MENELUSURI SEJARAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN



Perlembagaan didefinisikan sebagai kumpulan peraturan atau undang-undang utama sama ada bertulis atau tidak bertulis di mana ianya merupakan peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah negara ditadbir dan diurus dengan teratur. Ia juga menjadi neraca atau kayu ukur penting dalam menentukan pembahagian kuasa antara bidang pemerintahan dan pelaksanaannya. Oleh yang demikian, Perlembagaan ialah asset undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan negara dan merupakan sumber utama bagi menggubal undang-undang yang lain.

Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mengandungi 183 perkara merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi dokumen terpenting dalam bentuk undang-undang bertulis yang berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi detik bersejarah dan merupakan langkah pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri selepas Empayar British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957.

Untuk tugas dan agenda penggubalan Perlembagaan yang melahirkan Malaysia seperti mana pada hari ini, British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti politik utama ketika itu. Maka pada Mac 1956, satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid sebagai pengerusinya bersama-sama Ivor Jennings, Sir William McKell, B. Malik dan Hakim Abdul Hamid, telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang kekal sehingga ke hari ini.

Maka lahirlah Memorandum Perlembagaan yang dikenali sebagai Pakatan Murni itu adalah satu konsensus kontrak sosial iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam (Perkara 3), kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan hak kerakyatan sama rata. Ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Realiti sejarah ini perlu difahami dan dihayati agar keluhuran perlembagaan terjamin serta dihormati oleh semua rakyat di negara ini.

Raja-raja Melayu misalnya mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia. Sehubungan itu, tindakan pihak-pihak tertentu sejak kebelakangan ini mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat dan jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan, pergolakan dan persengketaan antara kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara kita.

Aspirasi perlembagaan persekutuan yang akomodatif juga didasarkan demokrasi berparlimen, mesyuarat dwidewan dan kewujudan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat serta berupaya melahirkan suatu rupa bangsa yang sama bagi seluruh Persekutuan, dan dalam masa yang sama memiliki seorang ketua negara iaitu Perdana Menteri yang berkarisma bagi sebuah negara yang berdaulat. Dalam pada itu, untuk meminda perlembagaan yang wujud hari ini, satu majoriti dua pertiga (2/3) diperlukan di Parlimen dan berdasarkan rekod yang ada undang-undang tertinggi ini telah dipinda sebanyak 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005.

Perlembagaan yang lengkap dan komprehensif ini dibahagikan kepada 15 bahagian yang terdiri daripada Bahagian 1 ( Negeri-negeri, agama dan undang-undang persekutuan), Bahagian 2 (Kebebasan asasi), Bahagian 3 (Kewarganegaraan), Bahagian 4 (Persekutuan), Bahagian 5 (Negeri-negeri), Bahagian 6 (Perhubungan antara persekutuan dan negeri-negeri), Bahagian 7 (Peruntukan-peruntukan kewangan), Bahagian 8 (Pilihanraya), Bahagian 9 (Kehakiman), Bahagian 10 (Perkhidmatan awam), Bahagian 11 (Kuasa-kuasa khas menentang kuasa subversif dan darurat), Bahagian 12 (Am dan pelbagai), Bahagian 13 (Peruntukan sementara), Bahagian 14 (Perkecualian bagi kedaulatan raja-raja dan sebagainya), dan Bahagian 15 (Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agung dan raja-raja), menjadikannya sebagai dokumen undang-undang yang terpenting memandu rakyat dan negara di landasan yang betul.

Sejak merdeka, banyak isu-isu sensitif lain berkenaan Perlembagaan Persekutuan dibangkit dan dibincangkan seperti dalam Perkara 5 (Kebebasan diri), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), Perkara 11 (Kebebasan agama), Perkara 12 (Hak-hak berkenaan pelajaran), Perkara 38 (Majlis Raja-Raja), Perkara 70 (Keutamaan Raja dan Yang Dipertua Negeri), Perkara 72 (Keistimewaan Dewan Negeri), Perkara 89 (Tanah rizab orang Melayu), Perkara 90 (Peruntukan khas mengenai tanah adat di Negeri Sembilan, Melaka dan tanah pegangan orang Melayu di Terengganu). Lebih membimbangkan apabila wujudnya trend yang cuba mempertikaikan Perkara 181 (Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja) dan Perkara 183 (Tiada tindakan yang boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja kecuali dengan keizinan negara).

Sebagai perbandingan sejarah Islam telah merekodkan Nabi Muhammad s.a.w dalam usaha mewujudkan persefahaman antara pelbagai kelompok dalam masyarakat Madinah pada waktu itu, maka terbentuklah perlembagaan pertama yang dikenali sebagai Sahifah iaitu kanun tingkah laku atau piagam yang memperincikan hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat. Catatan mengenai Perlembagaan ini banyak diterangkan oleh sarjana Islam seperti Ibn Ishaq, Abu Ubaid, Ibn Kathir, Ibn Abi Kyathaman dan lain-lain dalam banyak bahan penulisan dan kritikan mereka.

Perlembagan Madinah turut merangkumi asas hubungan dan penyatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar, termasuk juga beberapa fasal penting mengenai perjanjian dengan kaum Yahudi. Antara lain fasal mengenai jaminan agama dan harta serta peruntukan mengenai kewajipan masing-masing terhadap negara dan kaum lain. Jumlah keseluruhan fasal yang terkandung di dalam Piagam Madinah ini adalah 47 fasal di mana dua puluh empat daripadanya menyentuh peruntukan hak dan kewajipan orang Yahudi yang merupakan kelompok minoriti bukan Islam. Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban Islam ini adalah manifestasi pendirian Islam berteraskan prinsip keadilan yang tercermin melalui sikap dan peribadi Rasulullah yang bersedia berunding dan menjamin hak masyarakat bukan Islam di Madinah

Oleh yang demikian, dapatlah difahami dan dihayati bahawa kepentingan dan keluhuran perlembagaan kepada negara kita ialah bagi menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Malahan dapat menentukan rangka, bentuk pemerintahan dan kuasa untuk menerajui kerajaan, menjamin pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Di samping itu, mampu menjamin keselamatan dan keamanan rakyat. Perlembagaan juga dapat menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri,kebebasan bercakap, memiliki harta dan beragama.

Perlembagaan menjadi penentu batasan untuk menjaga keselamatan, kemakmuran rakyat dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar di samping dapat memupuk unsur taat setia kepada negara. Seseorang itu akan dilucutkan kerakyatannya jika kerajaan mendapati seseorang itu tidak setia atau telah memperolehi kerakyatan negara lain. Kepentingan perlembagaan juga ialah agar dapat memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum, hak kebebasan asasi manusia dihadkan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum.

Keluhuran perlembagaan juga merangkumi aspek penting dan serius agar hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan sesuka hati sebagaimana yang telah dipersetujui dalam pembentukan awal Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. Apa yang paling penting ialah, Perlembagaan juga menjadi medan dan landasan penting bagi mewujudkan iklim integrasi nasional dalam usaha mempercepatkan lagi proses pembentukan negara bangsa yang bersatu padu dan dihormati tanpa membelakangkan prinsip agama dalam segala aspek kehidupan.

RUJUKAN

Abdul Aziz Bari, 2008. Perlembagaan Malaysia: Teori dan Praktis. Arah Publications: Shah Alam, Selangor.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, 2006. Islam hormati orang lain. Utusan Malaysia, 29 Januari

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Perlembagaan_Malaysia

Comments

abusyaukah said…
alahmdulillah..kupasan yg menarik..jmpk jgk akhirnye ape yg di cari2......
abusyaukah said…
*alhamdulillah
Hew Fah Lin said…
Tuan,

Kawan saya sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang. Beliau berminat untuk mendapatkan nasihat dan cadangan berkenaan Sejarah Pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana beliau boleh menghubungi tuan?


TQ

Popular Posts