KURANGNYA KESEDARAN TERHADAP HARTA INTELEK


26 April adalah Hari Harta Intelek Negara disambut setiap tahun yang juga bersamaan dengan Hari Harta Intelek Sedunia di mana sambutan kali ini adalah kali yang keenam kita meraikannya. Ini adalah bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat di Malaysia tentang pentingnya aspek inovasi, perlindungan dan pengkomersilan harta intelek di negara kita. Sambutan ini dalam masa yang sama membuktikan komitmen dan pengiktirafan kepada sumbangan kreativiti pencipta dan perekacipta dalam proses pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Sehubungan itu sambutan Hari Harta Intelek Negara adalah wajar dan perlu diteruskan malahan perlu digiatkan lagi aktiviti, kempen dan program publisiti bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran di kalangan masyarakat ke arah memupuk budaya kreativiti, inovasi, dinamik, integriti dan menghormati harta intelek dari peringkat sekolah lagi. Di samping itu, masyarakat juga perlu diberi kesedaran terhadap urusan hak harta intelek dalam pelbagai jenis seperti paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, rahsia perdagangan, pelesenan teknologi, pelanggaran hak dan lain-lain yang berkaitan.

Definisi harta intelek adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta karya sastera dan seni, manakala komponennya membabitkan paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hak cipta dan susun atur litar bersepadu. Akta yang memberi perlindungan kepada harta intelek di Malaysia membabitkan Akta Cap Dagangan 1976; Akta Paten 1983; Akta Hak Cipta 1987; Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996; Akta Petunjuk Geografi 2000; Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu daripada hak intelek yang bersifat abstrak itu mempunyai hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Biarpun mempunyai perlindungan dari segi perundangan yang komprehensif dan namun begitu, Malaysia dilihat masih di belakang negara-negara maju dalam melindungi paten, reka bentuk dan produk masing-masing iaitu di belakang Jepun, Amerika Syarikat, Eropah, China dan Singapura. Tidak banyak syarikat tempatan yang mengetahui pentingnya mendaftarkan paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian masing-masing sehingga wujudnya pertikaian sama ada di dalam dan luar negara ekoran kejahilan dan ketidakpekaan tersebut. Senario ini sudah tentu sangat merugikan produktiviti negara dan memberi impak negatif kepada pembangunan industri harta intelek di Malaysia.

Dilaporkan pada tahun 2009, hanya sejumlah 5,722 permohonan sahaja diterima di Malaysia untuk mendaftarkan paten biarpun ia berupaya melindungi hak ciptaan sesuatu produk daripada diciplak dan keadaan ini jauh berbeza dengan Jepun yang menerima lebih kurang sejuta permohonan, China (850,000 permohonan), Amerika Syarikat (500,000 permohonan) manakala Singapura pula menerima sebanyak 7,000 permohonan. Justeru, jika kesedaran dapat ditingkatkan untuk mendaftarkan paten produk masing-masing, harta intelek sesebuah syarikat dapat dilindungi, sekali gus memberikan kekuatan dan peningkatan dalam produktiviti serta keuntungan kepada syarikat tersebut.

Sebagi contoh Petunjuk Geografi atau GI di mana jenis-jenis produk yang ciri-cirinya dipengaruhi oleh kawasan penghasilannya dan negara-negara Eropah sudah lama melindungi produk-produk Petunjuk Geografi terutama wain, spirit, keju dan coklat. Lebih kurang 6,000 Petunjuk Geografi telah didaftarkan di Eropah berbanding 6 di Malaysia iaitu Sarawak Pepper, Sabah Tea, Sabah Seaweed, Borneo Virgin Coconut Oil, Tenom Coffee dan Bario Rice. Petunjuk Geografi bukan sahaja berperanan melindungi pengusaha dan pengguna dari segi kualiti produk, malah ia juga berpotensi memasyhurkan nama negara serta membantu industri pelancongan negara melalui konsep “GI Tourism” iaitu mempromosi lokasi penghasilan Petunjuk Geografi sebagai destinasi pelancongan.

Walaupun harta intelek tidak mendapat tumpuan sewajarnya dalam penulisan dan kitab-kitab fiqh karangan ulama tradisional, namun kajian berkenaannya berkembang pada permulaan abad ke-21, di mana ada banyak buku fiqh yang mula membicarakan pengiktirafan hak intelek tersebut. Salah satu rujukan penting berkenaan harta intelek menurut perspektif Islam ialah buku Haq al Ibtikar fi al Fiqh al Islami karangan al-Dirrini. Berdasarkan kepada sumber ini, dapatlah dilihat kedudukan harta intelek dari aspek undang-undang syariah yang diistilahkan sebagai haq al-ibtikar iaitu suatu hak terhadap manfaat dan dengan ini harta intelek adalah satu jenis harta yang diiktiraf dari segi syarak.

Secara perundangannya, hak cipta yang merupakan elemen penting harta intelek mula dibincangkan dalam Paris Convention yang telah diadakan pada 20 Mac 1883. Manakala dalam sejarah perundangan Islam, isu hakcipta dan secara umumnya isu harta intelek, mula dibincangkan secara serius oleh para ulama’ semasa dalam Majma’ al-Fiqh al-Islami pada tahun 1988 di Jeddah, dan diadakan seminar yang dinamakan ‘Nadwah Huquq al-Mu’allif’ di Mesir dan prosidingnya diterbitkan pada tahun 1996. Ini membuktikan bahawa Islam sebagai satu cara dan gaya hidup kontemporari yang lengkap mengiktiraf hak intelektual seseorang di samping menggalakkan budaya inovasi serta kreativiti yang boleh diaplikasikan demi kebaikan dan masa hadapan Islam itu sendiri.

RUJUKAN

Arieff Salleh Rosman, 2002. Harta Intelek Menurut Fiqh Islam: Pendekatan Perbanding Dengan Undang-Undang Malaysia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia
Karim Sulaiman, 2001. Islam iktiraf Harta Intelek, Hak Cipta. Berita Harian, 28 Disember

Paten: Tahap kesedaran masih kurang, Utusan Malaysia, 29 Mac 2010
Kepentingan harta intelek, Kosmo, 12 Ogos 2009

Laman web:
http://www.universitipts.com/index.php/site/comments/undang_undang_harta_intelek_dan_hakcipta_dalam_islam/

Comments

Popular Posts