Konvensyen Aqsa Sharif seMalaysia 2010








Kenyataan Media sempena Konvensyen Aqsa Sharif seMalaysia 2010

Dengan Nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Aqsa Syarif merakamkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan Taufik dan InayahNya dapat menjayakan program Konvensyen Aqsa Syarif seMalaysia 2010 yang merupakan program sulung di peringkat kebangsaan untuk melonjakkan perjuangan Aqsa Syarif di persada Tanah Air.

Konvensyen ini meletakkan satu sasaran dan pengharapan yang besar untuk mencetuskan motivasi dan kesedaran yang tinggi dalam menggerakkan pendukung-pendukung Aqsa Syarif di seluruh Malaysia menggarap perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa yang bumi Palestin yang terjajah. Aqsa Syarif bergerak di atas satu keyakinan bahawa perjuangan untuk membebaskan tanah suci umat islam dan Masjid yang ketiga paling mulia dalam Islam wajib digerakkan di seluruh dunia oleh umat Islam di mana juga mereka berada. Ini bermakna Malaysia juga sebagai sebuah negara umat Islam tidak boleh ketinggalan bahkan wajib berada di barisan utama di dalam berganding bahu bersama rakyat Palestin di dalam perjuangan ini. Meskipun dari sudut geografinya bumi Malaysia dan umat Islam di nusantara berada sangat jauh dari Palestin, tetapi tanggungjawab yang dipikul oleh umat Islam di sini tidak jauh bezanya dengan mereka yang berada di Timur Tengah dan Asia Barat. Maka dengan itu semua usaha dan tenaga perlu dijana bersama umat Islam sejagat dalam barisan yang jitu untuk melaksanakan tugas suci ini. Dengan premis yang diletakkan ini maka Aqsa Sharif menggariskan beberapa objektif yang akan dicapai di dalam Konvensyen Aqsa Sharif seMalaysia 2010.

1. Mengumpulkan semua penggerak-penggerak Aqsa Syarif di seluruh Malaysia di dalam satu konvensyen demi menjana dan menyelaraskan penghayatan yang optimum terhadap gerak kerja di peringkat Negeri dan Daerah. Aqsa Sharif yakin kesedaran untuk bersama memperjuangkan isu pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang terjajah perlu digerakkan di peringkat akar umbi. Aqsa Syarif berharap penggerak-penggerak akan dibekalkan dengan bahan-bahan, maklumat dan sumber-sumber yang membantu mereka meluaskan capaian kepada setiap individu, kampung, mukim, daerah, negeri sehingga ke peringkat Nasional.

2. Aqsa Syarif juga meletakkan sasaran untuk menjana kesedaran dan membina kefahaman seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam tidak terkecuali semua golongan tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan keturunan terhadap tuntutan perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa (termasuk semua masjid dan tempat-tempat ibadat penganut agama Kristian yang kini diancam oleh rejim Zionis Israel) dan bumi Palestin yang diduduki secara haram (yang merupakan pelanggaran kepada Resolusi PBB, piagam PBB, undang-undang antarabangsa, Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Geneva).

3. Aqsa Sharif juga yakin bahawa usaha ini menuntut kepada penyediaan generasi masa depan untuk meneruskan perjuangan yang panjang dan menuntut kepada perancangan yang tersusun. Kerana itu Aqsa Syarif memperuntukkan sejumlah tempat yang besar kepada generasi muda terutama mereka yang berada di IPT di dalam konvensyen ini bagi memperkasakan mereka dalam perjuangan yang suci ini.

4. Aqsa Sharif akan menggariskan strategi gerak kerja untuk Memperkasa Umat Membebaskan Masjid al-Aqsa yang menjadi semboyan kewujudan Aqsa Syarif di Malaysia. Aqsa Sharif mahu merealisasikan satu visi agar seluruh umat Islam khususnya melihat perjuangan ini sebagai tanggungjawab peribadi yang digarap dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran. Apabila setiap umat Islam diperkasakan dalam isu ini, mereka sendiri akan bangkit mengerah tenaga, pemikiran dan sumber sekuat mungkin ke arah mencapai matlamat perjuangan suci ini.

5. Daripada Ucaputama dan pembentangan- pembentangan kertas kerja yang disusun di dalam konvensyen ini, Aqsa Syarif meletakkan satu piawaian yang perlu dicapai oleh semua wakil-wakil dan penggerak-penggerak Aqsa Syarif di seluruh negara baik dari segi gerak kerja, pengoperasian di lapangan, kempen perkaderan, kempen kesedaran dan penguasaan maklumat dan isu-isu semasa dan terkini di sekitar perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin.

Aqsa Syarif merakamkan rasa syukur sekali lagi di atas sokongan semua pihak di dalam mendukong visi dan misi Aqsa Syarif serta bertungkus lumus untuk menjayakan Konvensyen Aqsa Syarif seMalaysia dengan objektif-objektif yang digariskan. Aqsa Syarif juga memberi penghargaan yang besar kepada pihak media yang sentiasa menyokong perjuangan Aqsa Syarif termasuklah di dalam memberi liputan kepada aktiviti dan perkembangan Aqsa Syarif dari masa kesemasa. Kami mempunyai keyakinan terhadap media di dalam memanjangkan lagi capaian Aqsa Syarif kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya untuk menghayati aspirasi Aqsa Syarif terhadap pembebasan Masjid al-Aqsa dan Bumi Palestin yang terjajah.

Ust. Hasanuddin Mohd Yunus
Pengerusi
Aqsa Syarif
25 Rabi’ul Akhir 1431H/10 April 2010

Comments

Popular Posts