KEKALKAN MOMENTUM RAMADHAN

Bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya menjadi medan dan landasan terbaik untuk kita menguji sejauhmana madrasah Ramadhan telah benar-benar menjadikan kita insan yang bertakwa. Jika mengikut Indek Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard takwa yang ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran?

Jika kita berjaya berpuasa sebulan, khatam al-Quran, banyak solat malam, berzikir, bersedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan, maka amalan-amalan berkenaan hendaklah diterus dan ditingkatkan di luar bulan Ramadhan.

Pesan ulama, jadilah kamu 'rabbaniyin' dan janganlah jadi 'ramadhaniyin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan. Oleh itu, amat rugi jika kita hanya hebat beribadah di bulan Ramadhan tetapi ambil mudah atau sambil lewa sahaja ketika di luar bulan Ramadhan.

Madrasah Ramadhan sepatutnya menjadikan kita lebih komited, tekun dan bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah dan berbakti serta melaksanakan segala tuntutan agama.

Latihan berpuasa selama sebulan sepatutnya diteruskan lagi dengan amalan sunat puasa enam syawal di mana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim).

Di samping puasa enam di bulan Syawal, kita juga disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis serta hari-hari sunat lain kerana puasa bukanlah sekadar amalan ritual sahaja malahan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan manusia.

Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan lain-lain yang menjadi kelaziman kepada masyarakat Islam di negara kita sememang sangat digalakkan kerana dapat mengiratkan lagi silaturrahim sesama kita. Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam."(Riwayat Muslim)

Suasana berhari raya juga menjadi bertambah meriah dengan majlis rumah terbuka yang kini kian menjadi trend positif dalam masyarakat kita dan perlu digalakkan lagi. Majlis berkenaan kebiasaannya dianjurkan oleh individu, badan korporat, parti politik dan sebagainya telah mewujudkan suatu kelainan serta keunikan sambutan hari raya di negara kita.

Konsep rumah terbuka seperti yang dianjurkan telah membuka landskap baru kepada sambutan Aidilfitri yang mungkin agak janggal suatu ketika dahulu dalam masyarakat Melayu terutamanya di negara kita.

Namun dalam keghairahan kita menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal ini, maka perlu diberi penekanan kepada beberapa perkara asas yang seringkali diabaikan iaitu meliputi aspek menjaga batasan pergaulan dan aurat; menghindari hiburan yang melalaikan; tidak boros dan berlebih-lebihan ketika berbelanja; di samping bersyukur dengan rezeki yang ada; serta tidak melupai saudara, jiran atau sahabat yang berada di dalam kesusahan dan memerlukan.

Dalam pada itu juga, apa yang paling penting ialah niat mengadakan majlis sedemikian adalah untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan dan meraikan sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga, pekerja dan sebagainya.

Oleh yang demikian, penganjuran majlis berkenaan bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah sehinggakan ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis sosial tersebut.

Rujukan

Mustafa Masyhur, 1986. Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam

Comments

Popular Posts