Wednesday, December 23, 2009

Keunikan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia


Jabatan Perangkaan merekodkan bilangan rasmi rakyat Malaysia yang berkerja sendiri di negara ini mencecah jumlah 2.5 juta orang dan secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa kelompok ini tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan simpanan persaraan secara formal dan tetap. Keadaan ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dan sudah tentu akan merugikan masa hadapan golongan yang bekerja sendiri ini sekiranya mereka tidak mempunyai perancangan kewangan dan simpanan untuk hari tua.

Sehubungan itu, pengenalan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia pada 3 Januari 2010 nanti dilihat mampu memberikan prospek baru kepada perlindungan kewangan secara profesional di negara kita dan secara langsung membuka peluang kepada individu yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap mencarum dengan KWSP dan seperti pencarum lain, mereka boleh mengeluarkannya apabila mereka mencapai usia tua kelak. Di samping itu, mereka juga boleh menggunakan simpanan dan tabungan yang ada untuk tujuan pendidikan, perumahan dan sebagainya.

Skim unik dan dinamik ini membuka peluang keemasan kepada mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap seperti golongan penjaja, peniaga pasar malam, pelukis, penulis, ejen hartanah, deejay, pengajar di pusat kesihatan dan kecergasan, penyanyi dan pelakon, serta pemilik perniagaan dalam talian, petani, nelayan, pemandu teksi dan sesiapa sahaja yang berminat menyertai skim ini menabung di KWSP. Golongan sasaran ini boleh mencarum dengan jumlah minimum antara RM50 sehingga RM5,000 sebagai modal simpanan hari-hari persaraan mereka.

Walaupun tidak dinafikan bahawa golongan bekerja sendiri ini turut mempunyai pelan simpanan masing-masing dan ada yang melabur di dalam skim-skim pelaburan tertentu, namun realitinya caruman dan pelaburan di KWSP sememangnya adalah dijamin oleh kerajaan, lebih berpengalaman, kompetitif dan stabil berbanding dengan skim tabungan atau produk pelaburan lain yang ketika ini giat ditawarkan, namun berisiko tinggi, sistem yang longgar dan tidak selamat untuk disertai sama ada dari aspek jangka panjang atau jangka pendek.

Oleh yang demikian, kewujudan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia kelak akan membuka dimensi baru kepada mereka yang tidak berpeluang mencarum dengan KWSP. Ini adalah salah satu bentuk tanggungjawab sosial dalam erti kata mengambil berat akan soal kebajikan semua peringkat golongan yang bekerja sendiri dan juga dalam usaha terancang menangani masalah ketidakcukupan simpanan semasa bersara bagi golongan ini. Skim ini juga diharapkan dapat mengelak rakyat daripada terus menjadi mangsa pinjaman ah long dan sindiket pelaburan lain yang sangat tidak bertanggungjawab.

Secara dasarnya Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia itu nanti dikatakan memberi sedikit kelonggaran di mana aspek penekanan ke atas unsur fleksibiliti pencarum dalam menentukan berapa jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka dan yang paling penting ialah caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membuat caruman setiap bulan bergantung kepada tahap kemampuan mereka. Kelonggaran ini akan menarik lebih ramai golongan yang berpendapatan rendah dan tidak menentu menyertai skim ini pada masa hadapan.

RUJUKAN

Skim persaraan 1Malaysia diperkenal, Utusan Malaysia, 23 Disember 2009
Skim caruman 1Malaysia dilancar, Berita Harian, 23 Disember 2009
KWSP perkenal Skim Persaraan 1Malaysia - Langkah baru bantu petani, nelayan mulai 3
Januari, Kosmo!, 23 Disember 2009

No comments: