Tuesday, January 05, 2010

INISIATIF MERAPATKAN JURANG DIGITAL



Ke arah menuju sebuah negara maju dalam segala bidang dan terutamanya yang melibatkan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) maka Malaysia telah mensasarkan penembusan 50 peratus sistem serta jaringan jalur lebar isi rumah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Tahap penembusan jalur lebar negara sehingga akhir tahun lalu telah melebihi sasaran iaitu sebanyak 30.8 peratus berbanding sasaran awal 30 peratus dan kita perlu berusaha mencapai penembusan jalur lebar yang lebih luas, menyeluruh dan pantas pada penghujung tahun ini serta tahun-tahun berikutnya.

Peningkatan tahap penembusan jalur lebar yang lebih meluas kelak diharapkan akan memberi lonjakan baru kepada dunia ICT di negara ini memandangkan ianya mampu menyumbang kepada kemajuan dan tahap inovasi negara pada masa hadapan setanding dengan negara maju lain. Secara umumnya, tanpa prasarana ICT yang lengkap dan kewujudan jurang digital yang masih luas dalam masyarakat akan membantutkan usaha inovasi dan kreativiti rakyat di negara kita, malahan menjadi penghalang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.

Ini adalah kerana peningkatan tahap penembusan jalur lebar di seluruh negara ketika ini dilihat mampu memberi kesan positif kepada seluruh masyarakat di samping memacu pertumbuhan ekonomi negara agar lebih berdaya saing di arena global. Oleh yang demikian, jurang digital yang wujud perlu dirapatkan memandangkan jurang digital semasa antara bandar dan luar bandar adalah pada kadar 6:1 dan perbezaan ini merupakan satu cabaran besar kepada semua pihak menanganinya bagi memastikan penembusan jalur lebar di seluruh negara berjalan lancar.

Untuk itu dan secara alternatifnya, kepelbagaian program dan aktiviti serta pembudayaan ICT wajar diperkenal dan dijalankan secara lebih agresif bagi merealisasikan sasaran penembusan jalur lebar termasuk meningkatkan mutu prestasi internet meliputi kelajuan, kualiti perkhidmatan dan penjimatan kos operasi. Kerajaan dalam hal ini juga perlu menumpukan kepada operasi penembusan jalur lebar di luar bandar bagi memastikan kawasan itu tidak ketinggalan, tertinggal di belakang serta menjadi punca kepada kegagalan mencapai sasaran penembusan 50 peratus jalur lebar di seluruh negara pada tahun ini.

Pelancaran Program Merapatkan Jurang Digital misalnya dijangka mampu memastikan jurang digital yang masih wujud di antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan dari masa ke semasa dengan jaya serta mencapai objektifnya. Ketika ini jurang digital yang masih wujud merangkumi aspek kekurangan serta kelemahan kemudahan ICT yang lengkap dan indeks capaian kepada maklumat terutamanya melalui internet di kawasan luar bandar masih ketara. Senario ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan jurang yang ada perlu diperbaiki sepanjang masa bagi memastikan semua golongan mempunyai peluang serta mendapat akses yang sama pada bila-bila masa.

Melalui inisiatif Program Merapatkan Jurang Digital ini juga diharapkan penduduk di kawasan pendalaman serta luar bandar di negara ini dapat menikmati manfaat kemudahan ICT seperti mereka yang tinggal di bandar selaras dengan matlamat IMalaysia yang menumpukan kepada amanah rakyat didahulukan dan pencapaian diuatamakan. Penembusan jalur lebar sejak mula diperkenalkan di negara kita bukan hanya perlu difokuskan kepada isi rumah semata-mata sebaliknya perlu dilihat kepada jumlah penggunaan telefon bimbit dan komputer yang semakin bertambah di mana kini mencecah 28 juta pengguna di seluruh negara. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan perlu dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

Kejayaan dan kemampuan negara merapatkan jurang digital di dalam negara melalui prasarana ICT misalnya menjadi penanda aras komitmen yang ditunjukkan sejak sekian lama dan sebagai pemangkin kepada aras peningkatan kualiti hidup, pembangunan minda dan nilai ekonomi isi rumah semua penduduk tanpa membezakan apa jua kaum. Aktiviti dan usaha penembusan jalur lebar yang sistematik dan jurang digital yang rendah juga akan menjadi nilai tambah terhadap akses ICT kepada semua lapisan termasuklah golongan peniaga, petani, penternak, orang kurang upaya (OKU), wanita, pelajar dan warga emas di negara kita.

Sehubungan itu, kesediaan kerajaan mengkaji semula kadar bayaran perkhidmatan jalur lebar ketika ini yang dilihat masih tinggi dan membebankan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan perkhidmatannya dapat diperluaskan kepada semua golongan masyarakat pada kadar yang lebih murah, kompetitif serta tidak membebankan. Kerajaan juga dalam masa yang sama diharapkan dapat memantau kadar harga yang dikenakan selain menggesa semua syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bagi merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang digital di negara ini.

RUJUKAN

Penembusan jalur lebar negara melebihi sasaran 30 peratus, Utusan Malaysia, 29 Disember 2009
50 peratus jalur lebar seluruh negara tahun depan, Berita Harian, 29 Disember 2009
Kadar jalur lebar lebih murah?, Utusan Malaysia, 5 Januari 2010

1 comment:

izzirish said...

boleh tak jelaskan kpd saya pasal kes tan tek seng v spa dgn terperinci..terima kasih...