BERDAKWAH MENERUSI FACEBOOK



Facebook kini menjadi fenomena terbaru di Malaysia dan muncul sebagai tapak web rangkaian sosial yang membenarkan sesiapa sahaja berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka dan saling bertukar maklumat, pandangan, kritikan dan sebagainya. Facebook yang merupakan inovasi ICT mutakhir ini diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg, seorang bekas pelajar Universiti Harvard.

Jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian itu meningkat kepada 250 juta orang, menjadikannya model perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian yang paling popular mengalahkan MySpace yang dimiliki oleh News Corporation. Peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang telah lakukan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Di samping Facebook, laman Friendster, My Space, YouTube dan sebagainya kini turut menjadi medium yang popular, berkesan, mudah dan menarik untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Oleh yang demikian, melihat kepada potensi yang besar kepada Islam dan dakwah serta tarbiyyah, maka golongan pemimpin Islam dan gerakan Islam disaran menyertai laman sosial ini sebagai satu cara untuk menarik generasi muda umpamanya mendekati dan memahami agama Islam secara holistik. Langkah ini wajar kerana perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian ini merupakan laman yang paling digemari oleh semua golongan masa ini terutamanya generasi muda.

Ulama Indonesia misalnya yang membincangkan bahaya populariti Facebook, baru-baru ini memutuskan bahawa umat Islam boleh menggunakannya untuk berhubung dengan rakan-rakan dan melakukan kerja, tetapi bukan untuk bergosip atau bermain cinta. Mereka memutuskan bahawa Facebook adalah haram sekiranya digunakan untuk tujuan bergosip dan menyebarkan fitnah serta pengguna atau pelawatnya juga tidak boleh menanyakan soalan lucah atau apa jua cara yang menggalakkan kelakuan tidak beradab.

Dengan peluang dan realiti yang ada, cabaran dan agenda terbesar umat Islam hari ini dalam berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam adalah bagi memastikan mereka faham perspektif Islam secara yang tepat dan sebagai pra syarat misi memperbetulkan prasangka buruk masyarakat bukan Islam terhadap imej Islam yang sebenar. Persepsi negatif dan anggapan buruk masyarakat bukan Islam perlu disantuni dan ditangani agar keadaan tidak menjadi lebih serius serta merugikan masa depan Islam.

Ini membuktikan bahawa semua lapisan dalam masyarakat Islam terutamanya golongan ulama, para pendakwah, pemimpin politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, kesatuan pekerja dan lain-lain perlu turun padang dan mendekati masyarakat bukan Islam lebih kerap lagi bagi memastikan masyarakat luar benar-benar faham serta lebih menghormati Islam pada masa hadapan apatah lagi ketika ini kita berada di dalam masyarakat majmuk.

Golongan agama dan umat Islam khususnya di negara kita juga tidak boleh tidur lena dan merasa selesa dengan apa yang berlaku dan mereka mestilah melakukan sesuatu bagi memastikan gambaran dan ajaran Islam yang komprehensif sampai kepada masyarakat bukan Islam dengan penuh hikmah dan difahami secara keseluruhannya.

Dengan teknologi ICT yang ada ketika ini serta kecanggihan internet memungkinkan Islam diterjemahkan secara lebih efektif melalui laman sosial interaktif popular lain ketika ini seperti laman web, blog, Tagged, twitters dan lain-lain lagi sebagai medium utama dakwah yang kontemporari di samping medium sedia ada seperti media cetak dan elektronik.

Rujukan:

Facebook pupuk belia berpolitik, Utusan Malaysia, 20 Julai 2009
Pengguna Facebook 250 juta, Utusan Malaysia, 17 Julai 2009
Facebook perkenal kawalan baru rahsia peribadi, Utusan Malaysia, 4 Julai 2009
Ulama Indonesia benarkan Facebook, Utusan Malaysia, 23 Mei 2009

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Facebook

Comments

azlishukri said…
salam, lama tak dengar cerita, semoga sihat selalu.
alhamdulilLah, sihat walafiat. tkasih kunjung blog saya. memang betul lama kita tak dengar cerita. alhamdulilLah, masih diberi peluang menulis dalam DE. jazakalLah atas perhatian dan ruang penulisan yang diberi sebelum ini.

Popular Posts