Sunday, July 26, 2009

MEMBANTERAS JENAYAH PENYELUDUPAN DAN PERDAGANGAN MANUSIA

Aktiviti penyeludupan dan perdagangan manusia diperingkat antarabangsa nampaknya semakin berleluasa dan menjadi masalah kepada banyak negara termasuklah Malaysia ketika ini. Aktiviti jenayah yang mempunyai jaringan dan sindiket professional ini jika tidak dibanteras secepat mungkin boleh menjejaskan imej, prestasi dan nama baik negara di mata dunia jika sesuatu yang drastik tidak dilakukan segera. Kerjasama dan komitmen semua pihak sangat diperlukan bagi mengembleng usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dan aman menjadi tarikan utama kepada sekian ramai kaum pendatang dari seluruh dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakan aktiviti penyeludupan serta perdagangan manusia walaupun kita hari ini telah berada di zaman moden dan serba canggih, namun kegiatan ‘jualbeli manusia’ masih berlaku sedangkan era perhambaan telah lama berlalu. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh sama sekali dibiarkan bergerak aktif di negara kita.

Kedudukan ditengah-tengah negara ASEAN turut menjadikan Malaysia antara lokasi paling strategik dan ekonomik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi aktiviti penyeludupan dan perdagangan manusia melalui kegiatan orang tengah untuk membawa masuk sejumlah besar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sempadan tanah air setiap hari ke negara kita sama ada kita sedari atau tidak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia adalah syurga PATI dan mereka sanggup bergolok bergadai untuk berada di sini.

Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) dalam Laporan Penyeludupan Manusia 2009 memasukkan semula Malaysia dalam senarai hitam antara negara yang masih menyeludup manusia, selain negara Afrika iaitu Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland dan Zimbabwe. Malaysia, menurut laporan itu, turut disenaraihitamkan antara 17 negara sebagai Tahap 3 dalam kajian yang dilakukan terhadap 173 buah negara. Ini sangat mengejutkan semua pihak dan kemungkinan terdapat usaha di luar sana yang cuba memburuk-burukkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Malaysia juga didapati tidak mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk menghapuskan penyeludupan manusia secara bersungguh-sungguh. Namun begitu, punca sebenar penyeludupan manusia dikenal pasti ekoran situasi semasa ekonomi, politik dan konflik kaum yang berlaku di negara tertentu. Kelemahan dari sudut kedudukan geografi pula menjadikan aktiviti penyeludupan manusia bukan sahaja dilakukan secara terancang, malah disokong sendiri oleh badan penguat kuasa di sesebuah negara termasuklah Malaysia.

Berikutan itu, penangkapan dan dakwaan telah dibuat terhadap beberapa kakitangan Jabatan Imigresen baru-baru ini termasuk pegawai kanannya ditahan setelah didapati terlibat dalam sindiket antarabangsa penyeludupan manusia di negara ini. Mereka didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda. Mereka didapati telah bersekongkol dengan sindiket terbabit dengan menggunakan laluan tikus di sempadan negara.

AS sendiri menyambut baik tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan kakitangan Jabatan Imigresen tersebut kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia antarabangsa itu. Seperti kata pepatah akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Dalam pada itu juga, Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah bersepakat untuk meningkatkan kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan.

Bagi menjayakan agenda besar membanteras aktiviti jenayah global ini, maka negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan bagi memastikan semua langkah yang diambil dalam menangani masalah sindiket antarabangsa ini dapat dilakukan dengan lebih teratur dan bermanfaat kepada semua negara anggota bagi jangka masa panjang.

Di samping itu juga usaha mencari punca serta penyebab utama kepada berlakunya masalah ini dan mencari jalan penyelesaian kepada krisis kemanusiaan ini amat penting untuk diperdebat dan diperbincangkan termasuklah mencari titik kelemahan yang membawa kepada masalah ini terus berleluasa di seluruh dunia terutamanya di negara-negara mundur dan membangun yang mana aktiviti ini begitu aktif dan tidak terkawal. Oleh yang demikian, penglibatan semua pihak sangat diperlukan ke arah mewujudkan sifar perdagangan dan penyeludupan manusia pada masa hadapan.

Masyarakat dunia seluruhnya juga perlu mengambil langkah mempertingkatkan lagi kerjasama menerusi pertukaran maklumat dalam usaha menangani isu ini terutama dari aspek bentuk serta kaedah penyeludupan dan negara mana yang dijadikan tempat transit utama penyeludupan manusia. Penularan jenayah yang semakin serius dan sangat membimbangkan ini di samping melibatkan kes perdagangan manusia dalam masa yang sama turut melibatkan rangkaian aktiviti pengedaran dadah global, kegiatan pemalsuan pasport, dokumen, kad kredit dan sebagainya.

RUJUKAN

Malaysia, Australia sepakat banteras penyeludupan manusia, Utusan Malaysia, 6 Julai 2009
AS puji PDRM banteras penyeludupan manusia, Utusan Malaysia, 23 Julai 2009
Jadikan penahanan sebagai pengajaran - Abdul Rahman, Utusan Malaysia, 22 Julai 2009
9 kakitangan Imigresen ditahan, Utusan Malaysia, 21 Julai 2009

FORMULA ATASI KEMARAHAN



Perasaan marah adalah sifat fitrah yang terjadi kepada setiap orang dan tercetus apabila berlaku sesuatu yang berpunca daripada seseorang yang tidak disukai, sesuatu peristiwa yang tidak diingini atau kebimbangan dalam hidup seharian seseorang individu tertentu. Dalam keadaan tertentu keadaan marah boleh berpunca dari diri sendiri atau faktor luaran apabila seseorang atau suatu peristiwa yang menyebabkan kita tidak selesa, gelisah dan terancam seperti gangguan, usikan, ejekan dan sebagainya.

Kemarahan juga boleh terjadi apabila diri sendiri atau orang tersayang dianiaya, diperguna serta dieksploitasi sesuka hati, malahan dijadikan bahan mainan serta berada dalam situasi keliru dan lain-lain. Rasa marah juga boleh berlaku sekiranya sesuatu hajat tidak tercapai, ditipu oleh orang lain atau hak seseorang dirampas sewenang-wenangnya, tertekan dengan masalah peribadi, ekonomi dan sebagainya sehingga menyebabkan seseorang itu hilang kawalan dan pertimbangan. Oleh yang demikian, kemarahan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Kadang-kadang dalam keadaan tertentu ekoran daripada kerenah anak-anak juga boleh menjadi ibu bapa tertekan dan marah dengan perlakuan berkenaan; atau perangai pelajar yang kurang sopan menyebabkan guru-guru menjadi marah malahan sikap pekerja yang melampau juga boleh menyebabkan majikan naik angin dan darjah kemarahan meningkat dan sebagainya. Kemarahan juga boleh berlaku ketika terkandas di dalam kesesakan lalu lintas misalnya, ketinggalan tren atau bas, terlupa sesuatu perkara dan pelbagai lagi alasan yang boleh menyebabkan wujudnya rasa masah sama ada dinyata atau disembunyikan.

Undang-undang dan etika sosial Islam telah menetapkan batasan untuk membolehkan seseorang itu meluahkan perasaan marah tetapi mestilah melalui saluran yang dibenarkan Syariat seperti marah melihat perbuatan maksiat yang berlaku atau marah kepada kekejaman Israel terhadap Palestin umpamanya dan sebagainya. Mengingkari ketetapan berkenaan akan mengakibatkan perlanggaran ketetapan Syarak, mengundang lebih banyak kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang di sekeliling yang juga boleh membawa kepada seseorang itu tersisih dari masyarakat.

Tambahan pula, apabila perasaan marah yang membuak-buak itu gagal diuruskan dengan sewajar dan sebaik mungkin, seseorang itu secara langsung dan tidak langsung boleh mengalami luka keparahan secara fizikal dan emosi akibat tindak balas orang lain ekoran perasaan marah yang tidak terkawal. Marah juga boleh mendorong seseorang bertindak secara ganas dan mengikut kehendak hati semata-mata dan ini akan mengakibatkan kecederaan berlaku kepada orang ramai ketika berlaku pergaduhan atau salah faham misalnya. Perasaan marah yang dipendam juga akan mengundang masalah, terutama sekali berkaitan dengan jalinan perhubungan, seksual dan amalan sosial.

Menurut perspektif Islam, Rasulullah SAW menegaskan bahawa sifat marah itu sebenarnya datang dari syaitan sepertimana sabda baginda yang bermaksud: "Marah itu datangnya dari syaitan, dan syaitan itu diciptakan dari api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.“ Rasulullah bersabda lagi: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam posisi berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.”

Di sini dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa formula untuk meredakan rasa marah yang menguasai diri ialah dengan segera mengambil air sembahyang atau berwuduk jika seseorang itu berada dalam keadaan tersangat marah dan boleh juga mengubah posisi atau kedudukan yang sesuai agar dapat dikurangkan sedikit perasaan marah yang sedang membara di dalam hati. Ujian kesabaran juga boleh diuji terhadap seseorang bila berada di dalam kemarahan kerana sifat sabar adalah anak kunci utama menyejukkan rasa marah yang marak membakar di dalam diri seseorang.

Sesungguhnya orang yang bersabar sangatlah terpuji dan sifat sabar yang mulia itu memang pahit pada mulanya, tetapi manis pada akhirnya. Lukman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya bahawa ada tiga macam yang tidak diketahui kecuali pada tiga macam iaitu orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah; orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika dalam peperangan; dan saudara tidak diketahui kecuali ketika berhajat yakni semasa ada kepentingan. Ini adalah realiti serta hakikat kehidupan yang sebenar dan kesabaran dalam menahan rasa marah adalah sesuatu yang sangat payah untuk dilaksanakan.

Abul Laits As-Samarqandi dalam kitab beliau Tanbihul Ghafilin atau Peringatan Bagi Yang Lupa (Jilid 1) menyarankan agar menggunakan resepi kesabaran yang ada bagi mendepani rasa marah kerana akibat daripada kegagalan menahan marah boleh menyebabkan seseorang akan rasa menyesal, dicela oleh orang lain dan yang paling menakutkan ialah bakal menerima siksaan Allah SWT di akhirat kelak. Manakala sekiranya kita mampu bersabar dengan api kemarahan di dalam diri maka akhirnya kita akan merasa ringan dan hilang segala masalah di samping melahirkan kesenangan dalam diri, malahan juga mendapat pujian orang ramai dan sudah tentu mendapat janji pahala daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, terdapat beberapa elemen penting lain yang perlu dikuasai bagi mengawal sifat marah yang antaranya ialah ketegasan melawan rasa marah, kemahiran komunikasi yang betul, bijak membuat keputusan dan fahami personaliti diri dan orang lain, mempunyai kemahiran berunding, berfikiran positif di samping bijak menyelesaikan masalah, sentiasa berada di dalam ketenangan serta komited mendalami ilmu dan kemahiran pengurusan stress. Abu Umamah Al-Bahili r.a berkata Rasulullah SAW bersabda: “ Siapa yang dapat menahan marah padahal dia berkuasa untuk memuaskan marahnya itu, tetapi tidak dipuaskan bahkan tetap ditahan/disabarkan, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaanNya pada hari kiamat. ”

RUJUKAN

Abul Laits As Samarqandi, 1989.Tanbihul Ghafilin- Peringatan Bagi Yang Lupa (Jilid 1). Kuala Lumpur: Victory Agencie

Laman web :
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/remaja_content.jsp?lang=remaja&sub=0&bhs=may&storyid=1186620941618

Saturday, July 18, 2009

Tun Abdullah mahu ISA dimansuh








Abdullah mahu ISA dimansuh

oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my
[http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm]

SINTOK 17 Julai - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

"Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.

Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya.

Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan.

"Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori.

"Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.









Tun Abdullah syor kaji mansuh ISA

oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
[http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090717233926/Article/index_html]

Rangka akta keselamatan lebih mesra hak asasi rakyat

SINTOK: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan digantikan dengan undang-undang lain yang membenarkan penahanan pencegahan dengan mempertahankan hak asasi rakyat.

Abdullah berpendapat Malaysia masih memerlukan mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara, namun tidak harus mengorbankan kebebasan dan hak asasi atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Suka atau tidak, ISA sebagai akta dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda memperkasakan demokrasi negara.

"Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan harus tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Mungkin contoh yang boleh dilaksanakan adalah mengehadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan saja sekali gus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya berucap pada majlis konvokesyen khas sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Demokrasi) kepada beliau oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Abdullah turut memuji kesediaan kerajaan mengkaji semula akta itu yang disifatkannya sebagai menampakkan kesedaran mengenai permasalahan yang berlaku.

"ISA memberi kuasa yang besar dan skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

"Sebagai (bekas) Menteri Dalam Negeri, saya sudah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji keberkesanan serta impak ISA... saya berasa terpanggil memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini," katanya.

Sementara itu, Abdullah menafsirkan anugerah yang diterimanya semalam sebagai pengiktirafan komuniti akademik kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau.

Katanya, falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang beliau pelopori.

Friday, July 17, 2009

ISRAK & MIKRAJ MENJANA KEUNGGULAN

Peristiwa agung Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah SAW adalah detik perjalanan serta penjelajahan hebat baginda ke alam angkasa yang tidak pernah berlaku kepada mana-mana nabi atau rasul sebelum baginda. Ini adalah bukti bahawa Rasulullah adalah manusia agung dan nabi serta rasul paling mulia di sisi Allah SWT. Buktinya ketika Rasulullah singgah solat di Masjid Al-Aqsa ketika dalam pengembaraan baginda menjadi imam kepada semua jamaah di kalangan nabi serta rasul yang sedang menunggu ketibaan baginda dengan penuh hormat dan kebesaran.

Mukjizat besar ini berlaku pada 27 Rejab lebih kurang setahun sebelum peristiwa Hijrah menurut majoriti ulama telah menjadi medan menguji keimanan dan ketakwaan umat Islam dahulu, kini dan selamanya apabila peristiwa tersebut masih dianggap tidak logik serta tidak masuk akal. Malahan penduduk Mekah ketika itu pun berpecah belah dan berbelah bahagi untuk menerima hakikat kebenaran peristiwa tersebut sehingga Saidina Abu Bakar bangkit membenarkan peristiwa yang di luar kebiasaan itu. Ini adalah contoh mulia yang ditunjukkan oleh beliau sehinggalah beliau diberi gelaran As-Siddiq atau yang membenarkan oleh Rasulullah dan umat Islam.

Akhlak, moral dan keyakinan yang mantap dibuktikan oleh beliau, ahli keluarga dan para sahabat Rasulullah yang lain terhadap peristiwa Israk dan Mikraj sewajarnya menjadi model terbaik kepada umat terkemudian dalam agenda dan usaha jihad memperkukuhkan keagungan dan kemuliaan Rasulullah buat selama-lamanya. Komitmen yang tinggi serta iltizam semangat juang yang kental mempertahankan ajaran Islam daripada terus dikotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam sejak dahulu lagi perlu bersemadi di dalam setiap jiwa umat Islam.

Sejarah menulis dengan tinta emas bahawa Saidina Abu Bakar menjadi pembela kepada peristiwa berkenaan dan mempertahan kebenarannya di kala umat Islam ketika itu keliru, binggung dan tertanya-tanya akan kejadian yang belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan hikayat sebelum ini. Malahan bagi Saidina Abu Bakar As-Siddiq sekiranya ada kejadian atau peristiwa yang lebih hebat daripada Israk dan Mikraj pun beliau akan mempercayainya jika ianya datang dari mulut Rasulullah. Ini adalah kerana pengalaman Israk dan Mikraj yang dilalui Rasulullah menjadi khazanah yang sangat bernilai serta sarat dengan falsafahnya yang tersendiri.

Peristiwa dan kejadian luar biasa ini turut dikaitkan dengan tahun dukacita/kesedihan atau Aamul Huzn selepas kematian isteri Siti Khadijah yang tercinta dan bapa saudara baginda Abu Talib yang cukup berjasa kepada awal perkembangan Islam. Kewajipan solat lima waktu juga menjadi tema utama dalam kitab-kitab muktabar yang meriwayatkan kisah Israk dan Mikraj di samping beberapa contoh adegan gambaran akan datang dan telah berlaku ditunjukkan kepada Rasulullah, malahan bentuk balasan kepada manusia yang bakal diterima juga sempat ditonton oleh Rasulullah ketika perjalanan tauhidik baginda itu.

Dalam konteks yang lebih luas, Israk dan Mikraj memberi momentum kepada survival dakwah Rasulullah dan impak yang sangat hebat kepada arah perjuangan Rasulullah dan umat Islam seterusnya. Fenomena yang merupakan mukjizat hebat ini digambarkan dengan begitu realistik di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram hingga ke Masjid Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya." (surah al-Isra': ayat 1)

Pemikir dan reformis gerakan Islam terkenal, As-Syahid Syed Qutb dalam kitab tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menegaskan, “Perjalanan dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”

Hal pengembaraan agung Rasulullah ini juga telah menyebabkan mereka yang lemah iman dan longgar akidahya telah berpaling semula kepada agama asal apatah lagi turut terpengaruh dengan provokasi kafir Mekah serta golongan munafik yang tidak senang dengan kehadiran Islam di samping tidak dapat menerima kebenaran cerita kejadian Israk dan Mikraj tersebut lantas menuduh Rasulullah berdusta, menyebar cerita donggeng dan gila. Situasi ini sememangnya adalah lumrah dan realitinya Islam dan umatnya sentiasa menjadi mangsa keadaan, dituduh dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan tidak benar dan acapkali diletak di kandang salah tanpa diberikan pembelaan serta kebebasan bersuara yang sewajarnya.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan proses memperkasa akidah yang walaupun telah lama berlaku sejak lebih 1400 tahun yang lalu namun masih terdapat segolongan di kalangan umat Islam yang tidak dapat menerima hakikat dan realiti kebenaran mukjizat unggul berkenaan kerana dianggap mustahil dan tidak boleh berlaku dengan teknologi atau peralatan moden yang ada hari ini. Peliknya golongan ini percaya dan boleh pula menerima kebenaran ekspedisi manusia ke bulan dan planet-planet lain tetapi menolak kejadian peristiwa Israk dan Mikraj. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana peristiwa ini direkodkan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis sahih yang tidak boleh dipertikaikan.

Ini adalah contoh manusia yang lemah iman, tidak sensitif, kurang kefahaman yang jelas dan gagal berfikir secara waras serta gagal berusaha mencari kebenaran di dalam agama. Kelompok ini terlalu berpegang kepada logik akal, kaedah serta pembuktian sains dan langsung terpengaruh dengan ideologi songsang ciptaan Barat dan orientalis yang sentiasa menyerang Islam sejak sekian lama dalam pelbagai cara agar umat Islam terus sesat dan keliru. Ada juga yang termakan dengan hujah dan pendapat mereka yang mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj adalah sekadar fantasi teologi, mimpi kosong dan simbolik keagamaan sahaja.

Sedangkan kebenaran Israk dan Mikraj telah banyak diperdebatkan dan diakui sendiri oleh sebilangan besar para saintis bukan Islam di Barat yang merupakan asas penting kepada disiplin ilmu astronomi sehingga mencetuskan keinginan serta kesedaran luar biasa masyarakat Barat untuk menjelajah angkasa raya dan menawan galaksi yang mana segala ilmu dan pengetahuan berkenaan dipelajari dari kitab-kitab karangan ulama dan ahli sains Islam. Malangnya kesedaran tersebut masih rendah di kalangan umat dan negara Islam sendiri ekoran dibelenggu kemiskinan, masalah buta huruf, konflik mazhab, perebutan kuasa, teknologi yang ketinggalan, tahap pendidikan yang rendah dan sebagainya.

Biarpun begitu, menurut Dr. Badlihisham Mohd. Nasir (1999) peristiwa agung Israk dan Mikraj adalah suatu proses pembinaan Thiqah al-Daiyyah (personaliti pendakwah) atau motivasi peringkat tertinggi yang pernah berlaku di kalangan nabi-nabi Allah. Tanda-tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW secara Ain al-Yakin (keyakinan secara tontonan) berfungsi menumbuhkan kekuatan iman yang jitu dalam diri Rasulullah sebagai seorang pendakwah dan murabbi ummah. Pendakwah yang tidak mempunyai keyakinan atau iman yang penuh terhadap apa yang diserunya, akan mudah ditimpa kelesuan, kejemuan, rasa bosan dan kelonggaran pegangan.

Oleh yang demikian, di antara amalan yang harus dilakukan oleh pendakwah sebagai mengambil iktibar dari peristiwa ini ialah dengan selalu mengingati Allah SWT. Hakikat ini ditegaskan oleh Dr. Fathy Yakan dalam kitabnya Qawaribun Najah fi Hayati al-Du 'at iaitu 'Zikru Allah' (mengingati Allah) akan melonjakkan keberanian, ketabahan dan dorongan ingin mara berjuang, kerana di saat itu orang beriman akan merasakan Allah sentiasa bersama-samanya. Perasaan itu selalunya akan melahirkan daya juang dan tekad yang hebat untuk menghadapi segala bentuk cabaran merempuh segala rintangan dengan jiwa yang jitu, percaya kepada diri sendiri dan bersikap tenang.

Rujukan

Dr. Badlihisham Mohd. Nasir, 1999. Falsafah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj. Utusan Malaysia, 5 November
Mohd. Shauki Abdul Majid, 2003. Rahsia tersirat Israk dan Mikraj. Utusan Malaysia, 24 September

Tuesday, July 14, 2009

TREND KEWANGAN ISLAM GLOBAL

Kegawatan dan ketenatan ekonomi global hari ini telah berjaya membuka mata banyak pihak serta menarik perhatian masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia terhadap kemampuan dan kemantapan sistem kewangan dan perbankan Islam yang kondusif serta kalis krisis semasa. Keanjalan, peluang serta potensi yang ada pada sistem ini membolehkannya diimplementasikan sebagai horizon serta alternatif baru dan formula pemulihan kepada polemik kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku ketika ini.

Aplikasi sistem kewangan dan perbankan Islam moden hari ini dilihat sangat relevan, tepat pada masanya dan mendapat pengiktirafan dalam usaha sistem ini mengambil alih kedudukan sistem konvensional sedia ada. Kejayaan dan pencapaian ini mampu direalisasikan melalui penyertaan yang semakin meningkat terhadap produk kompetitif yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam di seluruh dunia. Hari ini, lebih 250 institusi kewangan Islam beroperasi di seluruh dunia.

Dari sudut perspektif Islam, sistem perbankan dan kewangan Islam adalah medan ekonomi yang berteraskan paksi tauhid yang bersandarkan kepada komitmen keagamaan yang ketat. Ini adalah kerana sistem nilai yang wujud di dalam amalan dan prinsip sistem ini tidak membuka peluang atau berkompromi dengan transaksi riba, percampuran amalan syubhah, gharar, maysir serta penindasan dan ketidakadilan dalam setiap urusniaga yang berlaku kerana ianya melibatkan soal haram dan halal yang membawa kepada aspek dosa dan pahala dalam konteks ajaran Islam termasuklah gaya pentadbiran dan pengurusan kewangan, pelaburan serta pembangunan modal insan.

Keadaan ini menjadikan sistem ini dilihat sangat rigid dan sensitif dengan hal keadaan bagaimana dana serta sumbernya dilabur, diurus dan dibahagikan mengikut kaedah yang dibenarkan oleh Syarak melalui pemantauan majlis penasihat Syariahnya yang tersendiri. Ini menunjukkan bahawa sistem kewangan dan perbankan Islam bukanlah sekadar menjana keuntungan yang akan dikongsi secara bersama dan adil atas dasar taawun atau tolong menolong malahan mempunyai daya tarikan tersendiri di samping sistem nilai yang diamalkan memberi gambaran sebenar realiti muamalah dalam aspek ekonomi berteraskan asas tauhid ini.

Secara kasarnya dengan memberi fokus kepada sistem perbankan Islam di Malaysia menunjukkan ianya mencatat kadar pertumbuhan yang tinggi sebanyak 30 peratus pada 2008, berbanding pencapaian 20 peratus sahaja oleh sistem perbankan konvensional. Manakala pada peringkat global pula dalam tempoh dua tahun lalu ia meningkat pada purata 26 peratus berbanding sistem perbankan konvensional yang hanya berkembang 19 peratus dalam tempoh sama. Ini menunjukkan kadar pertumbuhan sistem perbankan Islam di negara kita berkembang dengan begitu cepat dan memberansangkan.

Malaysia sebagai antara negara pemain utama sistem kewangan Islam global, diakui di peringkat antarabangsa sebagai negara yang berpengalaman luas dalam muamalah sofistikated ini berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan perkhidmatan dan kemudahan berkaitan perbankan Islam di seluruh dunia termasuklah Amerika Syarikat (AS), Eropah di samping negara-negara di rantau ini. Ini adalah berikutan krisis teruk kewangan global baru-baru ini membawa kepada negara-negara maju mula mengiktiraf dan mengakui kehebatan amalan perbankan Islam.

Justeru itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan berkaitan misalnya perlu lebih agresif berperanan menganjurkan siri pertukaran lawatan dan perbincangan dengan rakan sejawatan di AS, Eropah dan rantau Asia mengenai kemampuan sebenar sistem perbankan Islam yang dilaksanakan Malaysia. Bank-bank peneraju seperti Maybank dan CIMB umpamanya telahpun mempunyai cawangan di London dan secara tidak langsung boleh mewujudkan persekitaran kerjasama serta perkongsian pintar dengan bank di AS, Eropah dan Asia untuk memperluaskan perkhidmatan produk perbankan Islam di sana.
.
Perbankan Islam terus berkembang pada kadar yang sangat pantas kerana ia berorientasikan nilai yang membolehkannya menarik dana dan pelaburan daripada orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Jumlah umat Islam yang ramai di Indonesia, China, India, AS dan sebagainya di samping terdapat lebih 14.74 juta orang Islam di Eropah, di mana 1.8 juta adalah penduduk di United Kingdom (UK), ditambah 72 juta di Turki membuktikan pasaran sistem kewangan dan perbankan Islam sangat luas yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Ini belum mengambil kira pasaran pengguna bukan Islam di sana.

Perancis dilaporkan berhasrat menjadikan Paris sebagai 'pusat kewangan Islam' utama di Eropah, manakala UK pula kini dalam proses perundingan untuk menerbitkan sukuk dan dalam masa yang sama Singapura telah melancarkan Dana Dagangan Elektronik Islam. Di samping itu, Hong Kong juga tidak ketinggalan mahu mewujudkan hab kewangan Islamnya di sana dan Jepun juga mula membenarkan bank-bank di sana menawarkan sistem kewangan Islam mereka sendiri. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan wujudnya fenomena perlumbaan yang sihat dalam sektor kewangan Islam di antara negara bukan Islam.

Oleh yang demikian, bagi memastikan sistem ini lebih diterima dan diyakini, maka satu standard rangka kerja seliaan serta piawaian global yang konsisten secara menyeluruh untuk kewangan Islam global perlu disediakan. Model stimulus serta holistik mekanisme kewangan dan perbankan Islam seperti yang dipraktikkan Malaysia boleh dijadikan garis panduan terbaik dan lengkap untuk diserapkan di peringkat amalan serta prinsip kewangan Islam di peringkat global. Trend kewangan ini mestilah konsisten dan proaktif dalam aspek penyeliaan serta piawaian melalui badan atau organisasi khusus memantau operasinya agar berlandaskan syariah.

Tidak dapat dinafikan anjakan industri perbankan dan kewangan Islam global begitu positif, drastik dan dalam masa yang sama memerlukan persediaan yang secukupnya serta diperbaiki beberapa mekanisme kewangan Islam terutamanya dari segi syarat dan peraturan tertentu yang lebih praktikal terutamanya soal bagaimana bank atau institusi kewangan perlu mengguna atau melaburkan wang dari dana milik pelanggannya selaras prinsip Syariah. Ini adalah juga sebagai persiapan dalam usaha mendepani sistem konvensional yang lebih sistematik, mesra pelanggan dan sentiasa menawarkan produk yang lebih menarik termasuklah kadar faedah yang sangat kompetitif.

RUJUKAN

Malaysia mampu tawar perbankan Islam di Eropah, Utusan Malaysia, 13 Julai 2009
Kewangan Islam global perlu rangka selia konsisten, Berita Harian, 31 Mei 2009
Kewangan syariah diminati banyak negara, Berita Harian, 13 Januari 2009
Sistem bank Islam mampu atasi krisis ekonomi, Utusan Malaysia, 13 Januari 2009
Pergiat promosi produk Islam, Harian Metro, 13 Januari 2009
'Kewangan Islam alternatif terbaik', Utusan Malaysia, 13 Januari 2009