TIDAK DIWAKILI PEGUAM LANGGAR HAK ASASI SEJAGAT



Laporan yang menyatakan bahawa Majlis Peguam menganggarkan sebanyak 200,000 kes yang dibicarakan di mahkamah seluruh negara tidak diwakili peguam setiap tahun sangat mengejutkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana keadilan dalam apa jua keadaan mesti dipertahankan kerana melibatkan maruah dan martabat manusia itu sendiri. Kes-kes yang tidak diwakili peguam ini meliputi kes jenayah sehinggalah kepada kes sivil sama ada di mahkamah rendah atau mahkamah tinggi.

Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam sebuah masyarakat yang sedang membangun dan mempunyai sistem perundangan antara yang terbaik dunia, maka prinsip keadilan kepada semua adalah sangat mustahak dan menjadi cadang utama kepada kemajuan sesebuah negara bangsa. Kegagalan menyediakan peguam kepada mereka yang memerlukan adalah jelas melanggar prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan sejagat, malahan dalam Islam sendiri pesalah atau suspek hendaklah diberi ruang membela diri atau dibicarakan di mahkamah sewajarnya.

Ini adalah kerana keadilan tidak boleh diperjudikan semata-mata kerana seseorang itu tidak mampu membayar khidmat peguam untuk mengendalikan kes, lebih-lebih lagi kepada golongan yang tidak berkemampuan memandangkan kosnya agak tinggi. Keadaan ini menyebabkan dalam kebanyakan kes orang kena tuduh (OKT) sama ada mengaku bersalah tanpa dibicarakan, ditahan reman di penjara dan mewakili diri sendiri, kalah dalam kes yang dibicarakan di mahkamah hanya kerana mereka tidak mampu mengambil peguam untuk kes mereka.

Walaupun, Majlis Peguam mempunyai Jawatankuasa Bantuan Guamannya yang tersendiri, namun mereka hanya dapat mengendalikan 26,000 kes setahun kerana tidak mempunyai dana dan peruntukan yang mencukupi bagi menampung kos pengurusan kes yang semakin meningkat dan bayaran peguam memandangkan wujudnya pertambahan jumlah kes setiap tahun, jangka masa penyelesaian yang panjang bagi sesuatu kes dan mengikut tahap kompleksiti sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah.

Tambahan pula, ketika ini Majlis Peguam hanya mampu menyediakan peruntukan sebanyak RM1.3 juta setahun sahaja bagi membantu OKT yang tidak diwakili di mahkamah di mana dana berkenaan adalah dari sumbangan wajib daripada 14,000 orang peguam di seluruh negara yang menyumbang RM100 seorang setahun ke arah merealisasi dan menjayakan amalan bantuan guaman badan tersebut. Jumlah ini sudah tentu tidak mencukupi melihat kepada jumlah kes sedia ada yang masih dibicarakan dan juga bertambahan kes-kes baru setiap tahun.

Sehubungan itu, dalam usaha kerajaan menerapkan semangat 1Malaysia di mana menekankan kepada konsep ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ tanpa mengira bangsa dan agama, maka diharapkan kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat menyediakan geran tahunan kepada Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Negeri bagi mengendalikan kes-kes tertangguh berkenaan dan dalam masa yang sama memastikan keadilan dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang ganguan, jurang kemiskinan dan birokrasi.

Di samping itu, dicadangkan juga agar setiap peguam dan firma guaman di seluruh negara digalakkan mengambil kes-kes di mahkamah yang tidak diwakili peguam secara percuma dan sukarela sekurang-kurangnya satu kes sahaja setahun di samping meningkatkan lagi jumlah sumbangan dana tahunan serta menyediakan kepakaran perundangan sedia ada bagi memastikan tidak ada lagi kes yang tidak diwakili oleh mana-mana pihak.

Malahan sumbangan daripada pihak luar seperti agensi kerajaan, syarikat GLC, golongan jutawan dan hartawan yang prihatin, NGO hak asasi kemanusiaan dan sebagainya sangatlah diharapkan bagi mengurangkan lagi bebanan golongan yang tidak berkemampuan dalam mendapat keadilan di mahkamah. Impian ini jika berlaku maka sudah tentu kita dapat mengurangkan pertambahan kes dan jumlah banduan di penjara pada masa hadapan memandangkan dalam keadaan tertentu terdapat OKT yang terus mengaku bersalah kerana tidak mampu menyediakan peguam baik bagi kesnya.

Walaupun kerajaan ada menyediakan kemudahan Biro Bantuan Guaman (BBG) di mana cawangannya terdapat hampir di seluruh negeri, namun badan tersebut masih dikongkong kerana tidak boleh mengendalikan kebanyakan kes-kes yang difailkan di mahkamah kerana kadang-kadang berlaku konflik kepentingan dalam sesuatu kes memandangkan biro itu ditubuhkan oleh kerajaan. Masalah ini timbul apabila dalam kebanyakan kes orang awam yang membabitkan saman dan tuntutan terhadap kerajaan dan oleh yang demikian, sebuah badan bebas seperti Majlis Peguam perlu mengambil alih tugas tersebut bagi memastikan keadilan ditegakkan di Mahkamah.

Rujukan

200,000 kes tidak diwakili peguam, Utusan Malaysia, 3 Oktober 2009
Laman web Majlis Peguam: http://www.malaysianbar.org.my/

Comments

Popular Posts