MEMPERKASA BAITULMAL


Baitulmal adalah entiti penting yang berperanan menyelaras, mengumpul, mentadbir dan mengurus simpanan aset umat Islam secara yang efektif serta komprehensif sejak sekian lama. Baitulmal telah melalui proses transformasi yang seimbang, sistematik dan telah berjaya memperkukuhkan pendapatan negara dan umat Islam dalam pelbagai disiplin termasuklah aktiviti ekonomi, jaringan sosial, politik, ketenteraan, teknologi, pendidikan dan pembangunan negara secara keseluruhannya.

Dalam buku Institusi Baitulmal dalam Pembangunan Negara (2007), Baitulmal merupakan institusi harta dan kewangan induk dalam negara Islam di mana khazanah yang terkumpul adalah aset negara yang dimiliki oleh semua rakyat yang tinggal dan menetap di bawah naungan kerajaan Islam termasuklah warga bukan Islam. Ini membuktikan bahawa Islam memiliki jentera kebajikan yang adil, berketerampil dan mampu menjadi alternatif kepada amalan ekonomi serta kewangan konvensional.

Dana dan sumber Baitulmal juga boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk orang bukan Islam terutamanya kepada agihan dan pembahagian kek ekonomi dalam bentuk maslahah 'ammah (kebajikan awam) yang mencakupi infrastruktur asas seperti pembinaan terusan atau tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar-bandar baru dan sebagainya boleh dimanfaatkan oleh semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Baitulmal menurut pandangan sarjana Islam al-Mawardi ialah tempat merekodkan pembahagian dan pengumpulan harta umat Islam dan negara. Lebih tepat lagi Baitulmal setanding fungsi Perbendaharaan Negara yang menerima dari pelbagai sumber kewangan dan harta secara terkumpul oleh negara Islam seperti zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun, lebihan pusaka yang tidak berwaris dan lain-lain lagi termasuk juga sumber-sumber yang diputuskan oleh pemerintah melalui ijtihad dan maslahah.

Malahan harta tidak patuh syariah seperti apa-apa sahaja jenis harta yang diperolehi hasil daripada transaksi yang bertentangan dengan syariat Islam seperti hasil faedah dari riba; keuntungan hasil judi dan rasuah, atau kerana berlakunya campur aduk antara aktiviti yang dibenarkan oleh syarak dengan yang sebaliknya. Lebihan dana atau hasil yang tidak patuh syariah ini boleh disalurkan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan awam dan sebagainya.

Walaupun institusi Baitulmal telah diasaskan sejak zaman Rasulullah lagi namun telah diperbadankan secara rasmi pada zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin kedua Umar al-Khattab yang dikenali ketika itu sebagai Diwan dan kemudiannya dinamakan sebagai Baitulmal. Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) masing-masing selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah senarai negeri yang diketuai oleh Raja atau Sultan sesebuah negeri.

Dalam konteks yang lebih luas, skop Baitulmal mencakupi peranan yang lebih luas sebenarnya jika dibandingkan dengan konsep Perbendaharaan Negara hari ini yang bukan sahaja berperanan sebagai institusi perbendaharaan negara melalui dasar, amalan dan kepentingannya kepada pemerintah, malah bertindak sebagai bank pusat yang berperanan secara langsung kepada sistem kewangan negara, belanjawan dan dasar fiskal, pembangunan agama serta kebajikan umat Islam.

Sehubungan itu, dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu dan bagi memastikan survival umat Islam terus terpelihara maka fungsi dan skop Baitulmal perlu diperkasakan lagi dari masa ke semasa di samping komited mencari dan menambah sumber dana baru dan melaksanakan reformasi dalam usaha penjenamaan semula institusi hebat umat Islam ini. Ini adalah bagi memastikan Baitulmal lebih efisien, kreatif dan inovatif bersesuaian dengan keadaan serta iklim ekonomi semasa.

Sejarah telah membuktikan bahawa institusi Baitulmal jika diurus dengan betul dan berkesan mampu membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi dengan sokongan padu dana zakat, wakaf dan sebagainya yang merupakan mekanisme penting serta pengimbang kepada kestabilan ekonomi negara dan umat Islam. Untuk itu juga, Baitulmal perlu lebih aktif dan kompetitif membabitkan aktiviti pembangunan masyarakat dengan meneroka sumber baru seiring dengan model ekonomi baru negara.

Sehubungan itu juga, proses penjenamaan semula produk Baitulmal di setiap negeri perlu dilakukan sesuai dengan ledakan dan persekitaran globalisasi yang sentiasa bergerak pantas. Pentadbiran dan pengurusan Baitulmal juga mestilah diperkemas dan diterajui golongan profesional dan pakar berkemahiran yang mampu memberi suntikan baru, membangunkan serta menggerakkan jentera Baitulmal secara yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Bertepatan dengan penganjuran Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 1430H/2009M dengan tema 'Baitulmal: Masihkah Relevan?' baru-baru ini maka idea-idea yang baru, segar dan lebih praktikal dalam memperkasakan institusi Baitulmal serta menyemak kembali fungsi dan peranan Baitulmal yang sebenar seperti mana pada zaman kegemilangan Islam perlulah direalisasikan dengan segera seiring dengan sejarah institusi Baitulmal di negara kita.

Untuk itu, kita perlu menjana dan mengumpul idea serta pemikiran para cendekiawan Islam dari pelbagai lapangan seperti pentadbiran, akademik, undang-undang dan sebagainya dalam memperkukuh institusi Baitulmal di negara kita. Perkongsian pengalaman, kemahiran serta pengetahuan dalam pentadbiran dan pembangunan institusi Baitulmal juga wajar diperluaskan perlaksanaannya.

Usaha dan komitmen mengkaji fungsi, peranan dan konsep Baitulmal pada zaman kegemilangan Islam secara serius untuk diterapkan kembali dalam usaha memperkasa institusi Baitulmal di semua negeri harus diperkembangkan di setiap lapisan pentadbiran dan pengurusan dalam segala aspek pembangunan institusi penting umat Islam ini. Cadangan sebuah entiti Baitulmal di peringkat persekutuan bagi menyelaraskan harta milik umat Islam juga wajar dipertimbangkan sebagai mekanisme penggerak ekonomi ummah.

Komitmen memartabatkan institusi Baitulmal di negara kita selari dengan realiti dan perkembangan semasa seperti kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan juga Kerajaan Elektronik (e-Government) sangat wajar; dan menggilap potensi-potensi Baitulmal sebagai tonggak pembangunan ekonomi ummah melalui pemantapan sumber sedia ada dan penerokaan kaedah baru yang berpotensi untuk memperkasakan dana Baitulmal.

Rujukan

Hailani Muji Tahir, 2007. Institusi Baitulmal dalam Pembangunan Negara. Selangor: Penerbit UKM
Murid Fazli Musa, 2009. Lupus harta tidak patuh syariah di Baitulmal. Utusan Malaysia, 24 Jun
Perkasakan Baitulmal, Berita Harian, 25 Jun 2009

Baitulmal perlu diperbadan, Harian Metro, 25 Jun 2009

Comments

Popular Posts