Friday, November 20, 2009

Data peribadi pengguna dilindungi

Data peribadi pengguna komersial dilindungi

Oleh Sariha Mohd Ali, Faiza Zainudin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

Rang undang-undang dibentang jaga kepentingan individu

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 yang bakal melindungi kepentingan pelanggan dan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial oleh pengguna, dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama, semalam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Anak Gandum, membentangkan akta itu yang mengandungi 11 bahagian dan 146 fasal.

Antara lain, penggubalan akta itu bertujuan melindungi kepentingan individu berikutan teknologi baru dan aliran pasaran yang kian berubah, menyebabkan peranan maklumat semakin penting dalam ekonomi pasaran global.

Maklumat itu khususnya berkaitan data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial menjadi komoditi yang bernilai dan keadaan ini mewujudkan tekanan semakin meningkat untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi.

Seorang Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi akan dilantik untuk melaksanakan akta ini, selain menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Perlindungan Data Peribadi yang menasihati Pesuruhjaya berhubung perlindungan data peribadi berkenaan, manakala kewujudan Tribunal Rayuan pula bagi memberi ruang untuk merayu terhadap keputusan Pesuruhjaya.

Menurut rang undang-undang itu, data peribadi individu tidak boleh diproses tanpa kebenarannya, selain pemproses data perlu melindungi data peribadi berkenaan daripada hilang, disalahgunakan, diubah suai atau diakses pihak yang tidak mendapat kebenaran.

Pemilik data peribadi juga diberi akses membetulkan data peribadinya supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pengguna data tidak boleh memindahkan data peribadi keluar Malaysia kecuali dibenarkan Menteri atas syor Pesuruhjaya.

Selain itu, saksi atau pemberi maklumat bagi prosiding sivil dan jenayah mengikut akta ini juga dilindungi kecuali jika maklumat atau aduan yang diberikannya itu adalah palsu sehingga gagal untuk pengadilan dilaksanakan sepenuhnya jika tanpa kehadirannya.

Rang undang-undang itu turut menetapkan, pengguna data yang dibenar mengakses data peribadi itu perlu mendaftar dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh rang undang-undang itu dikuatkuasakan.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20091120004819/Article/index_html

Thursday, November 12, 2009

PENJELASAN TERHADAP ISU DR ASRI

PERNYATAAN PENDIRIAN

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

11 November 2009/23 Zulkaedah 1430

PENJELASAN TERHADAP ISU DR ASRI


Isu yang berkisar tentang Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan PGSM masih belum menemui jalan penyelesaian. Dalam pada itu, pelbagai kekeliruan timbul tentang pendirian NGO Islam terhadap isu berkenaan. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin membuat beberapa penjelasan dan mengemukakan cadangan.

1. JIM tetap berpendirian bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan NGO Islam yang lain bersetuju memberikan pandangan kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong supaya Dr Mohd Asri tidak dilantik sebagai YDP YADIM. Berdasarkan pendirian inilah JIM turut disenaraikan sebagai penyokong memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

2. Walau bagaimanapun, JIM tidak selesa dan kesal dengan beberapa pertuduhan terhadap Dr Mohd Asri yang terdapat dalam memorandum tersebut. Ia seharusnya memerlukan kepada proses yang berhemah dan berhati-hati tanpa menzalimi mana-mana pihak. JIM tidak menerima deraf memorandum sebelum dihantar kepada Yang DiPertuan Agong. Pendirian JIM ini telah disampaikan dalam mesyuarat NGO-NGO Islam pada 6 November 2009.

Oleh itu JIM mengambil sikap “tawakuf” yakni berkecuali buat masa ini (“suspend judgement”), terhadap segala tuduhan yang ditimbulkan dalam memorandum tersebut.

3. Sehubungan itu, JIM dan semua NGO Islam yang lain telah bersepakat dalam mesyuarat pada 6 November 2009 supaya menumpu kepada jalan penyelesaian dengan diadakan satu majlis permuafakatan atau dailog ilmiah secara bersemuka dan tertutup agar hujah-hujah dapat disampaikan dalam suasana yang baik dan tenang serta dalam semangat mengangkat kekeliruan umat terhadap isu tersebut.

4. Turut dicadangkan ialah majlis tersebut dimudahcara oleh tokoh agama dan cendiakawan Islam yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Malah JIM bersedia mengambil inisiatif mengaturnya. JIM berharap kaedah ini boleh merungkai permasalahan dan inilah tuntutan Allah swt dalam Al-Qur’an, surah An-Nisa’ ayat ke-59.

5. Kehadiran JIM dalam sidang media bersama PGSM pada 6 November 2009 adalah untuk menjelaskan perkara 3 dan 4 di atas. Perlu ditegaskan bahawa JIM tidak terbabit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PGSM pada hari tersebut walaupun dilihat bersama semasa sidang media. Pada sidang media tersebut, JIM telah mengeluarkan kenyataannya sendiri yang turut dipersetujui NGO Islam yang lain dengan menyebutkan perkara 3 dan 4 di atas.

HJ ZAID KAMARUDDIN
Presiden JIM

Sunday, November 08, 2009

Keperluan Akta Halal di Malaysia

Malaysia melangkah jauh ke hadapan berbanding negara Islam lain apabila akan mewujudkan satu akta khas berkenaan status halal semua produk yang dipasarkan kepada umat Islam di dalam dan luar negara. Peruntukan undang-undang berkenaan akan dimaktubkan dalam Akta Halal yang akan digubal pada tahun 2010 dan bakal menjadi rujukan utama pemain industri halal negara serta global.

Akta yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama berkenaan antara lain akan menggiatkan lagi pembangunan industri halal domestik serta membanteras masalah pemalsuan sijil halal yang sejak sekian lama terus berleluasa di pasaran produk makanan, perkhidmatan dan sebagainya. Kadang-kadang isu halal ini telah menimbulkan kegelisahan dan dilemma kepada umat Islam memilih produk atau perkhidmatan yang betul-betul suci serta memenuhi kehendak Syariah.

Akta berkenaan itu juga nanti diharapkan akan menentukan bentuk tindakan dan langkah yang akan diambil terhadap penggunaan sijil halal yang palsu dan kecuaian pihak tertentu dalam mematuhi peraturan halal. Ini termasuklah peniruan sijil, dan ada juga pihak yang telah memperolehi sijil halal, tetapi tidak mematuhi keperluan syariah dan oleh itu memerlukan satu bentuk penguatkuasaan yang sistematik dan berkesan bagi menangani masalah ini.

Sehubungan itu, Akta Halal yang akan digubal itu juga diharapkan dapat memastikan semua produk makanan dan proses penyediaan serta penyeliaannya halal mengikut syariat Islam. Ketika ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri serta Jabatan Peguam Negara sedang menggubal akta itu yang dijangka siap tidak lama lagi. Akta itu juga dilihat akan melicinkan penguatkuasaan status halal oleh Jakim terhadap premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Ketika ini terdapat beberapa peruntukan undang-undang berkaitan dengan Prosedur Pensijilan Halal seperti Akta Perihal Dagangan 1972, Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975, Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975, Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan ‘Halal’) 1975 misalnya memberikan takrif berhubung dengan perbahasaan “Halal”, “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” atau mana-mana perbahasaan yang membawa maksud sedemikian sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

Manakala Seksyen 2 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 pula menerangkan maksud Hukum Syarak di sini ialah Undang-Undang Islam dan Mazhab Shafi’e atau undang-undang dalam Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja-Raja di negari-neagri masing-masing untuk dikuatkuasakan sewajarnya.

Seksyen 3 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 menjelaskan “Halal”, “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” bererti semua makanan tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau tidak disembelih mengikut Hukum Syarak; atau tidak mengandungi sesuatu yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak; dan tidak diselia, diproses atau dikilang dengan menggunakan alat yang tidak bebas dari najis mengikut Hukum Syarak.

Sehubungan itu, sekiranya pihak-pihak terbabit ingkar dan melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan penalti di mana menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], Seksyen 42, Bahagian V (Kesalahan Jenayah)misalnya di mana jika mana-mana pihak telah disabitkan di Mahkamah boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Atas landasan ini, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan Akta Halal yang akan diwujudkan kelak diharapkan akan melahirkan satu mekanisme perundangan yang komprehensif dan mampu memberi impak positif kepada industri halal negara serta dunia. Inovasi ini akan menjamin hak umat Islam untuk menikmati produk halal lagi berkat agar tidak lagi dibayangi perasaan bimbang dan was-was. Akta berkenaan itu juga dilihat mampu meningkat lagi integriti dan imej Malaysia sebagai peneraju dan pemain utama pasaran industri halal dunia kelak.

RUJUKAN:

Akta Halal dijangka diwujudkan akhir 2010, Utusan Malaysia, 21 Disember 2009
Akta Halal wujud tahun depan, Utusan Malaysia, 8 November 2009

sumber internet: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_30.htm
sumber internet: http://www.halal.gov.my/corporate.php?ID=82