Sunday, June 28, 2009

MEMPERKASA BAITULMAL


Baitulmal adalah entiti penting yang berperanan menyelaras, mengumpul, mentadbir dan mengurus simpanan aset umat Islam secara yang efektif serta komprehensif sejak sekian lama. Baitulmal telah melalui proses transformasi yang seimbang, sistematik dan telah berjaya memperkukuhkan pendapatan negara dan umat Islam dalam pelbagai disiplin termasuklah aktiviti ekonomi, jaringan sosial, politik, ketenteraan, teknologi, pendidikan dan pembangunan negara secara keseluruhannya.

Dalam buku Institusi Baitulmal dalam Pembangunan Negara (2007), Baitulmal merupakan institusi harta dan kewangan induk dalam negara Islam di mana khazanah yang terkumpul adalah aset negara yang dimiliki oleh semua rakyat yang tinggal dan menetap di bawah naungan kerajaan Islam termasuklah warga bukan Islam. Ini membuktikan bahawa Islam memiliki jentera kebajikan yang adil, berketerampil dan mampu menjadi alternatif kepada amalan ekonomi serta kewangan konvensional.

Dana dan sumber Baitulmal juga boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk orang bukan Islam terutamanya kepada agihan dan pembahagian kek ekonomi dalam bentuk maslahah 'ammah (kebajikan awam) yang mencakupi infrastruktur asas seperti pembinaan terusan atau tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar-bandar baru dan sebagainya boleh dimanfaatkan oleh semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Baitulmal menurut pandangan sarjana Islam al-Mawardi ialah tempat merekodkan pembahagian dan pengumpulan harta umat Islam dan negara. Lebih tepat lagi Baitulmal setanding fungsi Perbendaharaan Negara yang menerima dari pelbagai sumber kewangan dan harta secara terkumpul oleh negara Islam seperti zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun, lebihan pusaka yang tidak berwaris dan lain-lain lagi termasuk juga sumber-sumber yang diputuskan oleh pemerintah melalui ijtihad dan maslahah.

Malahan harta tidak patuh syariah seperti apa-apa sahaja jenis harta yang diperolehi hasil daripada transaksi yang bertentangan dengan syariat Islam seperti hasil faedah dari riba; keuntungan hasil judi dan rasuah, atau kerana berlakunya campur aduk antara aktiviti yang dibenarkan oleh syarak dengan yang sebaliknya. Lebihan dana atau hasil yang tidak patuh syariah ini boleh disalurkan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan awam dan sebagainya.

Walaupun institusi Baitulmal telah diasaskan sejak zaman Rasulullah lagi namun telah diperbadankan secara rasmi pada zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin kedua Umar al-Khattab yang dikenali ketika itu sebagai Diwan dan kemudiannya dinamakan sebagai Baitulmal. Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) masing-masing selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah senarai negeri yang diketuai oleh Raja atau Sultan sesebuah negeri.

Dalam konteks yang lebih luas, skop Baitulmal mencakupi peranan yang lebih luas sebenarnya jika dibandingkan dengan konsep Perbendaharaan Negara hari ini yang bukan sahaja berperanan sebagai institusi perbendaharaan negara melalui dasar, amalan dan kepentingannya kepada pemerintah, malah bertindak sebagai bank pusat yang berperanan secara langsung kepada sistem kewangan negara, belanjawan dan dasar fiskal, pembangunan agama serta kebajikan umat Islam.

Sehubungan itu, dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu dan bagi memastikan survival umat Islam terus terpelihara maka fungsi dan skop Baitulmal perlu diperkasakan lagi dari masa ke semasa di samping komited mencari dan menambah sumber dana baru dan melaksanakan reformasi dalam usaha penjenamaan semula institusi hebat umat Islam ini. Ini adalah bagi memastikan Baitulmal lebih efisien, kreatif dan inovatif bersesuaian dengan keadaan serta iklim ekonomi semasa.

Sejarah telah membuktikan bahawa institusi Baitulmal jika diurus dengan betul dan berkesan mampu membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi dengan sokongan padu dana zakat, wakaf dan sebagainya yang merupakan mekanisme penting serta pengimbang kepada kestabilan ekonomi negara dan umat Islam. Untuk itu juga, Baitulmal perlu lebih aktif dan kompetitif membabitkan aktiviti pembangunan masyarakat dengan meneroka sumber baru seiring dengan model ekonomi baru negara.

Sehubungan itu juga, proses penjenamaan semula produk Baitulmal di setiap negeri perlu dilakukan sesuai dengan ledakan dan persekitaran globalisasi yang sentiasa bergerak pantas. Pentadbiran dan pengurusan Baitulmal juga mestilah diperkemas dan diterajui golongan profesional dan pakar berkemahiran yang mampu memberi suntikan baru, membangunkan serta menggerakkan jentera Baitulmal secara yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Bertepatan dengan penganjuran Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 1430H/2009M dengan tema 'Baitulmal: Masihkah Relevan?' baru-baru ini maka idea-idea yang baru, segar dan lebih praktikal dalam memperkasakan institusi Baitulmal serta menyemak kembali fungsi dan peranan Baitulmal yang sebenar seperti mana pada zaman kegemilangan Islam perlulah direalisasikan dengan segera seiring dengan sejarah institusi Baitulmal di negara kita.

Untuk itu, kita perlu menjana dan mengumpul idea serta pemikiran para cendekiawan Islam dari pelbagai lapangan seperti pentadbiran, akademik, undang-undang dan sebagainya dalam memperkukuh institusi Baitulmal di negara kita. Perkongsian pengalaman, kemahiran serta pengetahuan dalam pentadbiran dan pembangunan institusi Baitulmal juga wajar diperluaskan perlaksanaannya.

Usaha dan komitmen mengkaji fungsi, peranan dan konsep Baitulmal pada zaman kegemilangan Islam secara serius untuk diterapkan kembali dalam usaha memperkasa institusi Baitulmal di semua negeri harus diperkembangkan di setiap lapisan pentadbiran dan pengurusan dalam segala aspek pembangunan institusi penting umat Islam ini. Cadangan sebuah entiti Baitulmal di peringkat persekutuan bagi menyelaraskan harta milik umat Islam juga wajar dipertimbangkan sebagai mekanisme penggerak ekonomi ummah.

Komitmen memartabatkan institusi Baitulmal di negara kita selari dengan realiti dan perkembangan semasa seperti kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan juga Kerajaan Elektronik (e-Government) sangat wajar; dan menggilap potensi-potensi Baitulmal sebagai tonggak pembangunan ekonomi ummah melalui pemantapan sumber sedia ada dan penerokaan kaedah baru yang berpotensi untuk memperkasakan dana Baitulmal.

Rujukan

Hailani Muji Tahir, 2007. Institusi Baitulmal dalam Pembangunan Negara. Selangor: Penerbit UKM
Murid Fazli Musa, 2009. Lupus harta tidak patuh syariah di Baitulmal. Utusan Malaysia, 24 Jun
Perkasakan Baitulmal, Berita Harian, 25 Jun 2009

Baitulmal perlu diperbadan, Harian Metro, 25 Jun 2009

Sunday, June 21, 2009

TV MEDAN DAKWAH BERKESAN


Dimensi dakwah dalam konteks realiti hari ini perlu diperluaskan skop dan aspeknya ke arah menterjemahkan Islam secara yang lebih konsisten, lebih-lebih lagi ketika dunia ketika ini sedang berhadapan dengan segala macam cabaran, konflik serta halangan yang sentiasa berubah, kompleks dan di luar jangkaan. Untuk itu, Islam perlu diperjelas dan diperkasakan lagi melalui perspektif dakwah yang dilaksanakan secara konstruktif dan mampu mencetuskan inovasi serta idea baru.

Sehubungan itu, cadangan dan usaha mewujudkan stesen TV Islam pertama di negara ini tidak lama lagi adalah langkah bijak yang tepat pada masanya dan merupakan titik tolak kepada proses transformasi serta islamisasi semua rangkaian TV dan media di Malaysia secara sistematik. Ini juga membuktikan TV mampu menjadi saluran dan medium dakwah yang berprestij melalui media elektronik yang berkesan memandangkan hampir setiap rumah di negara ini memiliki kotak TV.

Ironinya, TV yang sebelum ini seringkali dikaitkan dengan kesan dan pengaruh negatif kepada penonton terutamanya kanak-kanak dan pelajar sekolah melalui kajian dan penyelidikan akademik, namun kini dengan potensi TV sebagai wadah serta slot dakwah yang eksklusif, mampu mengubah dan menganjak paradigma penonton kerana ia boleh disalurkan kepada aktiviti serta rancangan yang berfaedah, berkualiti, tidak membuang masa dan yang paling penting mematuhi piawaian serta peraturan Syariah.

Sehubungan itu, kerjasama dan gabungan rangkaian stesen tv swasta dan kerajaan juga perlu digalakkan bagi mewujudkan sebuah konsortium TV dan media Islam yang lebih besar, berpengaruh dan mampu menyediakan kepelbagaian pilihan kepada penonton untuk mempelajari, menekuni serta menghayati ajaran dan amalan Islam secara yang lebih pragmatik serta praktikal melalui rancangan, pendekatan, program dan pengisian TV Islam yang produktif kelak.

Secara kolektifnya, TV Islam wajar dijadikan sebagai rangkaian memperkasa akidah umat Islam melalui aspirasi tauhid yang lebih kental lagi utuh. Di samping itu juga dengan kemudahan yang ada nanti, maka TV Islam juga sebagai media alternatif boleh bertindak sebagai stesen sehenti kepada komuniti bukan Islam umpamanya untuk mengenali dan mendekati Islam secara lebih dekat melalui pendekatan dakwah yang mesra, matang serta positif.

Di samping TV Islam sebagai medan dakwah dan saluran informasi berkenaan Islam secara holistik, ianya juga wajar dijadikan sebagai salah satu forum yang dapat mewujudkan lebih banyak bahan penyiaran berbentuk pendidikan, ekonomi, sukan, kebudayaan, perpaduan kaum, teknologi, sains dan sebagainya agar masyarakat bukan Islam dapat melihat realiti sebenar yang tidak jumud, malahan dinamik dan serba boleh dalam apa jua keadaan.

Tambahan pula sebagai sebuah rangkaian TV berbentuk khidmat masyarakat, stesen rakyat dan keagamaan khususnya, maka modus operandinya perlulah tidak terlalu mengejar keuntungan dan berusaha memperbagaikan isu kandungan rancangan agar sejajar dengan kehendak Islam serta tidak pula bertentangan dengan prinsip-prinsip Syarak umum dalam al-Quran dan as-Sunnah sepanjang operasi serta pengendalian pentadbiran stesen TV Islam kelak.

TV Islam juga perlu lebih kreatif, inovatif dan mampu menarik khalayak Islam dan bukan Islam menontonnya. Oleh yang demikian, pengendali TV Islam seharusnya mewujudkan misalnya siri kartun Islam, drama, sinetron, forum, kuliah dan sebagainya yang sesuai untuk tatapan golongan sasaran terutamanya kanak-kanak, remaja dan kalangan dewasa. Pengalaman serta kreativiti negara-negara pengeluar produk hiburan berunsur Islam seperti Iran, Indonesia dan lain-lain wajar dipelajari sewajarnya.

Kewujudan stesen khas TV Islam kelak bukanlah bermakna atau membawa kepada pegertian bahawa semua siaran serta rancangan berbentuk keagamaan di rangkaian TV sedia ada perlu ditamatkan, malahan perlu diteruskan lagi dan diberi nilai tambah seperti rancangan-rancangan TV berbentuk realiti TV yang cukup popular seperti Akademi Al-Quran, Akademi Nasyid, Halaqah dan lain-lain. Oleh itu, TV Islam perlu mempunyai identiti, imej dan personaliti media Islamnya yang tersendiri.

Hari ini di samping internet melalui laman blog, portal berita dan sebagainya, TV masih mampu muncul sebagai medan dakwah yang terbaik memperjelaskan wajah Islam yang sebenar. Di dalam buku Enhancing The Understanding of Islam for the Media (2002) di mana peranan media seperti TV misalnya sangat penting sebagai medium memperbetulkan prejudis dan gambaran buruk tentang Islam ciptaan Barat, orientalis dan musuh Islam yang tidak pernah bersikap adil dengan umat Islam.

Seterusnya bagai alternatif kepada rancangan TV sedia ada, TV Islam bukan sahaja bakal memberi pilihan kepada umat Islam mencari bahan hiburan yang lebih bermanfaat, malahan mengubah persepsi buruk bahawa TV adalah agen perosak yang melalaikan, membuang masa, negatif dan mempengaruhi minda serta kreativiti kanak-kanak. Untuk itu, TV Islam berkenaan nanti bukanlah sekadar medan media hiburan kosong dan memualkan tetapi berteraskan aspirasi tauhid, bermaklumat, berbaloi, kontemporari serta Islamik. Ini juga membuka peluang dan ruang kepada pendakwah-pendakwah Islam menyebarkan Islam melalui saluran TV tersebut

TV Islam juga bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana stesen TV atau mengejar keuntungan semata-mata tetapi yang paling mustahak ialah objektif dan matlamat TV Islam perlu jelas, komited dan konstruktif melalui badan pengawasan dan pemantauan yang ketat agar tidak lari dari matlamat dan sentiasa berada di landasan yang betul sebagai wadah dakwah, sektor percambahan minda, sumber hiburan Islamik, penjanaan ekonomi Islam melalui tajaan iklan dan juga sebagai agen perubahan di dalam masyarakat yang komprehensif.

RUJUKAN

Anuar Ab. Razak, Abu Bakar Abdul Majeed, et al. 2002. Enhancing The Understanding of Islam for the Media. Kuala Lumpur: IKIM

Kerajaan mahu wujud TV Islam, Berita Harian, 20 Jun 2009
Usaha wujudkan TV Islam disambut baik, Utusan Malaysia, 23 Jun 2009

Tuesday, June 16, 2009

SYEIKH DR. FATHI YAKAN - ARKITEK DAKWAH YANG UNIK


Dunia dakwah dan gerakan Islam dikejutkan dengan berita kematian Syeikh Dr. Fathi Yakan pada hari Sabtu 13 Jun 2009 bersamaan, 19 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu ketika umurnya mencapai 76 tahun. Beliau yang cukup dikenali di seluruh dunia telah meninggalkan legasi dakwah yang sangat hebat sehingga idea, gagasan dan pemikiran beliau telah melahirkan generasi unik Muslim yang begitu mengagumkan.

Sepanjang hayatnya, Fathi Yakan telah mewakaf serta menginfakkan seluruh hidup dan pemikiran beliau kepada aktivisme dakwah dan gerakan Islam tanpa pernah kenal erti jemu dan putus asa selama hampir 50 tahun. Beliau telah memberikan sumbangan bakti dan warisan penulisan intelektual yang tidak ternilai terutama sekali kepada gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menerusi dunia penulisan.

Karya besar seperti Apa Ertinya Aku Menganut Islam yang juga merupakan magnum opus penulisan beliau di samping Bahtera Penyelamat Umat Dalam Kehidupan Pendakwah, Permasalah dakwah dan Pendakwah, Ke Arah Kesatuan Gerakan Islam, Asas-Asas Islam dan buku-buku lain yang melebihi 35 buah buku yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama di kalangan aktivis-aktivis gerakan Islam dan universiti di seluruh dunia.

Dalam buku Apa Ertinya Aku Menganut Islam, beliau menegaskan bahawa " ramai yang menjadi Muslim kerana hobi atau dilahirkan oleh kedua orang ibu bapanya yang memang beragama Islam. Mereka ini pada hakikatnya tidak memahami makna menggabungkan diri dengan Islam. Mereka juga tidak mengerti tentang tuntutan-tuntutan dari penggabungan ini. Lantaran inilah anda dapat melihat mereka berada di satu pihak manakala Islam pula berada di pihak yang lain ".

Tambah beliau lagi " dalam beberapa waktu yang genting ini umat Islam telah melalui pengalaman yang begitu pahit di mana telah banyak sistem (peraturan) hidup dan prinsip-prinsip pegangan mereka telah gugur lenyap. Banyak gerakan dan ramai pula pemimpin yang turut gugur tercicir apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran masa kini kerana gerakan dan pimpinan berkenaan tidak mempunyai asas-asas persediaan yang membolehkan mereka terus kekal dan berterusan ".

Disiplin ilmu dan paradigma penulisan beliau diangkat sebagai wadah utama yang mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan negara Islam lain kerana sarat dengan motivasi, strategi, teknik, kreativiti dan lain-lain yang begitu kritikal serta praktikal.

Karya beliau melalui mekanisme berbentuk risalah-risalah dan tulisan-tulisan pula telah membentuk acuan pemikiran serta ideologi dakwah dan gerakan Islam di seluruh dunia sebagai panduan kepada generasi kebangkitan Islam merealisasikan misi dan visi mereka ke arah menjadi Islam sebagai cara hidup - way of life.

Arkitek dakwah dan gerakan Islam ini dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran (Phd) dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab dari sebuah universiti terkemuka walaupun pada peringkat ijazah (BA) dan sarjana (MA) beliau belajar dalam bidang kejuruteraan. Sejarah mencatatkan beliau begitu komited dan serius terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an lagi dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal tahun 1960an di Lubnan.

Beliau telah diamanahkan sebagai ketua umum di dalam pergerakan berkenaan sehinggalah pada tahun 1992 di mana beliau telah bertanding dan memenangi kerusi di parlimen Lubnan sehinggalah pada tahun 1996. Selepas bersara dari dunia politik, beliau diberi kepercayaan mengetuai Jabhah al-Amal al-Islami dan berperanan penting menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Ini adalah antara usaha dan perjuangan terakhir beliau dalam menyatukan dan menghindari perselisihan di kalangan rakyat Lubnan, terutamanya di antara kekuatan serta perselisihan golongan majoriti dan minoriti di sana yang turut mendapat perhatian dunia Islam di peringkat antarabangsa. Ini membuktikan bahawa kewibawaan dan ketrampilan beliau secara semulajadi bukanlah hanya ke medan dakwah, malahan mencakupi segala aspek kehidupan.

Dalam konteks yang lebih luas, Fathi Yakan bukan sahaja dianggap sebagai tokoh ulama dan pemikir Islam yang terkemuka, tetapi juga sebagai seorang anggota Parlimen yang amat disegani di Lubnan dan antara pemimpin gerakan Islam antarabangsa yang amat berpengaruh sebaris dengan reformis Islam Hassan al-Banna, Syed Qutb, Mustafa Mashyur, Hassan Ali an-Nadawi dan beberapa tokoh mujahid mutakhir yang lain.

Sesungguhnya pemergian beliau bukan sekadar kehilangan dan kerugian besar bagi warga Arab di Timur Tengah, bahkan kepada seluruh umat Islam khususnya di kalangan aktivis-aktivis dakwah dan gerakan Islam di seluruh dunia yang mendapat tunjuk ajar daripada beliau sebagai 'guru dakwah moden dan kontemporari' secara langsung dan tidak langsung sejak sekian lama.

Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji’un. Al-Fatihah

Rujukan

Fathi Yakan, 2008. Apa Ertinya Aku Menganut Islam. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar (edisi kemaskini)

Laman web IslamOnline: http://www.islamonline.net
Laman web Wikipedia : http://en.wikipedia.org/wiki/Fathi_Yakan

Saturday, June 13, 2009

BERSEDIA HADAPI FENOMENA EL NINO


Malaysia bakal berdepan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau dan realiti fenomena alam tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan. Ianya dijangka dapat dirasa mulai Ogos ini selepas Jabatan Meteorologi mengesahkan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini akan berlanjutan sehingga September nanti.

Situasi ini boleh dirasai sendiri oleh mereka yang kerap memandu di jalan raya misalnya atau bidang kerja yang sentiasa terdedah dengan pancaran matahari seperti petani, nelayan, buruh binaan dan sebagainya di mana tahap pemanasannya agak luar biasa dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa.

El Nino juga dijangka memberi impak negatif kepada sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian di seluruh negara terlibat. Fenomena serius ini turut dijangka mampu memberi kesan global kepada kehidupan seluruh dunia, termasuklah corak perubahan iklim di kebanyakan lokasi terutamanya di kawasan Tropika.

Namun begitu, fenomena El Nino yang akan berlaku dijangka berada dalam julat pemanasan yang terkawal dan langkah proaktif bagi mengurangi faktor-faktor yang boleh menjadi petunjuk kepada peningkatan pemanasan cuaca perlulah dilakukan segera. Sebagai langkah pencegahan, pembakaran terbuka umpamanya perlu dipantau dan dielakkan memandangkan ianya boleh memudaratkan lagi pemanasan cuaca.

Oleh itu, semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan merealisasikan amanah menjaga bumi bagi memelihara serta memastikan kualiti alam sekitar terjamin. Kurangnya kesedaran dalam menjaga alam sekitar hanya akan menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai bencana alam termasuklah fenomena El Nino dan pemanasan global.

Ketika ini kesan daripada pemanasan cuaca kini sudah mula dirasai apabila beberapa kawasan di Semenanjung dilanda jerebu. Kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara pada masa ini merosot dengan Indeks Pencemar Udara (IPU) direkodkan antara 51 hingga 100. Ibu bapa juga dinasihatkan jangan biarkan anak-anak bermain atau berkeliaran di luar rumah dan kalau perlu pakai penutup mulut.

Rakyat di negara ini juga disaran berjimat cermat dan elakkan pembaziran penggunaan air ketika negara bakal berhadapan fenomena El Nino. Persediaan dan persiapan bagi memastikan jaminan bekalan air bersih mencukupi sepanjang fenomena itu perlu dilakukan segera agar tidak berdepan dengan krisis air. Kawasan tadahan seperti tasik yang menjadi sumber bekalan sampingan juga boleh menyusut beransur-ansur akibat cuaca kering.

Oleh itu, apa yang paling dibimbangkan ketika ini ialah kemungkinan berlakunya proses pengewapan serius dan lebih pantas akibat fenomena ini, yang boleh menyebabkan kehilangan air secara tidak sedar. Jika ini berlaku, negeri-negeri berhadapan masalah kerana kehilangan air bukan lagi berpunca daripada penggunaan berlebihan sebaliknya pengewapan ketara.

Laporan Pusat Mereorologi ASEAN (ASMC) sehingga 7 Jun lalu juga menunjukkan terdapat 125 titik panas ketika ini dikesan di Malaysia selain terdapat peningkatan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Untuk itu, rakyat perlu berjimat-cermat menggunakan air di samping mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan pemanasan cuaca.

Perubahan iklim turut mendatangkan implikasi buruk terhadap kesihatan manusia di mana pelbagai penyakit terutamanya jangkitan kuman muncul disebabkan keadaan cuaca yang berubah-ubah. Penyakit sensitif iklim seperti seperti malaria, kolera dan denggi dikatakan meningkat semasa fenomena El-Nino sekitar tahun 1997/98 di mana negara pernah mencatatkan suhu maksimum sehingga 41 darjah celsius.

Fenomena gelombang panas juga boleh memudaratkan kesihatan khususnya kepada pesakit jantung, respiratori dan warga emas. Malahan jerebu yang juga mempunyai kaitan dengan fenomena ini boleh menyebabkan penyakit seperti serangan asma, gangguan mata dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).

Kekurangan bekalan air akibat kemarau pula menyebabkan penjagaan kebersihan diri, premis dan makanan tidak dapat dilakukan dengan baik. Sehubungan itu, ketika berlakunya fenomena cuaca panas dan kering ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan meminum air dengan lebih kerap serta sentiasa menjaga kesihatan badan bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

Rujukan

Abdul Rahman Mahmud, 2009. Semarakkan semangat sayangi bumi. Utusan Malaysia, 5 Jun

Bijak guna air hadapi El Nino, Utusan Malaysia, 11 Jun 2009
Malaysia bakal dilanda El Nino, Utusan Malaysia, 10 Jun 2009
Fenomena panas beri kesan kesihatan, Utusan Malaysia, 12 April 2007

Laman web: http://en.wikipedia.org/wiki/El_Ni%C3%B1o-Southern_Oscillation

Wednesday, June 10, 2009

Jom!!! Bersama Kita Mengubah Dunia


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang telah menciptakan semua makhluk serta mentadbirnya. Selawat serta salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad saw seisi keluarga serta para sahabat baginda.

Hampir 85 tahun zaman pemerintahan khilafah jatuh dan tersungkur dimata dunia. Satu demi satu ancaman serta wabak musuh islam telah mula menusuk di dalam kehidupan dan pemikiran umat islam, sehingga akhirnya umat islam kian mundur, kian mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh. Beberapa persoalan bermain di minda kita, apakah kita mahu terus melihat ancaman kotor musuh-musuh islam ini terus menjatuhkan kita? Apakah kita tidak mahu berusaha untuk merubah dunia? Sedikit muqaddimah yang seharusnya difikirkan oleh semua umat islam seantero dunia.

Alhamdulillah, pada 5-7 jun yang lalu, TPSM JIM dengan kerjasama Akademi Islah & JKPRB telah menganjurkan program Nasional JIM iaitu program PERKASA 09. Program Perkhemahan Nasional ini diadakan khas untuk pemimpin belia JIM yang berumur di bawah 35 tahun. Seramai 45 orang belia lelaki dan 40 orang belia wanita dari kalangan ahli dan pimpinan JIM telah mendaftarkan diri. Program selama 3 hari 2 malam itu telah berjaya diadakan mengikut objektif yang telah disasarkan. Setelah melalui program ini secara penuh, akhirnya dapatlah diringkaskan tips-tips untuk para pemimpin belia yang mahu mengubah dunia, kita huraokan tips-tips ini melalui perkataan PERKASA.

Huruf P dalam PERKASA ini dapat diterjemahkan kepada pemimpin, pengurusan, pengetahuan dan proaktif. 4 perkara ini adalah penting di dalam proses untuk merubah dunia, kita perlukan pemimpin yang mantap dan memenuhi kriteria seperti pemimpin agung dunia iaitu Nabi Muhammad saw. Kita juga memerlukan pengurusan yang baik, pengetahuan yang meluas serta perlu senantiasa proaktif ketika ingin mahu berhadapan dengan musuh-musuh islam demi merubah dunia.

Huruf E di dalam PERKASA pula ialah erat dan efektif. Erat atau lebih sinonim dengan ukhwah merupakan asas di dalam mana-mana perkara. Melalui ukhwah yang intim, semua perkara akan lebih mudah diuruskan. Selain itu, kerja yang efektif juga perlu disemai di dalam usaha untuk menyelamatkan dunia ini.

Seterusnya ialah huruf R iaitu raancang dan rileks. Setiap sesuatu yang ingin kita lakukan perlulah dirancang dengan baik dan teliti, penggunaan Plan Do Check Action ( PDCA ) di dalam perancangan adalah satu langkah yang bijak dan efektif. Disamping itu, para pemimpin juga adakalanya perlu rileks, rileks yang dimaksudkan di sini ialah dengan kita tidak panik ketika diserang musuh serta tidak terburu-buru di dalam membuat sesuatu keputusan.

Seterusnya ialah huruf K iaitu kompeten, kemahiran, komunikasi dan komitmen. Sebagai seorang pemimpin yang akan mngubah dunia, kita seharusnya mampu bersaing ( kompeten ) dengan pihak musuh serta memerlukan kemahiran-kemahiran yang luar biasa dan mengikut keperluan semasa. Selain itu, kita juga perlu mempunyai komunikasi yang jelas sesama kita dan memastikan setiap dari kita ini mempunyai komitmen yang tinggi untuk melaksanakannya , bukan sekadar omong-omong kosong.

Huruf seterusnya ialah A iaitu amanah serta “ alert “. Sebagai seorang pemimpin islam , sifat amanah merupakan sifat asas di dalam kehidupan, pemimpin yang tidak amanah tergolong di dalam mereka yang digelar munafik. Kita juga perlu senantiasa “alert” dengan apa jua situasi dan keadaan. Sikap menjangkakaan sesuatu yang diluaar jangkaan penting agar kita sentiasa bersedia dengan dengan apa jua serangan yang akan menimpa kita.

Huruf seterusnya ialah S iaitu sihat, syura & sabar. Sudah semestinya, sebagai seorang mujahid, kesihatan tubuh badan, mental dan ruhani perlulah dijaga dengan baik. Pemakanan yang seimbang, senaman yang konsisten serta pengambilan makanan tambahan perlulah diambil berat. Selain itu, konsep syura adalah satu perkara yang amat penting tatkala mahu membuat dan melaksanaakan sesuatu keputusan, keputusan yang dibuat melalui syura adalah lebih barakah berbanding dengan keputusan yang dibuat secarai individu yang barangkaali akan mengundang permasalaahan. Sebagai seorang pemimpin yang mendapat tarbiyah islam, sifat sabar seharusnya menjadi sebahagian dari kehidupan kita, adalah lebih baik jika kita mampu menjadi seperti apa yang Allah swt katakana “al-hilm “, yakni penyantun. Di dalam keadaan yang kita boleh untuk memarahi seseorang itu sekalipun, kita tetap bersabar dan memaafkannya serta terus berlapang dada.

Huruf yang terakhir ialah A iaitu al-quran dan as-sunnah yang menjadi panduan di dalam merancang serta melaksanakan sesuatu perkara. Kedua-dua sumber syariat ini merupakan sumber yang terbaik dan yang paling boleh dipercayai. Setiap perkara yang tidak dirujuk dengan kedua-dua sumber ini, ditakuti akan mencemarkan titis-titis perjuangan kita kelak.

Begitulah serba sedikit ulasan yang dapat disimpulkan sepanjang melalui program PERKASA ini. Diharapkan, impian kita untuk merubah dunia akan dapat terus direncanakan dengan baik dan saksaama. Semoga apa yang telah disimpulkan di atas boleh menjadi sebahagian daripada metod dan uslub kepada kita untuk mengubah dunia.

Kepada semua pemimpin belia JIM, ayuh kita tanamkan dalam hati kita, tingkatkan amal kita, perbanyakkan ilmu pengetahuan kita.

Syabab!!! Yes! Yes! Yes! Change The World !!!

Mohd Hafiz Abd Hamid
Wakil Kuala Lumpur

sumber: http://www.jim.org.my/v1/index.php/artikel/berita/320-jom-bersama-kita-mengubah-dunia

Tuesday, June 09, 2009

SIRAH RASULULLAH PEMANGKIN ASPIRASI UMAT


Mempelajari Sirah atau perjalanan hidup Rasulullah s.a.w adalah suatu kemestian kepada semua umat Islam terutamanya para pendakwah dan pejuang Islam. Reformis dan pelopor gerakan Islam teragung, Hasan al-Banna dalam buku beliau Risalah At-Taalim menegaskan akan keperluan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah sebagai landasan hidup dan panduan bagi setiap individu Muslim yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada.

Menurut Ibnu Mandzur dalam kitab ‘Lisanul Arab' menyatakan bahawa As-Sirah menurut bahasa bermakna kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku. Manakala menurut istilah umum pula bermaksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang. Pun begitu, para ulama sepakat apa yang dimaksud dengan as-Sirah an-Nabawiyah bererti rakaman sejarah hidup Rasulullah yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah dari disiplin ilmu yang tersendiri.

Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam buku sirah beliau bahawa objektif memahami sirah ialah agar dapat memperolehi gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah sesudah ia difahami secara konsepsional sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Antara buku sirah terkenal dan berpengaruh ialah seperti kitab Sirah Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi dan banyak lagi.

Kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkenaan sirah menurut perspektif Barat cukup banyak sekali seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F.M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission serta banyak lagi.

Sehubungan itu, sirah juga merupakan mekanisme terbaik untuk mengenali Rasulullah yang sangat efektif kerana Sirah Rasulullah adalah terjemahan hidup al-Quran yang paling lengkap dan yang paling agung serta terpelihara daripada penyimpangan dan penyelewengan. Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah ini dengan mempertahankan urutan sanad secara yang amat ketat. Oleh itu, tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah.

Dalam buku Berdakwah Kepada Allah, Sheikh Mustafa Mashyur menukilkan bahawa mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam adalah untuk dijadikan bekalan hidup dan segala segala apa yang ingin dilakukan. Didalamnya terdapat pelbagai bentuk penyelesaian masalah, krisis dan situasi genting yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil oleh generasi muslimin yang pertama. Sirah juga merupakan petunjuk praktis dan aplikatif bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah di muka bumi ini.

Bagi Dr. Mustafa as-Syibaie pula, sirah mempunyai pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian sirah juga menjadi kemestian kepada golongan ulama dan pengislah sosial sebagai bekalan serta persediaan kepada mereka memandu kehidupan di samping merealisasikan proses transformasi pemikiran di dalam masyarakat. Tambahan pula keistimewaan sirah Rasulullah yang sahih dan tiada sebarang keraguan ini, tidak terdapat dalam mana-mana sirah rasul-rasul Allah terdahulu.

Perjalanan hidup Rasulullah juga sangat telus, tidak ada yang rahsia dan fakta tidak ada yang disembunyikan di mana sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, sebagai seorang teman, seorang jeneral perang, ahli ekonomi dan jurutera sosial, strategis agama, pemimpin negara dan sebagainya yang boleh diaplikasikan di dalam kehidupan seharian bersandarkan kepada model yang ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang hayat Baginda.

Nabi Muhammad s.a.w adalah simbol manusia agung yang telah menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap segala yang telah dilakukan baginda kepada tamadun manusia. Hakikat ini adalah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam”. (al-Anbiya': 107). Manakala dalam ayat yang lain pula Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab: 21)

Biarpun begitu, tanpa memahami akan kepentingan mempelajari sirah akan melahirkan generasi muda yang lebih mengenali sejarah dan latar belakang serta menggilai golongan artis misalnya daripada menghayati sirah Rasulullah, keluarga dan sahabat baginda. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan anjakan paradigma serta momentum untuk meletakkan Rasulullah sebagai manusia teragung di dalam hidup kita setiap saat dan ketika. Oleh itu, berpandukan aspirasi sirah Rasulullah, umat Islam hendaklah menjadikan Baginda sebagai idola dan ikon di dalam kehidupan seharian serta mengikuti segala arahan dan meninggalkan segala larangan Baginda sepertimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia”. (al-Qalam: 4)


Rujukan

Prof. Dr. Abdul Hamid al-Ghazali, 2004. Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah. Selangor: Penerbit Teras Bakti
Dr. Danial Zainal Abidin, 2004. Bukti-Bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributions Sdn Bhd

Mazlan Nordin, 2008. Islam dari persepsi ilmuan bukan Islam, Mingguan Malaysia, 28 Disember
Azman Ismail, 2008. Keagungan Nabi dalam Sirah Junjungan. Utusan Malaysia, 27 Mac
Talib Samat, 2007. Sirah Nabi jadi panduan. Utusan Malaysia, 30 Mac

Peraturan Perundangan Zakat di Malaysia


Peraturan Perundang-undangan Zakat di Malaysia

Oleh : Dr. H. Saifullah SA., MA

Menurut Profesor Ahmad Ibrahim, undang-undang dan peraturan zakat dan fitrah sudah diperkenalkan sejak dari zaman penjajah. Terengganu adalah negeri pertama yang mengawal kutipan zakat dan fitrah melalui Majelis Agama Islam yang terletak di bawah kawalan Menteri Besar Terengganu, namun tidak terdapat data tentang bentuk-bentuk kawalan yang diberlakukan dan bila tarikh pelaksanaanya. Namun yang pasti, Kelantan merupakan negeri pertama yang mengadakan peraturan zakat dan fitrah melalui Notis Zakat Kelantan bertarikh 1907. Peraturan sejenis kemudian diikuti oleh negeri-negeri lain mengikuti arahan yang dikeluarkan baik oleh Sultan atau Menteri Besar masing-masing, sebagaimana berlaku di Perlis pada tahun 1930 dan Kedah 1936.

A. Sejarah pertubuhan dan perkembangan Peraturan Perundangan tentang Zakat di Malaysia

1. Peraturan Perundangan masa dahulu
Aspek yang diberi tekanan oleh penulis-penulis sejarah perundang-undangan dan penguatkuasaan zakat di Malaysia biasanya berisi sejarah pengenalan undang-undang itu, penjelasan peruntukannya, kelemahan-kelemahan yang memberi kesan kepada kegagalan pengutipan dan pengagihan zakat dan mengenai penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Seperti sudah disebutkan, ketentuan khusus mengenai zakat dan fitrah yang pertama ditubuhkan di Malaysia adalah Notis tentang Zakat dan Fitrah Kelantan tahun 1907. Peraturan tersebut disusun oleh Majelis Musyawarat Negeri dibawah nasehat Inggeris. Peraturan tersebut ditambah dan diperbaiki berturut-turut dengan Notis Zakat (nomor 3) tahun 1916, Notis Kutipan Zakat (nomor 11) 1917, kemudian Notis Zakat (nomor 2) tahun 1924, dan terakhir menjadi Enakmen Kutipan Zakat Kelantan (nomor 4) tahun 1927. Dengan pengenalan Enakmen Kutipan Majelis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (nomor 23) tahun 1938, maka disusun dua buah peraturan baru yakni Peraturan Kutipan Fitrah (nomor 73) tahun 1938 dan Peraturan Kutipan Zakat (nomor 74) tahun 1938. Undang-undang ini dimansuhkan oleh Enakmen Majelis Agama Islam dan Adat Melayu dan Mahkamah Kadi 1953.

Di Perlis undang-undang kecil mengenai zakat mula diperkenalkan pada tahun 1923 apabila Raja Perlis menitah supaya Majelis Negeri membuat undang-undang bagi memungut zakat. Undang-undang tersebut selesai disusun pada tahun 1930 melalui Peraturan–peraturan Mengutip Zakat dan Fitrah 1930. Peraturan ini dimansuhkan dengan Peraturan Zakat dan Fitrah Perlis tahun 1949. Sedang Peraturan Zakat dan Fitrah tahun 1949 ini kembali dimansuhkan dengan adanya Enakmen Petandbiran Agama Islam (nomor 6) 1966.

Selangor mula memperkenalkan undang-undang kecil zakat pada tahun 1953 melalui Atoran Pentadbiran Ugama Islam tentang Fitrah dan Zakat (nomor 1033) tahun 1953, yang disusun oleh Jawatan Kuasa Petadbiran Ugama Islam (nomor 3) tahun 1952. Peraturan (nomor 1033) tahun 1953 tersebut dipinda pada tahun 1969 melalui (SI P.U 53), dan kemudian sekali lagi hasil pindaan 1969 dimansuhkan dengan Peraturan Kutipan dan Pembahagian Zakat, Fitrah Selangor pindaan 1973. Namun karena peraturan 1973 tersebut masih belum dikuatkuasakan, maka dari segi undang-undang Peraturan 1969 masih terus berjalan, sungguhpun dari segi praktiknya Majelis Agama Islam mungkin telah menggunakan Peraturan tahun 1973.

Melaka memperkenalkan undang-undang kecil zakat melalui Peraturan Menjalakan Kerja-kerja Zakat dan Fitrah Melaka 1960 dibawah kuasa Enakmen Petadbiran Agama Islam Melaka (nomor 1) tahun 1959. Tidak dapat dipastikan apakah peraturan ini terus berlaku selepas pengenalan Peraturan-peraturan Zakat dan Fitrah urusan Wakaf dan Baitulmal Negeri Melaka (MPU 5) tahun 1982.

Johor memperkenalkan undang-undang kecil zakatnya pada tahun 1962 melalui Peraturan-peraturan Zakat dan Fitrah Johor 1962, dibawah kuasa Undang-undang Zakat dan Fitrah Johor 1957. Juga tidak jelas apakah undang-undang kecil ini masih tetap berlaku atau tidak.

Sarawak pula memperkenalkan undang-undang kecil zakat dan fitrah pada tahun 1966 melalui Undang-undang Zakat dan Fitrah Sarawak (Swk LN 94) tahun 1966, dibawah kuasa Undang-undang Melayu Sarawak (Cap 51) 1966. Undang-undang kecil tahun 1966 ini akhirnya diserap dibawah Majlis Islam (incorporataion) Ordinance (Cap 105) tahun 1972.
Kedah mula memperkenalkan undang-undang kecil zakatnya melalui Peraturan Zakat Kedah (KPU 11) tahun 1982. Pahang melalui Kaedah Zakat dan Fitrah Pahang (Phg PU 18) tahun 1970. Perak melalui Peraturan-peraturan Zakat dan Fitrah (nomor 1222) tahun 1952 dibawah Enakmen Baitulmal Zakat dan Fitrah Perak 1951. Peraturan tahun 1952 ini dimansuhkan oleh Peraturan Zakat dan Fitrah Perak (Pk PU 1) tahun 1975 yang ditubuhkan dibawah kuasa Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Perak tahun 1965.
Pulau Pinang melalui Peraturan Fitrah Negeri Pulau Pinang (nomor 370) tahun 1962, yang ditubuhkan dibawah kuasa Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Pulau Pinang (nomor 3) tahun 1959. Peraturan tahun 1962 ini dimansuhkan oleh Peraturan Pungutan Zakat dan Fitrah Negeri Pulau Pinang (Pg PU 29) tahun 1979.

2. Peraturan Perundangan yang berkuat kuasa

Sebahagian kecil daripada undang-undang dan peraturan zakat yang disebutkan diatas masih terus berkuatkuasa seperti misalnya Enakmen Zakat Kedah 1955, juga Peraturan Zakat di negeri Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, sedang yang lainnya telah dimansuhkan dan tidak berkuatkuasa. Namun banyak negeri yang membuat peraturan baru di era modern sekarang ini, seperti Sabah, Kelantan, Woilayah Persekutuan, dan Negeri Sembilan.

Sabah memperkenalkan undang-undang zakat bertajuk Enakmen Zakat dan Fitrah Sabah (nomor 6) tahun 1993. Enakmen ini berasaskan kepada draft undang-undang zakat yang digubal oleh jawatankuasa Teknikal Hukum Syara’ dan Sivil, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, yang sekarang menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kelantan memperkenalkan peraturan zakatnya yang terbaru melalui Peraturan Tadbiran Zakat Padi pada 1978 berkuatkuasa pada 10 Januari 1978 melalui titah DYMM Sultan Kelantan dalam (MA 108/76).

Wilayah Persekutuan melalui Kaedah Baitulmal Wilayah Persekutuan Perbelanjaan dan Penggunaan (PU (A) 154) tahun 1980, yang dipinda dengan (PU (A) 436) tahun 19888 dan dengan (PU (A) 58) tahun 1996. Yang terakhir memperkenalkan peraturan zakat terbaru adalah Negeri Sembilan yang melahirkan Kaedah Zakat Negeri Sembilan 1998.
Adapun isi kandungan berbagai peraturan tersebut diatas umumnya menyentuh kuasa kutipan zakat fitrah oleh Majelis Agama Islam Negeri, kewajiban penduduk Islam negeri membayar zakat fitrah, cara-cara agihan zakat dan fitrah, keperluan menyediakan akaun zakat dan fitrah berasingan daripada akun Baitulmal dan hukuman dan denda kepada mana-nama pihak yang melanggar peruntukan mengenai zakat dan fitrah

2. Penguatkuasaan Undang-undang dan Peraturan zakat

Penguatkuasaan maksudnya melaksanakan seluruh peraturan zakat dan menjatuhkan hukuman dan denda serta mengeksekusikan hukuman tersebut secara nyata ditengah masyarakat. Setiap peraturan dapat dilaksanakan kalau peraturannya telah dikuatkuasakan (diundangkan) terlebih dulu. Misalnya, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah tidak menguatkuasakan atau belum mewartakan peraturan zakat mereka.

Menurut penelitian Abdullah Alwi Hassan, pihak Mahkamah Syariah Kelantan mengambil peranan yang aktif dalam memantau pelaksanaan kutipan zakat, dan karenanya mahkamah bertindak mengenakan hukuman dan denda bagi mereka yang gagal membayar fitrah. Sebagai contoh dalam kasus ”Majelis vs Musa dan kawan-kawan”, mahkamah telah mengenbakan bayaran denda kepada 16 orang karena gagal membayar zakat fitrah pada tahun 1947. Setiap mereka didenda sebanyak RM 15 atau dipenjara selama sebulan mengikut seksyen 8 Peraturan Kutipan Fitrah 1938.

Menurut Laporan tahunan Jabatan Zakat dan Fitrah Perlis tahun 1953 melaporkan seramai sepuluh orang petani yang enggan membayar zakat telah didakwa dan dihukum penjara. Manakala di Perak pula dilaporkan bahwa pada tahun 1953 seramai 52 orang telah didakwa karena gagal membayar fitrah. Pada tahunb 1956 pejabat Agama Islam Perak bercadang untuk menyaman seramai 49 orang di daerah Selamat dan 38 orang di daerah Setiawan, karena gagal membayar fitrah. Jumlah yang tidak membayar fitrah dicatat seramai 69,000 orang pada tahun 1953 dan 84,000 pada 1954.

Kajian Mohd. Ali Baharom mencatat sebanyak 36 kasus kegagalan pembayaran zakat padi di Kedah antara tahun 1965 sampai 1966. Menurut Mohd. Ali Baharom, pendakwaan masalah zakat pada tahun-tahun tersebut diatas, dapat dibahagi menjadi : (a). keengganan memberi maklumat keluasan tanah yang ditanami padi kepada ’amil, (b). Keengganan membayar zakat setelah panen, (c). Kesalahan membayarkan zakat pada ’amil yang tidak bertauliah, (d). Kesalahan akaun oleh amil. Mengikut pengamatan beliau, negeri yang paling aktif membuat pendakwaan di Mahkamah berhubung kutipan zakat dan fitrah adalah Pahang dengan 28 kasus pada tahun 1985, 13 kasus pada 1986 dan 126 kasus pada 1987.

Dalam beberapa kajian mendapati kelemahan penguatkuasaan bayaran zakat, atau keeangganan amil-amil untuk mengambil tindakan terhadap penanam padi yang enggan membayar zakat atau yang membuat ikrar hasil tauan padi yang tidak betul, banyak disebabkan ”faktor politik” dan ”faktor sosial”. Faktor sosial misalnya, amil-amil yang ditugaskan memungut zakat tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak bertolak ansur, dan dia juga tergantung kepada petani-petani tersebut dalam penghidupannya karena merupakan salah satu unit dalam masyarakat bersangkutan, takut kepada tindak balas pembayar zakat.

Begitu juga dengan faktor politik, misalnya ketegasan amil boleh menyebabkan kehilangan sokongan masyarakat terhadap fahaman parti politiknya. Faktor lainnya adalah perubahan dasar yang sering terrjadi oleh pihak pentadbiran, kekurangan kakitangan bahagian pendakwaan yang berpengatahuan. Ditemui dilapangan, bahwa sesetengah petadbir zakat enggan menguatkuasakan kutipan zakat, karena beranggapan bahwa keengganan membayar zakat kepada Majelis Agama Islam bukan suatu kesalahan yang serius.

Terdapat beberapa kesukaran dalam menafsirkan undang-undang dan peraturan tentang zakat, terutama apabila kasus-kasus tersebut didakwa di mahkamah sivil. Dengan merujuk kepada dua kasus banding daripada mahkamah majistret ke mahkamah tinggi, muncul isu perundangan sebagai akibat pelaksanaan undang-undang dan petraturan tentang zakat. Pertamanya persoalan kriteria membayar zakat, keduanya kewajiban membayar fitrah hanya melalui hukum Syarak dan bukan oleh undang-undang kerajaan. Dalam kasus banding ”Haron bin Laksamana vs Pendakwa Raya”, ternyata Mahkamah Tinggi memihak pembanding (Haron), dengan pertimbangan bahwa pembanding tidak termasuk kritertia kewajiban membayar zakat. Dalam kasus ”Mohamed Wallie vs Pendakwa Raya” yang naik banding dari keputusan Mahkamah Majistret yang memenjara pembanding karena tidak membayar fitrah. Hujah pembanding adalah kewajiban membayar zakat terletak di bawah hukum Syarak dan tidak dibawah mana-nama undang-undang yang digubal oleh kerajaan. Dan jika pun seseorang itu dikehendaki membayar fitrah oleh undang-undang , maka dia mempunyai pilihan untuk menyerahkan kepada sesiapa yang ia sukai.
Hal tersebut semakin rumit ketika telah dimasuki oleh pertimbangan ekonomi dan kesamarataan pendapatan, dimana petani miskin yang harus membayar sewa tanah tapi harus membayar zakat, sedang tuan tanah terbebas dari zakat, karena undang-undang dan peraturan zakat mewajibkan ”penanam” dan bukan ”tuan tanah” yang harus membayar zakat. Karenanya undang-undang dan peraturan zakat yang hanya menitik beratkan zakat pada petani sawah, sedang sirkulasi keuangan saaat ini tidak lagi berada ditangan petani, tapi beralih pada industri dan kegiatan keuangan lainnya, memerlukan kaji ulang.

Kesimpulannya, karena kebanyakan peraturan tentang zakat berisi keharusan membayarkan zakat melalui amil yang dibentuk Majelis Agama Islam Negeri, antara karena perbelanjaan asnaf sangat tergantung kepada kutipan zakat, maka kutipan zakat sangat digalakkan dan kegagalan berbuat demikian dapat membawa seseorang dihukum oleh undang-undang berkenaan. Namun setelah pertubuhan negara Malaysia yang maju, dan telah berhasil sedikit sebanyak membasmi kemiskinan dan banyak peruntukan untuk asnaf-asnaf tertentu telah mendapat jaminan kerajaan, maka kutipan zakat menjadi tidak penting dari aspek ekonomi. Akibatnya penguatkuasaan kutipan zakat melalui keputusan hukuman atau denda mahkamah menjadi tidak populer.

B. Zakat pendapat Gaji

1. Undang-undang dan Penguat kuasaan zakat Pendapatan gaji
Fatwa mengenai zakat ke atas pendapatan gaji telah cukup lama ditetapkan sebagai wajib oleh pihak berkuasa di kebanyakan negeri di Malaysia. Fatwa ini bagi sesetengah negeri telah dimaktubkan dan diwartakan sebagai undang-undang sejak sepuluh tahun yang lalu. Negeri Kedah misalnya telah mewartakan fatwa tersebut pada tanggal 19 April 1986 dengan menggunakan Warta Kerajaan (nomor 146) 1986. Walaupun secara keseluruhan kutipan zakat meningkat dari tahun ke tahun, namun laporan menunjukkan bahwa kutipan zakat daripada pendapatan gaji berada di aras yang rendah. Ini menandakan bahwa banyak pekerja Islam yang layak zakat, tidak menunaikan tanggung jawabnya.

Perbandingan antara pembayar zakat pendapatan (ZP) dan pembayar cukai pendapatan (CP) di beberapa negeri di tanah semenanjung, adalah sebagai berikut : Kedah 5.673 : 11.692 (49%), Perlis 769 : 7.885 (10%), Kelantan 6.092 : 8.572 (71%), Wilayah Persekutuan 28.178 : 45.000 (63%).

Angka-angka diatas setidaknya menggambarkan bahwa pembayaran Zakat Pendapatan selalu lebih rendah kesadarannya dan eksekusinya berbanding cukai Pendapatan.

2. Analisa tentang rendahnya gelagat kepatuhan

Kajian menunjukkan bahwa persepsi terhadap undang-undang dan penguatkuasaan mempengaruhi gelagat kepatuhan. Akibatnya, mereka yang engkar membayar cukai dapat dikenal pasti dan penalti yang dikenakan cukup berat, maka aras kepatuhannya akan semakin baik. Demikian juga kondisi auditing, jika dilakukan secara bereterusan, maka akan semakin banyak orang yang patuh.

Undang-undang dan peraturan kebiasannya diwujudkan sebagai instrumen untuk mengawal dan memantau aktifiti dalam sebuah masyarakat, karenanya undang-undang itu hendaklah komprehensip dan muktamad supaya anggota masyarakat dapat mematuhinya.
Secara sosiologis, perspektif instrumental mengandaikan bahwa kepatuhan disebabkan antara lain oleh adanya kepentingan diri dan segera menunjukkan reaksi penerimaan terhadap suatu yang zahir, insentif yang segera atau penalti yang jelas akan merugikan. Dalam bidang percukaian teori ini disebut ”teori cegahan”. Individu juga akan mematuhi suatu undang-undang selagi ia menganggap undang-undang itu sesuai dan relefan dengan nilai-nilai norma internal yang dianutnya. Undang-undang yang relefan itu harus mempunyai ciri-ciri : adil, seksama dan komprehensip, dalam percukaian hal ini disebut ”teori ekuiti”. .

Selanjutnya muncul pertanyaan :

a. Apakah kedudukan persepsi anggota masyarakat pekerja Islam mengenai undang-undang dan penguatkuasaan zakat pendapatan gaji ?.
b. Bagaimanakah persepsi diatas dapat mempengaruhi gelagat kepatuhan zakat ?.

Dengan memanfaatkan penyelidikan yang dilakukan oleh Kamil MD Idris, yang bertajuk Kesan Persepsi Undang-undang dan Penguatkuasaan Zakat Terhadap Gelagat Kepatuhan Zakat Pendapoatan Gaji, yang memfokuskan penelitian pada jabatan kerajaan pusat yang berkhidmat di Negeri Kedah dan tertakluk kepada Potongan Cukai Berjadwal (PCB). Pekerja yang tertakluk kepada cukai berjadual secara otomatik layak mengeluarkan zakat, karena gaji mereka telah melebihi nisab yakni sekitar RM3.000. Potongan cukai berjadual juga dibuat apabila seseorang itu memperoleh pendapatan gaji tahunan melebihi RM15.000. Mereka yang layak dikenakan cukai juga layak dikenakan zakat.

Terdapat 11.400 pekerja Islam yang disenaraikan dalam PCB bagi kakitangan Kerajaan Persekutuan di Kedah pada 30 Juni 2000. Suatu sampel sebanyak 700 responden terpilih dikirimi questionaire (soal selidik). Sebanyak 383 responden mengembalikan soal selidik, termasuk yang tidak diisi secara sempurna dan sesuai kaedah. Diantaranya terdapat 353 boleh digunakan sebagai bahan kajian karena diisi secara benar. Dari jawaban soal selidik yang diterima (353) ternyata 123 orang yang membayar zakat pendapatan (35%), selebihnya atau 230 (65%) gagal membayar zakat kepada pihak berkuasa zakat.

Jika seseorang individu mempunyai moral yang positif, maka persepsinya terhadap undang-undang juga akan menjadi positif. Bagaimanapun, bilangan pekerja Muslim yang berpandangan positif dalam kajian tersebut, adalah tidak ramai. Mayoriti pekerja Islam dalam sektor Kerajaan Persekutuan sendiri tidak yakin dengan undang-undang zakat yang sedia ada. Antara perkara yang masih dipandang negatif, termasuk : Undang-undang zakat kurang jelas, undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi, undang-undang zakat tidak meliputi seluruh obyek zakat, hukuman dan denda dalam undang-undang zakat tidak meliputi kesemua obyek zakat, atau hukuman dan denda dalam UU zakat dianggap terlalu ringan.

Banyak responden menyatakan bahwa beberapa aktifiti penguatkuasaan tidak dilaksanaan sebagaimana mestinya, termasuk pemeriksaan, pengesanan, pendakwaan dan denda. Padahal sudah dipahami bahwa penguatkuasaan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan gelagat kepatuhan. Artinya, seseorang akan cepat memberikan reaksi dan tindak balas apabila kepentingan dirinya terancam. Oleh itu, jika seorang pekerja Islam meyakini bahwa hukuman atau denda akan dikenakan serta memberi kesan yang menjejaskan, maka aras kepatuhan akan meningkat.

Suatu hal yang patut meringankan beban Pekerja Islam yang membayar zakat adalah Akta Cukai Pendapatan 1967, yang telah memberi peruntukan rebet cukai kepada individu-induvidu yang mengeluarkan zakat.

C. Zakat perniagaan dan Syarikat

1. Zakat Perniagaan
Jumhur Ulama sependapat bahwa diwajibkan zakat atas harta perniagaan. Kewajiban itu didasarkan kepada prinsip umum zakat, prinsip keadilan, jaminan sosial dan prinsip berkembangnya harta.

Dalil-dalil yang digunakan untuk mewajibkan zakat keatas harta perniagaan, Al-Qur’an Surat al-Baqarah ayat 267, yang artinya : ”Hai orang-orang yang beriman, Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa-apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. Imam At-Tabari menafsirkan ”ma kasabtum” dengan ”menjalankan perniagaan atau pembuatan emas perak”.
Juga Hadits yang diriwayatkan Abu Dawud, dengan sanad Samurah bin Jundud, beliau berkata : ”Adalah Rasulullah SAW sering menyuruh kami mengeluarkan sadaqah (zakat) dari harta yang kami sediakan untuk dijual”.

Kadar nisab zakat perniagaan adalah senilai dengan 85 (delapan puluh lima) gram emas, dan menurut Imam Syafi’i dan Imam Malik, haulnya adalah pada akhir tahun setelah harta perniagaan itu berada di tangan seseorang. Jadi, bila pada akhir tahun harta perniagaannya telah mencapai atau senilai 85 gram emas, maka dia wajib berzakat, walaupun di awal dan tengah tahun belum lagi cukup senisab.

Mekanisme yang harus dilakukan adalah :
a. Mengumpulkan semua hartanya, yaitu modal dicampur dengan untung (kalau ada), barang-barang dalam stok yang belum dijual dan hutang-hutang yang ada harapan akan dibayar.
b. Kemudian dinilai (disamakan nilainya) dan dicampur dengan uang kontan yang ada ditangan. Sekiranya cukup nisab wajiblah dikeluarkan zakat sebanyak 2,5 % (dua setengah persen).
c. Adapun hutang yang tiada harapan dibayar menurut Al-Qaradawi yang rajihnya pendapat Malik, tidak perlu membayar zakat.
d. Sekiranya peniaga berhutang, maka kadar hutang itu hendaklah dikeluarkan terlebih dulu dari total obyek zakat, kemudian barulah dia mengeluarkan zakat dari sisa harta yang ada.

Zakat perniagaan diwajibkan ke atas mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan, baik perseorangan atau perkongsian atau syarikat baik ”sendirian berhad” atau ”awam berhad”. Pemilik firma perniagaan persendirian harus mengeluarkan zakat atas nama individu daripada aktiviti perniagaan dan harta-hartanya yang lain. Adapun perniagaan yang dijalankan secara perkongsian, zakat akan dikenakan ke atas hak setiap anggota syarikat, sesuai dengan modal yang disumbangkan dan keuntungan yang diperoleh.

Sementara perniagaan syarikat diwajibkan zakat ke atas harta syarikat (modal pusingan dan keuntungan) dan menjadi kewajiban pengarah untuk mengeluarkan zakat, sebelum diagihkan keuntungan kepada para pemegang saham.
Harta mudarabah (harta yang diberikan seseorang pemilik modal (rabbulmal) kepada orang lain (pekerja) untuk diperdagangkan (mudarib), apabila cukup nisab dan haul, maka yang wajib membayar zakat adalah rabbulmal, dan bukan pekerja (mudarib).

2. Zakat oleh syarikat

Kesedaran membayar zakat juga meningkat bagi pemilik entiti perniagaan dalam syarikat perkongsian. Banyak ahli korporat dalam entiti perniagaan dan syarikat perkongsian mula membayar zakat syarikat disamping cukai pendapatan. Dalam kasus zakat syarikat muncul masalah apakah zakat syarikat perkonfsian dikenakan dan dibayar atas nama individu mengikut pemilik ekuiti masing-masing secara berasingan atau zakat dikenakan atas nama syarikat secara bersama-sama. Saat ini, kedua-dua kaedah tersebut ada dilaksanakan dan diterima pakai. Lembaga Tabung haji (LTH) misalnya membayar zakat perniagaan atas nama syarikat. Ini bermakna bahwa zakat dibayar secara bersama atas nama entiti syarikat. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan urusan pembayaran zakat kepada setiap individu penyimpan masing-masing.

Ini bermakna setiap individu penyimpan membayar zakat secara berasingan.
Ada pandangan mengatakan bahwa zakat adalah tanggung jawab individu dan bukannya syarikat, karena syarikat bukanlah ”individu” yang boleh diminta pertanggungan jawab memikul dosa dan pahala. Syarikat juga dikatakan bukan ”individu” yang boleh diiktiraf untuk memiliki harta secara milik sempurna.

Namun ada pendapat lain yang menyatakan bahwa pihak yang bertanggung jawab bagi syarikat adalah pemilik syarikat. Oleh itu, syarikat tetap mempunyai tanggung jawab, sekalipun diwakilin oleh Pemilik syarikat. Karenanya, yang menjadi persioalan bukanlah Syarikat harus membayar zakat atau tidak, tapi penaksiran dilakukan secara bersama sebagai satu entiti atau secara berasingan mengikut tanggungan pemilikian individu masing-masing.

Dua pandangan tersebut dapat diuraikan sebagai berikut :
(a). Penaksiran secara berasingan mengikut milik individu. Ulama mazhab Hanafi berpandangan bahwa harta syarikat perkongsian perlu ditaksir berasingan. Ini bermakna bahwa setiap individu dalam syarikat wajib membayar zakat bagi hartanya sendiri. Milik setiap individu tidak boleh mencukupkan nisab milik individu lainnya melalui pencampuran, sebaliknya pencampuran tidak mengurangi kewajiban individu untuk berzakat bila telah cukup senisab.
(b). Penaksiran bersama sebagai satu harta. Jumhur Ulama berpandangan bahwa zakat bagi harta syarikat perkongsian perlu dikira secara bersama sebagai satu nisab. Menurut Jumhur ulama Maliki, Syafi’i dan Hanafi percampuran milik bersama memberi akibat wajib zakat kepada harta percampuran itu.

Kaedah umum yang digunakan untuk memnentukan sama ada sesuatu harta perkongsian itu dicampur atau dipisahkan ialah : ”Jangan dipisahkan apa yang telah berhimpun dan jangan menghimpun apa yang berpisah, karena hendak mngelakkan zakat”. Kaedah ini didasarkan pada hadits Nabi : ”Dan tidak boleh dicampur ternak yang telah terpisah bagitupun dipisah yang telah bercampur disebabkan takut mengeluarkan zakat. Mengenai dua orang yang bercampur termnaknya hendaklah kedua-dua mereka berdamai dengan menanggung beban yang sama banyak (Riwayat Bukhari).

Oleh itu, pemilik harta tidak boleh mencampurkan atau memisahkan harta syarikat dengan tujuan untuk mengelakkan membayar zakat. Sebarang harta yang memenuhi syarat bercampur akan ditaksir sebagai harta bercampur dan begitu sebaliknya.

Dalam perkongsian masa kini, dapat dibagi menjadi :
(1). Syarikat Persendirian : Syarikat milik pribadi, karenanya harta syarikat akan dikenakan zakat (seperti) ke atas harta pribadi. Hartanya yang lain mestilah dicampurkan supaya nisabnya menjadi satu.
(2). Syarikat Perkongsian : Syarikat yang dimiliki oleh beberapa orang, baik syarikat berhad, syarikat sendirian berhad mahupun syarikat ekuiti. Zakat yang dikenakan dalam syarikat jenis ini adalah atas nama individu mengikut ekuiti pemilik, artinya setiap rakan kongsi mestilah mengeluarkan zakat mengikut pemilikan ekuiti masing-masing. Adapun penaksiran dan pembayaran zakat dengan syarat-syarat sebagai berikut : (a). Zakat harta syarikat ditaksir dan dibayar berdasarkan ekuiti setiap individu Islam secara berasingan, (b). Ekuiti setiap individu mestilah memenuhi syarat nisab dan (c). Ekuiti setiap individu mestilah memenuhi syarat haul. Individu yang tidak memenuhi syarat nisab tidak akan dibebankan membayar zakat.
(3). Syarikat Berasaskan saham : syarikat dimana setiap orang ahli akan menyumbangkan harta masing-masing sebagai saham atau bahagian dalam syarikat. Boleh dibedakan menjadi : Syarikat mufawadah (sumbangan modal sama banyak), syarikat Inan (sumbangan modal tidak sama banyak) dan syarikat mudarabah (perkongsian pemodal dan pengusaha). Zakat yang dikenakan ke atas syarikat mengikut modal kerja syarikat secara keseluruhan, artinya harta ditaksir secara bersama (percampuran) dan bayaran zakat juga ditanggung bersama.

Kesimpulannya, Zakat syarikat mesti dibayar, baik atas nama syarikat atau atas nama individu. Dalam pelaksanaan pembayaran zakat syarikat perkongsian maka catatan berikut perlu mendapat perhatian :

• Sekiranya syarikat tidak membayar zakat atas nama syarikat, maka para pemegang saham wajib mengeluarkan zakat mengikut pemilikan ekuiti masing-masing.
• Bagi syarikat mudarabah zakat dikenakan ke atas entiti syarikat, sebelum pembahagian keuntungan dilakukan antara pemodal dan pengusaha, karena zakat dikenakan ke atas modal dan pulangan yang wajib ditanggung oleh pemodal.
• Pengiraan zakat adalah ke atas pemegang saham Muslim saja.
• Zakat tidak dikenakan ke atas syarikat milik pemerintah /negara.

3. Institusi Pengurusan/Pentadbiran Zakat Malaysia

Pada tingkat pusat (Kerajaan Persekutuan), pentadbiran zakat dilaksanakan oleh lembaga yang disebut Pusat Pungutan Zakat Majelis Agama Islam Wilayah Persekutuan / PPZ-MAIWP), merupakan lembaga semi pemerintah, karena bertanggung jawab pada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (yang merangkap Pengerusi Majelis Agama Islam Wilayah Persekutuan), dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji pada Jabatan Perdana Menteri. Wilayah kerja PPZ-MAIWP adalah di wilayah persekutuan (di luar kerajaan Negeri) dan pegawai/pekerja/kakitangan Institusi/lembaga peringkat persekutuan.

PPZ-MAIWP yang mempunyai visi : ”Untuk menjadi sebuah organisasi zakat yang unggul dikalangan negara-negara Islam serta menjadi salah satu teras mengimbangi taraf sisio ekonomi masyarakat Islam”, dan misi : ”Menyedarkan setiap Muslim yang layak berzakat menunaikan kewajipan berzakat”, didirikan pada tanggal 17 Nopember 1989, dan mulai beroperasi pada tanggal 27 Desember 1990, merupakan anak perusahaan dari Majelis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Tujuan PPZ-MAIWP adalah : (a). Meningkatkan pungutan zakat, (b). Menambah bilangan pembayar zakat, (c). Menyediakan penerangan tentang kewajiban berzakat, (d). Memperkenalkan sistem pungutan zakat berkomputer, dan (e). Memperkenalkan pengurusan korporat dalam urusan kutipan zakat, tampil dengan motto : ”PPZ-MAIWP memudahkan anda menunaikan kewajipan berzakat”.
Struktur kepengurusan PPZ-MAIWP terdiri dari : Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan Korporat, Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan, Jawatankuasa Percetakan dan penerbitan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Kerja, Jawatankuasa sebutharga/tender dan jawatankuasa Audit dalaman, Pengurus Besar, Bahagian Operasi dan Bahagian Pentadbiran dan Keuangan, Penolong Pengurus Operasi, Akuntan, Unit Dakwah, Unit Potong Gaji dan Operasi Dalaman, Unit Zakat Perniagaan, Unit Khidmat Pelanggan, Unit Penerbitan dan Pembangunan Korporat, Unit komunikasi korporat, Unit tindakan khas, Unit Agen Kutipan, Unit Syari’ah dan Penerangan Khas, Unit Pentadbiran, Unit Keuangan, Unit ICT, Unit Kualiti/latihan, Unit Kemasyarakatan dan Hal ehwal antarabangsa, Unit Pelaburan dan Unit Kesetiusahaan Syarikat. Saat ini keseluruhan kakitangan PPZ-MAIWP seramai 67 orang
Dengan kerjasama PPZ-MAIWP, Dompet Dhu’afa Republika, Indonesia, Institut Kajian Zakat Malaysia, serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji di Jabatan Perdana Menteri dan beberapa lembaga zakat di Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, terbentuklah lembaga zakat serantau yang diberi nama Dewan Zakat Asia Tenggara (DZAT) pada Persidangan Zakat Asia Tenggara 13-15 Maret 2006 di Kuala Lumpur. Bahkan OKI telah mencadangkan untuk menubuhkan Organisasi Zakat Internasional (International Zakat Organization).

Beberapa hal terkini yang telah dirumukan oleh PPZ-MAIWP antara lain bahwa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan uang KWSP jika cukup nisab tanpa menunggu haul setahun. PPZ-MAIWP juga telah merumuskan bahwa diperbolehkan membayar zakat melalui SMS, atau HP pada bila-bila masa dan tidak kira dimana jua pembayar berada.

PPZ-MAIWP disamping kegiatan mengutip dan membagikan zakat, juga melakukan pendalaman pemahaman zakat, melalui seminar-seminar, majelis muzakarah, kerjasama dengan media, mengadakan lawatan dan studi banding ke luar negara atau menerima lawatan dari luar negara, penyelidikan atau membantu penyelidikan, mengadakan kursus / latihan/bengkel baik dalaman atau luaran, bekerjasama dengan lembaga zakat lainnya baik dalam atau luar negara, pemanfaatan ICT, pembinaan lembaga zakat di kerajaan Negeri di seluruh Malaysia.

Dari laporan tahunan (2006) PPZ-MAIWP terdapat peningkatan jumlah kutipan zakat harta melalui PPZ-MAIWP menjadi RM 143.3 juta (2006) berbanding RM 126.7 juta (2005) kenaikan sebanyak RM 16.5 juta atau 13 %. Manakala jumlah pembayar seramai 52.424 orang (2006) berbanding 47.599 orang (2005), kenaikan seramai 4.825 orang atau 10%.
Dari jumlah tersebut diatas, urut-urutan jenis zakat adalah sebagai berikut : Zakat Pendapatan RM 89.123.574.90, zakat Perniagaan RM 22.790.507.33, zakat Simpanan RP 11.987.893.12, Zakat harta RM 18.758.590.82, Qadha zakat RM 279.414.86 dan lain-lain RM 364.422,05. (Jumlah RM 143.304.403.08).

Saluran pembayaran zakat dilakukan melalui : Potongan gaji RM 74.689.998.93, Kaunter PPZ-MAIWP RM 62.716.904.12, Kiriman Pos RM 3.710.877.26, Kaunter Bank RM 1.832.255.91, Kaunter Pejabat Pos RM 305.264.86, Kad Kredit RM 17.993.00 dan Mesin Deposit Cek RM 31.109.00. (Jumlah RM 143.304.403.08)

Jumlah kutipan zakat seluruh negara atau melalui lembaga pengutip zakat yang ditubuhkan oleh Majelis Agama Islam Kerajaan-kerajaan Negeri, berjumlah RM 670.1 juta (2006) berbanding RM 573.1 juta (2005), kenaikan RM 97.6 juta atau 17%. Dari keseluruhan kutipan diseluruh negara Malaysia baik melalui Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, maka yang paling besar kutipan zakatnya adalah Selangor RM 149.943.584.69, selanjutnya Wilayah Persekutuan RM 143.304.403.08. Dan yang terkecil adalah Sabah RM 12.073.068.71 dan Perlis RM 11.052.393.66.

Pertanyaannya adalah bagaimana dengan petadbiran zakat dan hasil kutipan zakat di Indonesia, yang kononya mempunyai penduduk Muslim terbesar di dunia ?,

D. Kesimpulan dan Penutup

Sebenarnya zakat kalau diurus dan ditadbir secara benar (menurut kaedah-kaedah agama) dan manajemen modern, akan dapat menyumbang secara sangat signifikan untuk mempercepat kemajuan dan kesejahteraan suatu masyarakat, melalui pengurangan angka kemiskinan, dan meratakan aset dan sumber ekonomi pada seluruh masyarakat.
Dan yang lebih penting adalah diperlukan paradigma baru, mulai dari perluasan obyek zakat – seperti saham, sekuritas dagang, asuransi, dan gaji/salari/ pendapatn tetap lainnya – sampai pengelolaan zakat – penggunaan media dan sarana modern ICT, HP, internet dan penggunaan pendekatan korporat dan tenaga propesional dalam mengelola zakat.

Demikian makalah ini semoga ada manfaatnya.

sumber : http://lppbi-fiba.blogspot.com/2009/01/peraturan-perundang-undangan-zakat-di.html