HAMKA MODEL ULAMA VERSATIL



Hamka atau nama sebenar beliau Haji Abdul Malik Amrullah yang dilahirkan pada 17 Februari 1908 adalah seorang ulama dan pemikir serba boleh dan sangat luar biasa ketokohan serta kebolehannya. Kehebatan beliau yang menguasai pelbagai disiplin ilmu termasuklah falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik ke arah mengangkat martabat serta tamadun umat Islam. Sepanjang hayat beliau telah melahirkan sejumlah karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen yang begitu berpengaruh kepada masyarakat Islam di Nusantara sehingga ke hari ini.

Sumbangan pemikirannya telah memberi rangsangan terhadap kebangkitan dan kemajuan weltanschauung Islam pada zaman moden di Alam Melayu terutamanya Indonesia, Malaysia, Brunai dan Singapura. Karya-karya intelek beliau menjadi penjana minda, pembina gagasan dan penyuluh kepada keimanan serta keilmuan umat Islam. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis sebanyak 118 buah buku di samping tulisan-tulisannya yang disiarkan di media cetak lain yang menjadikan beliau seorang pemikir Islam yang prolifik.

Karya intelektual terbesar beliau ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) yang merupakan antara tafsir kontemporari dan popular serta beberapa novelnya yang berjaya menarik perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau ke Deli dan banyak lagi. Beliau dianggap sebagai tokoh istemewa multi dimensi yang layak ditabalkan sebagai negarawan, sasterawan, sejarawan, ilmuwan, budayawan, pemikir dan ulama unggul Nusantara yang berjuang melalui kuasa pena sejati sehingga akhir hayat beliau.

Dalam buku Pemikiran Hamka (2008) menyatakan selain aktif dan amat dikenali dalam bidang keagamaan, Hamka juga merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit di mana sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat, majalah al-Mahdi, Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Beliau turut meneliti dan memahami karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx, Pierre Loti dan banyak lagi dalam usaha mendepani serangan pemikiran Barat dan orientalis terhadap Islam.

Bagi menghargai sumbangan dan kesarjanaan beliau pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah ijazah doktor kehormat Doctor Honoris Causa dari Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1958 dan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1974 oleh Kerajaan Malaysia. Dalam usaha memastikan kesinambungan legasi intelektual beliau telah menubuhkan Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA). Jadi beliau layak diangkat sebagai mujaddid dan musleh di Alam Melayu kerana Hamka dalam konteks dunia Melayu telah melakukan proses transformasi sosial melalui pemikiran agama dan sasteranya sebagai asas tajdid dan islah.

Biarpun Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun ketokohan, pemikiran, sumbangan, perjuangan dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam pada tahap tertinggi serta merealisasikan proses reformasi dan revolusi minda umat Melayu. Kepada generasi baru Islam, susuk tubuh manusia hebat bernama Hamka ni perlu dijadikan ikon dan idola mereka dalam usaha mencipta kejayaan lebih besar serta mengikuti jejak langkah kecemerlangan tokoh luar biasa ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai modal insan seperti Hamka di Alam Melayu ini agar suatu hari nanti Nusantara mampu muncul sebagai pusat kecemerlangan Islam di rantau ini.

Rujukan:

Sidek Baba, ed, 2008. Pemikiran Hamka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Comments

Popular Posts