Tun Abdullah mahu ISA dimansuh








Abdullah mahu ISA dimansuh

oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my
[http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm]

SINTOK 17 Julai - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

"Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.

Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya.

Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan.

"Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori.

"Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.









Tun Abdullah syor kaji mansuh ISA

oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
[http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090717233926/Article/index_html]

Rangka akta keselamatan lebih mesra hak asasi rakyat

SINTOK: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan digantikan dengan undang-undang lain yang membenarkan penahanan pencegahan dengan mempertahankan hak asasi rakyat.

Abdullah berpendapat Malaysia masih memerlukan mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara, namun tidak harus mengorbankan kebebasan dan hak asasi atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Suka atau tidak, ISA sebagai akta dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda memperkasakan demokrasi negara.

"Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan harus tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Mungkin contoh yang boleh dilaksanakan adalah mengehadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan saja sekali gus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya berucap pada majlis konvokesyen khas sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Demokrasi) kepada beliau oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Abdullah turut memuji kesediaan kerajaan mengkaji semula akta itu yang disifatkannya sebagai menampakkan kesedaran mengenai permasalahan yang berlaku.

"ISA memberi kuasa yang besar dan skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

"Sebagai (bekas) Menteri Dalam Negeri, saya sudah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji keberkesanan serta impak ISA... saya berasa terpanggil memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini," katanya.

Sementara itu, Abdullah menafsirkan anugerah yang diterimanya semalam sebagai pengiktirafan komuniti akademik kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau.

Katanya, falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang beliau pelopori.

Comments

Popular Posts