israel dan siapa sahaja yang bertanggungjawab sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam hal ini wajar dihukum bunuh, dipenjara seumur hidup, dibuang negara, diadakan sekatan ekonomi ke atas negaranya dan lain-lain hukuman berat sebagai pengajaran dan iktibar kepada negara lain di dunia.

KESIMPULAN

Walaupun seolah-olah realitinya agak kompleks untuk mengheret Israel ke muka pengadilan antarabangsa, namun negara Islam dan masyarakat dunia lain yang cintakan kedamaian serta keamanan sejagat tidak boleh berputus asa perlu bersatu padu dan komited berusaha membawa penjenayah perang Israel ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague melalui medium undang-undang dan peraturan antarabangsa sedia ada di samping usaha damai sebagai manifestasi global bencikan peperangan, penganiayaan dan pencerobohan.

Oleh yang demikian, melihat dan berdasarkan kepada apa yang telah berlaku ICC dan badan dunia lain perlu berani, tegas dan tidak memilih bulu mendakwa para pemimpin kejam Israel kerana menjuarai serta membela aktiviti jenayah perang global dan dalam masa yang sama, semua negara Islam dan masyarakat dunia lain wajar memfailkan tindakan saman terhadap Israel di mahkamah beberapa negara anggota agar mereka boleh diadili melalui proses undang-undang dan keadilan seperti mana yang telah dilaksanakan kepada penjenayah-penjenayah perang sebelum ini.



Rujukan

Adam Roberts dan Richard Guelff, 2000. Documents on the Laws of War. London: Oxford University Press
Azlinariah Abdullah, 2007. Batasan kemanusiaan dalam perang. Utusan Malaysia, 17 Julai
Ismail Farihin, 2005. Perang wajar dianggap sebagai jenayah. Utusan Malaysia, 27 Disember
Mazlan Nordin, 2007. Rekod buruk AS dikenang generasi akan dating, Utusan Malaysia, 11 Februari
Zin Mahmud, 2007. Isytihar perang adalah jenayah. Utusan Malaysia, 4 Februari

Jenayah perang: ICC didesak siasat Israel, Utusan Malaysia, 16 Januari 2009
Malaysia kutuk keangkuhan Israel, Utusan Malaysia, 13 Januari 2009
Kemuka usul tubuh tribunal jenayah perang - Dr. Mahathir, Utusan Malaysia, 10 Januari 2009
Tribunal jenayah perang KL boleh kemuka hasil siasatan, Utusan Malaysia, 6 Februari 2007
Mendedahkan penjenayah perang, Utusan Malaysia, 5 Februari 2007
Media perlu didik ‘perang adalah jenayah’ – Dr. M, Utusan Malaysia, 5 Februari 2007
Pesalah dilabel penjenayah perang, Utusan Malaysia, 1 Februari 2007
Profesor syor semua negara saman Bush, Utusan Malaysia, 16 Disember 2005

Laman Sesawang:

"war crime." Merriam-Webster Online Dictionary. 2009. Merriam-Webster Online. [http://www.merriam-webster.com/dictionary/war crime]
“War crime”. Wikipedia, The Free Encyclopedia. 19 Februari 2009. [http://en.wikipedia.org/w/index.php?title=War_crime&oldid=270652883]

Comments

Popular Posts