Prasangka Buruk Terhadap Imej Islam



Episod hitam tuduhan seorang ahli Parlimen bukan Islam terhadap sebuah NGO Islam dan seorang ahlinya baru-baru ini bahawa syariat Islam sebagai ekstremisme adalah sangat melampau, berbaur jahat dan menimbulkan salah faham terhadap Islam. Ini adalah kerana mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan merupakan aspirasi setiap umat Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia sampai bila-bila. Malahan Islam adalah agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara kita.

Oleh yang demikian, tindakan itu adalah satu bentuk penghinaan dan tuduhan yang sangat serius kepada Islam. Perlakuan sedemikian tidak boleh dibiarkan begitu sahaja jika kita benar-benar sayang serta sentiasa bersedia mempertahankan Islam daripada dituduh dan digambarkan sedemikian rupa oleh mereka yang jelas menentang agama suci ini. Apa yang berlaku menunjukkan wujudnya rasa tidak puas hati atau sengaja cuba mencetus polemik atau isu dangkal dan bukti hilangnya sensitiviti sebahagian orang bukan Islam terhadap Islam dan umatnya.

Perbuatan serta tindakan kurang ajar, angkuh dan sombong ahli Parlimen berkenaan jelas melambangkan kejahilannya tentang ajaran Islam yang begitu komprehensif di mana secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan dan keresahan umat Islam di negara ini. Keadaan ini juga membuktikan bahawa orang bukan Islam masih jahil dan mempunyai prasangka buruk terhadap Islam walaupun Islam telah lama bertapak di negara kita. Mungkin ini adalah masa yang sangat sesuai kepada semua NGO, pendakwah, pemimpin dan jentera dakwah Islam meningkatkan lagi usaha serta strategi memperjelaskan imej Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam.

Sungguhpun begitu, orang kafir terutamanya Yahudi dan Nasrani sememangnya tidak akan redha dan setuju dengan segala kebaikan yang dilakukan oleh umat Islam biarpun ianya turut bermanfaat kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sentiasa berdendam dengan umat Islam dan senantiasa mencari kesalahan serta kesilapan umat Islam di samping mengambarkan wajah hodoh umat Islam kepada masyarakat dunia dengan pelbagai label dan tuduhan. Sesungguhnya mereka tidak akan sama sekali merasa tenteram dan aman selagi mana Islam menjadi tunjang serta asas pegangan hidup manusia dan negara.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu".

Sikap buruk dan jijik golongan pelampau ini bermula sejak zaman Rasulullah lagi dan berterusan sehingga ke hari kiamat jika umat Islam masih lagi alpa dengan segala perancangan jahat Yahudi dan Nasrani atau masih boleh berbaik sangka dengan mereka di kala ditekan dan diperlakukan sepertimana yang berlaku sekarang ini. Umat Islam hari ini digambar dan dicorakkan dengan imej yang sangat buruk di mata dunia di mana Islam sendiri dianggap agama kolot, tidak bertamadun, ekstrem, menolak kemajuan, anti bukan Islam dan sebagainya. Melalui agenda jahat mereka yang dirancang sejak sekian lama, maka tujuan mereka ialah memastikan Islam dan umatnya pupus di muka bumi ini.

Namun begitu, janji dan perancangan Allah SWT terhadap kemenangan Islam dan umatnya pasti akan tetap berlaku dan kita akan mencapai kemenangan ke atas musuh Islam juga akhirnya. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan pertunjuk dan agama yang sebenar (Islam) untuk mengatasi atas seluruh agama sekaliannya meskipun orang musyrik membencinya." (Surah al-Taubah ayat 33). Manakala dalam satu ayat lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra'du ayat 11).

Ini adalah cabaran dan agenda terbesar umat Islam hari ini mengubah prasangka buruk masyarakat bukan Islam terhadap imej Islam.

Comments

Popular Posts