Tuesday, September 01, 2009

SAHUR CERGASKAN TUBUH DAN MINDA



Bersahur adalah sunnah yang sangat digalakkan dan mampu mencergaskan tubuh badan serta minda orang yang berpuasa agar lebih energetik untuk meneruskan puasa. Dengan bersahur kita dapat memastikan tubuh badan lebih bertenaga dan dapat bertahan ketika berpuasa di mana secara psikologinya jika bersahur akan lebih bermotivasi untuk berpuasa terutamanya kanak-kanak.

Oleh demikian, pemilihan makanan yang sesuai ketika bersahur sangat penting agar keperluan nutrien dan tenaga badan tidak terjejas sepanjang berpuasa. Ini adalah kerana puasa bukan sahaja setakat memberi peluang sistem penghadaman kita berehat selama sebulan malahan membolehkan metabolisma badan menurun dan kembali seimbang dengan keperluan badan.

Kanak-kanak kecil juga perlu dilatih dan digalakkan agar bersahur sebagai persediaan kepada mereka untuk berpuasa dan bagi saudara baru atau muallaf pula, amalan bersahur mungkin menjadi detik yang begitu mengujakan dan pengalaman baru bagi mereka. Pengalaman dan pendedahan ini juga akan lebih memberi kekuatan kepada mereka untuk menghayati ibadah puasa dengan lebih tekun lagi.

Ketika ini juga terdapat banyak masjid dan surau yang menyediakan kemudahan bersahur dan ini sangat memudahkan serta meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan menyediakan menu bersahur. Kemudahan ini juga memberi peluang kepada golongan pekerja, pelajar, orang musafir dan sebagainya untuk sama-sama bersahur di masjid dan surau di mana dalam masa yang sama dapat mengimarahkan masjid dan surau pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Tambahan pula selepas bersahur kita sekeluarga boleh melaksanakan ibadah sunat qiamullail lain seperti tadarus al-Quran, berzikir, membaca kitab-kitab agama, mengulangkaji pelajaran dan solat sunat sementara menunggu masuknya waktu solat subuh sama ada di rumah atau berjamaah di masjid di samping melaksanakan amalan iktikaf di masjid yang sangat digalakkan. Kebetulan doa pada waktu sahur amat mustajab sekali dan peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja oleh kita semua.

Terdapat banyak hadis Nabi yang menyuruh umat Islam bersahur kerana terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan kepada manusia terutamanya kepada aspek kesihatan fizikal, minda dan spiritual. Aamalan bersahur juga terdapat keberkatan yang banyak lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadan yang mulia ini di mana Rasulullah bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sepertimana kita sedia maklum bahawa amalan berpuasa juga terdapat dalam kepercayaan dan agama lain seperti Hindu, Kristian, Yahudi dan sebagainya, namun apa yang membezakan ibadah puasa umat Islam dengan penganut agama lain ialah keunikan amalan bersahur sebelum masuk waktu subuh sepertimana yang ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” ( HR Muslim).

Dalam konteks dan faedah kesihatan yang lebih menyeluruh ketika bersahur, umat Islam digalakkan melewatkannya kerana Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (HR Ahmad). Ini adalah kerana antara kekuatan lain bersahur adalah juga sebagai penguat dan pendorong utama untuk berpuasa sepertimana sabda Nabi yang maksudnya: “Minta tolonglah dengan makanan sahur atas puasa.” (HR al-Hakim)

Rujukan

Dr. Danial Zainal Abidin, 2007. Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. Kuala Lumpur: PTS Milenia Sdn. Bhd.

Afdal lewatkan bersahur, Utusan Malaysia, 3 September 2009
Menjaga keseimbangan puasa, Utusan Malaysia, 30 Ogos 2009

2 comments:

ctsue said...

Alhamdulillah. Benar seperti kata tuan. Sahur sebenarnya memberi kecergasan. anmun, bergantung dengan jenis makanan yang diambil.Terlalu banyak makan pula menyebabkan urat perut menjadi tegang dan urat mata menjadi kendur. Justeru, dalam apa jua tabiat pemakanan atau tindakan, yang penting bersederhana agar mudah menjalankan tugas dan ibadah yang dituntut.

mohamadsofee said...

Tkasih atas kunjungan dan komen yang bernas. Perut kita boleh diumpamakan 'tong sampah' jika tidak diurus dengan betul.