SYEIKH DR. FATHI YAKAN - ARKITEK DAKWAH YANG UNIK


Dunia dakwah dan gerakan Islam dikejutkan dengan berita kematian Syeikh Dr. Fathi Yakan pada hari Sabtu 13 Jun 2009 bersamaan, 19 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu ketika umurnya mencapai 76 tahun. Beliau yang cukup dikenali di seluruh dunia telah meninggalkan legasi dakwah yang sangat hebat sehingga idea, gagasan dan pemikiran beliau telah melahirkan generasi unik Muslim yang begitu mengagumkan.

Sepanjang hayatnya, Fathi Yakan telah mewakaf serta menginfakkan seluruh hidup dan pemikiran beliau kepada aktivisme dakwah dan gerakan Islam tanpa pernah kenal erti jemu dan putus asa selama hampir 50 tahun. Beliau telah memberikan sumbangan bakti dan warisan penulisan intelektual yang tidak ternilai terutama sekali kepada gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menerusi dunia penulisan.

Karya besar seperti Apa Ertinya Aku Menganut Islam yang juga merupakan magnum opus penulisan beliau di samping Bahtera Penyelamat Umat Dalam Kehidupan Pendakwah, Permasalah dakwah dan Pendakwah, Ke Arah Kesatuan Gerakan Islam, Asas-Asas Islam dan buku-buku lain yang melebihi 35 buah buku yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama di kalangan aktivis-aktivis gerakan Islam dan universiti di seluruh dunia.

Dalam buku Apa Ertinya Aku Menganut Islam, beliau menegaskan bahawa " ramai yang menjadi Muslim kerana hobi atau dilahirkan oleh kedua orang ibu bapanya yang memang beragama Islam. Mereka ini pada hakikatnya tidak memahami makna menggabungkan diri dengan Islam. Mereka juga tidak mengerti tentang tuntutan-tuntutan dari penggabungan ini. Lantaran inilah anda dapat melihat mereka berada di satu pihak manakala Islam pula berada di pihak yang lain ".

Tambah beliau lagi " dalam beberapa waktu yang genting ini umat Islam telah melalui pengalaman yang begitu pahit di mana telah banyak sistem (peraturan) hidup dan prinsip-prinsip pegangan mereka telah gugur lenyap. Banyak gerakan dan ramai pula pemimpin yang turut gugur tercicir apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran masa kini kerana gerakan dan pimpinan berkenaan tidak mempunyai asas-asas persediaan yang membolehkan mereka terus kekal dan berterusan ".

Disiplin ilmu dan paradigma penulisan beliau diangkat sebagai wadah utama yang mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan negara Islam lain kerana sarat dengan motivasi, strategi, teknik, kreativiti dan lain-lain yang begitu kritikal serta praktikal.

Karya beliau melalui mekanisme berbentuk risalah-risalah dan tulisan-tulisan pula telah membentuk acuan pemikiran serta ideologi dakwah dan gerakan Islam di seluruh dunia sebagai panduan kepada generasi kebangkitan Islam merealisasikan misi dan visi mereka ke arah menjadi Islam sebagai cara hidup - way of life.

Arkitek dakwah dan gerakan Islam ini dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran (Phd) dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab dari sebuah universiti terkemuka walaupun pada peringkat ijazah (BA) dan sarjana (MA) beliau belajar dalam bidang kejuruteraan. Sejarah mencatatkan beliau begitu komited dan serius terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an lagi dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal tahun 1960an di Lubnan.

Beliau telah diamanahkan sebagai ketua umum di dalam pergerakan berkenaan sehinggalah pada tahun 1992 di mana beliau telah bertanding dan memenangi kerusi di parlimen Lubnan sehinggalah pada tahun 1996. Selepas bersara dari dunia politik, beliau diberi kepercayaan mengetuai Jabhah al-Amal al-Islami dan berperanan penting menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Ini adalah antara usaha dan perjuangan terakhir beliau dalam menyatukan dan menghindari perselisihan di kalangan rakyat Lubnan, terutamanya di antara kekuatan serta perselisihan golongan majoriti dan minoriti di sana yang turut mendapat perhatian dunia Islam di peringkat antarabangsa. Ini membuktikan bahawa kewibawaan dan ketrampilan beliau secara semulajadi bukanlah hanya ke medan dakwah, malahan mencakupi segala aspek kehidupan.

Dalam konteks yang lebih luas, Fathi Yakan bukan sahaja dianggap sebagai tokoh ulama dan pemikir Islam yang terkemuka, tetapi juga sebagai seorang anggota Parlimen yang amat disegani di Lubnan dan antara pemimpin gerakan Islam antarabangsa yang amat berpengaruh sebaris dengan reformis Islam Hassan al-Banna, Syed Qutb, Mustafa Mashyur, Hassan Ali an-Nadawi dan beberapa tokoh mujahid mutakhir yang lain.

Sesungguhnya pemergian beliau bukan sekadar kehilangan dan kerugian besar bagi warga Arab di Timur Tengah, bahkan kepada seluruh umat Islam khususnya di kalangan aktivis-aktivis dakwah dan gerakan Islam di seluruh dunia yang mendapat tunjuk ajar daripada beliau sebagai 'guru dakwah moden dan kontemporari' secara langsung dan tidak langsung sejak sekian lama.

Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji’un. Al-Fatihah

Rujukan

Fathi Yakan, 2008. Apa Ertinya Aku Menganut Islam. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar (edisi kemaskini)

Laman web IslamOnline: http://www.islamonline.net
Laman web Wikipedia : http://en.wikipedia.org/wiki/Fathi_Yakan

Comments

Popular Posts