SIRAH RASULULLAH PEMANGKIN ASPIRASI UMAT


Mempelajari Sirah atau perjalanan hidup Rasulullah s.a.w adalah suatu kemestian kepada semua umat Islam terutamanya para pendakwah dan pejuang Islam. Reformis dan pelopor gerakan Islam teragung, Hasan al-Banna dalam buku beliau Risalah At-Taalim menegaskan akan keperluan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah sebagai landasan hidup dan panduan bagi setiap individu Muslim yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada.

Menurut Ibnu Mandzur dalam kitab ‘Lisanul Arab' menyatakan bahawa As-Sirah menurut bahasa bermakna kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku. Manakala menurut istilah umum pula bermaksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang. Pun begitu, para ulama sepakat apa yang dimaksud dengan as-Sirah an-Nabawiyah bererti rakaman sejarah hidup Rasulullah yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah dari disiplin ilmu yang tersendiri.

Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam buku sirah beliau bahawa objektif memahami sirah ialah agar dapat memperolehi gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah sesudah ia difahami secara konsepsional sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Antara buku sirah terkenal dan berpengaruh ialah seperti kitab Sirah Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi dan banyak lagi.

Kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkenaan sirah menurut perspektif Barat cukup banyak sekali seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F.M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission serta banyak lagi.

Sehubungan itu, sirah juga merupakan mekanisme terbaik untuk mengenali Rasulullah yang sangat efektif kerana Sirah Rasulullah adalah terjemahan hidup al-Quran yang paling lengkap dan yang paling agung serta terpelihara daripada penyimpangan dan penyelewengan. Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah ini dengan mempertahankan urutan sanad secara yang amat ketat. Oleh itu, tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah.

Dalam buku Berdakwah Kepada Allah, Sheikh Mustafa Mashyur menukilkan bahawa mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam adalah untuk dijadikan bekalan hidup dan segala segala apa yang ingin dilakukan. Didalamnya terdapat pelbagai bentuk penyelesaian masalah, krisis dan situasi genting yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil oleh generasi muslimin yang pertama. Sirah juga merupakan petunjuk praktis dan aplikatif bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah di muka bumi ini.

Bagi Dr. Mustafa as-Syibaie pula, sirah mempunyai pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian sirah juga menjadi kemestian kepada golongan ulama dan pengislah sosial sebagai bekalan serta persediaan kepada mereka memandu kehidupan di samping merealisasikan proses transformasi pemikiran di dalam masyarakat. Tambahan pula keistimewaan sirah Rasulullah yang sahih dan tiada sebarang keraguan ini, tidak terdapat dalam mana-mana sirah rasul-rasul Allah terdahulu.

Perjalanan hidup Rasulullah juga sangat telus, tidak ada yang rahsia dan fakta tidak ada yang disembunyikan di mana sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, sebagai seorang teman, seorang jeneral perang, ahli ekonomi dan jurutera sosial, strategis agama, pemimpin negara dan sebagainya yang boleh diaplikasikan di dalam kehidupan seharian bersandarkan kepada model yang ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang hayat Baginda.

Nabi Muhammad s.a.w adalah simbol manusia agung yang telah menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap segala yang telah dilakukan baginda kepada tamadun manusia. Hakikat ini adalah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam”. (al-Anbiya': 107). Manakala dalam ayat yang lain pula Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab: 21)

Biarpun begitu, tanpa memahami akan kepentingan mempelajari sirah akan melahirkan generasi muda yang lebih mengenali sejarah dan latar belakang serta menggilai golongan artis misalnya daripada menghayati sirah Rasulullah, keluarga dan sahabat baginda. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan anjakan paradigma serta momentum untuk meletakkan Rasulullah sebagai manusia teragung di dalam hidup kita setiap saat dan ketika. Oleh itu, berpandukan aspirasi sirah Rasulullah, umat Islam hendaklah menjadikan Baginda sebagai idola dan ikon di dalam kehidupan seharian serta mengikuti segala arahan dan meninggalkan segala larangan Baginda sepertimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia”. (al-Qalam: 4)


Rujukan

Prof. Dr. Abdul Hamid al-Ghazali, 2004. Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah. Selangor: Penerbit Teras Bakti
Dr. Danial Zainal Abidin, 2004. Bukti-Bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributions Sdn Bhd

Mazlan Nordin, 2008. Islam dari persepsi ilmuan bukan Islam, Mingguan Malaysia, 28 Disember
Azman Ismail, 2008. Keagungan Nabi dalam Sirah Junjungan. Utusan Malaysia, 27 Mac
Talib Samat, 2007. Sirah Nabi jadi panduan. Utusan Malaysia, 30 Mac

Comments

Popular Posts