Hutang kerajaan pusat RM362.4 bilion


ARKIB : 23/04/2010
Hutang kerajaan pusat RM362.4 bilion

KUALA LUMPUR 22 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Pusat sehingga 31 Disember 2009 adalah RM362.4 bilion atau 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, RM348.6 bilion atau 96.2 peratus daripada jumlah itu adalah hutang dalam negeri manakala baki RM13.9 bilion atau 3.8 peratus pula hutang luar negara.

''Jumlah hutang luar negara yang kecil selaras dengan dasar semasa kerajaan yang mengutamakan pinjaman dalam negeri bagi membiayai projek pembangunan negara kerana kos yang lebih murah dan mengurangkan pendedahan kepada risiko pertukaran mata wang asing," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tanggungan kewangan secara terus dan bukan secara terus kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, pecahan instrumen hutang kerajaan itu adalah bil perbendaharaan (RM4.32 juta), Terbitan Pelaburan Kerajaan (PTK) (RM66 juta), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) (RM242.3 juta), Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan (RM31.1 juta) dan sukuk (RM4.9 juta).

Katanya, instrumen hutang berkenaan dilanggan institusi kewangan, syarikat insurans dan institusi keselamatan sosial.

"Bagi pinjaman projek, pemberi pinjaman adalah institusi pelbagai hala iaitu Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Pembangunan Islam (IDB) manakala dari institusi dua hala termasuk Japan Bank For International Cooperation (JBIC)," katanya.

Najib berkata, kadar faedah pinjaman adalah pelbagai bergantung kepada tempoh pinjaman dan keadaan pasaran semasa bon diterbitkan dan kadar faedah lebih tinggi bagi pinjaman jangka panjang berbanding jangka pendek.

Menurutnya, tanggungan kewangan kerajaan secara tidak langsung pula adalah dalam bentuk jaminan bagi pinjaman oleh badan berkanun dan syarikat kerajaan.

Katanya, sehingga 31 Disember 2008 pula, jumlah liabiliti tidak tentu Kerajaan Persekutuan ialah RM69.2 bilion iaitu terdiri daripada pinjaman domestik RM59.3 bilion dan pinjaman luar sebanyak RM9.9 bilion.

Jelasnya, jaminan berkenaan melibatkan dua badan berkanun dan 16 syarikat milik kerajaan (GLC).

sumber: http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm

Comments

Unknown said…
KDNK tuu same ke dengan Gross Domesstic Product(Nominal)kalau dalam English?

Popular Posts