Draf rang undang-undang hidu gam ke Peguam Negara

Draf rang undang-undang hidu gam ke Peguam Negara
28/10/2009 3:00pm


KUALA LUMPUR 28 Okt — Draf rang undang-undang mengenai kesalahan menghidu gam telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk diteliti, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof berkata pada masa sekarang, tidak ada satu undang-undang pun yang digubal untuk meletakkan aktiviti penagihan gam sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Tetapi dari segi penguatkuasaan kita perhebatkan kempen di kalangan masyarakat terutama di kalangan pelajar sekolah supaya mereka tahu bahawa kegiatan menghidu gam itu boleh membahayakan kesihatan dan melibatkan kematian jika berlarutan,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Lo”Lo” Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) yang membangkitkan perkara itu.

Terdahulu menjawab soalan asal Dr Lo”Lo, Abu Seman memberitahu terdapat 25 kes rampasan secara besar-besaran dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2008 manakala 30 kejayaan lagi dicatatkan sehingga September tahun ini.

Antara operasi yang membawa kejayaan besar pada 2008 termasuk kes rampasan dadah bernilai RM44 juta apabila PDRM membongkar sebuah makmal haram yang digunakan untuk memproses dadah di Senai, Johor.

Pada tahun ini pula, antara kes yang menarik juga melibatkan penjualan pil erimin 5 dengan nilai rampasan dianggarkan RM20 juta. Dalam kes rampasan di Sg Nibong, Pulau Pinang itu seramai 11 lelaki dan dua wanita ditangkap, katanya. - Bernama

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_25.htm

Comments

Popular Posts