Malaysia dijangka terus terajui sukuk global


Malaysia dijangka terus terajui sukuk global




Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my
2010/04/12
Nilai terbitan keseluruhan tahun ini diunjur RM36b

MALAYSIA dijangka terus menerajui terbitan bon Islam global atau Sukuk tahun ini dengan anggaran nilai terbitan keseluruhan antara RM33 bilion hingga RM36 bilion berbanding RM9.6 bilion tahun lalu, didorong pemulihan ekonomi serta pengukuhan pasaran hutang. Ketua Penarafan Islamic RAM Holdings Bhd, Zakariya Othman, berkata sebahagian besar terbitan bagi tujuan pembiayaan kerajaan dan pembangunan infrastruktur menjadi penyumbang terhadap terbitan berkenaan.

“Terbitan lebih banyak Sukuk di pasaran turut didorong oleh peningkatan populariti terhadap produk kewangan Islam, selain sokongan kerajaan terhadap industri ini, peningkatan perbelanjaan terhadap projek dan pelaburan serta minat penerbit untuk meraih sokongan pelabur,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau turut menjangkakan pertumbuhan terbitan Sukuk global yang kukuh di pasaran lebih besar khususnya di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun akan datang, selain turut berpotensi di negara seperti Britain, Perancis, Korea dan Jepun.

Menjelaskan mengenai daya saing Malaysia yang tinggi untuk menerajui terbitan bon dan Sukuk, Zakariya berkata, negara ini mempunyai platform dan infrastruktur lengkap untuk memudahkan terbitan pelbagai bentuk kemudahan seumpama itu.

Terbitan sukuk juga disokong oleh peraturan yang jelas dengan tafsiran oleh hukum Syariah yang diiktiraf pelbagai pihak.
“Pengiktirafan bersama menggalakkan inovasi dan Malaysia bertindak sebagai pusat pembangunan inkubator untuk memenuhi kehendak Syariah yang pelbagai serta memenuhi keperluan pelanggan.

“Penubuhan Majlis Penasihat Syariah (SAC) berpusat turut menyediakan keyakinan terhadap mana-mana produk yang diperkenalkan, selain menangkis ketidakpastian dalam tafsiran Syariah yang meliputi semua produk kewangan Islam,” katanya.

Selain itu, Zakariya berkata, saiz Sukuk di Malaysia juga besar berbanding Singapura dan Hong Kong, yang mana penguasaan pasaran di negara ini lebih daripada 50 peratus berbanding pasaran sekuriti hutang swasta.

Katanya, Malaysia mempunyai peserta besar, selain produk, insentif cukai dan keyakinan yang sekali gus menyediakan laluan serta pemahaman yang mudah.

Mengenai kesan krisis Dubai yang berlaku awal tahun ini terhadap industri kewangan Islam, beliau berkata, krisis berkenaan tidak menjejaskan institusi kewangan Islam di Malaysia kerana pendedahan yang terhad dengan institusi di Dubai.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiadijangkaterusterajuisukukglobal/Article

Comments

Popular Posts