Persepsi Negatif Terhadap Sistem Pendidikan Islam















Persepsi Negatif Terhadap Sistem Pendidikan Islam

oleh Madzlina Haji Nordin

Sistem pendidikan agama di Malaysia telah berkembang pesat sejak sekian lama di mana prestij dan kualitinya diiktiraf dunia setanding dengan negara Islam lain. Sistem dan jentera pendidikan holistik serta dinamik ini telah mengalami proses transformasi yang menakjubkan sehinggakan telah berjaya melahirkan ramai tokoh agama yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti para ulama, pemimpin politik, pakar dan professional agama dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa golongan agama yang melalui sistem pendidikan ini telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam sistem pentadbiran negara sejak sebelum merdeka lagi bahkan menjadi perintis kepada usaha menuntut kemerdekaan dan negara juga pernah memiliki seorang Perdana Menteri dari kalangan tokoh agama iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Pencapaian ini dianggap sebagai kemuncak kepada kegemilangan sistem pendidikan Islam di negara kita.

Dunia pendidikan Islam juga telah mencipta sejarah baru apabila cadangan Malaysia dan empat negara Islam lain iaitu Afghanistan, Indonesia, Iraq dan Pakistan membawa usul mengenai pembangunan pendidikan formal aliran agama ke arus perdana global dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-184 dipersetujui sebulat suara oleh negara-negara maju dan Afrika yang sebelum itu membantah usul berkenaan.

Ini adalah berikutan usul berkenaan yang mengandungi perkataan 'madrasah' yang bermaksud sekolah dan menyokong usul alternatif yang menggantikannya dengan perkataan 'inklusif' berikutan bantahan negara terlibat yang mengaitkan pendidikan madrasah dengan isu keganasan dan ekstremis. Perkataan inklusif diterima pakai kerana ia meliputi pendidikan formal yang lebih menyeluruh membabitkan semua agama, selain menumpukan kepada bidang-bidang lain dalam pendidikan.

Senario yang berlaku ini membuktikan bahawa persepsi negatif negara bukan Islam terhadap institusi madrasah yang menjadi nadi sistem pendidikan umat Islam masih tebal. Dengan pelbagai label jahat dan sikap prejudis yang dilemparkan kepada institusi pendidikan agama ini berlaku ekoran salah faham yang disengajakan dan cubaan untuk melemahkannya agar tidak menjadi saingan kepada sistem pendidkan Barat dan budaya ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan dan langkah terbaik untuk menangkis segala tuduhan dan tohmahan palsu tersebut yang sedikit sebanyak telah mencemarkan imej dan kredibiliti sistem pendidikan agama di negara-negara Islam. Gambaran jelek musuh Islam bahawa institusi madrasah sebagai sarang serta kilang yang menghasilkan pengganas dan meletakkan sistem pendidikan Islam di kandang salah serta dijatuhkan hukuman salah tanpa dibicarakan.

Oleh itu, Barat dan golongan penentang ini perlu didedahkan bahawa pembangunan pendidikan formal aliran agama di negara-negara Islam bukan semata-mata mengajar pengetahuan ilmu Islam dan pengajian al-Quran sahaja bahkan turut mengajar subjek-subjek aliran perdana seperti Sains, Matematik, Teknologi, Teknikal dan lain-lain. Negara-negara bukan Islam perlu lebih faham dan tidak lagi tersalah anggapan bahawa pendidikan aliran Islam sebagai tempat melahirkan fanatik agama atau hanya mengajar ilmu Islam yang bersifat ritual sahaja.

Sehubungan itu, UNESCO sebagai badan tertinggi memantau sistem pendidikan antarabangsa adalah medan terbaik untuk membincangkan isu-isu pendidikan global dan Malaysia perlu mengambil berkongsi pengalaman memajukan sistem pendidikan Islam yang komprehensif di samping berkongsi pengalaman negara dalam melaksanakan program Pendidikan Untuk Semua (EFA) dan pembangunan pendidikan Malaysia yang kini berada di landasan yang betul untuk mencapai EFA pada 2015.

Untuk itu, adalah diharapkan agar negara-negara kurang membangun terutama di Afrika dapat mencontohi Malaysia dan akan mencapai tahap EFA sekurang-kurangnya untuk pendidikan peringkat rendah di negara mereka. Negara-negara anggota UNESCO juga perlu memberi perhatian terhadap keperluan negara-negara kurang membangun untuk menyediakan 18 juta orang guru dan kemudahan asas sebelum mencapai EFA. Ini adalah masalah utama yang sedang dihadapi oleh negara kurang membangun dan Malaysia boleh berkongsi pengalaman melatih tenaga pengajar melalui institusi pendidikan moden.

Pencapaian ini adalah manifestasi kejayaan sistem pendidikan agama secara formal dan tidak formal di negara kita yang telah menjadi rujukan banyak pihak serta mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat global. Ini secara tidak langsung akan menjadi perangsang kepada institusi pendidikan Islam terutamanya golongan pendidik dan pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sistem pendidikan Islam di negara kita. Biarpun begitu, usaha penambahbaikan, proses transformasi dan pembangunan sistem pendidikan negara terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa di Malaysia.

Rujukan
Syed Hussein Alatas, 2009. Intelektual Masyarakat Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendidikan formal aliran agama diterima, Berita Harian, 6 April 2010
Sistem pendidikan aliran agama Malaysia ke UNESCO, Utusan Malaysia, 6 April 2010

Comments

Popular Posts