Monday, August 31, 2009

SOLAT TARAWIH DARI SEGI SAINTIFIK



Antara keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain ialah solat Tarawih. Umat Islam berpeluang mengerjakan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan dan tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain memandangkan solat ini eksklusif di bulan puasa sahaja. Lazimnya ada yang mengerjakannya sebanyak lapan rakaat sahaja dan sebahagian besar mengerjakan dua puluh rakaat serta ditambah dengan tiga rakaat solat witir. Ini adalah kerana di bulan inilah masanya untuk meningkat dan memantapkan ibadah sunat berkenaan yang hanya datang sebulan dalam setahun.

Menarik dan hebatnya, di samping ganjaran pahala serta kebaikan yang berlipat kali ganda, solat sunat tarawih seperti mana solat-solat sunat dan fardu lain sebenarnya memberi kesan positif terhadap tubuh badan manusia secara fizikal, emosi dan mental. Kajian saintifik yang telah dilakukan mengesahkan hal ini terhadap hasil dan kesan solat ke atas kesihatan seseorang individu. Ini meliputi kesihatan fizikal, emosi dan mental pengamalnya, termasuklah kesan ke atas sistem kardiovaskular, komposisi tubuh badan, isyarat otak, dan aktiviti otot.

Kajian sepertimana yang direkodkan dalam buku Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains mendapati pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. Kajian juga menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. Solat lima kali sehari semalam misalnya selain merupakan ibadah wajib, dapat mengurangkan kadar lemak dalam badan. Maka di bulan puasa ini, solat tarawih sudah tentu dapat membantu merawat mereka yang mengamalkan sikap 'membalas dendam' dengan berlebihan makan ketika berbuka.

Tambahan pula, tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk menurut kajian dapat melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan menjadi lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang. Ibadat solat dalam masa yang sama juga dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang, membuktikan ibadah solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. Apatah lagi ketika berpuasa, seseorang perlu menahan lapar dan dahaga di samping mesti bersabar dalam apa jua keadaan, berfikiran kreatif serta sentiasa berada pada tahap produktiviti yang tinggi.

Lebih menakjubkan lagi ialah solat juga merupakan satu terapi yang memberikan kesan yang sangat positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki. Kajian menunjukkan aktiviti solat boleh melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk di kalangan orang lelaki dewasa ini. Penemuan serta petua dan amalan ini sudah tentu tidak boleh dilepaskan oleh mereka yang mementingkan kesihatan batin. Oleh yang demikian, penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan menunaikan solat dan tidak boleh meninggalkannya sama sekali.

Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1 dan 2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."

Menurut Profesor Dr. Mohamad Khazani Abdullah mantan Ketua Makmal Optik Telekom Malaysia dan pensyarah sains fizik di Fakulti Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kehebatan solat yang khusyuk setanding dengan tahap kelajuan cahaya yang mencapai 300,000 meter sesaat. Jika itu dapat dicapai, masyarakat Islam tidak perlu mengguna kepakaran kafir untuk meraih kejayaan dan menangani permasalahan. Sebaliknya, Islam dan Muslimlah yang akan menjadi sumber rujukan dan bantuan kaum kafir untuk mentadbir dan menguruskan alam semesta. Itulah yang telah dilaku dan tunjukkan oleh Rasulullah SAW, para Sahabat serta ahli tabie silam dan pejuang moden Islam.

Sehubungan itu, melihat kepada keutamaan dan keunikan yang terdapat pada ibadah solat, maka di bulan Ramadan yang mulia ini sewajarnyalah menjadi medan penumpuan utama memperkasakan ibadah wajib dan sunat dalam usaha merebut ganjaran kebajikan yang dijanjikan oleh Allah di bulan yang penuh keberkatan ini. Biarlah pengisian Ramadan kali menjadi lebih baik daripada Ramadan yang lepas dan jangan persiakan segala ruang serta peluang yang ada kali ini.

Rujukan

Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas & Ng Siew Cheok, 2009. Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Khairunnisa Sulaiman, 2009. Membongkar khasiat solat secara saintifik. Utusan Malaysia, 30 Julai

W. Rahimah Draman, 2008. Solat bezakan Muslim atau kafir. Utusan Malaysia, 5 Ogos

No comments: