POTENSI INDUSTRI PENANAMAN KOKO


Rakyat Malaysia wajar memanfaatkan peruntukan RM80 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengusahakan tanaman koko secara komersial bagi menjana pendapatan dan merancakkan lagi ekonomi negara memandangkan industri koko kini semakin stabil untuk pasaran dalam dan luar negara. Industri penanaman koko berpotensi tinggi berikutan harga purata komoditi itu sekarang berada pada paras AS$2,500 (RM8,750) setan.Industri koko juga kini menyumbang sejumlah kira-kira RM3.4 bilion atau tiga peratus, menjadikannya komoditi ketiga terbesar negara selepas kelapa sawit dan getah.

Industri koko bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita kerana pada tahun 1980-an, Malaysia pernah berada di tempat ketiga di kalangan pengeluar koko dunia dengan keluasan ladang 414,236 hektar di mana Sabah sahaja mempunyai ladang seluas 205,260 hektar. Bagaimanapun, akibat kedudukan harga koko dunia yang tidak menentu dari 1980-an hingga ke pertengahan tahun 1990-an, menyebabkan ramai penanam dan peladang bertindak beralih kepada penanaman kelapa sawit dan tanaman lain yang lebih stabil di pasaran di samping kekurangan tenaga buruh untuk mengerjakannya.

Pada tahun 2005, pengeluaran koko negara hanya memenuhi 20 peratus daripada keperluan tempatan. Tahun 2006 pula, hanya ada kira-kira 33,000 hektar saja yang masih wujud dan biarpun begitu, pendapatan eksport bagi industri koko mencecah kira-kira RM2.4 bilion pada tahun 2007. Pada tahun 2008, keluasan kawasan yang ditanam tanaman koko hanya sekitar 20,000 hektar sahaja dan berharap pada tahun ini akan bertambah sehingga 25,000 hektar. Manakala Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah mensasarkan keluasan ladang koko di seluruh negara akan menjangkau 100,000 hektar menjelang tahun 2010.

Melalui dana, kepakaran dan pengalaman yang ada Lembaga Koko Malaysia telah melaksanakan program pembangunan pekebun kecil koko termasuk insentif pemberian baja, bahan cantuman atau anak benih serta latihan kemahiran teknologi. Malaysia juga mempunyai kelebihan daripada segi teknologi termasuk pengklonan dan mampu mengeluarkan hasil berkualiti tinggi berbanding negara lain. Dalam dunia serba moden ini, satu daripada cara yang dapat memenuhi kehendak pengguna adalah dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan sains dan teknologi khasnya melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pada satu ketika, kerajaan tidak perlu mengimport biji koko dan negara kini terpaksa mengimport biji koko dari luar untuk diproses di negara ini yang sekali gus merugikan daripada segi tukaran asing kerana jumlah kawasan tanamannya yang kecil. Di samping isu biji koko, aspek pembangunan dan perkembangan semua sektor utama industri ketika ini termasuk pembangunan produk dan peningkatan kualiti, penyelidikan dan pembangunan teknologi, teknologi pemprosesan koko serta standard pembuatan, spesifikasi produk dan aspek komersial perdagangan koko perlulah diberikan keutamaan.

Di samping itu, antara strategi lain yang wajar diguna pakai bagi memastikan industri penanaman koko berdaya maju dan mampu bersaing di pasaran global ialah memperbaiki kaedah menanam benih yang memberi hasil yang tinggi dan meningkatkan kemahiran mengurus ladang di kalangan peladang dan petani di seluruh negara. Penekanan juga hendaklah diberikan kepada pembangunan industri penanaman koko yang lebih mapan dan pengurangan penggunaan racun serangga atas sebab-sebab alam sekitar misalnya.

Rujukan

Insentif mungkin diberi galakkan penanaman koko, Utusan Malaysia, 12 Mei 2009
Harga koko mampu kekal tinggi, Berita Harian, 12 Mei 2009
Increase in consumption of cocoa vital, The Star, 12 Mei 2009
Industri koko perlu hasil produk inovatif, berkualiti, Berita Harian, 8 Mei 2009
Pekebun kecil diminta teroka tanaman koko komersial,Utusan Malaysia, 6 Februari 2008
Negara hadapi masalah kekurangan biji koko, Utusan Malaysia, 9 Januari 2006
Industri koko dipergiat guna teknologi baru, Utusan Malaysia, 26 Disember 2003

Comments

Nan Zul said…
harga koko setakat bulan sep 2009
RM 9.00 kg
alhamdulilLah, tkasih atas info berkenaan.
Klu tanam koko secara sendirian berskala kecil..dimana boleh dijual yea?mohon tunjuk ajar..

Popular Posts