400 kanak-kanak Palestin diseksa


[Kanak-kanak Palestin memegang lilin menyertai bantahan sekatan berterusan rejim Zionis di Tebing Gaza di Gaza City, kelmarin]

GAZA 6 April – Hampir 400 kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel dilapor menjadi mangsa pelbagai jenis penyeksaan dan keganasan yang dilakukan tentera Zionis.

Perkhidmatan Media Algeria (APS) yang memetik sebuah pusat hak asasi kemanusiaan Palestin, Sawasiya melaporkan, tentera rejim itu masih menahan kanak-kanak di penjara, yang menjadi mangsa pelbagai penyiksaan serta tindakan tidak berperi kemanusiaan yang sangat dikutuk undang-undang antarabangsa.

Menurut Sawasiya, pencerobohan terbaru Israel ke atas penduduk Genting Gaza, merupakan bukti pencabulan rejim itu terhadap kanak-kanak Palestin, termasuk beratus-ratus yang terbunuh dan dicederakan tentera Israel dalam serangan udara.

Pusat Sawasiya turut menggesa pihak berkuasa Israel menghormati resolusi hak asasi kemanusiaan antarabangsa dan membenarkan keluarga mangsa berjumpa kanak-kanak terbabit untuk mengetahui tentang keadaan mereka di penjara.

Sempena Hari Kanak-Kanak Palestin, pusat tersebut turut menggesa Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan organisasi-organisasi hak asasi kemanusiaan antarabangsa untuk campur tangan bagi menamatkan tindakan keganasan yang bersifat keji terhadap kanak-kanak Palestin selain mendesak pihak berkuasa Zionis supaya membebaskan mereka. – BERNAMA

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Comments

Popular Posts