Akta Persaingan Lindungi Hak dan Kepentingan Pengguna


Kewujudkan Akta Persaingan atau Competition Act pada tahun ini diharapkan dapat mengurangkan amalan kartel dan monopoli sesuatu kaum dalam perniagaan tertentu serta dalam masa yang sama membolehkan semua kaum bersaing secara sihat dan adil. Pengenalan akta berkenaan sangat tepat pada masanya dan mampu menjadi transformasi baru kepada hak serta kepentingan pengguna. Rang Undang-Undang Persaingan berkenaan kelak akan merangkumi peraturan bagi memastikan persaingan sihat wujud di dalam pasaran, sekali gus merancakkan lagi suasana perdagangan di dalam negeri.

Akta ini nanti akan memastikan amalan anti persaingan di negara kita dapat di atasi dan menjamin hak pengguna secara keseluruhan tanpa mengira kaum yang turut meliputi peraturan untuk mengambil tindakan terhadap perjanjian anti persaingan seperti penetapan harga, pembidaan, pembahagian pasaran dan salah guna kuasa pasaran. Oleh yang demikian, syarikat, peniaga atau individu yang bebas memonopoli barangan dan perkhidmatan dengan menaikkan harga sesuka hati akibat tiada persaingan di pasaran, akan berdepan tindakan lebih tegas apabila Akta Persaingan diluluskan kelak dan secara langsung dapat melindungi pengguna daripada dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.

Ketika ini banyak syarikat dan peniaga yang seringkali cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna dengan menaikkan harga sesuka hati mereka, tetapi masalahnya ialah kementerian yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak boleh mengambil tindakan atau membuat apa-apa berikutan tiada undang-undang khusus untuk mengawal kegiatan berkenaan. Ini menyebabkan mereka yang rakus dan tidak bertanggungjawab menetapkan harga atau peraturan baru mengikut selera dan kehendak sendiri, sekali gus menafikan hak pengguna mendapat harga murah atau membuat pilihan tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna sama ada untuk jangka masa pendek dan panjang.

Menurut Mohd. Yusof Abdul Rahman (2010), akta seumpama ini telah lama wujud di beberapa buah negara, khususnya negara maju yang bertujuan agar tidak wujud amalan monopoli dalam kalangan industri sehingga boleh memberikan kesan kepada pengguna, terutamanya berkaitan bekalan dan penetapan harga. Peraturan dan undang-undang khusus mampu menjamin dan melindungi hak serta kepentingan pengguna pada bila-bila masa. Pada masa ini terdapat beberapa industri komoditi seolah-olah wujud amalan monopoli seperti beras, gandum, gula dan sebagainya ekoran tiada mekanisme yang mantap mengekang aktiviti tidak sihat berkenaan di mana mangsanya ialah golongan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana.

Akibat daripada amalan ini, pengguna sering menghadapi masalah bekalan apabila industri ini ingin mewujudkan tekanan kepada kerajaan lebih-lebih lagi ketika tiba musim perayaan agar menaikkan harga komoditi tersebut yang disenaraikan sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Begitu juga industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barang mereka seumpama lanun yang merompak di siang hari sekiranya barangan tersebut bukannya barang kawalan dan mereka boleh bertindak sesuka hati mereka tanpa memikirkan nasib dan keadaan rakyat miskin yang melarat di kampung serta pedalaman. Keadaan ini berlaku kerana tiada akta atau peruntukan undang-undang khusus yang dapat mengekangnya serta menjamin aspirasi rakyat yang tidak berkemampuan sedang berada di dalam kedaifan.

Situasi genting ini akan menimbulkan kegusaran dan kerisauan kepada masyarakat pengguna di negara ini, khususnya yang berpendapatan rendah dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai. Oleh itu, apabila Akta Persaingan ini diwujudkan maka adalah diharapkan agar amalan kartel dan monopoli yang sangat-sangat dilarang oleh agama Islam serta sangat tidak beretika ini dapat dibanteras sepenuhnya sehingga ke peringkat akar umbi dan membawa mereka yang ingkar ke muka pengadilan tanpa kompromi. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa besar yang dimiliki mereka untuk membuat pilihan terhadap mana-mana industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang terbaik dan berdaya saing.

Dalam pada itu, kewujudan sebuah Suruhanjaya Persaingan yang akan diperbadankan bagi melaksanakan undang-undang dan peraturan itu juga dapat bertindak sebagai langkah persediaan serta pelengkap kepada perusahaan tempatan menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi selain meningkatkan daya saing industri Malaysia pada peringkat antarabangsa dan berlandaskan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan bagi memacu ekonomi negara yang sangat menitik beratkan prinsip inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. Adalah diharapkan agar Akta Persaingan yang akan diwujudkan kelak mampu bertindak sebagai akta khas yang anti monopoli dan anti perniagaan kartel di negara kita serta dapat dicontohi oleh negara lain dalam mempraktikkannya.

RUJUKAN

Mohd. Yusof Abdul Rahman, 2010. Warta segera lindungi pengguna. Utusan Malaysia, 28 Januari
Akta Persaingan diwujud atasi monopoli satu kaum, Berita Harian, 1 April 2010
Hak pengguna lebih dilindung, Harian Metro, 26 Januari 2010
Akta persaingan diwarta akhir 2010, Utusan Malaysia, 26 Januari 2010
Akta baru lindungi pengguna, Utusan Malaysia, 17 Januari 2010

Comments

Popular Posts