Kewangan Dubai World meruncing

PASARAN Kewangan Asia Barat sekali lagi dikejutkan apabila Dubai World, konglomerat yang bertanggungjawab membangunkan sebahagian besar projek ikonik negara itu berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa menangguhkan tarikh matang pembayaran balik hutang sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Kelmarin kerajaan Dubai mengumumkan rancangan penyusunan semula kumpulan Dubai World yang memiliki liabiliti berjumlah AS$60 bilion dan meminta pemberi pinjaman kepada syarikat itu melanjutkan tempoh matang hutang sehingga Mei tahun depan.

Agensi berita AFP melaporkan kerajaan Dubai juga terpaksa menerbitkan bon baru bernilai AS$5 bilion untuk membantu syarikat itu memenuhi tuntutan hutangnya.

Sementara itu, Standard & Poor’s (S&P), firma penarafan global, berkata perkembangan itu boleh dikira sebagai kegagalan dan menurunkan penarafan kredit entiti milik kerajaan Dubai termasuk Dubai World.

“Tindakan itu dibuat susulan pengumuman penyusunan semula hutang Dubai World dan anak syarikat pembinaannya, Nakheel pada 25 November lalu.

“Pada pandangan kami, penyusunan semula itu boleh dikira sebagai kegagalan dalam kriteria penarafan hutang dan menunjukkan bahawa kerajaan Dubai gagal menyediakan sumber kewangan mencukupi bagi menyokong aktiviti entiti berkaitan kerajaan,” kata S&P dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Penganalisis Barclays Capital, Paul Robinsin memberi amaran bahawa isu Dubai itu boleh menyumbang kepada kejatuhan pasaran saham global.

Pada masa sama, penganalisis global lain berkata, masalah yang baru berlaku itu menjejaskan keyakinan pelabur dan akan mengambil masa lebih sedekad untuk dirangsangkan semula.

“Dubai tidak sepatutnya merendahkan dirinya sendiri atau persepsi global bahawa negara itu bukan lagi tempat untuk perniagaan buat masa ini,” kata Penganalisis MF Global, Manus Cranny kepada AFP.

“Secara umumnya, rantau geografi itu kini kelihatan goyah dari segi kestabilan kewangan. Dalam segi jangka panjang, ia memberi kesan kepada keyakinan, aktiviti pembiayaan dan penjanaan modal, yang mana memakan masa lebih sedekad untuk dipulihkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, penangguhan pembayaran semula hutang Dubai World itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia adalah seperti yang berlaku di Ireland dan kemungkinan akan menjadi seperti masalah kewangan Iceland. Malah walaupun dua negara berkenaan berdepan masalah kewangan tetapi dari segi kredit, mereka masih boleh memenuhi tuntutan hutang masing-masing,” tambah beliau.

Susulan pengumuman itu, pasaran saham utama global susut mendadak apabila pelabur berebut menjual pegangan masing-masing dan beralih kepada bon dan emas, yang mana dianggap lebih selamat.

Harga emas kelmarin melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah mencecah AS$1,195.13 satu auns.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ekonomi/20091127223216/Article/

Comments

Popular Posts