200,000 kes tidak diwakili peguam

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Majlis Peguam menganggarkan sebanyak 200,000 kes yang dibicarakan di mahkamah seluruh negara tidak diwakili peguam setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Guaman Majlis Peguam, Cecil Rajendra memberitahu, keadaan itu menyebabkan dalam kebanyakan kes orang kena tuduh sama ada mengaku bersalah, ditahan reman di penjara dan mewakili diri sendiri, kalah dalam kes yang dibicarakan di mahkamah.

‘‘Keadaan ini wujud kerana Jawatankuasa Bantuan Guaman Majlis Peguam hanya dapat mengendalikan 26,000 kes setahun kerana tidak ada peruntukan cukup bagi menampung kos pengurusan kes dan bayaran peguam.

‘‘Jawatankuasa hanya mempunyai peruntukan RM1.3 juta setahun iaitu sumbangan daripada 14,000 orang peguam di seluruh negara yang menyumbang RM100 seorang setahun kepada tabung itu,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pelancaran Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan yang akan dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Kedah pada 24 Oktober depan.

Cecil berharap kerajaan dapat menyediakan geran tahunan kepada jawatankuasa itu bagi mengendalikan kes-kes berkenaan.

Kata beliau, kes yang tidak diwakili peguam dari kes jenayah hinggalah kes sivil.

‘‘Biro Bantuan Guaman (BBG) tidak boleh mengendalikan kebanyakan kes tersebut kerana berlaku konflik kepentingan memandangkan biro itu ditubuhkan oleh kerajaan.

‘‘Banyak kes-kes yang membabitkan saman terhadap kerajaan tidak boleh dikendalikan oleh BBG oleh itu jawatankuasa ini terpaksa mengendalikannya bagi memastikan keadilan di tegakkan,’’ katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_04.htm

Comments

Popular Posts