Friday, September 25, 2009

KEKALKAN MOMENTUM RAMADHAN

Bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya menjadi medan dan landasan terbaik untuk kita menguji sejauhmana madrasah Ramadhan telah benar-benar menjadikan kita insan yang bertakwa. Jika mengikut Indek Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard takwa yang ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran?

Jika kita berjaya berpuasa sebulan, khatam al-Quran, banyak solat malam, berzikir, bersedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan, maka amalan-amalan berkenaan hendaklah diterus dan ditingkatkan di luar bulan Ramadhan.

Pesan ulama, jadilah kamu 'rabbaniyin' dan janganlah jadi 'ramadhaniyin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan. Oleh itu, amat rugi jika kita hanya hebat beribadah di bulan Ramadhan tetapi ambil mudah atau sambil lewa sahaja ketika di luar bulan Ramadhan.

Madrasah Ramadhan sepatutnya menjadikan kita lebih komited, tekun dan bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah dan berbakti serta melaksanakan segala tuntutan agama.

Latihan berpuasa selama sebulan sepatutnya diteruskan lagi dengan amalan sunat puasa enam syawal di mana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim).

Di samping puasa enam di bulan Syawal, kita juga disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis serta hari-hari sunat lain kerana puasa bukanlah sekadar amalan ritual sahaja malahan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan manusia.

Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan lain-lain yang menjadi kelaziman kepada masyarakat Islam di negara kita sememang sangat digalakkan kerana dapat mengiratkan lagi silaturrahim sesama kita. Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam."(Riwayat Muslim)

Suasana berhari raya juga menjadi bertambah meriah dengan majlis rumah terbuka yang kini kian menjadi trend positif dalam masyarakat kita dan perlu digalakkan lagi. Majlis berkenaan kebiasaannya dianjurkan oleh individu, badan korporat, parti politik dan sebagainya telah mewujudkan suatu kelainan serta keunikan sambutan hari raya di negara kita.

Konsep rumah terbuka seperti yang dianjurkan telah membuka landskap baru kepada sambutan Aidilfitri yang mungkin agak janggal suatu ketika dahulu dalam masyarakat Melayu terutamanya di negara kita.

Namun dalam keghairahan kita menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal ini, maka perlu diberi penekanan kepada beberapa perkara asas yang seringkali diabaikan iaitu meliputi aspek menjaga batasan pergaulan dan aurat; menghindari hiburan yang melalaikan; tidak boros dan berlebih-lebihan ketika berbelanja; di samping bersyukur dengan rezeki yang ada; serta tidak melupai saudara, jiran atau sahabat yang berada di dalam kesusahan dan memerlukan.

Dalam pada itu juga, apa yang paling penting ialah niat mengadakan majlis sedemikian adalah untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan dan meraikan sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga, pekerja dan sebagainya.

Oleh yang demikian, penganjuran majlis berkenaan bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah sehinggakan ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis sosial tersebut.

Rujukan

Mustafa Masyhur, 1986. Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam

Wednesday, September 23, 2009

BUKU DAFTAR NAMA AHLI SYURGA DAN NERAKA

Diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal dalam Musnad Ahmad 2/167 no 6563

حدثنا عبد الله حدثني أبي ثنا هاشم بن القاسم ثنا ليث حدثني أبو قبيل المعافري عن شفى الأصبحي عن عبد الله بن عمرو عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال خرج علينا رسول الله صلى الله عليه و سلم وفي يده كتابان فقال أتدرون ما هذان الكتابان قال قلنا لا الا أن تخبرنا يا رسول الله قال للذي في يده اليمنى هذا كتاب من رب العالمين تبارك وتعالى بأسماء أهل الجنة وأسماء آبائهم وقبائلهم ثم أجمل على آخرهم لا يزاد فيهم ولا ينقص منهم أبدا ثم قال للذي في يساره هذا كتاب أهل النار بأسمائهم وأسماء آبائهم وقبائلهم ثم أجمل على آخرهم لا يزاد فيهم ولا ينقص منهم أبدا فقال أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم فلأي شيء إذا نعمل ان كان هذا أمر قد فرغ منه قال رسول الله صلى الله عليه و سلم سددوا وقاربوا فإن صاحب الجنة يختم له بعمل أهل الجنة وان عمل أي عمل وان صاحب النار ليختم له بعمل أهل النار وان عمل أي عمل ثم قال بيده فقبضها ثم قال فرغ ربكم عز و جل من العباد ثم قال باليمني فنبذ بها فقال فريق في الجنة ونبذ باليسرى فقال فريق في السعير

Telah menceritakan kepada kami Abdullah yang berkata telah menceritakan kepadaku Ayahku yang berkata telah menceritakan kepada kami Hasyim bin Qasim yang berkata telah menceritakan kepada kami Laits yang berkata telah menceritakan kepadaku Abu Qabil Al Ma’afiri dari Syafi’ Al Asbahi dari Abdullah bin Amr dari Rasulullah SAW, Abdullah berkata:

“Rasulullah SAW keluar menemui kami dengan kedua kitab di tangan Beliau. Kemudian Beliau bertanya “Apakah kalian mengetahui kedua kitab ini?. Kami menjawab “Tidak wahai Rasulullah kecuali Anda mengabarkan kepada kami”.

Kemudian Beliau bersabda mengenai kitab di tangan kanannya “Ini adalah Kitab yang berasal dari Rabb semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penduduk syurga dan nama-nama orang tua mereka serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan orang terakhir dari mereka dan tidak akan ditambah dan tidak pula dikurangi”.

Kemudian Beliau bersabda tentang kitab di tangan kirinya “Adapun ini adalah Kitab dari Rabb semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penghuni neraka dan nama-nama orang tua serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan terakhir dari mereka sehingga tidak akan bertambah ataupun berkurang untuk selama-lamanya.

Kemudian para sahabat berkata “Kalau begitu di mana amalan wahai Rasulullah SAW jika semuanya sudah ditetapkan?”.

Beliau menjawab “Berusahalah dan mendekatlah karena sesungguhnya penduduk syurga akan ditutup dengan amalan penduduk ahli syurga meskipun ia mengamalkan apa saja. Dan sesungguhnya penduduk neraka akan ditutup dengan amalan penduduk neraka meskipun ia mengamalkan apa saja. Kemudian Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah SWT telah selesai terhadap para hambanya”.

Beliau berkata sambil mengarahkan tangan kanannya “Satu kelompok di dalam syurga” kemudian mengarahkan tangan kirinya seraya berkata “Kelompok yang lain di dalam neraka”.

Syaikh Ahmad Syakir dalam Syarah Musnad Ahmad nombor 6563 menyatakan bahawa hadis ini sanadnya Shahih. Hadis ini juga diriwayatkan dalam Sunan Tirmidzi 4/449 nombor 2141 di mana Imam Tirmidzi berkata “hadis hasan shahih gharib”. Syaikh Al Albani memasukkannya dalam Shahih Sunan Tirmidzi nombor 2141 dan berkata “hadis hasan”. Kemudian Syaikh Al Albani juga memasukkan hadis ini dalam Shahih Jami’ As Shaghir nombor 88 dan berkata “hadis shahih”.

sumber : http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/09/siapa-masuk-syurga-siapa-masuk-neraka.html

Friday, September 18, 2009

SALAM AIDILFITRI, KULLU AM WA ANTUM BIKHAIR



Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).

Thursday, September 10, 2009

ISLAM DI EROPAH



[ The Great Mosque of Paris, built after the first World War ]

Perangkaan dan kajian menunjukkan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Britain, Sepanyol dan Belanda akan mempunyai kadar penduduk Muslim yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat di mana perangkaan tahun 2008 menunjukkan bahawa lima peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di 27 negara Eropah adalah terdiri di kalangan umat Islam.

Ini bukanlah suatu yang baru kerana Islam dan Eropah mempunyai tersendiri yang cukup lama semenjak wujudnya era emas empayar Islam di Sepanyol selama lebih 700 tahun sebelum ditewaskan oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Akibatnya pada tahun 1609 orang Islam dihalau dan amalan agama Islam dilarang perlaksanaannya sehinggalah Islam kembali diterima semula oleh masyarakat moden Eropah hari ini.

Sejarawan dunia telah mengiktiraf sumbangan Islam kepada Barat terutamanya dalam bidang intelektual, pembinaan tamadun, penemuan sains, kemajuan perubatan moden, perkembangan budaya dan falsafah, disiplin ilmu dan sebagainya. Philip K Hitti dalam bukunya "Orang Arab: Sejarah Ringkas" (The Arabs: A Short History) menukilkan seperti berikut:

"Orang Islam Sepanyol mengarang salah satu daripada bab-bab yang gemilang dalam sejarah intelek pada Zaman Pertengahan Eropah. Di antara pertengahan abad ke-8 dan permulaan abad ke-13, orang Arab merupakan pemimpin utama dalam budaya dan peradaban di seluruh dunia. Kedua-dua bidang ini merupakan perantara untuk memulih, menambah dan menyebar sains dan falsafah kuno yang telah memungkinkan pembaharuan di Eropah Barat." (h 174-175).

Peningkatan jumlah pendatang dari negara Islam di Eropah dan kadar kelahiran rendah dikalangan penduduk asal Eropah bermakna jumlah umat Islam di sana akan meningkat menjadi 20 peratus pada 2050 seperti yang dilaporkan kajian mengenai Euro-Islam dalam jurnal Current History oleh William Finan. Ketika ini di United Kingdom (UK) sahaja mempunyai lebih 1.8 juta adalah penduduk, ditambah 72 juta di Turki.

Manakala pada tahun 2005 direkodkan Perancis mempunyai bilangan orang Islam paling ramai di Eropah, iaitu kira-kira 5 juta, diikuti Jerman kira-kira 3 juta warga Islam, Itali (2 juta), Belanda (730,000 orang), Sepanyol (350,000), Austria (300,000), Belgium (290,000), Sweden (250,000) dan beberapa negara Eropah lain yang terus mencatatkan peningkatan jumlah umat Islam di sana.

Bagi Tariq Ramadan, seorang sarjana falsafah dan pengajian Islam di Switzerland dalam tulisan beliau berkenaan peningkatan jumlah umat Islam di Eropah berpendapat bahawa Islam kini telah menjadi sebahagian dari dunia budaya Eropah dan masyarakat Islam di Eropah bukan lagi pendatang yang kemudian kembali ke negara asal tetapi telah menjadi warga Eropah beragama Islam.

Sementara itu, menurut sarjana Barat tersohor iaitu John Esposito, pengasas Majlis Persefahaman Islam-Kristian di Washington, Amerika Syarikat pula berpandangan Islam bukan saja agama kedua terbesar secara global tetapi juga agama kedua atau ketiga terbesar di Eropah dan Amerika. Ini akan membuka peluang dan ruang lebih besar kepada Islam berkembang di seluruh dunia.

Keadaan ini juga membuka prospek yang luas kepada negara serta organisasi Islam yang telah diakui di peringkat antarabangsa berpengalaman luas dalam sektor ekonomi kewangan Islam global misalnya dan dalam kedudukan yang baik serta potensi yang ada di Eropah membolehkan produk dan institusi Islam menawarkan perkhidmatan dan kemudahan berkaitan perbankan Islam di Eropah secara lebih komprehensif.

Institusi kewangan Malaysia seperti Maybank dan CIMB misalnya telah mempunyai wakil di London di mana bank-bank berkenaan boleh mengadakan kerjasama dengan bank-bank di Eropah untuk memperluaskan perkhidmatan dalam perbankan Islam. Ini adalah kerana perbankan Islam global kini terus berkembang pada kadar yang begitu pantas kerana ia berorientasikan nilai dan ini membolehkannya menarik dana daripada orang Islam dan bukan Islam. Hari ini, lebih 250 institusi kewangan Islam beroperasi di seluruh dunia.

Rujukan:

Mazlan Nordin, 2007. Benua Eropah ke arah wilayah Islam. Mingguan Malaysia, 6 Mei
Zunaidah Zainon, 2006. Islam di Eropah pada abad ke-8. Utusan Malaysia, 6 Januari
Mazlan Nordin, 2005. Islam terus berkembang di Eropah. Mingguan Malaysia, 18Disember

Ramai peluk Islam menjelang Ramadan, Berita Harian, 7 September 2009
Penduduk Islam bertambah di Eropah, Berita Harian, 10 Ogos 2009
Malaysia mampu tawar perbankan Islam di Eropah, Utusan Malaysia, 13 Julai 2009

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Islam_in_Europe

Wednesday, September 09, 2009

BERDAKWAH MENERUSI FACEBOOK



Facebook kini menjadi fenomena terbaru di Malaysia dan muncul sebagai tapak web rangkaian sosial yang membenarkan sesiapa sahaja berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka dan saling bertukar maklumat, pandangan, kritikan dan sebagainya. Facebook yang merupakan inovasi ICT mutakhir ini diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg, seorang bekas pelajar Universiti Harvard.

Jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian itu meningkat kepada 250 juta orang, menjadikannya model perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian yang paling popular mengalahkan MySpace yang dimiliki oleh News Corporation. Peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang telah lakukan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Di samping Facebook, laman Friendster, My Space, YouTube dan sebagainya kini turut menjadi medium yang popular, berkesan, mudah dan menarik untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Oleh yang demikian, melihat kepada potensi yang besar kepada Islam dan dakwah serta tarbiyyah, maka golongan pemimpin Islam dan gerakan Islam disaran menyertai laman sosial ini sebagai satu cara untuk menarik generasi muda umpamanya mendekati dan memahami agama Islam secara holistik. Langkah ini wajar kerana perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian ini merupakan laman yang paling digemari oleh semua golongan masa ini terutamanya generasi muda.

Ulama Indonesia misalnya yang membincangkan bahaya populariti Facebook, baru-baru ini memutuskan bahawa umat Islam boleh menggunakannya untuk berhubung dengan rakan-rakan dan melakukan kerja, tetapi bukan untuk bergosip atau bermain cinta. Mereka memutuskan bahawa Facebook adalah haram sekiranya digunakan untuk tujuan bergosip dan menyebarkan fitnah serta pengguna atau pelawatnya juga tidak boleh menanyakan soalan lucah atau apa jua cara yang menggalakkan kelakuan tidak beradab.

Dengan peluang dan realiti yang ada, cabaran dan agenda terbesar umat Islam hari ini dalam berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam adalah bagi memastikan mereka faham perspektif Islam secara yang tepat dan sebagai pra syarat misi memperbetulkan prasangka buruk masyarakat bukan Islam terhadap imej Islam yang sebenar. Persepsi negatif dan anggapan buruk masyarakat bukan Islam perlu disantuni dan ditangani agar keadaan tidak menjadi lebih serius serta merugikan masa depan Islam.

Ini membuktikan bahawa semua lapisan dalam masyarakat Islam terutamanya golongan ulama, para pendakwah, pemimpin politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, kesatuan pekerja dan lain-lain perlu turun padang dan mendekati masyarakat bukan Islam lebih kerap lagi bagi memastikan masyarakat luar benar-benar faham serta lebih menghormati Islam pada masa hadapan apatah lagi ketika ini kita berada di dalam masyarakat majmuk.

Golongan agama dan umat Islam khususnya di negara kita juga tidak boleh tidur lena dan merasa selesa dengan apa yang berlaku dan mereka mestilah melakukan sesuatu bagi memastikan gambaran dan ajaran Islam yang komprehensif sampai kepada masyarakat bukan Islam dengan penuh hikmah dan difahami secara keseluruhannya.

Dengan teknologi ICT yang ada ketika ini serta kecanggihan internet memungkinkan Islam diterjemahkan secara lebih efektif melalui laman sosial interaktif popular lain ketika ini seperti laman web, blog, Tagged, twitters dan lain-lain lagi sebagai medium utama dakwah yang kontemporari di samping medium sedia ada seperti media cetak dan elektronik.

Rujukan:

Facebook pupuk belia berpolitik, Utusan Malaysia, 20 Julai 2009
Pengguna Facebook 250 juta, Utusan Malaysia, 17 Julai 2009
Facebook perkenal kawalan baru rahsia peribadi, Utusan Malaysia, 4 Julai 2009
Ulama Indonesia benarkan Facebook, Utusan Malaysia, 23 Mei 2009

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Facebook

10 SAHABAT DIJAMIN SYURGA

10 Orang yang dijanjikan syurga sebagaimana disebut secara sekaligus oleh Baginda Rasulullah s.a.w ialah sebagaimana hadis berikut :

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدٍ حَدَّثَهُ فِي نَفَرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَانُ وَعَلِيٌّ وَالزُّبَيْرُ وَطَلْحَةُ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ فَعَدَّ هَؤُلَاءِ التِّسْعَةَ وَسَكَتَ عَنِ الْعَاشِرِ فَقَالَ الْقَوْمُ نَنْشُدُكَ اللَّهَ يَا أَبَا الْأَعْوَرِ مَنِ الْعَاشِرُ قَالَ نَشَدْتُمُونِي بِاللَّهِ أَبُو الْأَعْوَرِ فِي الْجَنَّةِ قَالَ أَبُو عِيسَى أَبُو الْأَعْوَرِ هُوَ سَعِيدُ بْنُ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو

Ertinya : “ Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya : Sesungguhnya Said Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan , dengan katanya : Pernah Baginda RasululLah s.a.w bersabda : 10 orang yang akan memasuki syurga iaitu (1)- Abu Bakar , (2)- Umar, (3)-Utsman , (4)- Ali , (5)- Zubair , (6)-Tolhah , (7)-Abdul Rahman , (8) – Abu ‘Ubaidah , (9) Sa’ad Bin Abu Waqqas ~ maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah semua yang dijanjikan dengan syurga itu , di manakah lagi seorang ?. Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid : Demi Allah Wahai Abu A’awar ! Siapakah dia orang yang kesepuluh itu ?. Maka Said Bin Zaid pun menjawabnya : Bukahkah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga ? “. – Imam Abu ‘Isa (At-Tirmidzie) menyatakan : “ Abu A’awar itu sendiri adalah Said Bin Zaid Bin ‘Amru “ . ~ ( Hadis Sahih riwayat Imam At-Tirmidzie , di dalam Kitab Al-Manaqib : 3681 ) dan hadis seumpama ini diriwayatkan juga oleh Imam Abu Dawud rh di dalam sunannya – Kitab As-Sunnah : 4031 dan juga Imam Ahmad – Musnad Al-Ansar : 21, 088 )

10 orang itu ialah :

1- Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra).
2- Saidina Umar Al-Khattab (ra).
3- Saidna Utsman Bin Al-‘Affan (ra).
4- Saidina Ali Bin Abu Talib (ra).
5- Saidina Zubair Bin Al-‘Awwam (ra).
6- Saidina Tolhah Bin ‘UbaidiLlah (ra).
7- Saidina Abdul Rahman Bin ‘Auf (ra).
8- Saidina Abu ‘Ubaidah ‘Amir Bin Al-Jarrah (ra).
9- Saidina Sa’ad Bin Abu Waqqas (ra).
10- Saidina Sa’id Bin Zaid (ra).

Jadi sebagaimana dijelaskan tadi, 10 orang ini bukanlah menunjukkan bahawa mereka sahaja yang dijamin masuk syurga , walhal banyak hadis-hadis lain yang sahih yang menunjukkan bahawa begitu ramai para sahabat (ra ) dan umat Islam yang dijanjikan syurga.

Sebagai contohnya : Saidina Bilal Bin Rabah (ra) sendiri telah diberikan pangkat sebagai “ahli syurga” kerana beliau (ra) merupakan sahabat yang tidak pernah putus wudhuknya ( air sembahyangnya ) di dalam jangkamasa yang lama.

Saidina Abu Darda’ (ra) juga digelar oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai ahli syurga kerana hatinya yang begitu mulia dan tidak pernah menyimpan sebarang hasad-dengki terhadap sesama manusia.

Saidina ‘Ukasyah (ra) juga digelar sebagai ahli syurga.

Menurut hadis , umat Rasulullah s.a.w yang dijamin masuk ke dalam syurga tanpa hisab adalah sebanyak 70 ribu orang ( Hadis riwayat Imam Al-Bukhari rh ).

Firman Allah s.w.t : "Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung. " (At-Taubah : 100)

RUJUKAN: http://al-ahkam.net/

Tuesday, September 01, 2009

SAHUR CERGASKAN TUBUH DAN MINDA



Bersahur adalah sunnah yang sangat digalakkan dan mampu mencergaskan tubuh badan serta minda orang yang berpuasa agar lebih energetik untuk meneruskan puasa. Dengan bersahur kita dapat memastikan tubuh badan lebih bertenaga dan dapat bertahan ketika berpuasa di mana secara psikologinya jika bersahur akan lebih bermotivasi untuk berpuasa terutamanya kanak-kanak.

Oleh demikian, pemilihan makanan yang sesuai ketika bersahur sangat penting agar keperluan nutrien dan tenaga badan tidak terjejas sepanjang berpuasa. Ini adalah kerana puasa bukan sahaja setakat memberi peluang sistem penghadaman kita berehat selama sebulan malahan membolehkan metabolisma badan menurun dan kembali seimbang dengan keperluan badan.

Kanak-kanak kecil juga perlu dilatih dan digalakkan agar bersahur sebagai persediaan kepada mereka untuk berpuasa dan bagi saudara baru atau muallaf pula, amalan bersahur mungkin menjadi detik yang begitu mengujakan dan pengalaman baru bagi mereka. Pengalaman dan pendedahan ini juga akan lebih memberi kekuatan kepada mereka untuk menghayati ibadah puasa dengan lebih tekun lagi.

Ketika ini juga terdapat banyak masjid dan surau yang menyediakan kemudahan bersahur dan ini sangat memudahkan serta meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan menyediakan menu bersahur. Kemudahan ini juga memberi peluang kepada golongan pekerja, pelajar, orang musafir dan sebagainya untuk sama-sama bersahur di masjid dan surau di mana dalam masa yang sama dapat mengimarahkan masjid dan surau pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Tambahan pula selepas bersahur kita sekeluarga boleh melaksanakan ibadah sunat qiamullail lain seperti tadarus al-Quran, berzikir, membaca kitab-kitab agama, mengulangkaji pelajaran dan solat sunat sementara menunggu masuknya waktu solat subuh sama ada di rumah atau berjamaah di masjid di samping melaksanakan amalan iktikaf di masjid yang sangat digalakkan. Kebetulan doa pada waktu sahur amat mustajab sekali dan peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja oleh kita semua.

Terdapat banyak hadis Nabi yang menyuruh umat Islam bersahur kerana terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan kepada manusia terutamanya kepada aspek kesihatan fizikal, minda dan spiritual. Aamalan bersahur juga terdapat keberkatan yang banyak lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadan yang mulia ini di mana Rasulullah bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sepertimana kita sedia maklum bahawa amalan berpuasa juga terdapat dalam kepercayaan dan agama lain seperti Hindu, Kristian, Yahudi dan sebagainya, namun apa yang membezakan ibadah puasa umat Islam dengan penganut agama lain ialah keunikan amalan bersahur sebelum masuk waktu subuh sepertimana yang ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” ( HR Muslim).

Dalam konteks dan faedah kesihatan yang lebih menyeluruh ketika bersahur, umat Islam digalakkan melewatkannya kerana Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (HR Ahmad). Ini adalah kerana antara kekuatan lain bersahur adalah juga sebagai penguat dan pendorong utama untuk berpuasa sepertimana sabda Nabi yang maksudnya: “Minta tolonglah dengan makanan sahur atas puasa.” (HR al-Hakim)

Rujukan

Dr. Danial Zainal Abidin, 2007. Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. Kuala Lumpur: PTS Milenia Sdn. Bhd.

Afdal lewatkan bersahur, Utusan Malaysia, 3 September 2009
Menjaga keseimbangan puasa, Utusan Malaysia, 30 Ogos 2009