AL-QARADAWI ENSIKLOPEDIA UMAT ISLAM


Pemilihan Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi atau nama sebenarnya Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 1431/2009M adalah tepat dan ditunggu-tunggu oleh umat Islam di negara ini sejak sekian lama. Beliau adalah contoh tokoh ulama serba boleh, disanjungi kawan serta lawan dan telah dinobatkan sebagai reformis dunia Islam dalam segala bidang oleh banyak pihak.

Malahan melihat kepada keperibadian dan kewibawaan beliau yang begitu mengagumkan, di samping sebagai tokoh ilmuan, beliau juga turut diiktiraf sebagai pemikir, sarjana dan ikon intelek kontemporari pada abad ini. Bintang dunia Islam ini dilahirkan di Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada 1926 telah mendapat pendidikan tertingginya di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Beliau menjadi idola kepada ilmuan Islam di seluruh pelosok dunia dan dianggap sebagai ensiklopedia dan kamus bergerak umat Islam.

Jika sebelum ini kita hanya membaca, meneliti dan menelaah sekian banyak buku, makalah, kajian dan pelbagai bahan penulisan ilmiah serta fatwa-fatwa mutakhir yang dikeluarkan beliau melalui pelbagai medium tanpa memberi apa-apa penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau, maka pemilihan beliau kali ini sebagai Tokoh Maal Hijrah adalah bukti terima kasih, penghormatan dan pengiktirafan tertinggi negara kita dan umat Islam di sini kepada golongan agama yang diwakili beliau.

Sebagai ulama yang berketrampilan, beliau juga diangkat sebagai tokoh tajdid yang tidak pernah kalah menyeru umat Islam kepada model keluasan fikah dan metodologi kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh atau mazhab tertentu kepada penilaian terhadap setiap pendapat dengan adil berteraskan landasan al-Quran dan al-Sunnah. Situasi ini kadang-kadang menjadikan beliau sebagai tokoh ulama yang agak kontroversi kerana tidak selari dengan sekolah pemikiran tradisional Islam.

Namun, jika dilihat daripada pencapaian dan rekod sepanjang hidup beliau yang begitu cemerlang di mana sepanjang hayat beliau telah memperhambakan dirinya kepada dunia ilmu, di samping menjadi jurubicara umat di benua Islam dan seterusnya berusaha memberi khidmat serta kepakaran beliau kepada perkembangan agama Islam dan ummah secara keseluruhannya dengan begitu komited sekali selain konsisten berdakwah yang dianggap sebagai core business beliau, malahan energetik menerajui usaha Islah dan membangkitkan kesedaran Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, buah tangan intelektual beliau iaitu buku terbarunya Fiqh al-Jihad yang merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah, Fiqh al-Daulah, Fiqh al-Awlawiyyat dan banyak lagi karya ilmiah beliau yang tidak ternilai kepada umat Islam. Dalam Fiqh al-Jihad misalnya, beliau menekankan bahawa segala dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap amalan jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia.

Sehubungan itu, umat Islam di seluruh dunia perlu memahami konsep jihad dalam ajaran Islam yang sebenar agar dapat membantu mereka mempertahankan hujah berkaitan penyebaran agama Islam yang seringkali dikaitkan dengan penggunaan pedang, peperangan dan kekerasan melampau seperti yang direka-tulis dalam banyak bahan penulisan orientalis, Barat dan catatan sejarah lampau. Persepsi dan perspektif negatif ini perlu diperbetulkan segera agar tidak menjadi barah kepada dunia Islam.

Beliau juga berpandangan bahawa selain kefahaman mengenai konsep jihad, pelbagai cara lain pada zaman moden ini boleh diaplikasikan untuk menyebarkan ajaran Islam dan menterjemahkan keindahan Islam kepada seluruh alam seperti melalui medium media cetak, elektronik serta Internet. Ini telah dibuktikan sendiri oleh beliau di mana umat Islam di seluruh dunia boleh melayari dan eksplorasi laman blog http://www.islamonline.net untuk mengetahui perkembangan terkini dunia serta umat Islam dan koleksi fatwa-fatwa terbaru beliau berkenaan pelbagai disiplin ilmu.

RUJUKAN

Yusuf Al-Qaradawi, 2001. Fiqh Keutamaan Berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur: ABIM
Yusuf Al-Qaradawi tokoh Maal Hijrah ke-8, Utusan Malaysia, 18 Disember 2009
Tepis dakyah orientalis Barat - dr al-qaradawi, Utusan Malaysia, 20 Disember 2009

Comments

Popular Posts