Sunday, February 21, 2010

Perkhidmatan Pos dan Cabaran Internet di Malaysia



















Sejarah menukilkan kewujudan Pos Malaysia bermula seawal tahun 1800an lagi dengan tertubuhnya institusi perkhidmatan pos yang pertama di Negeri-Negeri Selat iaitu di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Selanjutnya menjelang awal kurun ke-20, barulah perkhidmatan pos meluas ke seluruh negeri-negeri Tanah Melayu lain dan menjadi antara yang terbaik di rantau ini.

Di samping berperanan di dalam sektor perkhidmatan pos negara terutamanya penjualan setem dan surat menyurat, agensi yang suatu ketika dahulu cukup dikenali sebagai Pejabat Pos turut menjadi bank mini kepada masyarakat kerana turut menyediakan penghantaran bungkusan, pendaftaran, insurans, urusniaga wang termasuklah wang pos dan kiriman wang serta pelaburan dana melalui Simpanan Bank Pejabat Pos.

Malahan perkhidmatan tambahan seperti mengutip bayaran bil utiliti, pembaharuan lesen, pembelian borang universiti, bayaran pencen dan sebagainya turut disediakan sebelum ini bagi memudahkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan tersebut di kawasan berhampiran kediaman mereka tanpa perlu ke bandar. Ini menjadikan Pejabat Pos ketika itu begitu penting dan merupakan institusi yang begitu dekat dengan masyarakat.

Namun dalam menentukan hala tuju masa depannya, Pos Malaysia kini berhadapan dengan realiti global di mana pengiriman surat menyurat secara tradisional dilihat semakin berkurangan dan masalah ini turut terjadi di seluruh dunia akibat daripada kemajuan internet di mana tahap celik IT yang tinggi dan peningkatan keupayaan rakyat menggunakan medium internet untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara elektronik.

Inovasi mel elektronik (emel) dan komunikasi lain melalui internet dan pelbagai kemudahan teknologi seperti sistem pesanan ringkas (sms) yang cepat serta murah menjadikan minat dan kegemaran orang ramai menghantar surat secara biasa semakin menurun kerana faktor masa serta kos dan menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi Pos Malaysia pada masa hadapan di samping persaingan sengit di antara pengendali perkhidmatan pos sedia ada lain.

Sebagai perbandingan di United Kingdom (UK) di mana berlakunya penurunan pengiriman surat secara biasa ke satu tahap yang serius dan Royal Mail sebagai agensi utama perkhidmatan surat di sana mencatatkan penurunan pengendalian dan pengiriman surat melalui pos secara mendadak sebanyak 7.0 peratus setahun atau 3.5 bilion kiriman pada tahun 2009 berbanding tahun 2005 dan 2006, dan menjangkakan penurunan itu akan berterusan.

Sehubungan itu, melihat kepada realiti global ini dalam perkhidmatan pos maka satu kajian mendalam perlu dilakukan segera bagi mencari jalan dan alternatif kepada masalah ini. Pos Malaysia juga perlu memastikan perkhidmatan pos lebih efisien, cepat dan selamat sampai ke destinasi bagi memastikan Pos Malaysia kekal menjadi pemain utama industri pos negara.

Malahan galakan semula kepada budaya menulis surat, poskad, kad ucapan dan kad hari raya secara biasa dan dihantar secara pos perlu dipertingkat dan diperluaskan lagi seperti menganjurkan peraduan, pertandingan dan sebagainya. Di samping itu, semua pihak perlu mencari jalan ke arah menghidupkan kembali minat mengumpul setem kenangan dan sampul surat hari pertama di kalangan generasi muda yang kini semakin dilupakan.

RUJUKAN

Internet cabaran Pos Malaysia, Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010

Laman web Pos Malaysia: http://www.pos.com.my/websitebm/main2.asp?C=/WebsiteBM/AboutUs/PMB/History.htm

Saturday, February 13, 2010

Jualan Sukuk meningkat 3 kali ganda

SINGAPURA 12 Feb. – Jualan Sukuk (bon Islam) Malaysia dijangka meningkat lebih tiga kali ganda tahun ini, seiring dengan pemulihan ekonomi dan pengukuhan pasaran hutang, sekali gus mengekalkan kedudukan negara sebagai penerbit utama di peringkat global.

Ketua Penarafan Islamic RAM, Zakariya Othman berkata, penerbitan Sukuk akan meningkat di sekitar RM33 bilion hingga RM36 bilion tahun ini berbanding RM9.6 bilion tahun lalu.

Syarikat-syarikat tempatan dijangka meningkatkan hutang dalam pasaran tahun ini kerana ekonomi semakin pulih dan selepas pasaran bon kembali semula pada separuh kedua 2009.

Jualan bon dijangka mewujudkan lebih banyak kecairan dalam pasaran dan membantu memastikan kestabilan sumber dana-dana bagi syarikat-syarikat yang mahu membiayai semula hutang dan meluaskan operasi mereka.

Peningkatan penerbitan itu akan diterajui oleh syarikat-syarikat infrastruktur dan utiliti ‘yang mana perlu, menurut Zakariya.

Sekuriti Sukuk distruktur untuk mematuhi dengan perundangan Islam, sebagai contoh tidak menggunakan kadar faedah.

Malah, Sukuk menggunakan kupon sebagai cara memperoleh pembayaran daripada aset-aset yang disandarkan.

Penerbitan hutang domestik persendirian Malaysia ditaraf, bagi konvensional dan Islam, sebanyak RM55 bilion hingga RM60 bilion tahun ini, dengan Sukuk mewakili kira-kira 60 peratus, ujarnya.

Pada tahun lalu, sebanyak RM9.6 bilion yang diterbitkan membabitkan 68.1 peratus penerbitan hutang domestik dan mewakili kenaikan tahunan kira-kira sembilan peratus.

Meskipun jualan bon global tidak menentu, Malaysia kekal sebagai peneraju dalam Sukuk.

Penglibatan pasaran kredit bagi majoriti negara-negara Islam yang kukuh dalam sistem perbankan Islam, struktur pengawas selia yang kukuh dan sokongan kerajaan bagi kewangan Islam.

Pada tahun lalu, sejumlah AS$17.8 bilion (RM60.52 bilion) Sukuk global diterbitkan dan daripada jumlah itu Malaysia mencatatkan sejumlah AS$8.44 bilion (RM28.6 bilion) berbanding Emiriah Arab Bersatu AS$3.88 bilion (RM13.2 bilion) berdasarkan penyedia data, Dealogic. Arab Saudi pula berada di tempat ketiga sebanyak AS$2.92 bilion (RM9.9 bilion).

Kedudukan itu hampir sama pada 2007 apabila penerbitan global pada sekitar AS$27.2 bilion (RM92.4 bilion) dan 2008 AS$14.2 bilion (RM48.2 bilion).

Zakariya mengunjurkan tahun ini jualan Sukuk kira-kira satu pertiga daripada jumlah global.

Standard & Poor menjangkakan penerbitan Sukuk tahun ini menyamai 2007 iaitu AS$34.3 bilion (RM116.7 bilion).

Beberapa potensi penerbit dari Korea Selatan dan Singapura dipercayai mahu menerokai pasaran Sukuk di Malaysia.

‘‘Kami sudah menerima beberapa pertanyaan termasuk penstrukturan terbaik bagi syarikat masing-masing namun masih belum menerima pelan yang konkrit,’’ tambahnya.

– DOWJONES

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Wednesday, February 03, 2010

12 Prinsip Sedekah


Perspektif Barat melihat perbuatan memberi, menyumbang atau menderma sesuatu sangat memeritkan dan menerima sesuatu pula dianggap perkara yang begitu menyeronokkan. Namun Islam melihat sebaliknya, di mana sama ada memberi atau menerima, ia adalah sesuatu yang sangat mengembirakan.

Bersedekah misalnya adalah amalan kebajikan yang sepatutnya menjadi budaya dan merupakan perbuatan mulia yang perlu dididik sejak kecil lagi agar ianya menjadi sebahagian cara hidup umat Islam. Konsep sedekah, menyumbang dan menderma umpamanya mampu dijadikan sebagai platform dan medium pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan negara.

Hadis Rasulullah s.a.w yang sangat popular iaitu 'tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah' memberi gambaran bahawa umat Islam perlu mengambil dan merebut peluang bersedekah misalnya yang begitu besar faedah dan manfaatnya kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada mereka yang sangat memerlukan.

Allah menjanjikan ganjaran yang sangat lumayan kepada mereka yang bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah: 261).

Lanjutan itu terdapat beberapa ciri penting dan prinsip bersedekah dan menderma yang perlu dihayati agar amalan mulia berkenaan menjadi bekalan berharga hidup kita di dunia dan di akhirat. (1)Oleh yang demikian, niat kita mestilah tulus yakni semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah dan bukan kerana agenda lain.

(2)Amalan bersedekah umpamanya mestilah didasarkan kepada prinsip Tabarru'at iaitu saling derma menderma demi kebaikan bersama dan bukan bertujuan untuk menghina serta mencerca orang yang menerima pemberian tersebut. (3)Malahan perlu ditekankan bahawa amalan menderma juga sewajarnya memberi kepuasan dan ketenangan tersendiri kepada diri dalam beribadah.

(4)Dalam melaksanakan amal kebajikan, kita tidak boleh bertangguh lebih-lebih lagi jika melibatkan sedekah wajib seperti zakat yang perlu ditunaikan jika telah cukup haul dan nisabnya. Sikap bertangguh dalam melaksanakan amalan kebajikan dan perkara makruf sangat tidak digalakkan dalam Islam.

(5)Membuat kebajikan seperti bersedekah perlulah diutamakan kepada kaum keluarga dan kerabat terlebih dahulu terutamanya isteri, anak-anak, ibu bapa, sanak sauadara dan sebagainya sebelum orang lain kerana mereka lebih berhak terhadap harta serta kekayaan yang dimiliki oleh kita.

(6)Selanjutnya, idea membuat kebajikan juga hendaklah didasarkan kepada prinsip dan standard yang tinggi serta berkualiti dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja atau menyumbang dengan sesuatu yang tidak bermutu dan benda yang sudah tidak lagi diinginkan. Ini jelas sangat dilarang dan amat tidak berakhlak.

(7)Dalam bersedekah dan menderma juga perlu moderat, seimbang dan bersederhana agar dalam membuat kebajikan kita dapat merancang susun atur pentadbiran harta dan kekayaan secara yang dibenarkan kerana ada pihak lain yang mempunyai hak terhadapnya lebih-lebih lagi isteri dan anak-anak.

(8)Umat Islam perlu proaktif dalam melaksanakan amal kebajikan serta meningkatkan kesedaran terhadap kebaikan amalan berkenaan. (9)Ini adalah agar objektif dan matlamat bersedekah, menyumbang dan menderma berkenaan tercapai dan sampai kepada sasaran agar tidak ada yang terlepas pandang serta diabaikan.

(10)Sehubungan itu, semua pihak yang layak dibantu dan dibela hendaklah dipantau sewajarnya bagi memastikan hak dan keperluan mereka dapat ditunaikan. (11)Semangat altruisme juga sangat penting diterapkan agar niat kita hanya semata untuk membantu dan mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan dan bukan kerana mengejar populariti atau sanjungan orang.

(12)Apa yang paling penting ialah prinsip kerahsian ketika melaksanakan apa jua amal kebajikan agar lebih fokus dan ikhlas serta diterima Allah. Ini dapat mengelakkan kita dari terjerumus kepada perbuatan takabbur, ujub dan sikap suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang apa yang dilakukan.

Rujukan: Nota syarahan kursus/subjek Pengurusan Zakat, Wakaf dan Sedekah oleh Prof. Madya Zakaria Man

Tuesday, February 02, 2010

SUKUK DAN PASARAN MODAL ISLAM



Kerancakan aktiviti Sukuk telah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penyenaraian pilihan bon-bon Islam di kalangan penerbit tempatan dan antarabangsa. Ini adalah kerana Malaysia merupakan peneraju dalam pasaran global Sukuk dengan lebih 60 peratus penyenaraian dibuat di Malaysia, sekali gus menjadikannya penerbit terbesar. Terbitan sukuk secara amnya dilakukan oleh syarikat-syarikat multinasional (MNC), perbadanan asing dan agensi pelbagai bidang seperti perbadanan kewangan antarabangsa, Bank Dunia dan bank pembangunan Islam.

Istilah sukuk sebenarnya berasal dari bentuk jamak dari bahasa Arab iaitu “sakk” atau sijil dan secara ringkasnya sukuk didefinisikan sebagai sijil bernilai sama yang merupakan bukti kepemilikan yang tidak dibahagikan atas suatu aset, hak manfaat dan jasa-jasa atau kepemilikan atas projek atau kegiatan pelaburan tertentu. Pada prinsipnya sukuk adalah obligasi konvensional berupa aplikasi konsep imbalan dan tanpa faedah melalui transaksi pendasar terhadap jumlah tertentu aset yang menjadi asas penerbitan sukuk dan wujudnya akad atau perjanjian antara pihak-pihak berdasarkan prinsip-prinsip syariah yakni instrumen kewangan yang bebas riba, gharar dan judi.

Sukuk secara umumnya mempunyai keistimewaan dan faedahnya yang tersendiri di mana mampu dilonjakkan sebagai sumber pembiayaan negara dan dalam, masa yang sama menggembangankan sistem kewangan Islam dalam aspek sebagai alternatif kepada instrumen pelaburan konvensional. Sukuk juga mampu menjadi landasan terbaik ke arah perluasan dana masyarakat umum yang bebas riba. Terdapat beberapa jenis portfolio sukuk seperti ijarah atau sewaan melalui penyewaan hak manfaat atas suatu aset kapada pihak lain berdasarkan harga dan jangka waktu yang dipersetujui bersama. Manakala sukuk mudharabah pula adalah persetujuan untuk bekerjasama di antara pemodal dan pelabur.

Sukuk musyarakah pula adalah medium kerjasama dua pihak dengan menggabungkan modal untuk sebuah platform pelaburan tertentu dan seterusnya sukuk Istisna yang merangkumi kesepakatan jual beli dalam rangka pembiayaan suatu projek pembangunan dan produk. Ketika ini dunia perbankan Islam di negara kita mewakili hampir 18.8 peratus aset perbankan keseluruhan di mana ciri-ciri yang ada pada kewangan Islam itu sendiri merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan kewangan negara.

Dalam pasaran sukuk, sebagai contoh, aktiviti dagangan dan penerbitan adalah perlahan pada 2009 berikutan kekurangan penerbitan bon korporat dan berita tentang kredit negatif Dubai. Namun antara peristiwa penting ialah penerbitan Sukuk Al-Ijarah lima tahun bernilai AS$1.5 bilion yang diterbitkan oleh syarikat minyak negara iaitu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) baru-baru ini. Ia menandakan era baharu bagi penerbitan bon dan sukuk di negara ini yang menjadi penerbitan dolar AS paling besar oleh satu entiti Asia selain Jepun dan juga sukuk dolar AS antarabangsa tertinggi semenjak terbitan Dubai Port AS$1.5 bilion pada 2007.

Penyenaraian subhutang Islam seperti ini di Bursa Malaysia akan mengukuhkan lagi komitmen terhadap pembangunan industri kewangan Islam, dan dalam perkara ini, pasaran modal hutang Islam itu sendiri. Regim mesra pelabur itu serta ditambah pula dengan kawal selia dan kerangka Syariah yang teguh telah menjadi platform yang sesuai bagi penyenaraian dan penerbitan sukuk. Ini membolehkan Malaysia menarik lebih 60 peratus daripada penerbitan sukuk dari seluruh dunia, menjadikan negara sebagai pusat global bagi kewangan dan pelaburan Islam.

Tidak ketinggalan juga, pembangunan pantas pasaran modal Islam bukan hanya meliputi sukuk, sebaliknya terbitan sekuriti Islam lain turut mengekalkan penguasaannya di negara ini. Kira-kira 87 peratus sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan pematuhan Syariah dan ianya melibatkan sebanyak 65 peratus daripada pasaran modal keseluruhan. Dana Islam dalam industri unit amanah juga turut melihat peningkatan yang amat memberangsangkan dan tumbuh dengan menggalakkan di mana ianya kini meliputi 12 peratus daripada nilai aset bersih keseluruhan dalam industri.

Rujukan

Salman Syed Ali, 2005. Islamic Capital Market Products: Developments & Challenges. IRTI: Saudi Arabia

Sime Darby senarai Sukuk, Utusan Malaysia, 29 Januari 2010
Peranan kewangan Islam hadapi kegawatan ekonomi, Utusan Malaysia, 2 Januari 2010
CIMB Islamic senaraikan sukuk RM2b di Bursa Malaysia, Utusan Malaysia, 30 Disember 2009
Sukuk terus kuasai pasaran bon di Malaysia, Utusan Malaysia, 4 November 2009
Malaysia kini peneraju kewangan Islam, Utusan Malaysia, 4 November 2009

Laman web: http://id.wikipedia.org/wiki/Sukuk