AS kenakan peraturan ketat pada blogger

SAN FRANCISCO 6 Okt. - Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat semalam, menetapkan supaya maklumat produk dan ulasan dalam talian dikemukakan lebih tepat untuk pengguna, dengan buat julung kalinya mengawal aktiviti blogging dan mewajibkan pengiklan memaparkan testimoni pengguna yang benar tanpa sebarang penipuan.

FTC juga mengkehendaki penulis di laman web dengan jelas menyatakan sebarang bentuk hadiah atau bayaran yang diperoleh mereka daripada syarikat kerana membuat ulasan tentang produk.

Suruhanjaya itu juga berkata, pengiklan yang memaparkan testimoni yang didakwa mendatangkan keputusan dramatik juga tidak boleh menyembunyikan penafian bahawa keputusan produk adalah berbeza mengikut individu.

FTC memaklumkan, pihaknya memenangi undian 4-0 bagi meluluskan garis panduan akhir itu, yang telah dijangka. Garis panduan tersebut tidak terikat dengan undang-undang, namun ia mentafsirkan peraturan yang diharap dapat membantu pengiklan supaya mematuhinya. Mencabul peraturan tersebut yang berkuat kuasa 1 Disember ini, boleh mendatangkan pelbagai sekatan termasuk tuntutan undang-undang.

Testimoni perlu menjelaskan apa yang dijangka dialami pelanggan setelah menggunakan produk mereka. Sebelum ini, syarikat-syarikat hanya menyatakan penafian apabila keputusan produk di luar kebiasaan - seperti kehilangan berat badan yang banyak - dengan memberitahu pengalaman tersebut bukanlah sama untuk semua pelanggan.

Iklan testimoni berkesan kepada pengguna kerana ia memaparkan kisah seseorang individu yang menceritakan pengalaman mereka, memberi harapan kepada pelanggan lain bahawa mereka juga mungkin mengalami keadaan yang sama.

Namun FTC berkata, ia boleh memperdaya pengguna jika pengiklan tidak menyatakan apa yang perlu pengguna jangkakan.

Bagi penggiat blog, FTC mewajibkan mereka memperincikan konflik kepentingan dengan jelas.

Rich Cleland, pembantu pengarah bahagian latihan pengiklanan FTC berkata, pendedahan tersebut mestilah jelas dan mudah dilihat, walau dalam apa juga bentuk.

Penggiat blog sering memuji atau mengkritik produk serta perkhidmatan dalam talian. Namun apa yang pelanggan tidak tahu adalah, banyak syarikat mengupah seseorang untuk memberikan ulasan atau memberikan mereka hadiah percuma seperti permainan, komputer atau pakej pelancongan ke Disneyland.

Sebagai perbandingan, pihak-pihak media akan diberi pinjam produk syarikat, namun perlu memulangkannya selepas ulasan dibuat.

Sebelum FTC mengeluarkan notis akhir November lalu yang ia bakal menyelaraskan beberapa persetujuan, blog berbeza-beza dalam pendedahan mereka tentang konflik kepentingan.

Cadangan FTC membuatkan ramai penggiat blog bimbang. Mereka berkata, penelitian rapi itu akan membuatkan mereka bimbang tentang pemaparan ulasan biarpun yang tidak bermaksud apa-apa.

Bagi meredakan kebimbangan itu, Cleland memberitahu, penguatkuasaan FTC itu akan lebih tertumpu kepada pengiklan yang melakukan pencabulan pendedahan atau testimoni, berbanding penggiat blog. Bagaimanapun, beliau berkata, ia tidak melibatkan penggiat blog yang mengendalikan operasi 'penting', yang telah mencabul peraturan FTC dan telah diberi amaran. - AP

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm#

Comments

Popular Posts