Petua Menulis dan Cara menghantar Karya ke akhbar dan majalah


['Moh hantar karya'
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/04/15
Editor sastera akhbar dan majalah beri petua serta berkongsi pengalaman]



KESUKARAN mendapatkan cerpen dan puisi bermutu dengan larik bahasa indah baik daripada pendatang baru, penulis muda mahupun veteran bukan saja dihadapi akhbar, tetapi juga majalah yang mempunyai halaman kreatif dibangkitkan pada Sesi Bersama Editor pada Dialog Penulis Muda.

Dialog di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, baru-baru ini, turut mendedahkan tindakan sesetengah pengarang muda dan veteran yang menghantar belasan karya serentak untuk dinilai dalam kerakusan melihat karya disiarkan.

Dialog Penulis Muda anjuran Pelajar Kursus Reka Bentuk Pengajaran Bahasa Melayu (BMP 3063) dan Persatuan Penulis Budiman (Budiman) itu, turut menjadi medan berkongsi pengalaman dua editor sastera tanah air dalam menangani asam garam berurusan dengan pengarang kreatif, sambil menurunkan ‘petua’ dan cara menghantar karya.

Secara tidak langsung, kira-kira 50 peserta sesi itu, dapat belajar daripada kesilapan pengarang sebelum mereka dan mengetahui batas sempadan dalam proses penghantaran karya, selain dapat menghilangkan keraguan terhadap isu ‘belakang tabir’ berkaitan penyiaran karya terbabit.

Editor Sastera Berita Harian, Salbiah Ani, menekankan peluang dan ruang penyiaran karya di halaman Kreatif Sabtu dan Sanggar Kreatif Ahad adalah sama baik kepada pengarang mapan dan baru selagi mutu karya dijaga.

“Peluang adalah sama kerana kayu ukur penyiaran adalah mutu karya tanpa mengira sama ada pengarang itu veteran atau muda, pernah memenangi pelbagai hadiah sastera atau pendatang baru dalam dunia penulisan tanah air.

“Ini kerana ada sebahagian pengarang yang pernah memenangi hadiah sastera, tetapi disebabkan faktor usia dan hal tertentu, gagal memperlihatkan kehebatan yang pernah dipamerkan sebelum ini sehingga karya mereka apabila dibaca dapat dirasakan hambar dan ‘mengejutkan’,” katanya pada sesi yang dipengerusikan penyair, Ghazali Din atau lebih dikenali sebagai Ihsan Noorzali.

Salbiah turut mendedahkan ada Penerima Anugerah Penulisan Sea yang menghantarkan cerpen kepada Berita Harian dan Berita Minggu, tetapi terpaksa ditolak kerana isu semasa dalam karya gagal diadun dengan baik sehingga karya menjadi hambar dan tidak mencerminkan wibawa pengarang.

“Saya berharap penulis dapat bersabar untuk melihat karya disiarkan dan tidak boleh mengharapkan penyiaran pada kadar segera kerana terlalu ramai pengkarya menghantar nukilan masing-masing selain masa standard penyiaran untuk akhbar dan majalah ialah enam bulan.

Jika penulis berasa karya itu wajar disiarkan secepat mungkin, mereka boleh menghantar e-mel untuk menarik balik. Kami bersikap profesional dalam hal ini memandangkan ruang yang ada memang terbatas, tetapi jumlah yang menghantar karya terlalu ramai,” katanya pada sesi yang turut dihadiri Penasihat Program yang juga Pensyarah Upsi, Arif Mohamad.

Ketika menjawab pertanyaan tema karya yang menjadi pilihan, Salbiah menjelaskan Kreatif Sabtu dan Sanggar Sastera mencadangkan penulis agar menampilkan karya yang berlegar kepada isu semasa, tetapi perlu diadun dengan baik agar tampak menarik untuk dibaca.

“Tema sedemikian menjadi keutamaan bagi membuktikan bahawa pengarang kreatif hidup di alam realiti dan bukan di awang-awangan seperti yang sering dilabelkan masyarakat sejak sekian lama, selain tema agama boleh diketengahkan, tetapi bukan dalam gaya khutbah.

“Saya banyak menerima cerpen bertema cinta dan saya berharap ia diadun dengan perkara lain seperti yang pernah dilakukan Amiza Khusyri Yusof lewat Salju Jabal Musa dan disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 25 April 2004 sehingga tampil luar biasa dan saya akan mengingati cerpen terbabit sehingga ke akhir hayat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan penulis baru untuk tidak terlalu gopoh melihat karya mereka tersiar di media sehingga mengambil tindakan melanggar etika penulisan dengan melakukan pencerobohan karya sehingga ada yang sanggup memplagiat karya pengarang lain.

Penulis yang ‘tertangkap’ menciplak karya pengarang lain, pintu media akan tertutup rapat. Penulis juga jangan sesekali mengugut editor kerana hakikatnya mereka menjalankan tugas secara profesional. Jangan sesekali melobi agar karya disiarkan kerana silap hari bulan perkara sebaliknya berlaku,” katanya.

Salbiah turut berkongsi pengalamannya apabila ada penulis yang mengadu dengan pihak atasan kerana karya tidak disiarkan dan pengalaman sama turut dilontarkan Editor Kanan Unit Sastera, Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rozninah Abd Azib.

“Penulis terbabit menghantar surat kepada Pengarah Penerbitan menyebabkan saya dipanggil ke bilik ketua dan apabila beliau melihat sendiri sejumlah karya penulis terbabit, penolakan saya dipersetujui.

“Moral daripada pengalaman ini adalah seandainya sesebuah karya itu bagus, pihak kami akan menerbitkannya tanpa perlu menunggu penulis terbabit menghantar surat aduan atau mengambil langkah mengugut,” katanya yang juga Editor Dewan Sastera.

Rozninah turut mengingatkan penulis baru untuk menjaga ketertiban dalam surat penyerahan karya dan tidak menggunakan ayat berbentuk ugutan kepada editor untuk melihat karya mereka mendapat tempatan dalam majalah dan akhbar.

“Ada penulis muda yang menghantar karya dengan menyelitkan amaran bahawa sekiranya karya tidak diterbitkan dalam tiga bulan, ia akan dihantar ke penerbitan lain dan kami tidak kisah sekiranya penulis mahu berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut mendedahkan masalah yang selalu dicetuskan oleh penulis muda, iaitu mabuk dengan bahasa puitis sehingga apabila menghasilkan karya yang sepatutnya puitis, tetapi menampilkan perlambangan yang tersasar.

Sajak yang baik mestilah yang boleh difahami, ada kekuatan tersendiri dan falsafah. Dalam konteks karya kreatif berunsurkan agama pula, jangan menggunakan terlalu banyak istilah bahasa Arab sehingga editor terpaksa membuka kamus setiap perkataan dan pembaca juga tidak memahaminya,” jelasnya.

Seperti Salbiah, Rozninah juga berharap mereka yang berhasrat menghantar karya agar membeli majalah atau akhbar sasaran mereka bagi mendapatkan gambaran karya pilihan editor dan mematuhi segala syarat penerbit selain tidak sesekali menghantar karya yang sama ke penerbitan berlainan.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mohhantarkarya_/Article

Comments

Smat Goal Ent said…
http://teman-cintahatiku.blogspot.com/ akan menganjurkan pertandingan menulis cerpen…berminat utk join?hadiah wang tunai menanti pemenang…ayuh jgn lepaskan peluang ini!!
Unknown said…
Pertandingan itu dah habis ke?
Unknown said…
Macam mana nak join pertandingan ni
Waaa. macam interesting je competition ni. Nak join macam mana
Unknown said…
Mcm mna klau sya nk hantar sajak saya guna handfon. Dapat kah.

Popular Posts