Wednesday, February 03, 2010

12 Prinsip Sedekah


Perspektif Barat melihat perbuatan memberi, menyumbang atau menderma sesuatu sangat memeritkan dan menerima sesuatu pula dianggap perkara yang begitu menyeronokkan. Namun Islam melihat sebaliknya, di mana sama ada memberi atau menerima, ia adalah sesuatu yang sangat mengembirakan.

Bersedekah misalnya adalah amalan kebajikan yang sepatutnya menjadi budaya dan merupakan perbuatan mulia yang perlu dididik sejak kecil lagi agar ianya menjadi sebahagian cara hidup umat Islam. Konsep sedekah, menyumbang dan menderma umpamanya mampu dijadikan sebagai platform dan medium pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan negara.

Hadis Rasulullah s.a.w yang sangat popular iaitu 'tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah' memberi gambaran bahawa umat Islam perlu mengambil dan merebut peluang bersedekah misalnya yang begitu besar faedah dan manfaatnya kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada mereka yang sangat memerlukan.

Allah menjanjikan ganjaran yang sangat lumayan kepada mereka yang bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah: 261).

Lanjutan itu terdapat beberapa ciri penting dan prinsip bersedekah dan menderma yang perlu dihayati agar amalan mulia berkenaan menjadi bekalan berharga hidup kita di dunia dan di akhirat. (1)Oleh yang demikian, niat kita mestilah tulus yakni semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah dan bukan kerana agenda lain.

(2)Amalan bersedekah umpamanya mestilah didasarkan kepada prinsip Tabarru'at iaitu saling derma menderma demi kebaikan bersama dan bukan bertujuan untuk menghina serta mencerca orang yang menerima pemberian tersebut. (3)Malahan perlu ditekankan bahawa amalan menderma juga sewajarnya memberi kepuasan dan ketenangan tersendiri kepada diri dalam beribadah.

(4)Dalam melaksanakan amal kebajikan, kita tidak boleh bertangguh lebih-lebih lagi jika melibatkan sedekah wajib seperti zakat yang perlu ditunaikan jika telah cukup haul dan nisabnya. Sikap bertangguh dalam melaksanakan amalan kebajikan dan perkara makruf sangat tidak digalakkan dalam Islam.

(5)Membuat kebajikan seperti bersedekah perlulah diutamakan kepada kaum keluarga dan kerabat terlebih dahulu terutamanya isteri, anak-anak, ibu bapa, sanak sauadara dan sebagainya sebelum orang lain kerana mereka lebih berhak terhadap harta serta kekayaan yang dimiliki oleh kita.

(6)Selanjutnya, idea membuat kebajikan juga hendaklah didasarkan kepada prinsip dan standard yang tinggi serta berkualiti dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja atau menyumbang dengan sesuatu yang tidak bermutu dan benda yang sudah tidak lagi diinginkan. Ini jelas sangat dilarang dan amat tidak berakhlak.

(7)Dalam bersedekah dan menderma juga perlu moderat, seimbang dan bersederhana agar dalam membuat kebajikan kita dapat merancang susun atur pentadbiran harta dan kekayaan secara yang dibenarkan kerana ada pihak lain yang mempunyai hak terhadapnya lebih-lebih lagi isteri dan anak-anak.

(8)Umat Islam perlu proaktif dalam melaksanakan amal kebajikan serta meningkatkan kesedaran terhadap kebaikan amalan berkenaan. (9)Ini adalah agar objektif dan matlamat bersedekah, menyumbang dan menderma berkenaan tercapai dan sampai kepada sasaran agar tidak ada yang terlepas pandang serta diabaikan.

(10)Sehubungan itu, semua pihak yang layak dibantu dan dibela hendaklah dipantau sewajarnya bagi memastikan hak dan keperluan mereka dapat ditunaikan. (11)Semangat altruisme juga sangat penting diterapkan agar niat kita hanya semata untuk membantu dan mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan dan bukan kerana mengejar populariti atau sanjungan orang.

(12)Apa yang paling penting ialah prinsip kerahsian ketika melaksanakan apa jua amal kebajikan agar lebih fokus dan ikhlas serta diterima Allah. Ini dapat mengelakkan kita dari terjerumus kepada perbuatan takabbur, ujub dan sikap suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang apa yang dilakukan.

Rujukan: Nota syarahan kursus/subjek Pengurusan Zakat, Wakaf dan Sedekah oleh Prof. Madya Zakaria Man

No comments: