Thursday, September 10, 2009

ISLAM DI EROPAH



[ The Great Mosque of Paris, built after the first World War ]

Perangkaan dan kajian menunjukkan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Britain, Sepanyol dan Belanda akan mempunyai kadar penduduk Muslim yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat di mana perangkaan tahun 2008 menunjukkan bahawa lima peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di 27 negara Eropah adalah terdiri di kalangan umat Islam.

Ini bukanlah suatu yang baru kerana Islam dan Eropah mempunyai tersendiri yang cukup lama semenjak wujudnya era emas empayar Islam di Sepanyol selama lebih 700 tahun sebelum ditewaskan oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Akibatnya pada tahun 1609 orang Islam dihalau dan amalan agama Islam dilarang perlaksanaannya sehinggalah Islam kembali diterima semula oleh masyarakat moden Eropah hari ini.

Sejarawan dunia telah mengiktiraf sumbangan Islam kepada Barat terutamanya dalam bidang intelektual, pembinaan tamadun, penemuan sains, kemajuan perubatan moden, perkembangan budaya dan falsafah, disiplin ilmu dan sebagainya. Philip K Hitti dalam bukunya "Orang Arab: Sejarah Ringkas" (The Arabs: A Short History) menukilkan seperti berikut:

"Orang Islam Sepanyol mengarang salah satu daripada bab-bab yang gemilang dalam sejarah intelek pada Zaman Pertengahan Eropah. Di antara pertengahan abad ke-8 dan permulaan abad ke-13, orang Arab merupakan pemimpin utama dalam budaya dan peradaban di seluruh dunia. Kedua-dua bidang ini merupakan perantara untuk memulih, menambah dan menyebar sains dan falsafah kuno yang telah memungkinkan pembaharuan di Eropah Barat." (h 174-175).

Peningkatan jumlah pendatang dari negara Islam di Eropah dan kadar kelahiran rendah dikalangan penduduk asal Eropah bermakna jumlah umat Islam di sana akan meningkat menjadi 20 peratus pada 2050 seperti yang dilaporkan kajian mengenai Euro-Islam dalam jurnal Current History oleh William Finan. Ketika ini di United Kingdom (UK) sahaja mempunyai lebih 1.8 juta adalah penduduk, ditambah 72 juta di Turki.

Manakala pada tahun 2005 direkodkan Perancis mempunyai bilangan orang Islam paling ramai di Eropah, iaitu kira-kira 5 juta, diikuti Jerman kira-kira 3 juta warga Islam, Itali (2 juta), Belanda (730,000 orang), Sepanyol (350,000), Austria (300,000), Belgium (290,000), Sweden (250,000) dan beberapa negara Eropah lain yang terus mencatatkan peningkatan jumlah umat Islam di sana.

Bagi Tariq Ramadan, seorang sarjana falsafah dan pengajian Islam di Switzerland dalam tulisan beliau berkenaan peningkatan jumlah umat Islam di Eropah berpendapat bahawa Islam kini telah menjadi sebahagian dari dunia budaya Eropah dan masyarakat Islam di Eropah bukan lagi pendatang yang kemudian kembali ke negara asal tetapi telah menjadi warga Eropah beragama Islam.

Sementara itu, menurut sarjana Barat tersohor iaitu John Esposito, pengasas Majlis Persefahaman Islam-Kristian di Washington, Amerika Syarikat pula berpandangan Islam bukan saja agama kedua terbesar secara global tetapi juga agama kedua atau ketiga terbesar di Eropah dan Amerika. Ini akan membuka peluang dan ruang lebih besar kepada Islam berkembang di seluruh dunia.

Keadaan ini juga membuka prospek yang luas kepada negara serta organisasi Islam yang telah diakui di peringkat antarabangsa berpengalaman luas dalam sektor ekonomi kewangan Islam global misalnya dan dalam kedudukan yang baik serta potensi yang ada di Eropah membolehkan produk dan institusi Islam menawarkan perkhidmatan dan kemudahan berkaitan perbankan Islam di Eropah secara lebih komprehensif.

Institusi kewangan Malaysia seperti Maybank dan CIMB misalnya telah mempunyai wakil di London di mana bank-bank berkenaan boleh mengadakan kerjasama dengan bank-bank di Eropah untuk memperluaskan perkhidmatan dalam perbankan Islam. Ini adalah kerana perbankan Islam global kini terus berkembang pada kadar yang begitu pantas kerana ia berorientasikan nilai dan ini membolehkannya menarik dana daripada orang Islam dan bukan Islam. Hari ini, lebih 250 institusi kewangan Islam beroperasi di seluruh dunia.

Rujukan:

Mazlan Nordin, 2007. Benua Eropah ke arah wilayah Islam. Mingguan Malaysia, 6 Mei
Zunaidah Zainon, 2006. Islam di Eropah pada abad ke-8. Utusan Malaysia, 6 Januari
Mazlan Nordin, 2005. Islam terus berkembang di Eropah. Mingguan Malaysia, 18Disember

Ramai peluk Islam menjelang Ramadan, Berita Harian, 7 September 2009
Penduduk Islam bertambah di Eropah, Berita Harian, 10 Ogos 2009
Malaysia mampu tawar perbankan Islam di Eropah, Utusan Malaysia, 13 Julai 2009

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Islam_in_Europe

2 comments:

Mr. Degenarians said...

Tapi, bagaimana pula di negara Jepun ataupun Korea?
Cheers..

mohamadsofee said...

maaf, lewat reply, nanti saya akan cuba selidiki perkembangan di sana. terima kasih lawati blog saya dan soalan yang sangat menarik. Cheers...